Skip to content

Ucapan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sempena Majlis Penghormatan Negeri bagi mediang Karpal Singh A/L Ram Singh

Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang dengan penuh takzim menzahirkan rasa dukacita dan menyampaikan ucapan takziah kepada YBhg. Puan Gurmit Kaur dan keluarga atas pemergian mendiang YB Karpal Singh pada 17 April 2014 yang lalu.

Mendiang Karpal adalah Ahli Parlimen Bukit Gelugor dan Jelutong selama lapan (8) penggal serta pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri di Kedah dan Pulau Pinang untuk empat (4) penggal, bermula pada tahun 1974.

Karpal amat terkenal dengan ngaumannya yang garang dalam menegakkan keadilan dan memperjuangkan nasib golongan yang kurang berkemampuan sehingga ada kalanya sanggup mengorbankan dirinya untuk orang lain. Keunikan dan karismatik yang dimiliki oleh beliau, sukar dicari ganti dan kami akan menjadikannya sebagai inspirasi.

Pemergian beliau walaupun sukar untuk diterima dan meninggalkan titik pedih dalam hati kita semua, tetapi jasa dan bakti beliau akan kekal terpahat di sanubari kita semua.

Buat keluarga mendiang Karpal, takziah diucapkan. Kerajaan Negeri dan rakyat Negeri Pulau Pinang turut bersama-sama berkongsi kesedihan anda semua.

Saya ingin ucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas kehadiran Tun dan Toh Puan pada pagi yang mulia ini. Penghargaan juga kepada Jawatankuasa Pengkebumian Jenazah di bawah pimpinan Ahli EXCO YB Chow Kon Yeow dan juga daripada pihak pentadbiran di bawah Pegawai Kewangan Negeri Dato Mokhtar bin Jait. Saya ingin minta keizinan Tuan Yang Terutama Tun untuk benarkan saya teruskan ucapan dalam Bahasa Inggeris.