Skip to content

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempena Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan negeri Pulau Pinang

Pada hari yang penuh istiadat dan bersejarah ini, saya bagi pihak seluruh warga Negeri Pulau Pinang dengan hati yang tulus ikhlas saya mengucapkan Selamat Hari Jadi yang ke-77 kepada Tuan Yang Terutama Tun. Kami semua senantiasa mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga dikurniakan dan dilimpahi rahmat, kemuliaan serta kesihatan yang baik hendaknya.

Tuan Yang Terutama Tun,

Sempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Tun ini juga, Di Majlis yang mulia pagi ini, saya bersama-sama dengan barisan pemimpin-pemimpin di pelbagai peringkat dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang, dengan ini memperbaharui ikrar taat setia kepada Tuan Yang Terutama Tun, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Perlembagaan Malaysia dan Negeri Pulau Pinang serta Negara Malaysia yang tercinta.

Kita bersyukur kerana dengan berkat naungan Tuan Yang Terutama Tun sebagai lambang perpaduan, rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negeri ini sentiasa hidup bersatu padu dan saling bekerjasama dalam suasana penuh harmoni dan muhibah. Kita juga bersyukur kerana Negeri Pulau Pinang terus menikmati keamanan, kemakmuran dan kemajuan yang pesat walaupun terdapat cabaran yang perlu ditempuhi.

Sesungguhnya, amanah dan harapan rakyat akan terus mendorong kami sebagai anggota pentadbiran dan begitu juga dengan warga perkhidmatan awam untuk melipatgandakan lagi usaha dan komitmen dalam menjayakan pelbagai inisiatif, dasar, dan program pembangunan berdasarkan urustadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) untuk kesejahteraan rakyat.

Tuan Yang Terutama Tun,

Merealisasikan Matlamat Menjadi Negeri Maju, Pintar dan Bertaraf Antarabangsa

Menyentuh aspek ekonomi negeri, pada tahun 2014 Negeri Pulau Pinang menjadi negeri ketiga tertinggi di Malaysia menerima pelaburan luar selepas Johor dan Sarawak. Ini dibuktikan apabila jumlah pelaburan asing yang diluluskan di Pulau Pinang berjumlah RM5.1 bilion manakala jumlah pelaburan tempatan yang diluluskan pula adalah sebanyak RM3.1 bilion yang menjadikan jumlah keseluruhan pelaburan yang diterima di Pulau Pinang sebanyak RM8.2 bilion.

Untuk sektor pelancongan, prestasi yang cemerlang melihatkan peningkatan sebanyak 45% dengan seramai 6,847,569 pelancong (Statistik Penginal Hotel oleh Tourism Malaysia) pada tahun 2014 berbanding dengan 4,702,100 pelancong pada tahun 2013. Pembukaan hotel baru bertaraf 5 bintang yang pertama di Seberang Perai iaitu ‘The Light’ serta acara Karnival Homestay di Padang Awam Kota Aur, Seberang Perai Utara (SPU) membuka peluang pelancongan di luar kawasan pulau. Homestay Lahar Yooi di SPU adalah homestay yang terbaru.

Kerajaan Negeri akan terus berusaha memperkenalkan produk baru, program baru dan pengalaman baru demi mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan terunggul di Malaysia. Di antaranya adalah kemudahan bas Penang Hop On- Hop Off, Pesta Belon Udara Panas, Pertunjukan ‘Transformers’ yang percuma yang masih berjalan di Padang Kota Lama, Konsert Anime Jepun dan Pesta George Town selama sebulan, yang kesemuanya telah menarik ratusan ribu penonton.

Di samping itu, Kerajaan Negeri akan terus mempromosikan Pulau Pinang sebagai satu tapak perfileman dan konvensyen. Penggambaran syarikat perfileman di sini dari India, China, Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Singapura dan Thailand telah disusuli dengan drama terkemuka United Kingdom ‘Indian Summers’. Pembinaan Pusat Konvensyen SPICE (Subterranean Penang International Convention & Exhibition) yang dijangka siap pada tahun 2017 akan membantu sektor ini.

Untuk sektor pembuatan, pertumbuhan pelaburan yang meningkat menyebabkan Pulau Pinang menghadapi masalah kekurangan pekerja dengan kadar pengangguran sebanyak 1.2% iaitu kadar yang paling rendah dalam sejarah Malaysia. Ini berpunca daripada peningkatan pelaburan untuk tempoh 7 tahun di antara tahun 2008-2014 kepada RM48.2 bilion iaitu 93% lebih tinggi daripada tempoh 7 tahun sebelum ini, iaitu 2001-2007 sebanyak RM24.9 bilion.

Kejayaan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan telah membolehkan Pulau Pinang menjadi negeri pembayar cukai yang ketiga terbesar di Malaysia iaitu sebanyak RM6.3 bilion pada tahun 2014, sungguhpun merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia. Lagipun, Pulau Pinang telah mencapai kejayaan yang baik apabila berjaya merapatkan jurang pendapatan yang tidak saksama apabila Gini Coefficient Pulau Pinang menurun sebanyak 12% dalam masa tiga (3) tahun sahaja daripada 0.42 pada tahun 2009 kepada 0.37 pada tahun 2012. Gini Coefficient adalah pengukur pendapatan kurang saksama di mana bilangan yang lebih tinggi bermakna lebih tidak saksama. Gini Coefficient untuk seluruh negara pada tahun 2012 adalah 0.431 berbanding dengan Pulau Pinang sebanyak 0.37.

Pulau Pinang mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 7.4% pada tahun 2014 yang lebih tinggi daripada pertumbuhan ekonomi negara yang mencatat ekonomi sebanyak 6%

Kerajaan Negeri akan menceburi bidang baru dalam sektor perkhidmatan demi mencari punca pertumbuhan ekonomi baru khususnya sektor berpendapatan tinggi seperti Shared Service Outsourcing (SSO) yang berteraskan pengetahuan, kreativiti dan inovasi. Di Pulau Pinang sahaja, pelaburan terkumpul bagi syarikat SSO berstatus MSC antara tahun 2009 hingga 2014 telah mencapai RM 4.073 billion.

Pulau Pinang juga merupakan lokasi kedua selepas Cyberjaya bagi perkhidmatan penyumberan luar. Sebagai contoh, Citigroup mempunyai perkhidmatan pusat Global Citigroup Transaction di Pulau Pinang, hab dunia 24 jam yang mempunyai lebih daripada 1,400 pekerja tempatan yang mengendalikan 32 juta transaksi kredit bernilai USD7.2 trilion setiap tahun.

Tuan Yang Terutama Tun,

Bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menandatangani perjanjian usahasama dengan Sime Darby Bhd iaitu sebuah syarikat GLC untuk membangunkan Ladang Byram/Changkat di Seberang Perai Selatan untuk menjadi Taman Teknologi Tinggi Industri Kecil dan Sederhana yang bernilai hampir RM3.0 bilion.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga baru sahaja menandatangani beberapa perjanjian kerjasama dengan Temasek dan EDIS daripada Singapura bernilai RM1.3 bilion untuk menjalankan projek BPO Prime di Bayan Baru bagi membangunkan sektor perkhidmatan. Semua inisiatif ini merupakan petanda baik untuk perindustrian Pulau Pinang dalam peningkatan bidang teknologi.

Pengurusan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam Yang Efisien

Demi menghadapi salah satu daripada dua cabaran utama Pulau Pinang ialah kesesakan lalulintas, Kerajaan Negeri telahpun mengenalpasti Project Delivery Partner (PDP) bagi pelaksanaan Strategi Pelan Induk Pengangkutan Negeri yang bernilai RM27 bilion. Syarikat SRS Consortium yang terdiri daripada Gamuda Berhad (60%) dan dua (2) buah syarikat tempatan Pulau Pinang telah memenangi Tender Terbuka (open tender) yang telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2014.

PDP akan membantu Kerajaan Negeri merancang, mengamal, membina serta memantau setiap projek yang dicadangkan mengikut kos dan masa yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. PDP bertanggungjawab menentukan jajaran sistem pengangkutan awam. Ia merupakan pendekatan ‘big-bang’ yang merangkumi “lima (5) dalam satu (1)” yakni bas, teksi, LRT/Monorail, Kereta Kabel dan Feri.

PDP juga dipertugaskan mendapat kelulusan lesen pengangkutan awam daripada Kerajaan Persekutuan dan terpaksa menanggung kosnya sekiranya gagal. Hanya selepas lesen diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, maka tender untuk kontrak kerja pembinaan akan dipanggil.

Tuan Yang Terutama Tun,

Meningkatkan Penawaran Perumahan Bagi Memenuhi Permintaan Rakyat

Cabaran kedua Pulau Pinang iaitu menyediakan perumahan mampu milik yang mencukupi kini menghadapi rintangan atas keengganan Kementerian Perumahan meluluskan Advertising Permit & Developer Licence (APDL) kepada pemaju perumahan di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri akan menyusuli perkara ini dengan Kementerian Perumahan mengapa APDL tidak dikeluarkan kepada pemaju di sini dan hanya Pulau Pinang terus didiskriminasikan dalam Malaysia. Projek perumahan mampu milik fasa pertama di Bandar Cassia, Seberang Perai Selatan yang mengandungi 520 unit kini sedang di peringkat pembinaan dan dijangka siap pada 2017 dengan harga RM72,500 hingga RM220,000 seunit.

Kerajaan Negeri bercadang membina 22,515 unit rumah awam yang kurang daripada RM72,500 dan rumah mampu milik yang berharga kurang daripada RM400,000 dalam masa 5 tahun ini. Dengan sumbangan lebih 20,000 unit rumah awam dan mampu milik ini daripada pihak swasta yang akan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 45,000 unit, masalah perumahan dipercayai dapat diatasi.

Tuan Yang Terutama Tun,

Pembangunan Wanita

20. Kerajaan Negeri baru-baru ini telah melancarkan sebuah program baru, Program TAMPIL iaitu Program Pemberdayaan Kepimpinan Wanita dengan kerjasama dengan Pusat-Pusat Khidmat ADUN, Penyelaras KADUN dan JKKK setempat. Sehingga kini, sebanyak lima (5) buah Program TAMPIL telah diadakan, iaitu di Permatang Pasir, Seberang Jaya, Penanti, Permatang Berangan dan Teluk Bahang dengan jumlah keseluruhan penyertaan sebanyak 297 orang peserta wanita.

Program TAMPIL ini diwujudkan dengan tujuan untuk mendedahkan golongan wanita terhadap hak masing-masing dalam usaha memartabatkan Gender Responsive Budget (GRB) dan membentuk keyakinan wanita terhadap diri sendiri untuk bersuara.

Krisis Ekonomi

Kerajaan Negeri memahami rakyat kini menghadapi krisis ekonomi akibat pelaksanaan Goods & Services Tax (GST) yang bermula pada 1 April 2015 dan nilai mata wang ringgit yang jatuh menjunam sehingga RM4.30 berbanding 1USD. Bukan sahaja perniagaan secara amnya telahpun susut, rakyat juga susah kerana tidak cukup duit untuk berbelanja.

Demi meringankan beban rakyat, Kerajaan Negeri telah mengarahkan kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menanggung bayaran GST untuk perkhidmatan mereka. Agak sukar diterima bahawa badan-badan Kerajaan Negeri terpaksa juga membayar atau mengenakan bayaran GST baik untuk projek infrastruktur ataupun untuk perkhidmatan kepada rakyat seperti bayaran letak kereta dan sewa penjaja.

Kerajaan Negeri telah meminta Kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan pelaksanaan GST ke atas Kerajaan Negeri kerana projek awam seperti jalan, longkang, Balai Rakyat, pasar dan kompleks penjaja bukanlah untuk mencari keuntungan sebaliknya adalah untuk kegunaan awam. MBPP dan MPSP akan menanggung RM21.5 juta setiap tahun untuk meringankan rakyat daripada dikenakan GST.

Susut nilai matawang ringgit secara mendadak telah membawa parah kepada ekonomi Malaysia. Pulau Pinang juga tidak terkecuali. Sebenarnya tahun ini sepatutnya menjadi tahun kebanggaan Pulau Pinang dengan mencapai status ekonomi berpendapatan tinggi. Malangnya susutnya nilai matawang ringgit hampir 30% dalam tempoh setahun telah menyebabkan sasaran ini dilambatkan sekurang-kurangnya 5 tahun ke 2020.

Mengikut Laporan World Economic Forum Human Capital Report, ekonomi berpendapatan tinggi ditakrifkan sebagai per kapita GDP sebanyak USD12,467. Pada awal tahun 2014 dengan tukaran matawang asing RM3.27 untuk setiap 1USD, per kapita GDP USD12,467 adalah sebanyak RM40,841. Pulau Pinang dijangka mencatat per kapita GDP sebanyak RM42,251 pada tahun 2015 iaitu melebihi tahap ekonomi berpendapatan tinggi pada RM40,841.

Malangnya dengan penurunan nilai matawang ringgit sebanyak 30% sasaran USD12,457 telah menjadi RM52,000 dan bukan lagi RM40,841. Oleh itu Pulau Pinang telah terlepas peluang dan terpaksa menunggu 5 tahun lagi sebelum mencecah per kapita GDP RM52,000, semata-mata kerana penurunan nilai matawang ringgit. Inilah kerugian yang dirasai secara amnya oleh rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri akan terus berpegang kepada prinsip bahawa sebuah kerajaan bersih akan menjalankan tata kelola dan urustadbir yang lebih baik daripada sebuah kerajaan yang rasuah. Ini boleh dilihat melalui prestasi Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 yang mana telah mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun, penurunan hutang negeri sebanyak 90% dan pertambahan nilai rizab aset sebanyak 50%.

Dalam tempoh 6 tahun di antara 2008-2013, lebihan Belanjawan secara terkumpul adalah RM453 juta. Ini jauh melebihi lebihan Belanjawan untuk tempoh 50 tahun seterusnya iaitu dari tahun 1957-2007 sebanyak RM373 juta.

Hasil kerajaan bersih inilah yang mendapat pujian bukan sahaja daripada Laporan Ketua Audit Negara tetapi juga Transparency International. Itulah yang dikatakan ‘Bahasa Jiwa Bangsa, Bersih Jiwa Negara’.

Tuan Yang Terutama Tun,

Saya percaya, semua kejayaan dan kegemilangan yang dicapai oleh Negeri Pulau Pinang kini adalah atas berkat kesatuan dalam kepelbagaian kaum, agama dan adat resam rakyat negeri ini. Oleh yang demikian, penerusan agenda bagi membina sebuah negeri yang maju, pintar dan bertaraf antarabangsa akan terus diterapkan dengan mengambilkira kepentingan setiap warga dalam negeri ini. Ini kerana, Kerajaan yang ada pada hari ini didukung oleh rakyat, untuk rakyat dan kerana rakyat.

Akhir kata, bersempena Hari Jadi Rasmi Tuan Yang Terutama Tun, saya mengajak seluruh pemimpin dan rakyat untuk terus bersatu padu, berganding bahu, bermuafakat dan bekerjasama bagi mengekalkan keharmonian, keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi selama ini di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun. Sekali lagi Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih di atas jasa dan bakti pasukan keselamatan, semua anggota pentadbiran Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Penasihat Undang-Undang dan barisan EXCO yang telah dicurahkan dalam memastikan negeri ini terus menikmati kejayaan, keamanan dan kesejahteraan. Kami sekalian memanjatkan doa kepada Yang Maha Esa agar melanjutkan usia dan melimpahkan rahmatNya ke atas Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan serta keluarga.

Sekian, terima kasih.