Skip to content

Ucapan oleh Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong Sze Phin di Tayangan FreedomFilmFest 2015

Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Pengarah Festival ini di Kota Kinabalu saudari Lena Hendry kerana sudi menjemput saya untuk memberikan ucapan. Saya difahamkan, festival filem ini telah diadakan 13 tahun lalu dan sudah ditayangkan di Sabah sejak empat tahun lalu.

Saya dimaklumkan, malam ini akan ada lima tayangan dokumentari. Saya percaya ramai memiliki kecenderungan meminati tayangan dokumentari pendek kerana ia bukan sahaja berdurasi pendek tatapi mampu untuk memberikan mesej dan maklumat yang padu kepada penonton.

Saya berasa teruja untuk menonton dokumentari yang diusahakan oleh Nizam dan Andrew Atama mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Pendatang Tanpa Izin.

Untuk pengetahuan anda, DAP amat konsisten dan sering menyuarakan isu pendatang asing tanpa izin dan menggesa agar Suruhanjaya Siasatan di Raja (RCI) ditubuhkan untuk menjalankan siasatan terperinci terhadap isu PATI dan ‘Projek IC’. Sehinggalah akhirnya kerajaan tubuhkan jawatankuasa terdiri dari 5 orang ahli. Laporan berhubung RCI Pendatang Tanpa Izin Sabah telah pun dikeluarkan pada 3 Disember 2014.

Saya meneliti dokumen itu untuk melihat hukuman terhadap mereka yang bersalah namun saya hampa. Di manakah keadilan? Adakah Sabah layak diberi layanan sebengini? Tidak lama lagi, Sabahan akan lupa dengan apa yang berlaku. Hanya gajah sahaja yang memiliki memori yang lama…

Bukan satu lagi rahsia, masyarakat Orang Asal di Penampang mengadu bahawa kawasan mereka dibanjiri dengan “Kedai Runcit Pakistan”. Orang Asal pula sedang berjuang demi tanah mereka (NCR). Perkara ini akan jadi polemik yang lebih besar. Segalanya sedang berlangsung, dalam akhbar, kita banyak laporan berhubung konflik antara Orang Asal dan perampas tanah.

Saya berasa gembira tayangan malam ini mempunyai kaitan dengan apa yang saya katakan sebentar tadi. Dalam memperjuangkan hak Orang Asal, DAP Sabah melalui Majlis Perundingan Orang Asal sedang menjalankan kempen Batu Sumpah.

Kami ingin menyedarkan Orang Asal dan seluruh rakyat Malaysia serta kerajaan supaya sedar dan bertindak terhadap tiga jaminan melibatkan kebebasan beragama, isu tanah dan menghormati adat istiadat Orang Asal. Ia adalah perundangan tradisional masyarakat orang asal.

Saya berharap FreedomFilmFest boleh mengambil inisiatif mendokumentasikan mengenai keunikan Batu Sumpah yang akan memberikan impak dan kesan yang dalam kepada hati dan minda masyarakat.

Saya ingin mengucapkan tahniah kepada penganjur malam ini kerana menghasilkan dokumentari yang sangat relevan buat masa ini dan masa akan datang. Segala isu yang dibawakan dokumentari-dokumentari ini bertujuan memberikan makna yang dalam buat penonton terutamanya yang melaluinya sendiri. Bagi generai muda dan generasi akan datang, dokumentari-dokumentari ini memberikan mereka maklumat, kesedaran dan pemahaman terhadap apa yang berlaku dalam tahun-tahun yang lepas.

Selamat menonton dan terima kasih.