Selamat pagi, hadirin sekalian! Terima kasih kerana meluangkan masa anda pada pagi ini. Kami teruja untuk mengumumkan bahawa Pulau Pinang akan menganjurkan World Cleanup Day peringkat negeri tahun ini seiring dengan World Cleanup Day yang disambut secara global pada bulan September setiap tahun.
Bulan ini adalah waktu di mana jutaan sukarelawan, badan kerajaan dan organisasi daripada 191 buah negeri bersatu merealisasikan sebuah impian untuk mewujudkan dunia yang bebas sisa bukan sahaja untuk diri kita sendiri, malah generasi akan datang. Sempena dengan World Cleanup Day pada 16 September ini, Pulau Pinang juga akan menjadi sebahagian daripada gerakan ini dengan anjuran aktiviti pembersihan pada 30 September 2023 nanti.
Selaras dengan visi Penang2030 untuk membina Pulau Pinang sebagai Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, aktiviti pembersihan ini menyasarkan penglibatan daripada sektor korporat dan pemain industri untuk bersama-sama memainkan peranan mereka dalam usaha melindungi kesejahteraan ibu pertiwi ini. Acara ini dianjurkan oleh Penang Green Council dan mendapat sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), para penaja dan organisasi terlibat.
Seperti yang kita sedia maklum, sisa merupakan krisis global yang makin meruncing. Kita dapat menemui sampah dengan begitu mudah di jalanan, persekitaran, sungai, semak, hutan dan lautan. Mengapa ini berlaku dan bagaimana sisa-sisa ini berada di sana? Kita, manusia, perlu mengambil tanggungjawab kerana kita adalah entiti yang menghasilkan semua sisa-sisa ini dan membiarkannya di sekeliling kita. Oleh itu, walaupun pembersihan sisa adalah satu perkara yang perlu dilakukan, kita juga sedang melihat kepada punca masalah ini untuk mengurangkan impak sisa daripada manusia.
Tahukah anda Pulau Pinang menghasilkan purata sisa sebanyak 1.04kg sehari? Sejumlah 2300 tan sisa dihantar ke tapak pelupusan Pulau Burung setiap hari. 31.83% daripada sisa yang terkumpul adalah bahan kitar semula (kaca, logam, tetrapak, plastik, kertas), manakala 50.96% terdiri daripada sisa organik sementara selebihnya adalah sisa lain termasuk bahan yang tidak boleh dikitar semula, sisa hijau, dan barangan berbahaya dari rumah.
Di Pulau Pinang, pengurangan sisa adalah matlamat utama kita untuk mengurangkan kos dan beban pengurusan sisa di samping memanjangkan jangka hayat satu-satunya tapak pelupusan di Pulau Pinang iaitu Pulau Burung. Untuk mencapai matlamat ini, kerajaan negeri telah melaksanakan Dasar Pengasingan Sisa di Punca sejak tahun 2017 di mana individu, institusi, dan sektor perniagaan perlu mengasingkan sisa mereka kepada sisa am dan bahan kitar semula.
Untuk mengatasi isu pencemaran plastik, Pulau Pinang juga memperkenalkan Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma sejak tahun 2009. Inisiatif tersebut berkembang kepada Kempen Hari Tanpa Beg Plastik Percuma dan yang terkini – Kempen Larangan Penggunaan Penyedut Minuman Plastik. Kedua-dua kempen ini menggalakkan peniaga untuk tidak memberikan beg plastik dan straw sekali guna secara automatik kepada pelanggan. Kita merupakn negeri pertama yang melaksanakan inisiatif-inisiatif ini dan ia merupakan satu permulaan yang baik untuk Pulau Pinang bergerak ke arah negeri yang lebih bersih dan hijau yang menjadi inspirasi negara. Hari ini, kita akan memanfaatkan usaha ini dengan membersihkan negeri kita bersama-sama dengan semua pihak berkepentingan dan pemain utama.
Pelaburan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) kini banyak dibincangkan kerana ia digunakan untuk menyaring pelaburan berdasarkan dasar korporat dan untuk menggalakkan syarikat-syarikat bertindak dengan lebih bertanggungjawab. Alam sekitar selalu menjadi yang utama apabila kita berbicara tentang ESG, kerana sangat penting bagi kita untuk mengambil tindakan sebenar untuk memulihkan dan melestarikan khazanah di Bumi ini. Saya percaya melalui Penang World Cleanup Day yang akan datang, kita akan dapat meningkatkan kesedaran dan penerimaan ESG kepada lebih banyak sektor industri dan korporat pada masa hadapan. Semangat berpasukan yang kuat mampu membawa kita lebih jauh kedepan, oleh itu setiap pihak berkepentingan yang berada di sini memainkan peranan sebagai pemimpin yang akan mengubah dunia menjadi lebih baik.
Kami gembira melihat kehadiran penaja, syarikat korporat, dan rakan sokongan bersama-sama dalam misi hari ini. Tanggungjawab untuk melindungi alam sekitar dan biodiversiti berada di bahu kita kerana manusia adalah penduduk tunggal yang mempunyai keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan memastikan kelestarian planet ini. Namun kita tidak dapat melakukannya sendiri, oleh itu saya menggesa setiap warga Pulau Pinang untuk mengambil inisiatif bukan hanya membersihkan sahaja, tetapi berhenti membuang sampah.
Akhir kata, terima kasih Penang Green Council kerana menganjurkan Penang World Cleanup Day 2023, terima kasih juga kepada rakan sokongan dan para penaja atas sokongan yang tidak berbelah bahagi. Seribu kata mutiara tidak bermakna tanpa satu perbuatan yang nyata. Marilah kita lakukan perubahan ini bersama.
Terima kasih! Love Penang.