Skip to content

Ucapan Ketua Pembangkang dalam perbahasan Belanjawan 2015 Negeri Sembilan Darul Khusus

Belanjawan “surplus” hasil daripada “creative accounting”

1. Saya bangun untuk membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (2015) 2014 dan Usul Anggaran Pembangunan Negeri Sembilan Tahun 2015 yang telah dibentangkan oleh YAB Menteri Besar pada hari Jumaat yang lepas. YAB Menteri Besar telah mengatakan bahawa Belanjawan tahun ini merupakan satu Belanjawan lebihan atau “surplus” memandangkan jumlah kutipan hasil yang dijangkakan ialah RM367.309 juta manakala jumlah perbelanjaan yang dianggarkan ialah RM364.931 juta yang terdiri daripada 2 komponen iaitu sebanyak RM19.918 juta untuk maksud Tanggungan dan RM345.013 juta bagi maksud Bekalan.

2. Yang pertamanya, saya mempertikaikan bahawa ini merupakan satu Belanjawan “surplus”. Lebihan RM2.378 juta tersebut hanyalah satu angka hasil daripada “creative accounting” yang dipinda oleh pihak Kerajaan Negeri semasa pembentangan pada hari Jumaat lepas untuk menutup kesilapan dari segi penjumlahan angka-angka yang memalukan sehingga 6 mukasurat dalam Buku Belanjawan 2015 yang telah dicetak perlu ditampal “cut and paste” dengan angka-angka yang baru.

3. Ini adalah amat jelas daripada Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan (2015) 2014 yang telah diwartakan pada 12hb November 2014 yang berjumlah RM347.391 juta. Maksud Bekalan ini ditambah dengan maksud Tanggungan sebanyak RM19.918 juta maka jumlah Belanjawan 2015 adalah RM367.309 juta iaitu seimbang dengan jumlah Anggaran Hasil untuk 2015! Kerajaan Negeri pada asalnya bercadang untuk membentangkan Belanjawan berimbang dan bukannya Belanjawan lebihan.

4. Namun, sekiranya kita menganalisa angka-angka tersebut dengan lebih teliti, sebenarnya Belanjawan pada tahun depan masih mengalami defisit dengan ditampung dengan pinjaman seperti yang tertera dalam Kertas Dewan Bil.9 Tahun 2014.

5. Dengan tidak mengambil kira B18 Caruman kepada Kumpulan Wang Berkanun yang dipinda iaitu sebanyak RM80.656 juta, jumlah perbelanjaan mengurus ialah RM284.275 juta. Apabila angka ini ditambah dengan anggaran perbelanjaan pembangunan sebanyak RM101.407 juta, maka jumlah perbelanjaan mengurus dan pembangunan ialah sebanyak RM385.682 juta iaitu melebihi jumlah hasil yang dianggarkan dan kekurangan sebanyak RM18.373 juta.

6. Untuk sumber peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan, saya ingin memetik dari teks ucapan YAB Menteri Besar seperti berikut:


“Sumber peruntukan bagi tujuan perbelanjaan pembangunan tahun depan akan diperolehi daripada caruman Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM63.573 juta, Caruman Tahap Pembangunan Ekonomi Kerajaan Persekutuan sebanyak RM18.496 juta, terimaan daripada Sewa Rumah Awam Harga Rendah berjumlah RM2 juta dan Pemindahan daripada Akaun Pinjaman Disatukan sebanyak RM17.338 juta.”

7. Jumlah daripada 2 caruman tersebut sepatutnya ialah RM82.069 juta. Namun, jumlah peruntukan untuk Maksud B.18 Caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan dan Berkanun seperti dalam Kertas Dewan Bil. 8/2014 (Pindaan) hanyalah RM80.656 juta. Saya nak tanya sama ada ucapan yang telah dibentangkan berkenaan sumber untuk perbelanjaan pembangunan telah mengambil kira pindaan yang telah dibuat kerana apa yang boleh dilihat dari dokumen-dokumen di depan kita ialah seolah-olah tidak berimbang.

Sistem federalisme yang tidak seimbang

8. Negara kita mengamalkan sistem pemerintahan federalisme di mana ada pengagihan kuasa di antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan-kerajaan negeri. Namun, realiti sistem federalisme di Malaysia ialah pemusatan kuasa terlalu bertumpu di pihak Kerajaan Persekutuan sehingga kerajaan-kerajaan negeri dalam Persekutuan Malaysia mempunyai kuasa dan sumber kewangan yang cukup terhad untuk menerajui hala tuju pembangunan negeri masing-masing.

9. Ini kerana sebahagian besar kuasa pencukaian terletak di tangan Kerajaan Persekutuan. Misalnya, cukai GST yang akan dilaksanakan pada tahun depan tidak memberikan sebarang hasil secara langsung kepada Kerajaan Negeri. Ini membantutkan proses pembangunan kerana ketidakseimbangan dari segi sumber hasil.

10. “With due respect” YAB Menteri Besar, peruntukan pembangunan negeri yang dianggarkan sebanyak RM101 juta “is peanuts compared to any Federal Ministries”. Saya menggunakan satu contoh projek pembangunan di Jelebu yang dilaksanakan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah yang ditegur oleh Ahli Parlimen Jelebu dari Barisan Nasional sendiri di Parlimen dalam sesi Bajet baru-baru ini. Saya memetik Hansard Parlimen bertarikh 28 Oktober 2014 yang berbunyi;


“di kawasan saya di Parlimen Jelebu ada projek membina jalan baru dari Kampung Chennah ke Kampung Esok fasa satu dan fasa dua. Fasa satu sudah disempurnakan iaitu dengan nilai lebih daripada RM42 juta. Jalan itu hanyalah sepanjang 4.4 kilometer. Jadi satu kilometer bernilai berharga atau kos RM9.5 juta. Ini sudah disempurnakan pada tahun 2010, 2012.


Kemudian itu dilanjutkan lagi jalan, fasa kedua dengan belanja yang besar juga iaitu baru sahaja di masuk atau diaward iaitu berjumlah RM60.4 juta sepanjang 5.7 kilometer. Jadi, RM10 juta satu kilometer. Apa yang saya hendak sampaikan di sini ialah soal keperluan kepada jalan yang lima bintang ini untuk di situ tidak ada. Jadi, saya sudah kemukakan supaya kerajaan, kementerian berkenaan mengkaji semula keperluan ini sebab projek ini tidak dirunding, yang diperlukan di kawasan Jelebu di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ini ialah Orang Asli perlukan pertambahan rumah yang lebih banyak bagi keluarga-keluarga baru. Orang kampung memerlukan pembaikan rumah dan sebagainya. Kalau RM60 juta RM100 juta jalan lebih kurang 10 kilometer ini impak dan keperluan itu tidak ada”

11. Bayangkan, bajet untuk satu projek jalan di Kampung Orang Asli yang dilaksanakan oleh Kementerian Luar Bandar dan Wilayah melebihi keseluruhan peruntukan untuk pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2015. Tetapi apakah RM100 juta itu yang dibelanjakan di jalan tersebut berbaloi dan memberikan pulangan ekonomi yang setimpal? Yang benar-benar mendapat tempias daripada projek tersebut bukannya masyarakat Orang Asli di sana tetapi kontraktor yang mendapat projek tersebut yang sudah tentunya mengaut keuntungan berpuluh juta ringgit!

12. Mereka yang duduk di Putrajaya tidak memahami prioriti kami di peringkat negeri. Sudah tiba masanya kita bersama-sama menuntut “decentralization” daripada Putrajaya kepada kerajaan-kerajaan negeri. Saya menyeru pihak Kerajaan Negeri supaya berunding dengan Kerajaan Persekutuan supaya sumber-sumber peruntukan pembangunan yang lebih banyak dapat disalurkan kepada Kerajaan Negeri dan memberikan kuasa kepada Kerajaan Negeri untuk menentukan prioriti projek pembangunan yang perlu dilaksanakan.

Kawasan balak seluas 809 hektar dianugerahkan kepada syarikat “dormant”

13. Mengikut jawapan bertulis yang saya terima dalam Persidangan April tahun ini, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan lesen pembalakan kepada 10 buah syarikat untuk tahun 2013 dengan keluasan kawasan pembalakan yang dibenarkan sebanyak 1,661.79 hektar. Jumlah hasil daripada pembalakan untuk tahun 2013 ialah sebanyak RM11,032,659.49. Saya ingin bertanya kepada Kerajaan Negeri, berapakah anggaran hasil daripada pembalakan untuk tahun 2015? Mengapakah Kerajaan Negeri tidak melaksanakan sistem tender terbuka untuk kawasan-kawasan pembalakan di Negeri Sembilan untuk meningkatkan hasil premium dan royalti dari aktiviti pembalakan?

14. Daripada 10 syarikat yang diberikan lesen balak pada tahun 2013, saya nak tanya apakah keistimewaan sebuah syarikat yang bernama Langkah Hormat Sdn Bhd? Syarikat ini diberikan 2 lesen. Satu lesen untuk “sebahagian kompartmen 15,16,17,81 dan 80 (Blok A) Hutan Simpang Triang, Jelebu seluas 404.69 hektar. Satu lagi lesen untuk “sebahagian kompartmen 15,16,17,81 dan 80 (Blok B) Hutan Simpan Triang, Jelebu yang juga seluas 404.69 hektar. Ini bermaksud syarikat Langkah Hormat Sdn Bhd ini mendapat lebih 800 hektar tanah pembalakan yang merangkumi 50% jumlah kawasan pembalakan yang dibenarkan di seluruh Negeri Sembilan.

15. Saya telah membuat semakan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mendapati bahawa syarikat ini dengan nombor syarikat 983808-A hanya ditubuhkan pada 23 Mac 2012 dan beralamat di Melaka. Jenis perniagaan yang dilaporkan dalam maklumat syarikat ialah “DORMANT”! Paid-up capital hanya RM10,000 dan tiada langsung penyata kewangan yang dilaporkan.

16. Saya menuntut penjelasan daripada YAB Menteri Besar mengapakah sebuah syarikat yang lansung tidak ada apa-apa “track record” boleh dianugerahkan kawasan pembalakan sebanyak 809.38 hektar?

Projek pembangunan di kawasan DUN Chennah

17. Kawasan DUN Chennah yang merupakan kawasan DUN yang paling besar di Negeri Sembilan dari segi keluasan kawasan dan Daerah Jelebu secara amnya mempunyai potensi yang baik untuk dibangunkan sebagai sebuah destinasi “eco-tourism” dan “rural tourism” dengan keindahan alam semula jadi seperti air terjun Lata Kijang yang ketinggiannya mencecah 80 meter dan Gunung Besar Hantu adalah antara tarikan yang boleh menarik ramai pelancong.

18. Untuk makluman, Pekan Titi sudah pun menarik ramai pengunjung dari luar khususnya dari Kuala Lumpur pada hujung minggu. Ada yang datang dengan basikal melalui Hulu Langat, ada yang menunggang super-bikes dan ada juga bas-bas persiaran yang datang khas untuk menikmati kebudayaan setempat.

19. Pusat Khidmat saya telah berusaha untuk mencetak satu peta pelancongan untuk mempromosikan kebudayaan setempat seperti makanan Hakka, kuih-muih dan tempat-tempat yang bersejarah.

20. Justeru itu, seiring dengan strategi mempertingkatkan kemudahcapaian kepada prasarana dan kemudahan awam, saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya meletakkan projek naiktaraf Jalan Hulu Langat-Titi-Kuala Klawang sebagai satu projek prioriti untuk Rancangan Malaysia ke-11. Dengan adanya jaringan jalanraya yang lebih baik di antara Lembah Klang dengan Daerah Jelebu, sudah tentu ia bukan sahaja memberikan kemudahan kepada penduduk-penduduk Jelebu tetapi juga boleh merancakkan pembangunan di kawasan luar Bandar di daerah tersebut terutamanya dalam sektor pelancongan.

21. Yang kedua, saya juga menyeru Jabatan Pengairan dan Saliran dan Majlis Daerah Jelebu untuk melaksanakan projek tebatan banjir dan menaik taraf longkang khususnya di Pekan Titi, Kampung Hosapa dan Ladang Jelebu yang masih dilanda banjir kilat dari masa ke semasa. Pada 27 Oktober yang lalu, banjir kilat yang amat teruk telah melanda kawasan-kawasan yang saya nyatakan tadi. Antara faktor penyebab banjir tersebut ialah saliran Sungai Hosapa telah diubah oleh salah seorang pemilik tanah di sana.

22. Yang ketiga, sebahagian daripada RM1.36 juta yang diperuntukkan untuk kemudahan komuniti setempat seperti dewan orang ramai boleh disalurkan untuk menyiapkan projek pembaikan dan naiktaraf Dewan Orang Ramai Titi yang telah ditutup untuk kegunaan orang ramai. Dewan Orang Ramai ini amat penting untuk masyarakat setempat kerana ia merupakan satu-satunya kemudahan dewan awam di kawasan tersebut yang bukan sahaha digunakan oleh penduduk-penduduk DUN Chennah tetapi juga penduduk-penduduk di Hosapa yang terletak dalam DUN Klawang. Saya berharap projek tersebut dapat dilaksanakan secepat mungkin kemudahan masyarakat di sana.