Skip to content

Ucapan oleh ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin di DUN Selangor

Terima kasih Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Damansara Utama untuk membahas dalam Belanjawan 2014 Selangor Darul Ehsan yang dibentangkan di Dewan yang mulia ini oleh YAB Dato Menteri Besar.

Tuan Speaker, ahli-ahli yang berhormat Exco, ahli-ahli yang berhormat, salam sejahtera, salam bersih, salam reformasi dan salam ubah.

Pertama sekali, saya ingin menarik perhatian anda kepada RM1 ini. Sebab kenapa kita semua berada di sini untuk membahaskan belanjawan adalah untuk membincangkan bagaimana untuk membelanjakan setiap ringgit daripada rakyat supaya dapat member manfaat maksimum kepada rakyat dengan cara yang terbaik.

Meski ada banyak perkara yang boleh dibincangkan tentang bagaimana untuk membelanjakan setiap ringgit, Damansara Utama ingin menggariskan 3 perkara di dewan yang mulia ini sidang kali ini:

Pertama, untuk program sosial atau subsidi negeri, pengagihan kekayaan haruslah ada kesan bersih pengagihan kekayaan daripada golongan di atas piramid kepada golongan di bawah piramid masyarakat, contohnya daripada yang kaya kepada yang miskin. Iaitu konsep progressive redistribution of wealth (dengan izin) – pengagihan kekayaan progresif.

Kedua, untuk golongan yang bukan di bawah piramid masyarakat, kerajaan negeri boleh memberi manfaat yang lebih banyak daripada subsidi terus dengan pembelanjaan dalam perkara yang boleh menjana multiplier effect (dengan izin) dalam bentuk impak ekonomi atau sosial, seiring dengan tema belanjawan “berimpak tinggi”. Maksudnya jika kita membelanja RM1 di sesuatu perkara, ia boleh menghasilkan jumlah nilai ekonomi dan social yang lebih daripada RM1. Inilah impak tinggi.

Yang ketiga, sejauh mana yang mungkin, wang rakyat tidak boleh dibazirkan di atas inefficiency dan ketidakcekapan kerajaan, tidak kira dalam agensi kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Tuan speaker, izinkan saya jelaskan dengan lebih melanjut lagi ketiga-tiga perkara tersebut.

Pertamanya, pengagihan kekayaan yang progresif dengan kesan bersih pengagihan kekayaan daripada golongan di atas piramid kepada gologan di bawah piramid masyarakat.

Ini kerana, jika kita mengutip RM1 ini dan mengembalikannya kepada segmen masyarakat yang serupa, akan wujudnya kerugian dari segi kos pentadbiran dalam proses mengutip dan mengembalikan RM1 ini. Iaitu, RM1 telah menjadi contohnya 80 sen. Jika begitu, lebih baiklah pengagihan sedemikian tidak berlaku bagi masyarakat.

Namun sekiranya kita pindahkan RM1 ini daripada segmen masyarakat yang baik kepada satu lagi segmen masyarakat yang memerlukannya, ia akan menjana kesaksamaan sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni. Ini adalah faedah tambahan kepada masyarakat yang tidak boleh wujud tanpa pengagihan kekayaan ini. Masyarakat secara keseluruhannya menjadi lebih baik lagi selepas pengagihan kekayaan tersebut.

Saya menceritakan panjang lebar analogi RM1 ini adalah untuk menekankan fakta ini: program sosial dan subsidi kerajaan negeri, kalau boleh, haruslah sasarkan kepada golongan yang memerlukannya sahaja degan konsep targeted subsidy (dengan izin) ataupun sekurang-kurangnya progressive subsidy (dengan izin).

Damansara Utama amat bangga kerana kerajaan negeri cukup prihatin dan akan membelanjakan RM143 juta untuk sektor sosial dalam tahun 2014. Antaranya, 54.37 peratus adalah melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Sejak 2008 sehingga Julai 2013, saya mendapati bahawa kita telah membelanjakan sebanyak RM954 juta dalam program MES. Dari RM 954 juta ini, kita belanjakan lebih kurang 74% untuk air percuma, 11% untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE), 6% untuk Skim Mikrokredit Selangor (SKIMSEL), 4% Hadiah Masuk Universiti, 2% Pusat Tuisyen Rakyat dan 1% untuk Mikrokredit Miskin Bandar (MIMBAR), Jom Shopping dan TAWAS.

Perbelanjaan yang terbesar MES, air percuma dan SMUE, kedua-duanya bukan subsidi bersasaran sepenuh walaupun air percuma boleh dikatakan subsidi progresif sebab golongan miskin dapat faedah lebih banyak daripada golongan kaya, jika mengambil kira peratusan subsdi berbanding dengan pendapatan individu.

Untuk pengagihan yang leibh efektif, bagi program sosial dan subsidi kerajaan negeri baru yang akan datang, Damansara Utama menyeru kerajaan negeri supaya meletakkan syarat kelayakan mengikut keperluan seperti gaji bulanan dan lain-lain. Ini adalah untuk memastikan hanya golongan yang benar-benar memerlukan subsidi ini mendapatkannya. Bagi segmen masyarakat yang lain, kita boleh mewujudkan faedah-faedah lain melalui pasaran bebas dengan membelanja dalam perkara yang menghasilkan multiplier effect (dengan izin), yang mana saya akan bincangkan nanti.

Tuan speaker, dari segi sekto sosial, Damansara Utama ingin menyuara untuk satu golongan yang di bawah piramid masyarakat Selangor yang pada pendapat saya wajar mendapat lebih tumpuan daripada kerajaan negeri, iaitu golongan miskin bandar.

Sidang yang lalu saya bertanya kepada kerajaan negeri tentang kemiskinan bandar dan dapat statistik ini yang amat membimbangkan. Sekiranya kita gunakan RM1,500 sebagai kadar garis kemiskinan, terdapat 1.5 juta orang di Selangor yang hidup dalam kemiskinan. Dalam 1.5 juta orang ini, 87.6% daripadanya hidup di kawasan bandar. Dengan kata lain, Selangor sedang berdepan degan populasi miskin bandar seramai 1.3 juta. Ini sesuatu perkara yang serius. 1.3 juta orang adalah lebih kurang 20% daripada jumlah penduduk Selangor.

Kemiskinan selalunya melahirkan jenayah. Mereka yang terdesak selalunya akan bertindak mencuri atau bertindak ganas demi memberi makan kepada keluarga. Lebih daripada lima puluh kajian telah menunjukkan kecenderungan bertindak ganas lebih lazim dalam masyarakat yang mempunyai jurang pendapatan yang lebar.

Oleh yang demikian, seandainya kerajaan dapat membantu mengurangkan kemiskinan, kita bukan sahaja dapat mewujudkan masyarakat yang lebih saksama dan harmoni, kita juga dapat mengurangkan kadar jenayah dan mewujudkan masyarakat yang lebih selamat.

Demi 1.3 juta miskin bandar dan keselamatan rakyat di bandar, saya menyeru Kerajaan Negeri untuk merangka pelan yang komprehensif untuk menangani kemiskinan bandar.

Dalam penggunaan rizab negeri muka surat 27-28 ini, kerajaan negeri memberi RM50 juta untuk pembangunan usahawan dan belia, RM50 juta untuk pembangunan desa dan RM30 juta untuk pemberdayaan wanita, tetapi tiada untuk miskin bandar. Damansara Utama berharap bahawa di belanjawan akan datang ataupun belanjawan tambahan, kerajaan negeri akan memberi peruntukan spesifik untuk kemiskinan bandar, memandangkan lebih daripada 20% rakyat Selangor adalah di bawah golongan ini.

Dari segi program sosial, Damansara Utama juga ingin memberikan sedikit maklumbalas ataupun teguran sikit tentang pengurusan program MES yang sedia ada. Sekarang ini, ada banyak jabatan di yang mengendalikan program MES yang berbeza dan terdapat banyak pertindihan fungsi. Saya menyeru Kerajaan Negeri untuk menyusun kesemua program MES dan meletakkan kesemua program-program ini dalam satu petadbiran supaya kita boleh memperbaiki koordinasi dan kecekapan program-program MES dan seterusnya mengurangkan kos pengurusan negeri.

Tuan speaker, perkara kedua yang saya ingin mengemukan di dewan yang mulia ini ada seperti berikut: untuk golongan yang bukan di bawah piramid masyarakat, kerajaan negeri boleh memberi manfaat yang lebih banyak daripada subsidi terus dengan pembelanjaan dalam perkara yang boleh menjana multiplier effect (dengan izin) dalam bentuk impak ekonomi atau sosial. Iaitu, kita membelanja RM1 di sesuatu perkara yang boleh menghasilkan jumlah nilai ekonomi dan social yang lebih daripada RM1. Inilah impak tinggi.

Salah satu pembelanjaan kerajaan yang boleh menjana multiplier effect (dengan izin) yang baik untuk masyarakt ialah pengakutan awam. Kajian menunjuk bahawa multiplier effectnya ialah di antara 2 hingga 3.6 di negara-negara berlainan. Di Switzerland, sebuah negara yang terkenal dengan kepercayaan terhadap pengangkutan awam, ekonomi secara keseluruhan mendapat manfaat nilai tambah sebanyak EUR 4.60 bagi setiap EUR 1 yang dibelanjakan untuk pengangkutan awam, iaitu multiplier effect 4.6. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa pelaburan RM1 dalam pengangkutan awam akan menjana lebih daripada RM1 dari segi manfaat ekonomi kepada masyarakat.

Lembah Klang penuh dengan potensi ekonomi dan tugas kita sebagai kerajaan bukan sahaja untuk mengekalkan status quo (dengan izin). Kita perlu menyediakan persekitaran untuk memudahkan lagi pertumbuhan ekonomi di bandar-bandar ini untuk menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan peluang perniagaan. Penambahbaikan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam dapat mempertingkatkan produktiviti ekonomi dengan meningkatkan mobiliti dan seterusnya akses kepada pasaran buruh dan pelanggan yang lebih luas.

Pengangkutan awam juga membolehkan ekonomi ruang berkelompok (Spatial Agglomeration Economies minta izin) melalui penumpuan aktiviti ekonomi dan pejabat berkelompok, kedai, dan kegunaan kawasan yang lain di sekitar perhentian pengangkutan awam. Aktiviti kluster sedemikian boleh meningkatkan kecekapan melalui pengurangan kos buruh, komunikasi yang lebih baik, kos infrastruktur yang lebih rendah, dan interaksi yang meningkat dengan perniagaan yang serupa. Di samping itu, clustering (dengan izin) akan memudahkan hubungan ekonomi antara organisasi, agensi kerajaan, dan institusi latihan tenaga kerja dengan menyediakan akses kepada pekerja, peluang rangkaian perniagaan, dan pembekal. Oleh itu, adalah penting bagi kita untuk melabur dalam pengangkutan awam untuk merangsangkan ekonomi bandar.

Biasanya, pengangkutan awam menjadi cara pengangkutan yang lebih lazim bagi bandar-bandar membangun kerana ia mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas dan menyokong corak penggunaan tanah yang lebih cekap.

Enrique Penalosa ada berkata, “Sebuah bandar yang maju bukanlah
tempat di mana orang miskin bergerak menggunakan kereta, sebaliknya ia tempat di mana yang kaya pun menggunakan pengangkutan awam” (“An advanced city is not a place where the poor move about in cars, rather it’s where even the rich use public transportation”)

Walau bagaimanapun, ini tidak berlaku di Lembah Klang. Sambil bandar kita berkembang pesar, kita dapat lihat bahawa kadar penggunaan pengangkutan awam daripada 37% pada 1990-an menurun kepada 19% pada tahun 2012 berbanding lebih daripada 60% kegunaan di Singapura, Seoul, Tokyo, Hong Kong dan lain-lain.

Ini adalah disebabkan pengabaian selama bertahun-tahun dalam pembangunan pengangkutan awam oleh kerajaan Barisan Nasional. Ya, berbilion-bilion ringgit dibelanjakan bagi sistem kereta api kita, tetapi kita tetap melihat penurunan mendadak dalam kadar penggunaan pengangkutan awam. Ini adalah disebabkan oleh kurangnya keterhubungan, tidak ketepatan masa, perkhidmatan yang buruk dan lain-lain.

Damasanra Utama amatlah bangga apabila Dato Menteri Besar mengumumkan penubuhan Majlis Pengangkutan Awam Selangor (Selangor Public Transport Council) tetapi sedikit kecewa kerana tiada peruntukan untuk penyediaan pengangkutan awam.

Sebagai sebuah kerajaan negeri, memang kita mungkin tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melaksanakan langkah baik pulih yang lengkap terhadap sistem pengangkutan awam tetapi saya percaya kita boleh melakukan perkara-perkara berikut: –

  1. Menyediakan bas pengantara (feeder bus dengan izin) di lokasi-lokasi strategik pada waktu puncak
  2. Untuk mengisi “pautan yang hilang” (missing link dengan izin) bagi menjadikan jaringan pengangkutan awam yang sedia ada lebih intensif dengan keterhubungan yang lebih baik dan liputan yang lebih besar.

Ramai yang mungkin berfikir bahawa kita mungkin tidak mempunyai dana yang cukup untuk menampung perkhidmatan bas, sebenarnya ya, kita mampu. Sebagai contoh, di Pulau Pinang, melalui kerjasama dengan syarikat bas, kos bas pengantara percuma di waktu puncak yang ditanggung kerajaan Pulau Pinang kira-kira RM 160,000 (satu ratus enam puluh ribu) setahun bagi setiap bas. Pada harga ini, kita boleh menambah sekurang-kurangnya 100 buah bas pengantara pada waktu puncak di Lembah Klang dengan membelanjakan RM20 juta setahun. Sebagai rujukan, hanya terdapat lebih kurang 800 buah bas di Lembah Klang, dengan menambah 100 bas bermakna peningkatan sebanyak 12.5% dalam kapasiti, ini perberzaan yang amat signifikan.
Lain-lain usaha bukan pengangkutan yang boleh PBT lakukan bagi memperbaiki sistem pengangkutan awam di Lembah Klang termasuklah: –

  1. Mewajibkan pemaju bangunan komersial atau bangunan tinggi untuk menyediakan bas dari bangunan ke stesen keretapi terdekat.
  2. Memastikan wujud hentian bas yang selesa dan selamat
  3. Membina lebih banyak laluan pejalan kaki di tempat strategik
  4. Memberi maklumat mengenai jadual pengangkutan awam (kajian menunjukkan bahawa maklumat yang lebih baik meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam)
  5. Membina laluan basikal dan tempat letak basikal serta menggalakkan berbasikal di dalam bandar.

Saya berharap agar Majlis Pengangkutan Awam Selangor yang baru ditubuhkan akan mempertimbangkan cadangan saya dan membangunkan pelan pengangkutan awam negeri bagi membolehkan kerajaan negeri untuk memainkan peranan aktif dalam meningkatkan sistem pengangkutan awam di Selangor.

Tuan speaker, di samping pengangkutan awam, pelaburan dalam memperkasakan ekonomi wanita juga akan menjana multiplier effect (dengan izin) terhadap ekonomi seperti yang dinyatakan secara khusus di dalam Persidangan Halatuju Pembangunan Milenium PBB (United Nation Millennium Development Goal Summit) pada tahun 2010, di mana negara-negara anggota bersetuju dalam penyata bersama yang berbunyi “investing in women and girls has a multiplier effect on productivity, efficiency and sustained economic growth” (dengan izin), iaitu “melabur dalam hal wanita dan kanak-kanak perempuan mempunyai kesan berganda terhadap produktiviti, kecekapan dan pertumbuhan ekonomi yang mampan”.

Di Malaysia, walaupun pendaftaran sekolah menengah dan pengajian tinggi di kalangan pelajar perempuan adalah masing-masing 71% dan 41 %, iaitu lebih tinggi daripada lelaki pada 66 % dan 32%, kadar penyertaan tenaga buruh wanita terbantut pada kira-kira 45% sepanjang dekad yang lalu; manakala lelaki meningkat daripada 79.5 % kepada 84.3%.

Ini menunjukkan bahawa jurang di antara tahap pendidikan wanita Malaysia dan sumbangan kita kepada ekonomi amat serious. Memandangkan wanita Malaysia berpelanjaran tinggi, dengan menggalakkan penyertaan wanita yang lebih tinggi dalam ekonomi akan membawa kepada pasaran buruh yang lebih berdaya saing dan secara langsung, ekonomi yang lebih berdaya saing.

Saya berharap bahawa RM30 juta yang diperuntukkan untuk pemberdayaan wanita menumpukan kepada memperkasakan peranan wanita dalam ekonomi selain daripada menjahit, memasak dan membuat kek.

Saya ingin secara khusus menekankan kepentingan penjagaan kanak-kanak di tempat kerja (workplace childcare). Penjagaan kanak-kanak adalah halangan terbesar bagi wanita di tempat kerja. Bagi semua negara-negara yang mencapai kesaksamaan gender dengan baik, penjagaan kanak-kanak di tempat kerja sentiasa menjadi elemen penting dalam dasar mereka.

Perkara ketiga yang saya ingin mengemukan di dewan yang mulia ini adalah berikut, wang rakyat tidak boleh dibazir untuk menampung ineffisiensi agensi kerajaan ataupun GLC. Hari ini saya ingin tumpukan perhatian di GLC sahaja.

Menurut kajian McKinsey, Return on Asset (ROA) dengan izin, iaitu purata pulangan bagi aset bagi syarikat milik negeri di China adalah kurang daripada separuh berbanding sektor swasta. Perkara yang sama dapat diperhati di banyak negara-negara lain. Salah satu sebabnya ialah banyak syarikat-syarikat kerajaan dilindungi daripada tekanan persaingan, terdedah kepada birokrasi yang berat dan seringkali tidak cekap.

Perkara yang sama juga berlaku di Malaysia termaksud di Selangor. Contohnya, dengan membandingkan antara PKNS dan PNSB yang kedua-duanya dalam sektor hartanah dengan syarikat hartanah yang tersenarai di Bursa Malaysia, kita akan melihat perbezaan yang amat ketara.

PKNS dan PNSB mencatatkan ROA sebanyak 0.083 dan 0.0027 berbanding YTL Land 1.21, Mah Sing Group 6.97, SP Setia 4.16 dan UEM Sunrise 6.92. Begitu juga dengan return on equity (ROE), iaitu pulangan ke atas ekuiti, di mana PKNS dan PNSB mencatatkan ROE 0.069 dan 0.144 berbanding YTL Land 2.61, Mah Sing Group 17.67, SP Setia 8.83 dan UEM Sunrise 11.59.

Saya faham bahawa PKNS dan PNSB perlu melakukan projek-projek pembangunan untuk objektif sosial seperti rumah mampu milik dan mungkin saiz aset PKNS dan PNSB adalah di luar kapasiti pengurusan, tetapi berbezaan ini adalah beratus-ratus ganda. Profitability KPI corrected for social objective (dengan izin) perlu diukur supaya perbandingan prestasi yang bermakna boleh dibuat antara GLC dengan syarikat-syarikat lain. Ini adalah amat penting untuk memupuk disiplin kewangan dan juga meningkatkan effisiensi operasi GLC.

Banyak lagi GLC di Malaysia termasuk di Selangor yang tidak menunjukkan prestasi yang baik malah ada juga yang kerugian. Memandangkan kerajaan adalah pemegang saham terbesar dalam GLC, ketidakcekapan, kerugian dan keuntungan yang rendah daripada GLC akan diterjemahkan menjadi kehilangan manfaat kepada rakyat. Oleh itu, Damansara Utama amat mengalu-alukan penumbuhan Jawatankuasa Penambahbaikan Pentadbiran, Agensi Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri seperti yang diumumkan oleh Dato Seri Menteri Besar.

Saya mencadangkan Jawatankuasa ini supaya mewujudkan Competitive Neutrality Frameworks (dengan izin) yang dicadangkan oleh OECD Guidelines on Corporate Governance of State-Owned Enterprises (dengan izin) – iaitu mewujudkan landskap perundangan dan pentadbiran di mana sesebuah GLC beroperasi di keadaan persaingan hampir serupa seperti dengan keadaan yang dihadapi oleh pesaing sektor swasta. Dengan wujudnya persaingan, prestasi dan effisiensi GLC boleh dipertingkatkan.

Walaupun penambahbaikan GLC amat penting, tetapi terdapatnya 74 GLC di Selangor. Soalannya, kenapa kerajaan terlibat dalam perniagaan sedangkan syarikat-syarikat swasta adalah lebih berdaya saing? Saya faham bahawa terdapat keperluannya bagi kerajaan untuk berada
dalam perniagaan bagi membetulkan ‘externalities’ aktiviti swasta, menyediakan infrastruktur dan melindungi kekayaan sumber semula jadi seperti pasir dan tanah di Selangor dan minyak di Malaysia.

Tetapi, masalah kita sekarang ialah kerajaan terlibat dalam terlalu banyak jenis perniagaan. Terdapat opportunity cost lost (dengan izin), akibat daripada birokrasi dan ketidakcekapan GLC. Thomas Jefferson, Presiden ketiga Amerika Syarikat pernah berkata, “My reading of history convinces me that most bad government results from too much government.” (dengan izin).

Oleh itu, kerajaan harus dalam saiz yang sewajarnya. Kerajaan perlu menahan diri daripada menjalankan aktiviti-aktiviti yang sebaiknya ditinggalkan bagi sektor swasta dan menumpukan sumber-sumber yang ada untuk menyediakan persekitaran makro (macroenvironment dengan izin) yang boleh memudahkan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti swasta dalam pembangunan ekonomi dan sosial.

Dengan itu, saya ingin menggesa kerajaan untuk memulakan inisiatif reformasi GLC, iaitu inisiatif kurus badan peniagaan kerajaan. Kajian dan rancangan komprehensif perlu dibuat supaya kerajaan mengurangkan saham dan menjual syarikat-syarikat yang tidak berkaitan dan hanya tumpukan perhatian dalam syarikat-syarikat yang strategik bagi pentadbiran negeri yang lebih baik.

Kesimpulan, Damansara Utama meyeru kerajaan negeri supaya:-

  1. Mengamalkan prinsip pengagihan kekayaan yang progresif
  2. Mengambil tindakan yang lebih aktif dan memberi peruntukan spesifik untuk kemiskinan bandar
  3. Menyusun semula program MES dan meletakkan kesemua program-program ini dalam satu petadbiran
  4. Memberi peruntukan spesifik untuk meyediakan pengangkutan awam yang boleh membawa pertumbuhan ekonomi Lembah Klang
  5. Memperkasakan peranan ekonomi wanita khususnya workplace childcare (dengan izin)
  6. Menambahbaikan GLC dari segi effisiensi dan daya saing
  7. Mengurangkan penggangan pemilikan GLC kepada syarikat-syarikat yang strategik sahaja dan memfokuskan sumber-sumber untuk menyediakan persekitaran makro (macroenvironment dengan izin) untuk aktiviti-aktiviti swasta yang lebih efisien dalam pembangunan ekonomi dan social

Dengan ini, saya memohon untuk menyokong ucapan Bajet Negeri Selangor 2014. Sekian terima kasih.