Skip to content

Ucapan oleh Phee Boon Poh, EXCO Alam Sekitar dan Kebajikan Negeri Pulau Pinang merangkap Naib Pengerusi Penang Green Council semasa pelancaran rasmi ‘Kempen Hari Tanpa Kertas Resit Pulau Pinang’ pada 1 Jun 2023 di Auditorium C, KOMTAR

Selamat pagi, tuan-tuan dan puan-puan. Terima kasih kerana meluangkan waktu pada hari ini untuk menghadiri majlis pelancaran rasmi Kempen Hari Tanpa Kertas Resit Pulau Pinang. Saya amat teruja untuk melancarkan inisiatif oleh Penang Green Council dan AI Softbox untuk mempromosikan resit tanpa kertas dan digitalisasi yang mana seiring dengan visi Penang 2030, menjadikan Pulau Pinang negeri hijau dan pintar yang dapat menginspirasikan negara.

Kertas resit merupakan item kecil yang selalu kita abaikan setelah diterima. Tanpa anda sedari, ianya juga merupakan barangan sekali guna! Sekeping kertas resit menghasilkan 2.5g karbon untuk sepanjang hayatnya, iaitu dari penghasilan, penghantaran, dan selalunya ianya akan dibuang ke dalam tong sampah sebelum dihantar ke tapak pelupusan sampah sebagai sisa am.

Salah satu kebimbangan kami apabila kertas resit ini boleh membahayakan kesihatan kita dan alam sekitar bilamana kebanyakan kertas resit menggunakan kertas ‘thermal’ yang bersalut BPA – bahan kimia yang bertoksin untuk manusia dan alam sekitar. Kertas resit BPA ini dianggap sebagai sisa am kerana ianya tidak boleh dikitar semula disebabkan oleh kandungan bahan yang boleh mencemarkan sistem kitar semua kertas.

Merujuk kepada Forbes.com, di Amerika Syarikat sahaja, penghasilan kertas resit dianggar menggunakan 12.4 juta pokok, 13.2 bilion gelen air, dan mengeluarkan 4 bilion ‘pound’ karbon dioksida setiap tahun. Oleh yang demikian, kami amat berharap agar para pelanggan dapat beralih menggunakan resit digital dan menggalakkan peniaga untuk beralih ke cara digital apabila mampu untuk menjimatkan penggunaan kertas dan secara tidak langsung, menjimatkan kos.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Hari ini, kita disini bersama-sama berkongsi matlamat yang sama: untuk menghapuskan kertas resit dan turut mengurangkan sisa di Pulau Pinang. Terdapat penyelesaian untuk masalah ini, dan kita berharap agar lebih ramai peniaga dapat menyokong inisiatif ini untuk membentuk komuniti hijau. Kempen Hari Tanpa Kertas Resit Pulau Pinang adalah peluang pendidikan yang baik yang bukan hanya mewujudkan kesedaran di kalangan orang awam, tetapi juga merupakan peluang untuk mereka memulakan tabiat hijau yang baru.

Kempen ini memainkan peranan penting untuk mewujudkan impak disamping menginspirasikan lebih banyak perniagaan menjadi sebahagian dari komuniti pembayaran sisa sifar. Kita sudah terbiasa menggunakan wang tunai dan kad kredit untuk membuat pembayaran, malahan terus ke bank untuk mendapatkan pekhidmatan. Tetapi kini setelah memiliki e-dompet, pembayaran atas talian dan perkhidmatan “duitnow”, kenapa tidak kita menjadikan e-resit sebagai satu norma baru? Seperti yang diumumkan oleh LHDN pada Mac tahun ini, pembayar cukai tidak lagi diperlukan untuk menyimpan salinan fizikal invois, baucer dan resit selama tujuh tahun apabila LHDN telah memperkenalkan inisiatif “e-invois” yang akan bermula pada awal tahun depan. Ini merupakan satu lagi inisiatif hebat dan sebab mengapa kita menyokong resit tanpa kertas di Pulau Pinang.

Kami percaya bahawa terdapat perniagaan dan kedai di Pulau Pinang yang telah memimpin usaha mengurangkan kertas dalam mekanisma pembayaran mereka. Melalui kempen ini, kami bermatlamat untuk menyokong dan menggalakkan lebih ramai orang membuat perubahan untuk alam sekitar dengan mengambil langkah pertama dan menyatakan tidak kepada kertas resit. Tindakan ini memerlukan kerjasama daripada pengguna dan peniaga untuk direalisasikan. Seperti yang selalu kita katakan: Tiada permintaan bermakna tiada bekalan. Dengan mendidik para pelanggan, kita dapat mencapai matlamat kita dengan cara yang lebih efisien.

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada 200 peniaga-peniaga dan kedai-kedai yang telah mengambil bahagian dalam kempen ini dari 1 Jun sehingga 31 Ogos. Tahniah diucapkan kepada Penang Green Council, AI Softbox, Digital Penang, and JCIUP atas usaha sama yang dijalinkan untuk kempen ini. Amatlah penting untuk kita mengambil tindakan dan tidak hanya bercakap kosong. Kita dapat mencapai kejayaan untuk Kempen Tanpa Beg Plastik, dan saya percaya, kita boleh melakukannya lagi.

Terima kasih semua.