Selamat pagi, salam sejahtera, salam bersih dan salam ubah kepada Setiausaha Agong DAP, pemimpin-pemimpin PKR dan PAS, ahli-ahli Jawatankuasa DAP Negeri Selangor, para perwakilan konvensyen dan rakan-rakan sekalian.
Konvensyen Biasa Negeri Selangor ini sepatutnya diadakan pada tarikh yang lebih awal tetapi ia ditunda kerana kita menunggu Pilihan Raya Umum ke-13, dan kemudian dikacau-ganggu oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) atas keputusan pemilihan Kongres DAP pada Disember 2012, sehingga parti kita terpaksa mengadakan Kongres semula pada September tahun ini. Gangguan tersebut menyebabkan konvensyen biasa dan pemilihan DAP peringkat negeri ditunda sehingga akhir tahun ini.
Saudara-saudari sekalian, bila kita berhimpun dalam Konvensyen DAP Selangor kita yang lepas, iaitu pada November 2012, kita masih menanti-nantikan Pilihan Raya ke-13 dan kita berada dalam keadaan yang tidak pasti. Selain daripada serangan yang kuat daripada pemimpin UMNO dan Barisan Nasional, kita masih ingat kesemua kenyataan Pemimpin BN dan UMNO Selangor yang penuh keyakinan bahawa BN akan rampas balik Selangor daripada Pakatan Rakyat.
Penganalisaan Keputusan PRU 13 di Selangor
Syukur pada Tuhan, keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 pada 5 Mei tahun ini membuktikan bahawa pengundi di Negeri Selangor telah memberi sokongan yang kuat kepada Pakatan Rakyat, di mana Pakatan Selangor bukan sahaja kekalkan pentadbiran kita di Negeri Selangor, tetapi kita malah menang dengan lebih undi dan lebih kerusi berbanding dengan PRU ke-12 pada tahun 2008.
Dari segi undi, sokongan Barisan Nasional telah jatuh 5.3% berbanding dengan tahun 2008. Dari segi kerusi DUN, kerusi PAS bertambah daripada 8 ke 15, kerusi DAP bertambah daripada 13 kepada 15, kerusi PKR hanya kurang satu, iaitu daripada 15 ke 14. Jumlah kerusi Pakatan Rakyat di Selangor bertambah daripada 36 kepada 44.
KERUSI PARLIMEN YANG DIMENANGI OLEH DAP DI SELANGOR
| No | Kerusi | Pemilih berdaftar | Jumlah undi diperolehi | Majoriti |
| 1. | P.102 SERDANG | 133,139 | 79,238 | 42,206 |
| 2. | P.103 PUCHONG | 107,010 | 62,938 | 32,802 |
| 3. | P.106 PETALING JAYA UTARA | 85,401 | 57,407 | 44,672 |
| 4. | P.110 KLANG | 97,073 | 53,719 | 24,685 |
KERUSI DUN YANG DIMENANGI OLEH DAP DI SELANGOR
| No | Kerusi | Pemilih berdaftar | Jumlah undi diperolehi | Majoriti |
| 1. | N.04 SEKINCHAN | 16,247 | 8,107 | 2,239 |
| 2. | N.06 KUALA KUBU BAHARU | 21,186 | 9,469 | 1,702 |
| 3. | N.22 TERATAI | 40,862 | 23,578 | 13,646 |
| 4. | N.27 BALAKONG | 42,829 | 25,126 | 13,542 |
| 5. | N.28 SERI KEMBANGAN | 37,042 | 27,406 | 22,078 |
| 6. | N.30 KINRARA | 34,241 | 22,333 | 14,604 |
| 7. | N.31 SUBANG JAYA | 61,688 | 40,366 | 28,069 |
| 8. | N.34 BUKIT GASING | 34,584 | 21,168 | 15,842 |
| 9. | N.35 KAMPUNG TUNKU | 32,007 | 19,762 | 13,685 |
| 10. | N.36 DAMANSARA UTAMA | 53,394 | 37,303 | 30,689 |
| 11. | N.44 SUNGAI PINANG | 27,404 | 17,364 | 11,309 |
| 12. | N.47 PANDAMARAN | 27,594 | 16,311 | 9,176 |
| 13. | N.48 KOTA ALAM SHAH | 29,507 | 18,971 | 13,369 |
| 14. | N.52 TELUK DATUK | 24,340 | 13,155 | 5,391 |
| 15. | N.56 SUNGAI PELEK | 23,749 | 10,997 | 1,972 |
Dari segi sokongan yang diperolehi oleh calon DAP di Selangor, DAP bukan sahaja berjaya mempertahankan 2 kerusi marginal iaitu Sekinchan dan Teluk Datuk yang kita menang dengan sokongan yang tipis pada PRU12, tetapi kita menang dengan majoriti yang lebih besar pada kali ini.
Selain itu, kita juga mencipta sejarah dengan menembusi kubu kuat BN di kawasan DUN Kuala Kubu Bahru dan DUN Sungai Pelek dengan majoriti sebanyak 1,702 dan 1,972 masing-masing.
DAP Mesti Berusaha Bersungguh-sungguh di Kawasan Melayu & Membantu Rakan Parti Untuk Menawan Kawasan Yang Pernah Dimenangi Oleh Pakatan Rakyat
DAP mesti berusaha dengan lebih kuat dan memperkukuhkan lagi sokongan di kalangan pengundi Melayu, khususnya di kawasan Parlimen dan DUN yang mempunyai lebih 30% pengundi Melayu di Selangor. Ini termasuk kawasan Parlimen Puchong, Serdang dan Klang; dan juga kawasan DUN, iaitu: Sekinchan, Kuala Kubu Baharu, Teratai, Balakong, Sungai Pinang dan Sungai Pelek.
Di PRU 13, sokongan DAP di kalangan pengundi Melayu di Selangor adalah kurang daripada 40%. Kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh di kawasan dan masyarakat Melayu supaya kita boleh mendapat sokongan pengundi Melayu sebanyak 50% dalam PRU14.
Pada masa yang sama, DAP Selangor juga mesti memainkan peranan untuk membantu rakan-rakan parti Pakatan Rakyat untuk memenangi sokongan di kawasan-kawasan yang Pakatan Rakyat kalah kepada Barisan Nasional dalam PRU 13 ini. Ini termasuk kawasan Parlimen Hulu Selangor dan kawasan Parlimen Kuala Selangor, kawasan DUN Bukit Melawati dan Kota Damansara yang pernah dimenangi oleh Pakatan Rakyat dalam PRU 12. Selain itu, kita juga haruslah membantu di kawasan Parlimen yang marginal, seperti Sungai Besar dan Sabak Bernam; dan juga kawasan DUN marginal yang lain seperti Sungai Panjang, Permatang, Kuang dan Dengkil.
Pakatan Selangor Mesti Memastikan Persempadanan Kawasan Parlimen dan DUN Dilaksanakan Secara Adil
Satu lagi cabaran besar bagi Pakatan Rakyat Selangor ialah untuk memastikan persempadanan untuk kerusi Parlimen dan DUN diadakan secara adil sebelum PRU 14. Pada waktu sekarang, 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Negeri Selangor mempunyai jumlah pengundi yang lebih daripada 100,000 orang, termasuk dua kerusi Parlimen DAP, iaitu Serdang dan Puchong.
Dari segi Kawasan DUN pula, terdapat 22 kerusi DUN mempunyai jumlah pengundi yang melebihi 40,000 orang, termasuk 4 kerusi DUN DAP, iaitu Teratai, Balakong, Subang Jaya dan Damansara Utama.
Kita mesti memastikan bahawa kerusi ditambah secara telus dan adil di kawasan-kawasan ini supaya pengundi dan warga di Selangor tidak dipinggirkan dari segi perwakilan di Parlimen dan DUN.
Ini juga bermaksud bahawa parti kita mestilah menambahkan jentera parti kita di kawasan-kawasan yang berkemungkinan akan dipersempadanan semula atau dipecah kepada dua atau tiga kawasan.
Pakatan Rakyat Mesti Membuktikan Kita Mampu Mentadbir Dengan Keberkesanan, Kecekapan dan Ketelusan (Efficiency, Competency and Integrity)
Keputusan PRU ke-13 menunjukkan bahawa pengundi menerima-baik dasar dan prestasi Pakatan Rakyat sejak 2008.
Keputusan PRU 13 bukan sahaja menunjukkan bahawa pengundi di Selangor menghendaki Pakatan rakyat untuk terus mentadbir negeri yang paling kaya di Malaysia ini, tetapi mereka juga menghendaki kerajaan Pakatan Rakyat yang lebih kuat.
Kita berterima kasih kepada pengundi di Selangor yang telah memberi mandate dan keyakinan kepada kita. Kita mesti sedar bahawa mereka mempunyai jangkaan (expectation) yang lebih tinggi terhadap kami kerana Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor telah memasuki penggal yang kedua.
Kerajaan Pakatan Rakyat mesti membuktikan bahawa kita responsif terhadap permintaan dan suara rakyat. Kita mesti terus membuktikan kepada seluruh masyarakat Malaysia bahawa Pakatan Rakyat mampu mentadbir negeri Selangor dengan keberkesanan, kecekapan dan ketelusan, supaya kita boleh menggunakan rekod kami yang cemerlang ini untuk membuktikan kepada rakyat di seluruh Malaysia bahawa kita mampu menawan Putrajaya.
Saya ingin menyeru ahli-ahli exco dan para ADUN kita untuk mengikuti /membuat “follow-up” atas kes dan rintihan rakyat di kawasan kita masing-masing, dan beberapa projek yang diharap-harapkan oleh warga di Negeri Selangor tetapi masih tidak dilaksanakan.
Tibalah Masa Untuk Membalas Balik Kepada ROS: “Enough is Enough”!
Saudara-saudari sekalian, kita telah lihat cara Pendaftar Pertubuhan (ROS) mencari pasal dan mengganggu DAP selama beberapa bulan atas masalah teknikal pengiraan undi dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), tetapi Laporan Ketua Audit Negara 2012 menunjukkan bahawa ROS sebenarnya tidak cekap dari segi perlaksanaan dan penguatkuasaan. Semakan Ketua Audit Negara terhadap fail yang disimpan di Putrajaya, Pulau Pinang, Johor dan Pahang menujukkan terdapat 90 persatuan tidak menghantar apa-apa laporan kepada ROS dan ROS tidak mengeluarkan apa-apa notis kepada persatuan-persatuan tersebut.
Jadi bolehkah ROS menafikan ia tidak mempraktikkan “penindasan secara pilihan” (selective persecution) ataupun ‘double standards” bila ia menyiasat aduan terhadap DAP begitu bersungguh-sungguh?
Media telah melaporkan tentang ketidaktetapan dalam pemilihan CWC di MIC baru-baru ini, iaitu dalam pemilihan jawatan Naib Presiden, perbezaan undi wujud dalam ketiga-tiga pusing pengiraan semula. Dalam pengiraan kali terakhir, malah wujudnya penambahan undi yang lebih daripada 70 undi. Keadaan ini menyebabkan salah seorang calon Naib Presiden MIC, T. Mohan mendesak MIC untuk mengadakan pemilihan CWC semula untuk menyelamatkan imej MIC.
Bukankah ini ketidaktetapan yang serius? Kenapakah ROS diam dalam isu ini sahaja? Apa yang telah dilakukan oleh ROS? Kenapakah ia hanya berminat pada DAP?
Arahan ROS yang terbaru yang yang melarang Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) daripada membuat apa-apa keputusan menunjukkan niat buruk dan “double standards” ROS terhadap DAP.
Tibalah waktunya bagi DAP untuk menjerit kepada ROS, “enough is enough”! Kita mendesak ROS untuk membatalkan arahan terbarunya ini. Kalau tidak, kita menyeru Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) untuk mengambil tindakan Mahkamah terhadap ROS.
DAP Selangor Harus Masuk Kampong & Menghulurkan Bantuan Kepada Penduduk Luar Bandar di Negeri Lain
Saudara-saudari sekalian, apabila kita menjadi lebih mantap di Negeri Selangor, kita haruslah hulurkan bantuan kepada rakan-rakan kita di luar Bandar dan di negeri lain, demi merealisasikan impian kita untuk membawa “Ubah” di Malaysia.
Di sini saya ingin memuji initiatif DAPSY Selangor atas usaha mereka untuk mengutip derma dan menghantar barangan dan makanan ke tempat banjir di Negeri Pahang. Dalam Konvensyen kita hari ini, kita akan mengadakan kutipan derma daripada saudara-saudari untuk membantu mangsa banjir di Negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan. Saya ingin menyeru para perwakilan dan pemimpin cawangan kita untuk memberi derma dengan murah hati.
Hari ini juga merupakan hari terakhir penggal saya sebagai pengerusi DAP Selangor. Saya tidak bertanding kerana saya mesti pindah keahlian saya ke kawasan di mana saya menjadi wakil rakyat sebagaimana yang dihendaki oleh parti.
Saya ingin mengambil kesempatan untuk berterima kasih kepada anggota Jawatankuasa DAP Negeri Selangor dan ahli-ahli DAP Selangor atas kerjasama anda semua kepada saya dalam 3 tahun yang lepas. Walaupun saya tidak dapat berada di Jawatankuasa DAP Selangor, saya tetap akan membantu DAP Selangor dan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bila perlu, kerana Negeri Selangor adalah amat penting bagi Pakatan Rakyat dan dalam misi Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya.
Saya juga ingin menyalurkan lebih masa dan tenaga saya untuk membantu rakan-rakan DAP dan Pakatan Rakyat untuk menerokai kawasan pendalaman di Negeri Sabah dan Sarawak. Mengikut kajian Sdr Ong Kian Ming, satu undi di luar Bandar bersamaan dengan 6 undi di Bandar.
Saya ingin menjemput rakan-rakan DAP Selangor untuk menyertai projek Impian Sarawak dan Impian Sabah yang telah dijalankan secara rancak yang diketuai oleh Sdr Tony Pua dan Sdri Yeo Bee Yin. Pengundi di kawasan pendalaman di Negeri Sabah dan Sarawak memegang kunci untuk Perubahan, dan kita semua di Selangor mempunyai tanggungjawab untuk membantu mereka dan membuka minda mereka terhadap realiti politik Malaysia demi merealisasikan objektif kita untuk menawan Putrajaya.
Akhirnya, saudara-saudari sekalian, kita “Lawan Tetap Lawan, Lawan Sampai Menang!!” Sekian, terima kasih.