Skip to content

Ucapan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semasa perbahasan Bajet Tambahan 2014

Kualiti Sistem Pendidikan Malaysia Yang Merosot Membawa Ancaman Ekonomi Yang Sama Besar Dengan Peningkatan Hutang Isi Rumah Yang Mampu Merosakkan Wawasan 2020 Untuk Mentransformasikan Malaysia Kepada Negara Maju.

DAP tidak bersetuju dengan Bank Dunia bahawa kualiti sistem pendidikan Malaysia yang merosot adalah lebih membimbangkan berbanding tahap hutang isi rumah. Dr Frederico Gil Sander yang merupakan ahli ekonomi kanan Bank Dunia bagi negara Malaysia, menjelaskan bahawa sistem pendidikan negara kita yang substandard akan memberi kesan dari segi ketersediaan modal insan mahir yang diperlukan untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang diperlukan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi, sementara tahap hutang isi rumah yang tinggi tidak semestinya menjadi masalah sekiranya ekonomi terus bertumbuh dan rakyat mempunyai pekerjaan. Malaysia mencatat hutang isi rumah yang kedua tertinggi di Asia daripada 81.1% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2012 kepada 86.8% KDNK pada tahun 2013.

DAP percaya bahawa kedua-duanya membawa ancaman ekonomi yang sama besar kepada Malaysia dan mampu merosakkan Wawasan 2020 untuk mentransformasikan Malaysia kepada negara maju. Hutang isi rumah yang tinggi akan menurunkan kualiti kehidupan, dan rekod sosial membuktikan bahawa pendidikan anak-anak akan menjadi mangsa pertama apabila kesempitan ekonomi melanda. Tambahan pula, pendapatan kita tidak meningkat dengan cukup untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan rakyat kita tidak mempunyai pekerjaan yang mempunyai pendapatan yang makin menaik.

Kesatuan-kesatuan buruh mendakwa bahawa bagi dekad terakhir, produktiviti meningkat sebanyak 6.7% setiap tahun namun upah nyata (real wages) hanya meningkat 2.6% setiap tahun. Keadaan dalam industri pembuatan adalah lebih mencemaskan apabila upah nyata dalam industri berorientasikan eksport hanya meningkat 1.9% sementara industri berorientasikan tempatan meningkat 1.4% selepas 1997.

Peningkatan harga barangan seperti gula, petrol, tarif elektrik dan premium insuran motor oleh Kerajaan Persekutuan BN tahun lepas lagi menekankan hakikat bahawa upah tidak dapat mengatasi inflasi. DAP mencadangkan gaji minima RM1,100 bersekali dengan tempoh tangguhan selama 5 tahun untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dapat meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia dan membantu pertumbuhan ekonomi dengan melindungi PKS Malaysia.

Dasar gaji minima PR sebanyak RM1,100 boleh diterima oleh PKS asalkan ia tidak merangkumi pekerja asing. Setelah tempoh tangguhan 5 tahun, PKS harus membayar gaji minima kepada semua pekerja, sama ada asing atau tempatan. Tambahan, Malaysia kerugian apabila pekerja asing hanya menghantar balik kebanyakan gaji mereka. Jumlah kiriman wang oleh pekerja asing sah telah berganda daripada RM10 bilion pada tahun 2009 kepada hampir RM20 bilion tahun lepas. Angka ini dijangka akan berganda apabila gaji minima dilaksanakan ke atas pekerja asing.

Untuk sebab ini, majikan dan pekerja Malaysia harus dijaga dengan memastikan pekerja menikmati gaji minima yang lebih tinggi, iaitu RM1,100 sebulan, dan dengan memberi PKS satu tempoh tangguhan selama 5 tahun agar mereka dapat menyesuaikan diri sebelum membayar gaji minima kepada pekerja asing. Tidak seperti BN, Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang bangga bahawa kami tidak meningkatkan yuran lesen perniagaan, tarif air, cukai pintu dan cukai taksiran. Demi mengalih perhatian daripada kenaikan harga barangan seperti gula, petrol, tarif elektrik dan premium insuran motor oleh Kerajaan Persekutuan BN, mereka tergamak mengapi-apikan kebencian kaum dan agama.

Bank Negara wajar mengembalikan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (Developer Interest Bearing Scheme, DIBS) serta memperkenalkan Skim Milikan Bersama (Shared Ownership Scheme, SOS) untuk pembeli kali pertama perumahan awam dan rumah mampu milik.

Laporan Tahunan Bank Negara 2013 yang terbaru mendedahkan bahawa Bank Negara tidak berpandangan jauh dan kurang peduli ataupun tidak bertanggungjawab dan tidak profesional terhadap masalah negara yang kini mempunyai jumlah hutang isi rumah kedua tertinggi di Asia. Bank Negara meremehkan kenaikan hutang isi rumah di Malaysia yang meningkat dari 81.1% daripada KDNK pada tahun 2012 ke 86.8% daripada KDNK pada 2013 sebagai sesuatu yang tidak mendatangkan risiko terhadap kestabilan kewangan negara.

Bank Negara mesti menyedari bahawa perkara ini terjadi kerana tahap pendapatan kita tersekat dalam kebekuan dengan keadaan kadar inflasi pantas melampaui kadar kenaikan gaji. Ini memaksa ramai orang untuk bergantung kepada hutang kredit bagi menampung kos sara hidup malah terpaksa berhutang dengan Ah Long apabila mereka gagal mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

Sementara jumlah besar hutang isi rumah sudah mencecah RM854.3 bilion pada tahun 2013, peratusan isi rumah berhutang yang berpendapatan sehingga RM3,000 menyumbang kepada 27% jumlah pinjaman isi rumah, iaitu RM230.17 bilion. Bank Negara juga berkata bahawa pinjaman agregat bagi isi rumah berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan adalah tujuh kali (diukur sebagai nisbah pinjaman belum langsai kepada pendapatan tahunan). Ini adalah tinggi dan wajar dikurangkan.

Hakikat ini hanya membuktikan bahawa, bagi golongan berpendapatan rendah, pendapatan mereka adalah tidak cukup untuk menampung inflasi, justeru memaksa mereka untuk meminjam demi mengekalkan standard kehidupan masing-masing. Dengan kadar pinjaman belum langsai yang begitu tinggi sebanyak 7 kali ganda pendapatan tahunan, adalah sukar dan hampir mustahil bagi kumpulan berpendapatan rendah untuk mendapatkan kelulusan bagi pinjaman perumahan daripada bank dan institusi kewangan.

Bagaimanakah pembeli kali pertama daripada golongan berpendapatan rendah boleh mampu membeli rumah sendiri apabila Bank Negara mengurangkan tempoh maksima pinjaman hartanah daripada 45 tahun kepada 35 tahun sahaja? Pengurangan tempoh yang sedemikian hanya akan menambahkan bayaran bulanan pinjaman perumahan dan menjadikannya sukar untuk golongan berpendapatan rendah layak mendapat pinjaman.

Bank Negara wajar mengembalikan Skim Tanggungan Faedah Pemaju (DIBS) untuk pembeli kali pertama bagi membolehkan mereka mencapai impian memiliki rumah sendiri. Sehingga 70% permohonan pinjaman perumahan bagi perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah (LC/LMC) telah ditolak, khususnya daripada golongan berpendapatan rendah akibat kelemahan keupayaan mereka untuk membayar balik pinjaman. Yuran undang-undang harus menjadi sebahagian daripada pakej DIBS dan Kementerian Kewangan harus memberi pengecualian duti setem bagi merendahkan kos bagi pembeli rumah kali pertama.

Tambahan pula, tindakan Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk menjamin pinjaman LC/LMC oleh bank swasta adalah tidak berkesan kerana jumlah permohonan yang diluluskan oleh pembeli di Pulau Pinang adalah sangat kecil. Dengan hanya RM180 juta jaminan pinjaman yang ditawarkan di seluruh negara, banyak permohonan daripada bank-bank kepada Bank Negara untuk SJKP telah gagal. Bolehkah Kementerian meningkatkan kuantum pinjaman yang disediakan dan menjadikannya lebih mudah untuk diluluskan kepada orang ramai, khususnya di Pulau Pinang?

Faedah pinjaman bagi LC/LMC serta pembeli kali pertama perumahan mampu milik harus ditetapkan pada Base Lending Rate atau BLR sekiranya Bank Negara benar-benar ikhlas untuk membantu mereka. Ia adalah sedih apabila pinjaman perumahan mewah mendapat faedah pinjaman yang kurang berbanding pinjaman LC/LMC dan perumahan mampu milik.

Bagi membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapat pinjaman bank, kerajaan negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan Skim Milikan Bersama (Shared Ownership Scheme, SOS) untuk perumahan kos rendah bagi membantu golongan berpendapatan rendah. Di bawah SOS, hartanah akan dimiliki secara bersama dengan kerajaan di mana pinjaman kerajaan akan diberi sehingga 30% harga hartanah tanpa riba kepada golongan berpendapatan rendah. Ramai orang berpendapatan rendah akan layak sekiranya mereka hanya perlu meminjam 70% harga hartanah.

Demi demokrasi perumahan, DAP menyeru agar Bank Negara memperkenalkan SOS bagi perumahan mampu milik dan perumahan awam bagi membantu pembeli rumah kali pertama agar layak mendapat pinjaman untuk membeli rumah mereka.

Mengembalikan status tinggi profesion keguruan

DAP bersetuju dengan Dr Sander bahawa rakyat Malaysia memang sepatutnya terkejut bahawa anak-anak mereka menunjukkan prestasi yang lebih teruk berbanding dengan murid-murid di Thailand dan Vietnam, negara yang lebih miskin berbanding Malaysia. Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Programme for International Students Assessment, PISA) pada tahun 2012 meletakkan tahap murid Malaysia pada kedudukan 52 daripada 65, berbanding murid Vietnam yang menduduki tangga ke-17 daripada 65.

Keputusan PISA Malaysia yang lemah ini bertentangan dengan dakwaan BN bahawa Malaysia mempunyai sistem pendidikan bertaraf dunia sehebat United Kingdom, dan sebaliknya menunjukkan dengan jelas kelemahan sistem persekolahan kita meskipun sektor pendidikan menerima bahagian peruntukan terbesar dalam belanjawan tahunan negara. Mengikut laporan The Edge, firma perunding pengurusan antarabangsa McKinsey telah mengenalpasti puncanya sebagai sesuatu yang kita semua sudah tahu, iaitu kualiti pengajaran.

Ia mengkaji 25 sistem persekolahan dunia, termasuk yang menunjukkan prestasi terbaik dalam carta PISA. Katanya sekolah perlu melakukan tiga perkara: dapatkan guru terbaik, pastikan guru memberikan potensi terbaik dan segera membantu apabila ada murid yang mula ketinggalan. Malaysia mempunyai ruang penambahbaikan yang luas untuk menepati objektifnya bagi menduduki tempat tiga teratas dalam ranking PISA.

Rajah 1 menunjukkan negara-negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2012 dengan ranking prestasi dan perbelanjaan kumulatif bagi setiap seorang murid (eduex), berbanding dengan KDNK per kapita (pcGDP). Eduex adalah jumlah besar yang dibelanjakan untuk pendidikan seorang murid dalam julat umur 6 ke 15 tahun, untuk jangkamasa sepuluh tahun. KDNK per kapita selalunya dianggap sebagai petunjuk kepada standard kehidupan sesebuah negara.

Hampir kesemua mereka yang berada di prestasi satu pertiga teratas membelanjakan lebih 100% dalam eduex melampaui pcGDP. Purata OECD ialah 147%. Dalam masa yang sama, Malaysia berada di tingkat bawah spektrum PISA dan membelanjakan jumlah paling sedikit berbanding dengan kesemua negara yang disenaraikan carta tersebut – sekadar 12% untuk eduex melebihi pcGDP. Malahan Thailand yang mempunyai pcGDP lebih rendah berbanding kita membelanjakan 43%. Sangat ironis apabila belanjawan Malaysia memperuntukan jumlah yang begitu besar untuk pendidikan, namun ketinggalan dalam carta ini.

Rajah 2 menunjukkan pola KDNK per kapita antara tahun 2004 ke 2012 bagi tujuh negara yang mengambil bahagian dalam PISA 2012. KDNK per kapita kita berada dalam lingkungan yang sama dengan Turki, Poland dan Estonia. Estonia dan Poland berada dalam tingkat tiga tertinggi dalam ranking PISA dan membelanjakan 176% serta 188% masing-masing dalam eduex melebihi pcGDP.

Seandainya kita meletakkan sasaran untuk berada di ranking satu pertiga tertinggi PISA, adalah jelas bahawa kita perlu menambah perbelanjaan pendidikan negara dengan jumlah yang besar. Jika kita perlu memilih negara untuk dijadikan penanda aras, pastilah ia negara Poland. Bukan sahaja kita berada di dalam lingkungan pcGDP-nya, malah populasi Poland seramai 38 juta adalah sebanding dengan populasi Malaysia seramai 30 juta.

DAP bersetuju dengan penyelesaian desentralisasi Dr Sander bagi mengagihkan lebih kuasa kepada sekolah untuk membuat keputusannya sendiri berdasarkan keadaan setempat. Tambahan pula, sekolah-sekolah akan menjadi lebih efisyen dengan memberikan gred kepada mereka berdasarkan prestasi dan merit, yang akan memaksa mereka untuk mendapatkan guru yang lebih terlatih. Akhirnya, guru-guru sekolah lah yang menjadi faktor perubahan dan memberi inspirasi kepada murid-murid untuk berjaya.

Soalannya ialah sama ada kerajaan BN cukup berani untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang dicadangkan Bank Dunia ini. Atau, adakah ego dan kebanggaan palsu mereka yang berkuasa dalam sistem pendidikan kita akan terus mengongkong Malaysia di tahap suku terendah di dunia dari segi kualiti sistem pendidikan, dan akhirnya kalah bukan sahaja kepada Thailand dan Vietnam, malah juga Indonesia.