Skip to content

Ucapan oleh Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council semasa Perasmian Penang ESG Conference and Exhibition 2023 pada 21 November 2023 di Hotel Olive Tree

Selamat petang kepada Tuan-tuan dan Puan-puan, tetamu jemputan dan para peserta!

Saya berasa teruja dapat berdiri di hadapan anda hari ini di Penang ESG Conference & Exhibition 2023 untuk membincangkan topik yang sangat penting – Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus, atau lebih dikenali sebagai ESG. Acara ini berperanan penting sebagai platfom untuk berkongsi pandangan, bertukar idea, dan bersama-sama menetapkan haluan untuk masa depan yang lebih lestari dan bertanggungjawab untuk Pulau Pinang.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, prinsip ESG telah menjadi bualan hangat di peringkat global yang membentuk paradigma kita dalam perniagaan, membuat keputusan pelaburan, dan menghadapi cabaran yang mendesak di zaman ini. Pada hakikatnya, ESG mencerminkan komitmen terhadap kelestarian, etika, dan akauntabiliti. Ia mewujudkan idea bahawa perniagaan bukan sahaja untuk mengaut keuntungan malah menyumbang secara positif kepada dunia yang kita duduki selama ini.

Hadirin sekalian,

Sejak era 70an lagi, Pulau Pinang telah mengukuhkan reputasi kita sebagai destinasi perdagangan antarabangsa yang diminati, terutamanya dalam sektor elektronik dan semikonduktor yang berkembang pesat. Menurut data Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Pulau Pinang mencatatkan kelulusan sebanyak RM13.7 bilion dalam pelaburan pembuatan, bersamaan dengan 16 peratus daripada jumlah pelaburan. Hal ini sekaligus dapat mencipta 15,752 peluang pekerjaan baru melalui 135 buah projek. Peluang ini mampu dicipta daripada lokasi yang strategik, dasar yang mesra pelaburan, tenaga kerja terlatih, infrastruktur yang baik, dan ekosistem perniagaan yang mendapat sokongan yang hebat. Ini menjadikan Pulau Pinang penyumbang kedua tertinggi di dalam negara kerana terus menarik penyertaan aktif daripada pelabur baru dan sedia ada selepas 50 tahun membina reputasi kepimpinan dan industri yang kukuh.

Seiring dengan Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023, adalah penting bagi PKS tempatan kita untuk merangkul ESG. Ini bukan hanya kerana kepentingannya dalam operasi sebuah perniagaan, tetapi juga sumbangannya kepada ekonomi negeri melalui galakan pelaburan dan pembangunan impak tinggi. Projek seperti Pulau Silikon Penang telah mengguna pakai prinsip ESG melalui reka bentuknya untuk menarik banyak pelaburan dan menempatkan Pulau Pinang sebagai hab ESG di Malaysia.

Komitmen Pulau Pinang terhadap prinsip ESG bukan sahaja memperkuatkan status kita sebagai pusat perdagangan antarabangsa malah meletakkan kita sebagai peneraju dalam ekonomi hijau yang makin berkembang pesat. Hal ini sudah pasti dapat menarik peluang perniagaan dan membina kerjasama untuk pembangunan dan perkembangan ekonomi yang lestari.

Syarikat-syarikat yang menempatkan faktor-faktor ESG sebagai teras utama mendapat perhatian para pelabur dan pelanggan kerana tanggungjawab sosial dan alam sekitar yang mereka anggap penting. Ini memberi mereka kelebihan dan prospek pertumbuhan kewangan jangka panjang. Oleh itu, faktor-faktor ESG memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan, memungkinkan penciptaan kesan alam sekitar yang positif dan memberi sumbangan besar kepada sektor pembuatan. Walau bagaimanapun, PKS memerlukan sokongan dan panduan daripada kerajaan dan sektor swasta. PKS juga harus melihat ESG sebagai peluang dan bukan hanya sebagai isu pematuhan atau ancaman.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Elemen ‘E’ dalam ESG menekankan kepentingan kelestarian alam sekitar, ia adalah komitmen kita terhadap masa depan yang lestari. Alam sekitar kita sedang terancam oleh perubahan iklim, kemusnahan habitat, dan pencemaran. ESG adalah sebuah ikrar kita untuk alam semula jadi dengan mengurangkan jejak karbon,mempromosikan tenaga boleh diperbaharui, dan memajukan usaha pemuliharaan. Ia adalah komitmen terhadap amalan lestari yang akan mengekalkan alam sekitar kita dan melindungi kepelbagaian biologi yang menjadikan Pulau Pinang istimewa.

Kita boleh mengekalkan dan memastikan kelestarian Bumi dan khazanahnya untuk generasi akan datang. Dengan memilih pembekal yang menitikberatkan alam sekitar seperti menggunakan bahan dan proses pengeluaran yang mampan, mengurangkan pembaziran, dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, perniagaan boleh mengurangkan jejak alam sekitar mereka secara aktif. Dalam iklim hari ini, adalah penting bagi semua perniagaan dan korporat mengakui kepentingan ESG dan bekerjasama secara kolektif menuju matlamat ini bersama. Malaysia telah mengambil langkah proaktif untuk mempromosikan ESG dan pembangunan lestari melalui dasar-dasar dan inisiatif yang pelbagai. Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, terutamanya dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar,khususnya di peringkat korporat.

Pengenalan dasar-dasar dan kaedah untuk mempromosikan kelestarian oleh kerajaan dan pihak berkuasa mendorong PKS kecil dan sederhana supaya menyesuaikan diri dengan keperluan ini untuk memastikan kelestarian dan kesinambungan jangka panjang mereka. Tentu saja, jalan keunggulan ESG tidak terlepas dari cabaran. Kita mungkin menghadapi tentangan terhadap perubahan, kekangan kewangan, dan dasar yang kompleks. Walau bagaimanapun, cabaran-cabaran ini tidak sepatutnya mematahkan semangat kita. Mereka seharusnya berfungsi sebagai pemangkin untuk inovasi dan pertumbuhan.

Sebuah pepatah lama ada menyatakan, “Masa terbaik untuk menanam pokok adalah 20 tahun yang lalu; masa terbaik kedua adalah sekarang.”. Jadi, bertindaklah sekarang. Inisiatif ESG hanya akan berjaya jika kita mempunyai jalinan kerjasama, bukan hanya antara sektor awam dan swasta malah bersama masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan, dan badan antarabangsa. Kita boleh mempelajari pelbagai benda melalui pengalaman dan amalan orang lain.

Matlamat kami, hadirin sekalian, adalah untuk membantu dan memberdayakan syarikat-syarikat korporat, PKS, dan rantaian bekalan dalam membentuk ekosistem kelestarian yang kondusif. Ekosistem ini tidak hanya memastikan pematuhan terhadap tuntutan undang-undang tetapi juga sejajar dengan harapan pelanggan. Oleh itu, saya gembira untuk memanjangkan jemputan kepada semua syarikat multinasional (MNCs), syarikat LLC dan PLC di sini untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam program-program berkaitan ESG termasuk Program Industri Hijau Pulau Pinang, yang dipimpin oleh PGC serta inisiatif-inisiatif kerajaan lain.

Mari kita manfaatkan inovasi, mengutarakan idea, mengajukan soalan, dan cabar ekosistem semasa untuk meningkatkan dan berkembang sebagai satu kumpulan yang bersatu. Dengan ini, saya ingin ucapkan selamat maju jaya kepada semua peserta Penang ESG Conference and Exhibition 2023 hari ini.