Kerajaan Negeri melalui PDC, telah memulakan pembangunan koridor / wilayah Selatan Seberang Perai iaitu dari Juru, ke arah Selatan ke Byram / Changkat yang merangkumi kawasan di Bukit Minyak, Nibong Tebal dan Batu Kawan, termasuk Taman Perindustrian Batu Kawan, Penang Science Park dan Taman Perindustrian Bukit Tengah. Pemangkin koridor pembangunan ini ialah Jambatan Kedua Pulau Pinang Sultan Abdul Halim Shah dengan kos binaan RM4.5 bilion yang menyambungkan Selatan Pulau dengan kawasan Selatan Seberang Perai.
Konsep pembangunan koridor ini juga selaras dengan Pelan Strategik 5-tahun PDC untuk tahun 2016-2020, di mana PDC akan melihat kepada pembinaan koridor baru yang menarik bagi pertumbuhan di seluruh Negeri Pulau Pinang. Strategi-strategi ini termasuk rancangan pengambilan tanah, membangunkan pelan induk untuk infrastruktur dan program nilai tambah dalam koridor yang disasarkan, menyusun data dan membangunkan keupayaan yang lebih kukuh untuk menyokong dalam membuat keputusan.
Keseluruhan kawasan yang terlibat dalam pembangunan koridor di Seberang Perai Selatan, kira-kira 30,000 ekar (120 km persegi) dan disempadani oleh Sungai Juru (di Utara) dan Sg Krian (di Selatan) ke Timur Lebuhraya Persekutuan.
Pembangunan koridor mempunyai potensi untuk dibangunkan untuk bidang pembuatan, perkhidmatan dan hab komersial/kediaman yang akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan sosial.
Apabila Kerajaan Negeri menjalankan program ini, ia juga merupakan komitmen dan usaha untuk mengekalkan ekosistem, habitat semula jadi mercu tanda bersejarah dan kampung tradisional sebagai kampung warisan bagi pelancongan dan “homestay”.
Seluruh program pembangunan koridor ini akan mengambil masa selama 20 -25 tahun. Konsep pembangunan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan bagi semua lapisan masyarakat dan akan mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan penduduk.
Dengan pembangunan koridor ini, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan kepada infrastruktur dari segi perhubungan (connectivity), pelan induk pengangkutan yang termasuk MRT / LRT yang akan disediakan untuk kawasan itu. Kualiti kemudahan, perkhidmatan dan infrastruktur pasti akan menjadi satu nilai tambah kepada kawasan pembangunan koridor ini.
Untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas orang ramai, PDC akan menjalankan undian secara online daripada orang awam dalam tempoh 6 bulan untuk memilih nama yang sesuai untuk pembangunan koridor. Sebagai contoh nama-nama yang dicadangkan ialah Pulau Pinang Mutiara, Pulau Pinang Jaya, Pulau Pinang Raya, Pulau Pinang Maju, Pulau Pinang Putra dan Mutiara Seberang.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk memberi cadangan nama lain yang sesuai. Undian dalam talian ini boleh didapati dalam Laman Web PDC dan Kerajaan Negeri.
Sekian, terima kasih.