Skip to content

Ucapan oleh Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang semasa Green Finance Virtual Conference pada 4 Disember 2021

Selamat pagi Tuan-tuan dan Puan-puan dan selamat datang ke Green Finance Virtual Conference yang pertama di Pulau Pinang. Terima kasih kerana sudi meluangkan masa anda untuk bersama kami hari ini.

Kewangan hijau ialah sebuah istilah yang luas. Ia merujuk kepada pelaburan kewangan yang ditujukan pada projek dan inisiatif berfokuskan alam sekitar, sektor hijau, pembangunan mampan dan dasar yang menggalakkan pembangunan konsep hijau dan lestari.

Dalam erti kata lain, kewangan hijau dapat membantu memperkasa dan melindungi ekonomi dengan lebih baik dan mampan untuk sesebuah negeri atau negara. Ia termasuklah pembiayaan iklim yang menumpukan pada pelaburan yang khusus untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan adaptasi pada kesan perubahan iklim.

Hadirin sekalian,

Seperti yang kita sedia maklum, impak perubahan iklim telah dapat dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini seperti peningkatan suhu, banjir kilat yang semakin kerap dan kenaikan paras air laut. Oleh itu, peralihan ekonomi negeri adalah tindakan yang perlu diberi perhatian segera dalam mengurangkan kesan-kesan yang dihadapi ini sekaligus bergerak ke arah pembangunan lebih mampan.

Sejak tahun 2009, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan beberapa inisiatif hijau seperti Dasar Pengasingan Sisa di Punca, sistem perkongsian basikal dan kempen Tanpa Beg Plastik Sekali Guna. Visi Penang2030 saya, iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ juga menekankan kepentingan Pulau Pinang untuk membina ekonomi hijau dan masyarakat yang berdaya tahan kepada perubahan iklim menjelang tahun 2030.

Kita juga telah mengasaskan Pelan Induk Pelan Pengangkutan (PTMP) yang merangka rancangan untuk sistem pengangkutan awam di negeri ini. Di samping itu, kita juga telah melancarkan Agenda Hijau Pulau Pinang 2030 pada tahun ini untuk menyediakan rangka kerja bagi Pulau Pinang dalam usaha mencapai Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

Persidangan hari ini dianjurkan untuk meningkatkan pemahaman tentang potensi dan peranan kewangan hijau dalam pembangunan Pulau Pinang yang mampan. Selain itu, kita juga akan memperkenalkan pelan hala tuju pembangunan mampan Pulau Pinang dan pelan pelaburan hijau kepada semua institusi kewangan dan pelabur yang hadir pada hari ini. Di kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada Penang Green Council di atas usaha untuk menjadikan persidangan hari ini berjaya.

Saya mempunyai harapan yang tinggi bahawa persidangan yang julung kalinya dianjurkan ini mampu merangsang projek-projek berkaitan dan memberi peluang kepada Kerajaan Negeri untuk berkerjasama dengan institusi kewangan yang terbaik.

Kewangan hijau melambangkan masa depan, dan saya yakin penglibatan pihak berkepentingan pada hari ini mampu memberi manfaat kepada kita semua untuk
jangka masa panjang sekaligus menjadikan negeri ini lebih baik untuk semua.

Dengan ini, saya akhiri ucapan saya pada hari dengan ucapan selamat maju jaya kepada semua.

Terima kasih.