Skip to content

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow semasa membentangkan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeir Pulau Pinang (Pindaan) 2018

UCAPAN PEMBENTANGAN RANG UNDANG-UNDANG PERLEMBAGAAN NEGERI PULAU PINANG (PINDAAN) 2018

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua

Ahli-ahli Yang Berhormat

Semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-14, Pakatan Harapan telah menyatakan hasrat untuk membawa pembaharuan dan reformasi dalam sistem politik di negara ini. Hasrat ini perlu kita realisasikan setelah kita mendapat mandat rakyat yang telah memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan. Salah satu langkah ke arah mencapai hasrat ini adalah janji kita untuk mengehadkan tempoh lantikan atau tempoh memegang jawatan-jawatan tertinggi di peringkat Persekutuan dan juga Negeri seperti jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri. Perkara ini telah dinyatakan di dalam Janji 12 Manifesto Pakatan Harapan di peringkat kebangsaan iaitu “Mengehadkan Tempoh Perkhidmatan Perdana Menteri dan Menstrukturkan Semula Jabatan Perdana Menteri”. Janji ke-12 ini turut menggariskan bahawa jawatan Ketua Menteri dan Menteri Besar juga akan dihadkan kepada tempoh dua (2) penggal sahaja demi menerapkan amalan tadbir urus yang baik lagi telus.

Hasrat mengehadkan tempoh lantikan ini kepada dua (2) penggal bukan sahaja dapat meningkatkan keberkesanan ‘check and balance’ malah cadangan ini dapat juga mencegah penyalahgunaan kuasa serta menginstitusikan satu mekanisme di dalam sistem pentadbiran dan perundangan yang mewajibkan pembaharuan pimpinan kerajaan (leadership renewal).

Justeru, barisan kepimpinan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang telah memasukkan isu mengehadkan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua penggal dalam manifesto bagi Negeri Pulau Pinang. Tindakan Kerajaan Negeri adalah selaras dengan manifesto Pakatan Harapan Kebangsaan. Baru-baru ini juga, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengutarakan perkara ini di Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat sebagai satu langkah yang perlu disegerakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan dalam melaksanakan reformasi sistem politik. Seiring dengan hala tuju kerajaan pusat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut memberi keutamaan terhadap hasrat untuk memperbaharui sistem politik bagi memenuhi janji-janji manifesto semasa pilihan raya. Sekali lagi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan melakar sejarah dengan menjadi negeri yang pertama di Malaysia yang akan melaksanakan pengehadan tempoh lantikan Ketua Menteri kepada dua (2) penggal dan membawa pendekatan politik yang progresif ini. Penang Leads once again.

Bagi membolehkan cadangan ini dilaksanakan di Pulau Pinang, maka pindaan kepada Perlembagaan Negeri perlu dilaksanakan. Pelantikan Ketua Menteri jelas dinyatakan di bawah Perkara 7, Fasal 2(a) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang iaitu:

“7., (2) Majlis Mesyuarat Kerajaan hendaklah dilantik seperti yang berikut, iaitu –

(a) Yang di-Pertua Negeri hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Ketua Menteri untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan seorang ahli Dewan Undangan yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan itu; …”

Sehubungan dengan itu, cadangan untuk meminda Perlembagaan Negeri Pulau Pinang telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara melalui Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Pulau Pinang pada 11 Jun 2018. Cadangan pindaan kepada Perlembagaan Negeri Pulau Pinang ini juga telah dibincangkan di dalam beberapa siri mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan pada bulan Julai dan Ogos 2018.

Setelah mengambil kira cadangan yang dikemukakan oleh Jabatan Peguam Negara dan bagi membolehkan amalan tadbir urus ini dilaksanakan, maka adalah dicadangkan untuk memasukkan dua (2) kriteria utama dalam pelantikan jawatan Ketua Menteri dengan meminda Perkara 7, Fasal (2) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang dengan menggantikan perenggan (a) seperti berikut :

“(a) Yang di-Pertua Negeri hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Ketua Menteri untuk mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan, seorang ahli Dewan Undangan –

(i) yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Undangan itu; dan

(ii) yang tidak pernah pada bila-bila masa memegang jawatan Ketua Menteri bagi dua penggal; dan”

Fasal (2) Rang Undang-Undang ini bertujuan untuk meminda Perkara 7 Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi memperuntukkan kriteria tambahan berhubung dengan kelayakan seseorang ahli Dewan Undangan untuk dilantik sebagai Ketua Menteri. Melalui pindaan yang dicadangkan ini, seseorang ahli Dewan Undangan tidak boleh dilantik menjadi Ketua Menteri jika ahli berkenaan pernah memegang jawatan Ketua Menteri selama dua penggal Dewan Undangan. Penggal dalam konteks Rang Undang-undang ini bermaksud tempoh yang dinyatakan dalam Perkara 19 Perenggan 3 Perlembagaan Negeri iaitu :-

“Melainkan jika dibubarkan terlebih dahulu, Dewan Undangan hendaklah terus berjalan selama lima (5) tahun dari tarikh persidangan pertamanya dan selepas itu adalah terbubar”.

Adalah dicadangkan tarikh penguatkuasaan adalah mulai Pilihanraya Umum ke-14.

Usaha murni Kerajaan Negeri untuk meminda perlembagaan ini membuktikan bahawa kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Pindaan Perlembagaan Negeri Pulau Pinang bagi tujuan mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua (2) penggal seperti manifesto Pakatan Harapan adalah satu lagi bukti kerajaan Pakatan Harapan menepati segala janji-janjinya. Semoga usaha kerajaan negeri ini akan dijadikan sebagai penanda aras dan memberi manfaat yang besar kepada rakyat khususnya di Pulau Pinang dan di negara Malaysia tercinta ini.

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadang pindaan Rang Undang-undang Perlembagaan Negeri Pulau Pinang (Pindaan) 2018.