Terima kasih atas peluang untuk membahaskan usul di bawah 18(1) dan (2) mengenai isu yang amat mencemaskan negara kita, iaitu penemuan kem-kem penampungan dan kubur-kubur besar pendatang asing tanpa izin (PATI) yang disyaki merupakan orang Rohingya.
Beberapa hari yang lepas, Ketua Polis Negara telah mengesahkan penemuan 28 kem terbiar dan 139 kubur dalam kawasan Malaysia, iaitu di Padang Besar dan Wang Kelian. Menurut laporan berita, Menteri Dalam Negeri dipetik sebagai berkata kem-kem tersebut mungkin telah berada di sana selama lima tahun.
Tuan yang dipertua,
Insiden ini sangat mengejutkan rakyat, dan lebih penting lagi menimbulkan pelbagai persoalan dan tanda tanya mengenai kawalan keselamatan dan pengurusan sempadan negara kita.
Sekiranya benar kenyataan menteri bahawa kegiatan kem-kem ini ini telah berlangsung selama lima tahun, maka ini menimbulkan soalan mengenai persekongkolan antara pemerdagang manusia dengan pihak berkuasa tempatan. Saya kira tidak mungkin perkara ini boleh berlaku dengan begitu lama tanpa pengetahuan mana-mana pihak berkuasa dan orang tempatan.
Jelas, tidak boleh dinafikan bahawa ada berlaku rasuah dan korupsi yang melibatkan pegawai-pegawai kerajaan kita. Oleh itu, saya menyeru agar Kerajaan memulakan siasatan dengan secepat mungkin. Namun begitu, siasatan terhadap perkara ini tidak boleh dibuat oleh jabatan-jabatan yang terlibat, atas kekhuatiran konflik kepentingan. Justeru, saya pohon agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan dengan segera untuk menyiasat isu ini secara bebas dan menyeluruh. Tambahan pula, hasil siasatan harus juga dibentangkan dan dibahas di Parlimen, tidak seperti siasatan-siasatan dahulu seperti RCI Teoh Beng Hock dan RCI Project IC.
Kerajaan juga hendaklah memastikan bahawa tindakan dan hukuman keras akan dikenakan ke atas mereka yang terlibat, sekiranya kita mahu memastikan ia tidak berlaku lagi pada masa depan. Dalam pada itu, harus ada juga kerjasama siasatan dengan pihak Thailand, kerana bak kata orang, tepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Tidak gunanya jika isu ini diselesaikan di dalam sempadan kita sahaja, kerana terdapat risiko ia akan berulang lagi selagi tidak diselesaikan di kedua-dua negara.
Tuan yang dipertua,
Kita juga tidak boleh mengabaikan punca masalah ini, iaitu pelanggaran hak asasi manusia yang kejam dan sistematik oleh kerajaan Myanmar. Kezaliman ini telah mengakibatkan ratusan ribu orang Rohingya untuk meninggalkan Myanmar demi mencari suaka politik di negara-negara jiran, termasuk Malaysia.
Sebagai pengerusi semasa Asean, kita mempunyai peluang untuk menjadi peneraju dalam usaha melibatkan Myanmar melalui proses pelbagai hala, ataupun multilateral engagement. Jelas, dasar tidak campur tangan Asean tidak boleh diteruskan lagi. Apakah gunanya dasar sedemikian sekiranya ia mengakibatkan kesengsaraan ratusan ribu insan di rantau kita? Akhirnya, rakyat Malaysia juga akan terkesan apabila ratusan ribu pelarian dan pemohon suaka politik mencari jalan ke negara kita.
Kita harus menitikberatkan hakikat ini. Asean perlu sedar bahawa tanpa menghentikan penganiayaan terhadap Rohingya, kita tidak mungkin masalah ini akan berakhir. Setakat ini, Kerajaan tidak menunjukkan hasrat terhadap perkara ini dan saya harap agar pendirian yang lebih tegas dapat diambil.
Tuan yang dipertua,
Walaupun kita sedang berdepan dengan krisis kemanusiaan di sempadan negara, kita juga tidak boleh lupa bahawa terdapat 150,000 orang pelarian dan pemohon suaka yang sedia ada di dalam negara. Mereka juga menghadapi kesukaran yang besar akibat status undang-undang yang kabur.
Mereka tidak mempunyai akses kepada pendidikan asas, penjagaan kesihatan dan pekerjaan. Kanak-kanak tidak dapat pergi ke sekolah manakala orang dewasa tidak boleh mendapat pekerjaan yang sah. Sekiranya sakit, mereka perlu membayar yuran penuh di hospital-hospital kerajaan. Bagi mereka yang berdaftar dengan UNHCR, mereka hanya layak mendapat diskaun 50 peratus. Akan tetapi, bagaimana mereka boleh mendapatkan wang untuk membayar hospital jika tidak dibenarkan untuk berkerja?
Akibat daripada itu, ramai antara mereka terpaksa bekerja secara haram, lazimnya sebagai kerja buruh kasar selama 14 hingga 16 jam sehari dengan upah yang tidak setimpal. Mereka juga hidup dalam keadaan yang sempit dan tidak bersih. Ramai pula yang dilaporkan menjadi mangsa kepada salahguna kuasa pihak pengkuatkuasa undang-undang.
Justeru, tanpa undang-undang yang wajar dan tatacara pengendalian standard (SOP), masalah ini hanya akan menjadi lebih teruk. Impak sosial dan ekonomi adalah besar, dan memejamkan mata dalam hal ini tidak akan menyelesaikan sebarang masalah. Oleh itu, Kerajaan perlu mengambil langkah proaktif serta-merta untuk mengelakkan bencana kemanusiaan baik di dalam mahu pun di sempadan negara kita.
Tuan yang dipertua,
Akhir sekali, imej negara kita sudah jelas tercalar. Malah sebelum krisis ini berlaku, Malaysia sudah pun diturunkan pangkat daripada Tier 2 kepada Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia oleh Amerika Syarikat. Status ini mendatangkan pelbagai kesukaran kepada negara kita, termasuk dalam rundingan TPPA yang sedang berlaku.
Justeru, saya ingin mencadangkan agar satu pasukan petugas khas, ataupun special task force, ditubuhkan dengan segera untuk menjalankan siasatan di sepanjang sempadan negara kita dengan Thailand, serta sempadan Sabah dan Sarawak dengan Kalimantan. Usaha ini adalah untuk memastikan tidak ada lagi kubur-kubur besar atau kem-kem penampungan PATI, sama ada yang terbiar ataupun yang masih aktif.
Usaha ini tidak sudah tentu tidak mudah. Oleh itu, saya cadangkan agar kita membabitkan agensi dan pakar antarabangsa seperti UNHCR serta kumpulan-kumpulan aktivis tempatan.
Tuan yang dipertua,
Saya harap perkara ini akan diberi perhatian yang mendalam oleh Kerajaan agar krisis ini dapat diselesaikan dengan segera, keselamatan negara kita dapat dijamin dan imej negara kita dapat diperbaiki.
Sekian, terima kasih.