Kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang jijik kerana mahu membatalkan kelulusan projek kerajaan tempatan di kawasan parlimen yang tidak dimenangi BN, atau seperti yang diperjelaskan kemudiannya oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar; kementeriannya hanya ‘mengutamakan kawasan parlimen serta DUN yang dikuasai BN terlebih dahulu kerana kesuntukan peruntukan sejak tahun lalu’.
Adakah ini bermakna bahawa memandangkan BN hanya menang dua daripada 11 kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, maka BN telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk membeku kesemua projek di 9 kawasan yang tidak dimenangi BN pada pilihanraya umum yang lalu?
Salah satu manifesto BN pada PRU yang lalu ialah ‘meningkatkan kehidupan warga bandar’, namun BN nampaknya sedang memungkiri janjinya dengan menghukum majoriti pengundi Kuala Lumpur kerana tidak mengundi BN.
Kerajaan BN mesti diberi peringatan bahawa pengundi di 9 kawasan yang BN kalah masih membayar cukai, dan tidak boleh dikhianati BN!
Jika pengkhianatan ini adalah disebabkan kesuntukan dana tahun lepas akibat sikap boros berbelanja pimpinan BN, maka sikap boros itulah yang sewajarnya dihentikan, bukan menghukum rakyat.
BN telah membeli enam buah jet kerajaan dengan kos seliaan berjumlah RM100 juta satu tahun. Kenapa tidak kerajaan menjual sahaja 4 buah jet, dan simpan saja dua lagi untuk kegunaan Perdana Menteri dan ‘First Lady Of Malaysia’? Bukankah ini akan dapat menjimatkan begitu banyak wang rakyat?
Di Kuala Lumpur, kos keseluruhan pembinaan Menara Merdeka 118 tingkat bakal menelan belanja kira-kira RM7 bilion. Sedangkan sudah pun terdapat lebihan melampau unit pejabat di seluruh negara terutamanya di KL. Maka bukankah lebih baik untuk kerajaan BN menangguhkan projek pencakar langit ini atau mengurangkan saiznya bagi menghadkan kos?
Pilihanraya umum bakal menjelang tiba, sekiranya pemimpin BN terus keras kepala mahu mengkhianati rakyat dengan terus berbelanja sakan dengan hal-hal yang tidak memberi faedah kepada rakyat, para pengundi tentunya akan menghukum BN di peti undi.
Terima kasih.