Assalamu’alaikum wrt wbt dan salam sejahtera. Saya panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya dapat kita bersidang pada hari ini. Terima kasih saya ucapkan kepada Tuan Speaker kerana memberi ruang kepada Dusun Tua, yang orangnya muda, untuk membahaskan Usul Menjujung Kasih ke atas titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor semasa merasmikan sidang dewan semalam.
Antara titah DYMM Tuanku semalam menyentuh tentang bagaimana alam sekitar seringkali dikompromi dalam memberikan laluan kepada pembangunan. DYMM Tuanku turut menyentuh usaha-usaha kerajaan negeri Selangor bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara. Saya mengucapkan syabas kepada negeri Selangor kerana menjadi negeri yang lebih ke hadapan dalam usaha memastikan penggunaan beg plastik dapat dikurangkan.
Namun saya ingin membangkitkan bahawa soal alam sekitar tidak seharusnya dibataskan hanya kepada soal alam semulajadi melibatkan hutan, pokok dan sungai sahaja. Alam sekitar yang kita sebut-sebut harus dipandang secara menyeluruh, perlu turut melibatkan soal kesejahteraan manusia yang hidup di sesebuah kawasan. Ini kerana jika pokok itu berharga, manusia yang mendiami dan menghidupkan negeri ini juga tinggi nilainya.
Saya ingin memberikan contoh, kawasan DUN Dusun Tua antara kawasan yang mempunyai aktiviti kuari. Operasi kuari kalau pun mematuhi garis-garis panduan dalam memelihara hutan sekitarnya, seringkali kita melihat kesan-kesan operasi ini menimbulkan kacauganggu kepada penduduk sekitar. Misalnya jalan berhabuk, lori yang keluar bukan pada waktu yang ditetapkan, kerosakan jalan dan lain-lain. Saya sebelum ini berpeluang menjadi Ahli Majlis untuk Majlis Perbandaran Selayang dan mempengerusikan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JKP) di salah satu zon di kawasan Sungai Buloh yang turut mempunyai aktiviti kuari. Apa yang menyedihkan, dari Sungai Buloh hingga Hulu Langat, saya melihat masalah yang sama, dan menerima aduan yang sama.
Di peringkat mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah, mantera yang sama diulang-ulang dengan menawarkan penguatkuasaan sebagai penyelesaian. Bukanlah tidak pernah ada penguatkuasaan sebelum ini. Penguatkuasaan pernah dilakukan. Masalah tetap berlaku. Sekiranya penyelesaian kepada suatu masalah itu tidak menyelesaikan masalah, yang bermasalah itu adalah penyelesaian yang ditawarkan. Saya mencadangkan perlu diperhalusi kembali syarat-syarat dan garis-garis panduan kerajaan dalam membenarkan kuari-kuari ini beroperasi. Pihak berwajib misalnya tidak patut memberikan alasan bahawa tidak boleh dipastikan sama ada lori-lori yang mengakibatkan kacauganggu itu datang dari kuari atau bukan. Sebaliknya perlu bertindak proaktif mencari cara-cara memastikan masalah itu diatasi.
Saya bagi contoh, kerajaan boleh meletakkan syarat supaya lori-lori kuari perlu didaftarkan di kuari mana mereka mengambil muatan. Supaya sekiranya mereka melanggar peraturan, tindakan boleh dikenakan kepada lori dan kuari. Ini bagi memastikan kuari turut sama memikul tanggung jawab menjaga kesejahteraan kawasan sekitar. Sementara tindakan yang lebih drastik boleh diambil kepada lori-lori seperti menamatkan lesen atau permit mana-mana lori yang sentiasa melanggar peraturan dan mengakibatkan kacauganggu kepada warga Selangor. Tindakan sebegini sudah tentu tidak terbatas kepada kuari sahaja malah kepada mana-mana pemajuan yang gagal mengawal lori-lori mereka lantas menggangu kesejahteraan hidup orang awam.
Saya faham bahawa kuari-kuari turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi Selangor. Titah Tuanku turut menyebut secara tidak langsung 16.1% lagi sektor yang menyumbang kepada KDNK adalah dari sektor pembinaan, perkhidmatan kerajaan, pertanian, perlombongan dan kuari. Jauh sekali dari mengharapkan pengakhirannya menang jadi arang, kalah jadi abu. Kita tidak mahu hasil yang kita peroleh daripada satu-satu aktiviti ekonomi itu akhirnya tidak setimpal dengan belanja yang terpaksa kita keluarkan demi mengatasi masalah-masalah akibat darinya.
Kita berharapkan kepada satu penyelesaian, yang mana aktiviti-aktiviti pengambilan hasil bumi dapat berjalan membantu menjana ekonomi negeri. Namun pada masa yang sama kesejahteraan warga Selangor tidak kita kompromi. Adalah menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan menguruskan dengan baik kedua-dua kepentingan ini agar tidak wujudnya pertentangan.
DUN Dusun Tua juga cukup dikenali dengan masalah banjir. Kawasan-kawasan yang berada di lembah seringkali dinaiki air apabila hujan melebihi jumlah tertentu. Saya ingin mengambil peluang ini berterima kasih kepada kerajaan negeri atas peruntukan-peruntukan yang diluluskan sebelum ini, yang digunakan bagi membina ban-ban di tebing anak-anak sungai yang bercantum kepada Sungai Langat, lantas meminimakan kesan banjir setakat ini. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah pun membentangkan bahawa salah satu penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir di kawasan Hulu Langat, adalah dengan menaiktaraf Sungai Langat bagi menampung kapaisiti aliran air sungai.
Projek menaiktaraf Sungai Langat yang disebutkan sebagai Rancangan Tebatan Banjir Fasa 2 telah pun dicadangkan kepada Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli, diharapkan mendapat perhatian dan peruntukan sewajarnya. Akan tetapi penyelesaian ini saja tidak memadai sekiranya aliran air sungai terus meningkat saban tahun. Berpunca daripada aktiviti pembangunan sekitar yang tidak mengambil kira faktor kapasiti aliran air. Saya dimaklumkan oleh JPS bahawa kawasan yang belum dibangunkan dan masih mempunyai rupa bentuk semula jadi biasanya dapat menampung lebih kurang 70% air hujan dan melepaskan sebahagian kecil saja kepada saliran. Peratusan ini menjadi sebaliknya apabila suatu-suatu kawasan itu dibangunkan. Bayangkan kalau kita terus menerus membenarkan pembangunan tanpa mengambil kira faktor ini. Maka naiktaraflah Sungai Langat itu seluas Sungai Nil pun, belum tentu dapat menyelesaikan masalah pada jangkamasa panjang.
Sekali lagi ditekankan, kita meraikan pembangunan namun haruslah dilakukan dengan mengambil kira semua faktor secara menyeluruh. Pengalaman saya sekali lagi, berkhidmat di kawasan pinggiran bandar seperti Sungai Buloh dan Hulu Langat, memperlihatkan betapa soal aliran air dan saliran jarang sekali diberi perhatian pemaju. Pihak Berkuasa Tempatan juga dilihat seolah-olah kurang peka dalam mengambil kira faktor kapasiti aliran air, baik ke sungai mahupun perparitan, sebelum meluluskan satu-satu pemajuan. Bukanlah kali pertama saya melihat bagaimana suatu-suatu pemajuan itu diluluskan dan berjalan sedangkan sistem saliran mereka entah menuju ke mana. Tidak pasti ke tanah sebelah yang hanya ada parit atau disalirkan ke alam ghaib. Sistem perparitan pada hemat saya hendaklah dilihat seperti system jalanraya yang saling berkait.
Kita berada dalam satu ekosistem yang mana tiap satu terkait dengan yang lain. Sebarang bentuk pembangunan tidak seharusnya dinilai hanya pada lot tanah yang hendak diluluskan itu saja. Saya mencadangkan kepada pihak-pihak berkuasa untuk turut melibatkan kawasan sekitar, pada kadar radius tertentu, dalam pertimbangan mereka sebelum meluluskan sebarang pembangunan. Ini kerana satu pembangunan di kawasan ‘A’ boleh saja mengakibatkan bencana di kawasan ‘D’. Kita telah mempunyai teknologi mencukupi melalui JPS untuk mengkaji aliran dan kapasiti air. Seharusnya semua teknologi dan kepakaran ini dimanfaatkan sepenuhnya.
Saya memohon, kerajaan meneliti perkara-perkara dan cadangan-cadangan yang saya bangkitkan demi meneruskan penambahbaikan tadbir urus serta agenda reformasi berterusan di negeri Selangor. Saya yakin dengan kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan Negeri bakal memperlihatkan perubahan yang lebih baik. Tanggungjawab kita adalah melakukan yang terbaik. Selebihnya, kepada Allah kita berserah.
Saya dengan ini menjunjung kasih dan menyokong titah DYMM Sultan Selangor.