Terima kasih Tuan/Puan Pengerusi.
Saya bahas bajet di peringkat Jawatankuasa bawah maksud P. 64, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, di muka surat 479 untuk rujukan Tuan/Puan Pengerusi.
Saya menyambut baik langkah kerajaan persekutuan yang menambahkan belanjawan universiti awam.
Selain itu, saya merujuk ke perkara 05018 dan sebanyak dua ratus juta Ringgit Malaysia (RM 200 juta) diperuntukkan untuk naik taraf fasiliti universiti awam.
Inisiatif ini adalah sesuatu yang baharu dan tidak pernah diberi fokus oleh kerajaan terdahulu.
Namun demikian, bagi memajukan IPTA, sekadar peningkatan dalam peruntukkan adalah tidak mencukupi.
Malaysia mesti mempunyai mahasiswa yang berjiwa merdeka, berani menjelajahi tantangan dan peluang baru, serta mampu bertahan di dunia yang terus berubah setiap hari ini.
Tuan/Puan Pengerusi,
YB Menteri pernah berjanji kepada mahasiswa bahawa ‘student union’ akan diberikan kebebasan dan kuasa autonomi, termasuk kuasa pengurusan kewangan dan perniagaan berasaskan perkhidmatan dalam kampus universiti.
Namun hakikatnya, bawah AUKU, mahasiswa diketat-ketat dan dikawal-kawal. Pelajar atau pertubuhan pelajar dilarang untuk memungut wang.
Mereka tidak boleh menganjurkan event dan program secara bebas dan perlu mendapat kebenaran daripada pihak HEP sekiranya ingin menganjurkan event dan memohon peruntukkan.
Birokrasi dan syarat yang ditetapkan HEP maka sering kali melengahkan proses permohonan dan memberikan kesulitan kepada mahasiswa. HEP juga mempunyai kuasa mutlak untuk melarang atau membatalkan aktiviti mahasiswa.
Dengan keadaan seperti ini, kami tidak mungkin mendidik mahasiswa yang berwibawa dan mampu memimpin negara kita pada masa kelak.
Itu sebabnya mahasiswa menyarankan Kementerian mansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan Akta Pendidikan Tinggi yang mampu melindungi autonomi mahasiswa, hak dan kebebasan mahasiswa, dan kemerdekaan akademik secara menyeluruh.
Kami bukan panggil kerajaan mansuh AUKU tanpa mempunyai undang-undang baharu tetapi mansuhkan AUKU dan menggantikannya dengan Akta Pendidikan Tinggi, dengan transition period yang secukupnya.
Dalam rangka undang-undang yang baharu, kuasa Kesatuan Mahasiswa mesti dikembalikan untuk memperolehi, memegang, memungut, dan memberi dana, wang, ataupun harta dalam bentuk lain seperti model Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya dalam 1960-an dan awal 1970-an yang mampu mentadbir kampus.
Kerajaan perlu diingatkan bahawa mahasiswa mengundi dan memberi mandat kepada Kesatuan Mahasiswa untuk mentadbirkan kampus. Mereka merupakan kerajaan dalam universiti dan bertanggungjawab membangunkan universiti dan meneruskan agenda reformasi institusi.
Saya turut memberi 3 cadangan untuk memperkasakan / empower kesatuan mahasiswa dengan selanjutnya:
Pertama, peruntukkan bagi naik taraf fasiliti universti awam sepatutnya disalurkan terus kepada Kesatuan Mahasiswa IPTA tanpa melibatkan bahagian Hal Ehwal Pelajar.
Langkah ini bukan sahaja mampu memperkasakan kesatuan mahasiswa tetapi memastikan peruntukan tersebut dapat dibelanjakan secara optimum dan memenuhi keperluan sebenar mahasiswa. Kesatuan Mahasiswa, sebagai wakil mahasiswa merupakan pihak yang paling memahami keperluan dan kehendak pelajar.
Kedua, Kerajaan wajar memulangkan kuasa penyeliaan aktiviti mahasiswa kepada Kesatuan Mahasiswa dan menyalurkan peruntukkan yang mencukupi secara berjadual kepada Kesatuan Mahasiswa secara terus.
Pelajar juga seharusnya mempunyai akses untuk memohon peruntukkan dengan mudah terus dari Kesatuan Mahasiswa.
Selain itu, langkah ini juga dapat menghapuskan kuasa mutlak HEP untuk melarang atau membatalkan aktiviti gerakan mahasiswa bagi mewujudkan budaya universiti yang bebas dan progresif.
Pada tahun 2022, aktivis Fahmi Reza masuk ke universiti untuk mengadakan “Kelas Demokrasi”, namun, universiti awam seperti UM, UUM, UKM dan UiTM Shah Alam menghalang dan menghalau beliau keluar. Sekiranya kuasa tersebut dikembalikan kepada Kesatuan Mahasiswa, perkara sebegini tidak akan berulang lagi.
Ketiga, Kerajaan sepatutnya memberikan peruntukan yang mencukupi bagi memperkasakan Kesatuan Mahasiswa. Peruntukan tersebut dapat digunakan untuk pelbagai tujuan, seperti penganjuran pilihan raya kampus, penubuhan pejabat rasmi kesatuan mahasiswa, belanja pentadbiran, dan lain-lain.
Seterusnya, saya ingin menarik perhatian Tuan/Puan Pengerusi kepada kod 00602, iaitu peruntukkan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya telah dipotong daripada Tujuh Puluh Juta Ringgit Malaysia (RM 70,000,000.00) kepada Enam Puluh Tujuh Juta Sembilan Ratus Empat Puluh Lima Ribu Empat Ratus Ringgit Malaysia (RM 67,945,400.00) pengurangan sebanyak dua point sembilan empat peratus. (2.94%).
Kerajaan Persekutuan perlu memberi justifikasi kepada potongan peruntukkan ini dan sama ada potongan ini akan menjejaskan operasi seharian hospital pengajar universiti tersebut.