Skip to content

Ucapan oleh Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir merangkap ADUN Tanjung Bungah, Zairil Khir Johari di program Zero Waste Barter Trade anjuran Penang Green Council

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua ke program Zero Waste Barter Trade anjuran Penang Green Council sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2019.

Saya ingin memetik satu ungkapan yang berbunyi “sampah kita, rezeki orang”. Ungkapan ini sangat sesuai kerana masyarakat perlu sedar bahawa adalah penting untuk kita mengamalkan amalan suka berkongsi berbanding tabiat membuang barangan terpakai di rumah. Tambahan pula, kebanyakan barangan yang kita tidak perlukan ini adakalanya tidak pernah digunakan biarpun sekali atau masih dalam keadaan baik. Bukankah lebih bagus jika ia dapat digunakan oleh orang lain? Amalan tukar dan kongsi ini bukan sahaja dapat menggembirakan orang lain malah kita juga dapat memainkan peranan dalam mengurangkan sisa yang akan dihantar ke tapak pelupusan.

Pulau Pinang hanya mempunyai satu tapak pelupusan iaitu Pulau Burung dan dua stesen pemindahan sisa pepejal di Batu Maung untuk sebelah pulau dan Ampang Jajar di bahagian Seberang Perai. Tapak pelupusan di Pulau Burung merupakan satu-satunya kemudahan tapak pelupusan untuk seluruh Pulau Pinang dan ia menjadi lokasi terakhir kepada semua sisa domestik dan sisa organik dari sektor industri.

Secara purata, 1,800 tan metrik sisa dilupuskan di Pulau Burong setiap hari. Jika keadaan ini berterusan, kelestarian jangka panjang tapak pelupusan ini akan dipersoalkan kelak hari. Jangka hayat Pulau Burong kini telah menurun ke 37 tahun.

Kebimbangan yang sama juga dihadapi di seluruh negara. Terdapat sebanyak 150 buah pusat pelupusan sisa pepejal di seluruh negara, dimana kira-kira separuh atau 74 buah daripada pusat berkenaan dijangka akan mencapai jangka hayat penggunaan pada Tahun 2020. Pada 2018, empat buah pusat pelupusan sisa di Kedah, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan telah menamatkan operasi kerana telah mencapai jangka hayat penggunaan. Keadaan ini telah mencatatkan jumlah tapak pelupusan yang tidak lagi berfungsi meningkat kepada 165 buah.

Seperti yang anda lihat, kita berdepan dengan masalah pengurusan sisa dan masalah ini makin merisaukan apabila pertambahan populasi sehingga mengakibatkan lebih banyak sisa sampah di masa hadapan. Bagaimanakah generasi kita akan berhadapan dengan masalah ini? Negeri Pulau Pinang mempunyai tanah yang terhad dan amat susah untuk mendapat tanah baru untuk dijadikan tapak pelupusan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Dasar Pengasingan Sisa di Punca pada Jun 2016 untuk mengatasi masalah yang semakin meruncing ini dan kaedah ini adalah sebagai jalan penyelesaian untuk mengalih dan mengurangkan jumlah sisa ke tapak pelupusan. Dasar ini memberi tumpuan kepada pengurangan kos pelupusan sisa, sementara kita dapat membentuk industri kitar semula.

Saya sangat bangga kerana penduduk Pulau Pinang menyambut baik usaha ini. Purata kadar kitar semula di negeri ini merekodkan peningkatan dari 39.22% ke 42.69% pada tahun 2018 yang menjadikan Pulau Pinang jauh ke hadapan berbanding purata kebangsaan. Walaupun begitu, masih banyak lagi usaha yang perlu dilaksanakan. Selain amalan kitar semula yang dapat mengurangkan sisa, kita juga boleh memberi perhatian dalam usaha mengurangkan penghasilan sisa dengan mamaksimakan sumber yang sedia ada.

Bagi sisa merbahaya seperti pelupusan lampu kalimantang dan bateri, masih tiada undang-undang dan peraturan ditetapkan di Malaysia pada masa ini. Oleh itu, kita perlulah cakna bahawa barangan ini tidak boleh dianggap sebagai sisa umum kerana mengandungi bahan kimia yang akan mencemarkan air dan tanah. Saya merakamkan penghargaan terhadap usaha PGC yang memulakan kutipan TUBA (Tubes & Batteries) pada hari ini untuk menyediakan ruang kepada orang awam untuk melupuskan tiub lampu dan bateri. Saya juga berharap agar inisiatif ini dapat memberi lebih kesedaran kepada semua tentang pengurusan sisa elektronik terutamanya seiring dengan visi Pulau Pinang 2030 ke arah “Negeri Berorientasikan Kekeluargaan, Hijau dan Pintar untuk Inspirasi Negara”

Kita juga menggalakkan semua pihak untuk berusaha mengamalkan konsep 5R – Tolak, Kurangkan, Guna Semula, Pemulihan dan Kitar Semula. Berhenti seketika dan fikirlah sejenak sebelum kita membeli. Adakah kita perlukannya? Adakah akhirnya ia akan menjadi sisa yang tidak diperlukan?

Selain itu, tanggungjawab untuk mengasingkan sisa isi rumah kepada sisa umum dan kitar semula mestilah dipikul bersama dan tidak dipandang mudah supaya semua sisa-sisa tersebut dapat diuruskan dengan baik. Misi utama kita adalah untuk mencapai gaya hidup sisa sifar. Walaupun pencapaian ini bukanlah misi mudah, akan tetapi usaha kearah itu bakal mencipta satu perubahan yang besar kepada kelestarian alam sekitar di masa hadapan seperti bait lirik lagu dari Michael Jackson, “heal the world, make it a better place

Akhir kata, terima kasih kerana menjemput saya pada petang ini. Selamat berdagang kepada semua dan semoga kita dapat mencapai misi Pulau Pinang iaitu sisa sifar bersama!