Skip to content

Ucapan Bajet oleh Ahli Parlimen Serdang Dr. Ong Kian Ming

Terlebih dahulu, saya ucapkan ‘tahniah’ kepada Menteri Kewangan YB Pekan atas kejayaan beliau membentangkan satu perbelanjaan yang bersejarah … yang akan membawakan penderitaan dan kesengsaraan yang bersejarah kepada rakyat Malaysia.

Bajet 2014 yang dibentangkan pada minggu lepas bertajuk “Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji”. Saya rasa lebih tepat jikalau bajet itu ditajukkan sebagai “Ketirisan tidak ditangani, Janji Dimungkiri dan Rakyat Menyesali”.

Saya akan memberi fokus kepada tiga isu penting dalam perbahasan saya – yang pertama, cukai barangan dan perkhidmatan ataupun GST; yang kedua, kegagalan kerajaan untuk mengawal perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus (operational expenditure) ; yang ketiga, Kedudukan Kewangan Perusahaan Awam Buka Kewangan (PABK) ataupun Non-Financial Public Enterprises (NFPEs).

1) GST

Penggantian SST dengan GST tidak akan menurunkan harga barangan dan perkhidmatan

Pakatan Rakyat bantah perlaksanaan GST kerana kami rasa bahawa masanya belum sesuai lagi untuk dilaksanakan di Malaysia pada masa ini. Hanya 15% daripada pekerja mampu membayar cukai pendapatan. 85% daripada rakyat pendapatannya tidak mencukupi untuk membayar cukai pendapatan. Jikalau GST dilaksanakan, sebahagian daripada beban cukai tentu akan diagihkan kepada golongan yang berpendapatan rendah dan juga yang berpendapatan sederhana.

Ada daripada pihak sebelah sana yang akan membalas dengan jawapan sebegini – “Sekarang, 85% pun ada bayar cukai – cukai jualan ataupun sales tax dan cukai perkhidmatan ataupun service tax. Jikalau GST yang akan dikenakan pada kadar 6% menggantikan cukai jualan (10%) dan cukai perkhidmatan (6%) (SST ataupun sales and service tax), harga untuk kebanyakan barang akan turun, bukan naik, selepas GST!” Pendapat ini saya telah baca beberapa kali di suratkhabar, di laman web, di twitter dan di facebook.” Ini adalah satu pendapat yang tidak tepat dan adalah satu tipu muslihat yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Untuk maklumat Tuan Speaker, saya telah buat suatu kajian untuk membandingkan barang-barang yang dikecualikan daripada cukai jualan dan GST. Senarai Penuh barang yang dikecualikan daripada cukai jualan boleh didapati dalam Jadual 1 “Perintah Cukai Jualan (Kadar Cukai No.2) 2012” ataupun Sales Tax (Rates of Tax No.2) (2012) dalam Warta Kerajaan Persekutuan ataupun Federal Government Gazette.

Saya bukan pakar cukai tetapi mengikut Jadual 1, antara contoh barangan yang dikecualikan daripada Sales Tax adalah susu berkrim, teh, kopi, jem, buah-buahan di dalam tin, air mineral, teh dan kopi, barangan dapur, beg sekolah, majalah, surat khabar, telefon bimbit, macam-macam lagi. Kebanyakan daripada barangan ini bukan barangan ‘luxury’. Tetapi barangan tersebut yang sebelum ini tidak dikenakan Sales Tax akan dikenakan GST 6% kerana yang dikecualikan daripada GST. Ada juga barangan yang dikenakan cukai jualan sebanyak 5% seperti simen dan buah-buahan dan kadar cukai ini akan dinaikkan kepada 6% selepas GST.

Saya merujuk kepada laman web MATRADE yang telah memberi penjelasan yang lebih lanjut tentang barangan yang dikecualikan daripada cukai jualan, dengan izin:

Certain categories of goods are exempted from sales tax at both the input and output stages. These include all goods (inclusive of packaging materials) used in the manufacture of controlled articles, pharmaceutical products, milk products, batik fabrics, perfumes, beauty or make up preparations, photographic cameras, wrist watches, pens, computers and computer peripherals, parts and accessories, carton boxes/cases, products in the printing industry, agricultural or horticultural sprayers, plywood, rethreaded tyres, uninterruptible power systems, machinery and manufactured goods for export.”[1]

Kebanyakan daripada barangan yang disebut yang dikecualikan jualan cukai akan dikenakan GST.

Sebagai bandingan, barangan yang dikecualikan daripada cukai jualan mengambil 250 muka surat tetapi barangan yang dikecualikan daripada GST hanya mengambil 21 muka surat sahaja.

Saya minta penjelasan daripada Menteri sama ada barang yang dikecualikan daripada cukai jualan ini jauh lebih daripada apa yang dikecualikan daripada GST. Jikalau ini adalah tepat, saya minta penjelasan daripada Menteri sama ada harga kebanyakan barangan akan naik selepas perlaksanaan GST.

Ada juga pihak yang kata bahawa barangan dan perkhidmatan asas seperti kediaman, perkhidmatan kewangan, kesihatan dan pengangkutan yang akan dikecualikan GST. Dan oleh kerana ini, harga barangan dan perkhidmatan asas tidak akan meningkat akibat daripada GST. Ini juga bukan satu penjelasan yang tepat.

Walaupun barangan dan perkhidmatan tersebut dikecualikan daripada cukai (tax exempt) tetapi input yang digunakan untuk membuat barangan dan perkhidmatan tersebut bukan semua dikecualikan daripada cukai. Misalnya, penjualan rumah kediaman dikecualikan daripada cukai tetapi ‘construction materials’ yang digunakan untuk membina rumah kediaman ini tidak dikecualikan. Jadi, kalau kos pembinaan itu meningkat kerana kos barangan pembinaan itu meningkat akibat daripada GST, tentunya harga rumah kediaman itu akan meningkat!

Saya menggunakan perkataan seorang pemaju yang terkenal iaitu Tan Sri Liew Kee Sin, Presiden dan CEO SP Setia Bhd, sebagai penjelasan yang lebih lanjut. Dengan izin:

“While the government has said that residential properties will be exempted from the GST, it does not mean that the cost of supplying such homes is free from GST. This is because developers would still have to pay 6% GST on nearly all the inputs required to construct the home, which could further increase the cost of construction quite substantially.”

(The Edge, October 28 to November 3, 2013, pg. 75)

Saya minta penjelasan daripada Menteri sama ada kos barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan daripada GST (tax-exempt) akan mengalami kenaikan harga akibat daripada GST yang dikenakan ke atas input yang digunakan dalam proses pengeluaran barangan dan perkhidmatan ini.

GST akan mengutip lebih banyak cukai berbanding dengan SST

Sebenarnya, kenyataan bahawa cukai yang akan dibayar oleh pengguna akan turun selepas GST memang tidak masuk akal. Jikalau cukai yang akan dibayar akan turun, kenapa GST perlu dilaksanakan? Bukannya antara sebab yang penting GST perlu dilaksanakan adalah penambahan cukai yang akan dikutip di bawah GST berbanding dengan cukai yang lain? Saya juga minta penjelasan daripada Menteri sama ada cukai yang akan dikutip di bawah GST ini adalah lebih daripada apa yang sedah dikutip daripada cukai jualan dan perkhidmatan.

GST adalah cukai regresif

Tuan Speaker, kebanyakan pakar ekonomi bersetuju bahawa cukai GST ini adalah cukai regresif. Ini bermakna bahawa golongan yang berpendapatan rendah akan membayar peratusan yang lebih besar daripada pendapatan mereka selepas pelaksanaan GST berbanding dengan golongan berpendapatan tinggi. Ini juga salah satu sebab penting Pakatan Rakyat membantah pelaksanaan GST pada masa ini.

Mengikut kajian Jabatan Perangkaan, 4.5% daripada pendapatan golongan yang berpendapatan rendah akan dibelanjakan ke atas GST berbanding dengan 2.9% untuk golongan yang berpendapatan sederhana dan 2.1% untuk golongan yang berpendapatan tinggi.[2] Penang Institute juga telah mengeluarkan satu kertas kerja yang menunjukkan bahawa golongan yang berpendapatan rendah akan membayar peratusan daripada pendapatan yang lebih tinggi kepada GST berbanding dengan golongan berpendapatan tinggi. Tambahan, oleh kerana golongan berpendapatan rendah kebanyakannya adalah Bumiputera, maka merekalah yang akan paling merasai kesan kenaikan kos beban hidup akibat daripada pelaksanaan GST.

Walaupun Menteri Kewangan telah mengumumkan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Price Control and Anti-Profiteering Act 2011), tetapi saya meragui sedikit sebanyak tentang kemampuan Kementerian untuk memantau beratus ribu peniaga yang akan meningkatkan harga akibat daripada GST. Jikalau Akta ini tidak boleh menghentikan kenaikan harga yang tidak berpatutan terutamanya di kawasan bandar yang begitu tinggi, adakah ia akan berhasil apabila beratus-ratus ribu peniaga akan menaikkan harga sejurus selepas GST diperkenalkan? Saya harap Menteri boleh member penjelasan tentang langkah-langkah spesifik untuk menangani masalah ini yang tentu akan berlaku selepas dan juga sebelum 1hb April 2015.

2) Mengawal Perbelanjaan Kerajaan

Tuan Speaker, sekarang saya beralih untuk membahaskan isu kegagalan kerajaan Barisan Nasional untuk mengawal perbelanjaan kerajaan.
Setiap tahun, semasa sesi belanjawan, Menteri Kewangan mengumumkan sesuatu angka perbelanjaan yang tertentu dan pada tahun berikutnya, tanpa gagal, Menteri akan kembali ke dewan yang mulia ini dan melaporkan perbelanjaan sebenar yang jauh lebih tinggi. Sebagai contoh, perbelanjaan yang diumumkan untuk belanjawan 2012 adalah RM230.8 bilion tetapi perbelanjaan sebenar adalah RM249.5 bilion, iaitu perbezaan sebanyak RM18.7 bilion, bukan satu jumlah yang kecil. (Lihat Jadual 1)

Jadual 1: Perbezaan di antara Belanjawan yang dianggarkan dan sebenarnya (2009 sehingga 2012)

(RM juta) 2009 2010 2011 2012
Belanjaan yang dianggarkan 205,899 189,499 211,987 230,833
Belanjaan yang sebenarnya 206,063 202,929 227,928 249,544
Perbezaan (Sebenarnya – Anggaran) 164 13,430 15,941 18,711

Sumber: Laporan Ekonomi 2008 / 2009 sehingga 2011 / 2012

Untuk belanjawan 2013, perbelanjaan anggaran adalah RM249 bilion. Dalam Laporan Ekonomi 2013 / 2014, angka ini telah menaiki ke RM260 bilion selepas satu bajet tambahan diluluskan. Kemungkinan besar satu lagi bajet tambahan untuk tahun 2013 akan diluluskan tahun ini ataupun tahun depan. Pastinya perbelanjaan sebenarnya untuk tahun 2013 akan melebihi angka yang diumumkan pada mulanya. Jikalau perbelanjaan melebihi ini dijumlahkan, dari tahun 2010 sehingga 2013, angkanya RM59 bilion. Ini bukan jumlah yang kecil. Antara sebab perbelanjaan melebihi ini berlaku ialah kepincangan pengurusan, ketirisan, pembaziran, pemborosan, penyelewengan dan gejala rasuah yang berleluasa di bawah kerajaan Barisan Nasional.

Ini telah dikenal pasti dalam Laporan Ketua Audit Negara. Tetapi pembaziran ini masih berlaku walaupun NKRA untuk menghapuskan rasuah di bawah Program Transformasi Kerajaan telah ditubuhkan sejak awal tahun 2010. Mengikut anggaran saya, pembaziran yang disenaraikan di dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 berjumlah RM6.5 bilion. Dan ini merupakan sampel kecil sahaja daripada kesemua Kementerian, Jabatan dan Badan Berkanun di bahawa kerajaan persekutuan. Kemungkinan jumlah pembaziran keseluruhan itu jauh lebih tinggi.

Dalam belanjawan Pakatan Rakyat, kami telah mengumumkan bahawa penjimatan sebanyak RM20 hingga RM30 bilion boleh dijimatkan sekiranya kesemua pembaziran dan penyelewengan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara dihentikan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk menyiasat dan mengkaji pencarian Ketua Audit Negara. Tetapi saya berpandangan bahawa ini adalah satu lagi jawatankuasa yang ditubuhkan semata-mata untuk publisiti sahaja dan tidak akan menghasilkan apa jua tindakan yang konkrit untuk benar-benar menghapuskan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan. Dengan izin, “It will be another empty and futile exercise by the Barisan Nasional government”.

Kenapakah kerajaan tidak membuat kajian yang menyeluruh untuk kesemua program yang dikendalikan oleh setiap kementerian supaya program yang dikenal pasti sebagai tidak berkesan ataupun tidak membawa apa-apa manfaat dihapuskan? Sebagai satu contoh, Pakatan Rakyat telah mencadangkan bahawa Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang akan menelan belanjaan sebanyak RM800 juta pada tahun 2014 ditangguhkan dan dikaji semula oleh sebuah jawatankuasa khas. Satu contoh lagi ialah Program 1 Susu Malaysia, yang juga dilaporkan sebagai satu program yang gagal. Program ini diberikan peruntukkan sebanyak RM170m tetapi hanya mencapai 40% daripada sasaran oleh kerana susu dihantar lewat dan juga dihentikan apabila 175 kes keracunan berlaku pada tahun 2011 dan 2012.

Satu lagi sebab peningkatan perbelanjaan ialah penubuhan agensi-agensi yang baru seperti Malaysian Global Innnovation and Creativity Center (MAGIC) dan Yayasan Hijau yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam pembentangan bajet 2014. Apa yang saya hendak tambah lagi ialah gaji yang tinggi yang selalu diberikan kepada pejawat tinggi di agensi-agensi khas seperti ini. Mereka bukan pejawat awam tetapi adalah pekerja kontrak. Sebagai contoh, dalam jawapan Menteri kepada saya pada 1 Oktober 2013, saya dimaklumkan bahawa CEO Agensi Inovasi Malaysia (AIM) dibayar gaji, elaun dan bonus sebanyak RM830,5000 setiap tahun, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberikan gaji, elaun dan bonus berjumlah RM622,000 dan gaji dan elaun CEO Talentcorp diberikan gaji dan elaun RM420,000. Gaji tahunan CEO-CEO ini jauh lebih daripada gaji Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Ini adalah sebab penting kenapa Jabatan Perdana Menteri menelan perbelanjaan yang cukup tinggi, yang naik 13% daripada RM14.6 bilion pada tahun 2012 kepada RM16.5 bilion pada tahun 2013.

Saya minta penjelasan daripada Menteri mengenai langkah-langkah yang dikenal pasti oleh Jawatankuasa Dasar Fiskal ataupun Fiscal Policy Committee yang dipengerusi oleh Yang Berhormat Perdana Menteri. Adakah Jawatankuasa ini melakukan apa-apa kajian untuk mengurangkan ataupun menghapuskan program dan dasar kerajaan yang menelan belanjaan yang tinggi tetapi tidak berkesan. Adakah prosedur ‘Outcome-Based Budgeting’ yang sedang diamalkan oleh kerajaan ini mengambil kira pencarian Laporan Ketua Audit Negara yang tahun demi tahun mengemukakan ketirisan yang begitu banyak?

Apa yang ‘menyelamatkan’ kerajaan ialah pengutipan hasil yang lebih daripada anggaran. Sebuah kerajaan yang bertanggungjawab akan menyalurkan sebahagian daripada pengutipan hasil tambahan ini untuk mengurangkan defisit. Tetapi malangnya, kerajaan Barisan Nasional mengambil keputusan untuk membelanjakan hasil tambahan ini. Saya rujuk kepada laporan ‘pre-budget’ yang dikeluarkan oleh Malaysian Rating Corporation (MARC), dengan izin:

“As we have emphasised previously, the government tends to underestimate its revenue in their annual projections. This can be seen from statistics in the past ten years (excluding the recessionary year of 2009) where the government collected RM91.5 billion more revenue than projected. Such a huge amount can be channelled to reduce the deficits if proper mechanisms exist. The Fiscal Policy Committee which was recently established may outline a specific percentage of additional revenue that needs to be put aside to be used for deficit reduction in the future. This will lessen the tendency to spend the additional revenue unless the situation clearly warrants it, for example, during periods of extremely weak economic growth or recession.”

Cadangan MARC untuk menyalurkan sebahagian daripada hasil kutipan tambahan untuk mengurangkan defisit itu adalah cadangan yang baik. Tetapi dalam ucapan Menteri Kewangan, tidak disebutkan langsung apa-apa keputusan daripada Jawatankuasa Dasar Fiskal. Saya minta Menteri memberi penjelasan.

3) Kedudukan Kewangan Perusahaan Awam Buka Kewangan (PABK) ataupun Non-Financial Public Enterprises (NFPEs)

Isu yang ketiga yang saya akan bangkitkan ialah tentang kedudukan kewangan Perusahaan Awam Buka Kewangan (PABK) ataupun Non-Financial Public Enterprises (NFPEs). Saya memberi fokus kepada isu ini kerana ia tidak dibangkitkan langsung dalam surat khabar sungguhpun ini merupakan isu yang penting dan yang akan memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan kerajaan.

Untuk maklumat dewan yang mulia ini, NFPEs merujuk kepada tiga puluh “syarikat yang dimiliki dan/atau dikuasai oleh Kerajaan dan agensi di bawah badan berkanun.” Ini termasuk syarikat seperti Petronas, Tenaga, Telekom, Axiata, Malaysia Airlines, UEM Group serta syarikat baru seperti 1MDB, dan MRT Co.

Syarikat-syarikat ini menyumbang secara langsung kepada hasil kerajaan dengan membayar cukai korporat (dan cukai petroleum untuk Petronas) serta dividen.

Jikalau kedudukan kewangan syarikat ini bertambah buruk, ini akan menurunkan hasil cukai kepada kerajaan dan seterusnya menjejaskan kedudukan fiskal kerajaan.

Pada masa yang sama, syarikat-syarikat ini (ataupun Special Purpose Vehicle yang berkait dengan syarikat-syarikat ini) juga mengeluarkan bon untuk membiayai perbelanjaan pembangunan ataupun ‘development expenditure’. Sebagai contoh, Dana Infra adalah SPV yang mengeluarkan bon untuk membiayai kos perbelanjaan MRT Co. Kesemua bon ini diberi jaminan kerajaan secara eksplisit ataupun implisit. Macam bon yang dikeluarkan oleh Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang dikeluarkan untuk projek PKJZ akhirnya pun dibiayai oleh kerajaan.

Untuk maklumat dewan yang mulia ini, kedudukan kewangan NFPEs ini menurun dengan begitu besar daripada defisit sebanyak RM15.6 bilion pada tahun 2012 kepada RM93 bilion pada tahun 2013. Ini merupakan penambahan defisit 6 kali ganda.

Sebagai bandingan, kedudukan kewangan NFPEs ini adalah positif pada tahun 2010 dan 2011 iaitu sebanyak RM16.2 bilion dan RM3.3 bilion.

Sebab kerana kedudukan kewangan NFPEs ini menjadi negatif adalah kerana penambahan perbelanjaan pembangunan (development expenditure) daripada RM49b pada tahun 2011 kepada RM84b pada tahun 2012 dan bertambah kepada RM126b pada tahun 2013. Peranan NFPEs bertambah penting kerana perbelanjaan pembangunan syarikat-syarikat ini adalah 3 kali ganda perbelanjaan pembangunan kerajaan.

Ini tidak akan menjadi masalah jikalau projek-projek ini boleh menghasilkan keuntungan selepas dihabiskan. Tetapi kemungkinan besar bahawa banyak projek ini tidak boleh menjanakan pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos operasi. Seperti satu contoh, PRASARANA yang menguruskan LRT serta sistem bas RAPID di KL, Pulau Pinang dan Kuantan masih mengalami kerugian. Ada juga kemungkinan setengah-setengah projek in akan menjadi projek gajah putih ataupun projek “White Elephant”. Satu contoh ialah projek Tun Razak Exchange (TRX) yang diberikan kepada 1MDB.

Apabila projek-projek seperti ini menghadapi masalah kewangan, kerajaan tidak ada pilihan lain selagi untuk menanggung kos ‘bail-out’ syarikat-syarikat ini. Projek PKFZ adalah contoh yang paling baik. Tetapi juga ada contoh yang lain seperti Syabas, UEM, MAS dan sebagainya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah statistik dan maklumat yang berkaitan dengan perbelanjaan pembangunan dan kedudukan kewangan beberapa PABK tidak diumumkan. Dalam kertas kerja yang dibentangkan di 2012 forum MyStats, Ketua Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Illias menekankan sifat ‘kotak hitam’ perbelanjaan pembangunan NFPEs dan GLC, dengan izin:

“Despite the significance of NFPEs and GLCs/GLICs in the Malaysian economy, end-users in the private sector has somewhat limited access to their capital expenditure data, other than the information available from major entities like PETRONAS and the large public-listed NFPEs/GLCs (e.g. Telekom Malaysia, Tenaga, Malaysia Airlines) that are used as proxies to impute public sector investment, in addition to the Federal Government’s development spending.”

Salah satu kesan daripada perbelanjaan oleh NFPEs ini ialah peningkatan ‘contingent liability’ yang sekarang telah berjumlah sebanyak RM150 bilion ataupun 15% daripada KDNK ataupun GDP negara ini.

Kerajaan tidak boleh lagi mengabaikan impak kedudukan defisit NFPE. Apa yang diperlukan sekarang ialah untuk pendedahan akaun sepenuhnya semua NFPE yang tidak disenaraikan secara terbuka termasuk Petronas, 1MDB, Prasarana dan MRT Co supaya ada ketelusan sepenuhnya dari segi perbelanjaan pembangunan syarikat-syarikat ini. Apa yang diperlukan sekarang ialah untuk penilaian penuh kepada keupayaan kerajaan untuk menyerap kerugian yang mungkin timbul akibat daripada pendedahan mereka kepada NFPE, mungkin dalam bentuk “Stress Test” yang telah dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan seperti IMF untuk sistem perbankan di negara ini . Tanpa tindakan konkrit diambil, pertumbuhan berterusan kedudukan defisit bagi NFPE adalah “time bonb” yang boleh meletup bila-bila masa dengan kesan-kesan buruk terhadap kedudukan fiskal kerajaan dan ekonomi negara.