Selamat pagi dan selamat datang semua!
Hari ini, kita berkumpul sekali lagi untuk meraikan sebuah acara gemilang yang bakal berlangsung di Pulau Pinang iaitu Persidangan dan Pameran Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2019 (PGIGCE). Acara tahunan ini dianjurkan oleh Penang Green Council, sebuah organisasi kerajaan yang sering menganjurkan program-program hijau yang bertujuan untuk merealisasikan visi dan misi negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau dan pintar. Dengan menerusi kerjasama bersama Malaysian Green Buiding Confederation (MGBC) Cawangan Utara, kita berharap penganjuran bersama ini dapat memacu pertumbuhan ekonomi di samping mewujudkan Pulau Pinang yang lebih mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.
Pada Tahun 2018, Kerajaan Negeri telah melancarkan visi Pulau Pinang 2030 yang memberi tumpuan terhadap aspek pembangunan kekeluargaan dan menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau & pintar serta lonjakan ekonomi dan pembentukan rakyat sivil. Kita berharap melalui visi ini, Pulau Pinang dapat mempunyai arah tuju yang lebih jelas untuk mencapai matlamat-matlamat ini di masa hadapan.
Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa tidak ada alternatif lain kepada pembangunan yang seimbang. Sektor ekonomi perlu dibentuk seiring dengan pemeliharaan planet dan alam sekitar. Keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan perlindungan ekologi adalah matlamat kita ke arah negeri hijau. Oleh itu, kita sewajarnya mempunyai pelaburan yang bijak serta berkesan dalam dunia digital agar dapat meningkatkan taraf kehidupan dan pada masa yang sama mengukuhkan daya tahan di Pulau Pinang.
PGIGCE ialah sebuah platform pencerahan, perbincangan dan perkongsian idea-idea berinovatif. Bertepatan dengan tema tahun ini: Pulau Pinang Bandar Hijau dan Pintar, tumpuan kami adalah untuk meningkatkan kualiti kehidupan melalui perancangan dan pelaksanaan bandar hijau dan pintar di Pulau Pinang disamping melahirkan kesedaran awam yang lebih tinggi terhadap penyelesaian isu alam sekitar.
Sejumlah 69 buah syarikat akan bersama kita sepanjang 3 hari acara berlangsung di Gurney Paragon Mall dari 27 hingga 29 September 2019. Kita sangat bersyukur dengan penglibatan penaja dan syarikat yang mempunyai hala tuju yang seiring dengan kita, percaya dan berusaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hijau. Saya yakin bahawa kehadiran kita semua di sini bukan hanya untuk berkongsi ilmu tetapi juga mempunyai komitmen yang sangat tinggi untuk menyelamatkan Bumi yang kita cintai ini.
Untuk memeriahkan lagi acara ini, kita turut menjemput Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yang Berhormat Puan Yeo Bee Yin untuk turut sama dalam upacara perasmian dan menjadi pembicara utama dalam persidangan hijau pada 28 September. Golongan pakar dalam industri hijau dan bandar pintar seperti Allan Han Huei Teo (WorldGBC – Ketua Serantau APN) dan Dato’ AR Yew Tung Seang (Datuk Bandar MBPP) juga akan dijemput untuk berkongsi ilmu dalam persidangan selama satu hari itu.
Untuk menggalakkan gaya hidup yang lebih hijau dan sihat, Larian MGBC Eco Power IV yang bakal berlangsung pada 29 September (Ahad) jam 7.30 pagi, menggalakkan semua peserta untuk memakai t-shirt berwarna hijau semasa larian plogging sepanjang 5.1km tersebut. Selain daripada pemberian pingat kayu yang boleh dikitar semula kepada peserta, sesi pendaftaran untuk larian ini adalah tanpa kertas (paperless) dan hadiah cabutan bertuah yang menarik menunggu para peserta di akhir larian termasuklah 2 unit robot Iron Man sebagai hadiah utama. Minuman akan disediakan di dalam cawan yang boleh dimakan (edible cups) diperbuat daripada rumpai laut sebagai salah satu gerakan untuk menggantikan penggunaan bekas minuman plastik. Daftar sekarang sehingga 15 September 2019.
Seiring dengan visi Pulau Pinang 2030 yang fokusnya ke arah “Negeri Berorientasikan Keluarga, Hijau dan Pintar”, kita sangat mengalu-alukan kehadiran ibu bapa dan anak-anak untuk bersama menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan di PGIGCE seperti pertandingan Little Green Chef, pertandingan Sand Art, Grab a Free Plant, pengumpulan bahan kitar semula di Rs Corner, permainan interaktif, bengkel yang menyeronokkan serta persembahan daripada pelajar sekolah. Jangan lepaskan peluang untuk bertemu mesra bersama Cruzr, sebuah robot humanoid pintar dan beberapa robot yang lain!
Sertai kami dalam usaha bagi menjadikan negeri yang kita cintai ini sebagai negeri yang mampan dan hijau. Jadilah sebahagian daripada acara ini untuk belajar dengan lebih mendalam dan memperluaskan rangkaian anda.
Jumpa anda di sana!