Terima kasih atas kesudian menjemput saya menghadiri malam kebudayaan yang diadakan di UTM malam ini.
Saya ingin mengemukakan tiga perkara penting tentang budaya.
Pertama, budaya adalah sungai yang mengalir dan laut yang berombak, dan ia bukannya sebuah kubu yang kaku.
Ada yang menganggap budaya adalah kubu yang perlu dipertahankan. Andaian ini melihat budaya sebagai sesuatu yang statik dan tidak akan berubah. Warisan budaya dianggap seperti artifak muzium. Dengan itu, mereka hanya mahu mempertahankannya sebagai artifak yang dianggap sebagai budaya.
Kita sedang berada pada era di mana ada seruan agar tembok didirikan, termasuk membina tembok budaya. Kerana itulah, melihat budaya sebagai air, sungai, dan laut, dan bukannya kubu, adalah sangat penting.
Sebenarnya budaya tidak beku dan sentiasa mengalir, ia berombak dan berubah-ubah perjalanannya, ada kalanya dengan unsur-unsur baharu, tanpa penghujung.
Contohnya, ada kalangan rakyat Malaysia yang menganggap tarian singa merupakan identiti penting budaya kaum Cina yang berasal dari China sejak beribu-ribu tahun dahulu. Golongan ini terkejut apabila diberitahu bahawa di negara China, tarian singa tidak begitu popular dalam sambutan perayaan mereka. Malah, tarian singa menjadi sangat penting dalam budaya masyarakat Cina di Malaysia bermula pada dekad 1980-an sahaja, itupun kerana ada kaitan sejarah politik khusus.
Ada pula yang menyangka Gendang 24 Perayaan berasal dari China, sedangkan ia adalah ciptaan kreatif seorang aktivis budaya Johor Bahru, walaupun Malaysia bukan sebuah negara empat musim.
Kita perlu memahami bahawa tradisi adalah sesuatu yang dicipta, diterima, dan kemudian menjadi popular. Malah, kebanyakan tradisi kita merupakan ciptaan yang baharu, ada yang terhasil sedekad yang lalu, ada yang beberapa dekad yang lalu. Budaya sentiasa hidup, dan dipenuhi dengan adaptasi dan inovasi.
Kedua, di antara kulit dan isi.
Saya gembira berada di dalam suasana universiti, dan saya harap semua mahasiswa dapat berkongsi kegembiraan saya ini. Namun, minat itu tidak boleh sekadar rupa luaran atau kulit sahaja tetapi perlu mempunyai isi atau intipati dalam pemahaman budaya dan pengisiannya.
Masalah kita di Malaysia adalah sikap suka memberi lebih tumpuan kepada kulit berbanding isi.
Saya berharap generasi mahasiswa universiti hari ini akan memberi fokus kepada pengisian untuk memahami dengan lebih mendalam tentang sejarah, konteks, dan idea.
Hanya apabila kita memahami asal-usul sesuatu yang lengkap dengan sejarah, konteks, dan ideanya, barulah kita dapat berdiri gagah untuk melakukan inovasi serta melaksanakan sesuatu yang baharu. Sebuah negara yang terbilang akan sentiasa memperbaharui falsafah keberadaannya.
Ketiga, Malaysia sebagai satu fenomena global yang unik.
Sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, saya sering bertemu dengan ramai pelabur asing dan pemikir antarabangsa. Mereka memberitahu saya bahawa Malaysia merupakan satu fenomena global yang unik.
Dalam kalangan kita, ramai yang berakar budayanya. Seseorang warga Malaysia tidak melihat dirinya sebagai insan ekonomi semata-mata. Kita sayang kepada budaya masing-masing, dan kita tetap dapat hidup bersama.
Setiap rakyat Malaysia merupakan cerminan kewujudan kepelbagaian budaya. Kita bertutur dalam pelbagai bahasa, dan kita selesa menjamu selera serta tinggal bersama dalam ruang pelbagai kaum dan budaya.
Perbezaan budaya dalam masyarakat adalah kekuatan kita, walau kadang-kadang ia menjadi punca ketegangan, kepelbagaian membawa lebih banyak kebaikan daripada kemudaratan.
Apabila kita berbual dengan orang Arab, mereka mengatakan Malaysia merupakan syurga makanan halal dan mudah untuk beribadat di mana-mana sahaja. Orang dari China dan Asia Timur pula turut merasa selesa dengan kemudahan makanan dan budaya di Malaysia. Orang dari India dan Asia Selatan juga gembira menikmati juadah dan meraikan budaya yang banyak persamaan dengan apa yang ada di negara mereka.
Dalam dunia yang semakin kompleks dan hilang rasa belas kasihan ini, Malaysia adalah unik kerana budaya tidak dilihat sebagai beban, sebaliknya ia menambah rasa saling hormat-menghormati antara satu sama lain yang membentuk satu budaya yang dikongsi bersama.
Malaysia adalah medan di mana budaya bertembung seperti sungai mengalir dan laut berombak, membentuk suasana alam harmoni untuk dinikmati bersama.