Skip to content

Ucapan oleh Setiausaha Agung DAP & Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada hari Rabu, 15 Julai 2020

Tuan Yang Di-Pertua,

[Terima kasih kepada Tuan Yang Di-Pertua]

Tahun 2020 adalah tahun yang mencabar bagi sesiapa yang menjadi pihak kerajaan. Ramai menjangkakan kemelesetan ekonomi yang kita hadapi sekarang akan menjadi lebih teruk daripada Krisis Kewangan Asia yang berlaku pada akhir tahun 1990-an.

UNJURAN KDNK 2020 MALAYSIA

Pada bulan Mac lalu, Bank Negara Malaysia mengunjurkan kadar keluaran dalam negara kasar Malaysia bagi tahun 2020 berada dalam lingkungan 0.5% dan -2.0%. Walaupun BNM mempunyai kepakaran untuk membuat unjuran ekonomi, mustahil angka tersebut mampu mengambil kira segala perkembangan dalam bulan-bulan kemudiannya, di mana keadaan ekonomi telah menjadi lebih buruk akibat wabak COVID-19.

Hal ini telah diambil kira oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Pada bulan April, IMF mengunjurkan KDNK Malaysia tahun 2020 akan merudum sebanyak 1.7%. Tetapi pada bulan Jun, mereka telah menurunkan lagi unjuran mereka kepada -3.8%. Ada kemungkinan angka ini berubah lagi. IMF sendiri mengaku bahawa terdapat banyak ketidaktentuan buat masa ini untuk membuat unjuran yang tepat.

Pada suku pertama 2020, KDNK negara hanya berkembang sebanyak 0.7% tahun-ke-tahun. Suku kedua akan menunjukkan penurunan yang mendadak. Ini telahpun berlaku di negara jiran. Kadar KDNK suku kedua untuk Singapura telah jatuh 12.6% berbanding tahun sebelumnya. Ini adalah satu perkara yang amat luar biasa.

Kebimbangan terhadap keadaan ekonomi negara jelas terbukti apabila BNM menurunkan Kadar Dasar Semalam sebanyak 25 mata peratus kepada 1.75% pada 7hb Julai 2020. Ini berikutan potongan kadar sebanyak 50 mata peratusan pada kepada 2.00% pada bulan Mei. Ringgit pula berada pada paras terlemah berbanding dolar Amerika Syarikat sejak 2016-2017. Pada akhir 14 Julai 2020, USD1 bersamaan dengan MYR4.27.

Kita mesti berhati-hati dan bersedia menghadapi senario yang lebih buruk lagi. Perlu ditekankan bahawa kita berada dalam satu kemelesetan ekonomi sejak Mac 2020. Janganlah kita terbawa-bawa percaya kepada pemulihan ekonomi berbentuk V.

INDEK PELOPOR DAN SERENTAK

Walaupun secara teknikalnya kemelesetan didefinisikan sebagai kemerosotan KDNK selama 2 suku berturut-turut, kita tidak mempunyai masa untuk tunggu 6 bulan sebelum bertindak.

Hakikatnya, indeks pelopor telah susut 5.5% tahun-ke-tahun manakala indeks serentak jatuh 19.3% tahun-ke-tahun pada bulan April. Ini adalah bulan kedua berturut-turut kedua-dua indeks tersebut jatuh dan membayangkan berlakunya kemelesetan ekonomi.

PENGELUARAN INDUSTRI

Sektor perindustrian negara pula telah merosot selama 3 bulan berturut-turut sejak Mac 2020. Indeks pengeluaran perindustrian masing-masing telah jatuh 4.9%, 32.0% dan 22.1% tahun-ke-tahun pada bulan Mac, April dan Mei 2020.

EKSPORT

Pengeluaran perindustrian berkaitan rapat dengan eksport dan trend yang sama dapat diperhatikan dalam statistik perdagangan luar negara. Eksport negara juga masing-masing merudum sebanyak 4.7%, 23.9% dan 25.5% tahun-ke-tahun pada bulan Mac, April dan Mei.

PENGANGGURAN

Perkembangan buruk sedemikian menggugat kebajikan rakyat dari segi peluang pekerjaan dan pendapatan.

Jabatan Perangkaan Malaysia telah mengumumkan bahawa kadar pengangguran negara telah meningkat secara mendadak daripada 3.2% pada bulan Januari 2020 kepada 5.0% pada bulan April, dan seterusnya kepada 5.3% pada bulan Mei. Kadar ini bersamaan dengan 830,000 orang.

Kadar terbaharu ini sungguh membimbangkan dan yang tertinggi dalam masa beberapa dekad. Ia dijangka akan terus meningkat kerana masih banyak syarikat lagi dalam proses membuang pekerja. Sebagai contoh, Astro Awani pada bulan lepas melaporkan AirAsia merancang untuk membuang 300 pekerja mereka, termasuk 50 jurutera.

Malah kita perlu sedar pada bulan Mei, hampir 2.3 juta orang di Malaysia berisiko tinggi untuk kehilangan kerja mereka. Jabatan Perangkaan tidak mengelaskan kumpulan sebagai penganggur kerana mereka diandaikan hanya berhenti untuk sementara (atau dengan kata lain, furlough) dan dijangka akan kembali ke tempat kerja mereka dalam masa terdekat. Ini adalah satu perkara yang meruncingkan. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, andaian tersebut berkemungkinan kurang tepat. Bayangkan. Jika hanya 10% daripada 2.3 juta orang tersebut diberhentikan secara terus, kadar pengangguran akan naik dan menghampiri kadar 7%.

Tambahan lagi, kadar penyertaan buruh telah jatuh 1 mata peratusan daripada 69.0% pada Januari 2020 kepada 68.0% pada Mei 2020. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada penurunan kadar penyertaan tersebut tetapi satu faktor yang patut diperhatikan apabila ekonomi merudum adalah mereka yang telah berputus asa dalam mencari pekerjaan. Mereka ini dinamakan pekerja tak giat (atau lebih dikenali sebagai discouraged workers).

Bukan semua kumpulan terkesan secara sama rata. Golongan belia antara golongan yang terdedah dalam hal ini. Pada bulan April apabila kadar pengangguran kebangsaan meningkat kepada 5.0% daripada 3.9% dalam bulan Mac, kadar untuk golongan belia berumur dari 15 ke 30 tahun 7.8% kepada 9.0% (Rujukan 1).

Kadar pengangguran berdasarkan kumpulan Mac 2020 April 2020
Semua 3.9% 5.0%
15-30 tahun (Belia) 7.8% 9.0%

Rujukan 1

Masalah pasaran pekerjaan bukan sahaja melibatkan pengangguran dan kehilangan kerja. Bagi yang bekerja, pendapatan bulanan mereka terancam. Sebagai contoh dalam sektor pembuatan, 10.6% daripada responden bagi satu kaji selidik mengatakan gaji mereka telah dipotong. Kajian tersebut diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan pada bulan April 2020.

TINDAK BALAS KERAJAAN LAMBAT, TIDAK MENCUKUPI & KURANG BERKESAN

Jika ia tidak diatasi dengan cepat, peningkatan pengangguran ini akan menggugat kestabilan sosial negara. Malangnya, tindak balas kerajaan terhadap kemelesetan ekonomi ini kelihatan kurang berkesan dan lambat. Sebagai contoh, rang undang-undang COVID-19 yang diperlukan bagi memberikan pelepasan sementara daripada obligasi kewangan dan perjanjian belum lagi dibentangkan dan diluluskan dalam Dewan ini. RUU ini antara lain diperlukan bagi mengurangkan kemungkinan syarikat-syarikat swasta daripada jatuh muflis dan terpaksa membuang kerja.

Walaupun RUU tersebut masih diperlukan sekarang, ia sepatutnya dibentangkan telah seawal bulan Mac seperti negara-negara lain. Ini penting bagi mengelakkan kemelesetan ekonomi negara daripada menjadi lebih teruk daripada sepatutnya.

Saiz subsidi upah juga perlu dibesarkan dan dipanjangkan bagi menggelakkan kadar pengangguran daripada terus naik lagi. Sekurang-kurangnya, program tersebut perlu dilanjutkan sehingga ekonomi mula pulih. Dan kita belum lagi nampak sebarang pemulihan berlaku.

LANJUTKAN MORATORIUM

Memandangkan situasi ekonomi kian memburuk, saya mencadangkan supaya tempoh moratorium ke atas pembayaran pinjaman dilanjutkan selama 6 bulan lagi. Amat jelas ramai rakyat Malaysia dan perniagaan tempatan belum lagi bersedia apabila tempoh moratorium tamat kelak.

Malah terdapat banyak perniagaan mengadu kepada saya tentang bagaimana mereka masih lagi tidak mendapat manfaat daripada moratorium tersebut. Saya berharap Kerajaan dapat berbincang dengan Bank Negara dan sektor perbankan secara amnya untuk memastikan seramai mungkin mendapat faedah daripada moratorium tersebut.

NAIKKAN REBAT BIL ELEKTRIK

Selain moratorium, ramai rakyat tidak puas hati dengan bil elektrik mereka yang meningkat secara luar biasa kebelakangan ini. Mereka merasakan rebat RM77 sebulan tidak mencukupi memandangkan bil mereka naik mendadak mencapai ratusan ringgit. Ada isi rumah yang mengadu bil mereka naik melebihi seribu ringgit. Apalah RM77 apabila bil melambung sedemikian?

Bagi meringankan beban isi rumah rakyat Malaysia, saya cadangkan Kerajaan menaikan jumlah rebat sekurang-kurangnya sekali ganda kepada RM154 sebulan daripada RM77 sekarang.

PERBELANJAAN DAN KEWANGAN KERAJAAN

Semasa berlakunya krisis ekonomi terutamanya dalam keadaan luar biasa sekarang, kerajaan mesti bertindak pantas dan berani berbelanja. Ini sesuai dengan dasar kitaran balas yang bertujuan untuk menstabilkan ekonomi. Menurut laporan berita, YB Senator Menteri Kewangan telah menyatakan bahawa kadar defisit fiskal berbanding KDNK tahun 2020 akan mencecah 6.0% berbanding 3.4% pada tahun 2019.

Kenaikan defisit fiskal ini diperlukan dan malah saya fikir mungkin perlu dilebarkan lagi memandangkan sebahagian besar daripada kenaikan kadar defisit fiskal tersebut adalah akibat kemerosotan nilai KDNK merosot, dan bukannya perbelanjaan tambahan.

Tetapi ketelusan juga penting bagi memastikan segala perbelanjaan kerajaan benar-benar sampai ke rakyat jelata. Antara persoalan yang perlu dijawab adalah demi prinsip ketelusan adalah:

a. Berapakah unjuran saiz baki semasa kerajaan (current balance) untuk tahun 2020?

b. Bagaimanakah kerajaan akan mengimbangi baki semasa apabila pendapatan berkurangan tetapi perbelanjaan meningkat melebihi had yang dibenarkan belanjawan 2020? Untuk pengetahuan Tuang Yang Di-Pertua, pendapatan kerajaan pada suku pertama 2020 jatuh 29% kepada RM45.3 bilion sahaja daripada RM63.7 bilion berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

c. Adakah subsidi upah dibiayai melalui perbelanjaan pengurusan?

d. Bilakah Belanjawan 2020 akan disemak semula bagi menaikkan had perbelanjaan?

e. Jika ia tidak boleh diimbangi, adakah kerajaan akan menggubal undang-undang untuk memberikan kerajaan kelonggaran untuk berbelanja?

Saiz baki semasa kerajaan terutamanya membimbangkan. Pada suku tahun pertama 2020, data awam menunjukkan ia berada dalam keadaan defisit yang besar, iaitu sebanyak -RM17.2 bilion. Walau angka ini perlu dilihat dari sudut tahunan, jumlah -RM17.2 ini jauh berbeza daripada nilai biasa bagi sesuatu suku tahunan. Sebagai perbandingan, baki semasa untuk suku pertama 2019 adalah RM4.3 bilion, kedua -RM3.3 bilion, ketiga RM0.0 bilion dan keempat RM0.1 bilion (Rujukan 2).

S1 2019 S2 2019 S3 2019 S4 2019 S1 2020
Baki semasa RM4.3b -RM3.3b RM0.0b RM0.1b -RM17.2b

Rujukan 2

HUTANG DAN LIABILITI KERAJAAN

Bercakap tentang ketelusan, Kerajaan harus terus melaporkan nilai hutang langsung dan juga liabiliti lain seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan. Saya berharap nilai terbaharu bagi akhir-Jun 2020 perlu dikongsikan di Parlimen. Pelaporan hutang dan liabiliti kerajaan berkala adalah penting sebagai sebahagian daripada usaha untuk beralih daripada akaun asas tunai kepada akaun asas akruan yang lebih telus dan komprehensif

Hutang langsung kerajaan telah meningkat daripada RM793.0 bilion pada akhir 2019 kepada RM823.8 bilion pada akhir Mac 2020. Jumlah besar hutang langsung berkemungkinan akan melepasi had 55% berbanding KDNK yang diguna pakai kerajaan.

Di sini, saya ingin mengetahui bilakah pihak kerajaan akan menaikan had tersebut seperti yang dilakukan pada tahun 2008 dan 2009? Untuk pengetahuan umum, had hutang langsung telah ditetapkan pada 40% berbanding KDNK pada tahun 2003. Ia telah dinaikkan ke pada 45% pada tahun 2008 dan seterusnya kepada 55% pada tahun 2009 (Rujukan 3).

Tahun Had hutang langsung berbanding KDNK
2003-2007 40%
2008 45%
2009-sekarang 55%

Rujukan 3

Saya berhadap sebarang kenaikan had hutang langsung dapat dibincangkan dalam Dewan ini.

PENUTUP

Saya berharap pihak kerajaan akan telus menjawab persoalan yang ditimbulkan saya dan ahli-ahli dewan yang lain. Soalan-soalan ini penting bagi memahami kesan kemelesetan ekonomi ke atas rakyat dan juga kerajaan.

Terima kasih.