Selamat pagi, Tuan-tuan dan Puan-puan yang dikasihi. Dengan penuh sukacita kami mengalu-alukan kedatangan anda ke Penang Green Market yang pertama, dipersembahkan oleh Penang Green Council. Ia adalah satu penghormatan buat kami untuk berdiri di hadapan anda hari ini bagi melancarkan sebuah pasar komuniti hijau yang lahir daripada komitmen Pulau Pinang kearah kelestarian. Kami berharap anda dapat menimba pengalaman yang positif serta memberikan inspirasi apabila anda berkunjung ke gerai-gerai yang tersedia di sini dan meneroka usaha hijau yang luar
biasa.
Pulau Pinang merupakan negeri yang kaya dengan penganjuran pasar-pasar komuniti dengan pelbagai pilihan untuk para pembeli. Dari pasar basah tradisional hingga ke pasar malam, dan pasar-pasar artisan yang semakin popular pada hujung minggu, terdapat sesuatu untuk semua orang. Pasar-pasar artisan ini telah berkembang menjadi pusat-pusat budaya di mana penduduk tempatan dapat mempamerkan hasil kraftangan mereka yang unik dan kreatif, hidangan kulinari, dan minuman. Secara khususnya, mereka berfungsi sebagai penghubung kepada pengunjung antarabangsa untuk merasai budaya Pulau Pinang yang pelbagai dan mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang komuniti kita. Hal ini sekaligus dapat menyumbang kepada sektor pelancongan kita yang berkembang pesat.
Hadirin sekalian,
Penang Green Market by PGC adalah berpaksikan amalan dan inisiatif hijau. Objektif kami adalah untuk memupuk gaya hidup bebas sisa di kalangan penjual dan masyarakat Pulau Pinang secara lebih meluas. Kebanyakan pasar hujung minggu memberi tumpuan utama kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial, namun kami di sini sentiasa yakin dan percaya bahawa pemeliharaan alam sekitar juga sepatutnya diberi keutamaan yang sama. Komitmen ini selari dengan visi Penang2030 yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 2018, yang bertujuan untuk membentuk Pulau Pinang menjadi Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Teras utama di Penang Green Market by PGC adalah untuk mempromosikan pendidikan alam sekitar dan pengurangan sisa seiring dengan usaha kami untuk menjadikan negeri yang lebih hijau untuk masa depan. Sejajar dengan Tema B visi Penang2030, yang berusaha untuk memupuk industri kreatif dan perkhidmatan perniagaan yang khusus, pasar hijau ini berfungsi sebagai platfom untuk menyatukan perniagaan hijau dan komuniti Pulau Pinang. Ia memudahkan pertukaran idea dan, yang lebih penting, menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang.
Dengan penubuhan Penang Green Market yang berterusan, kami berhasrat untuk membentuk komuniti hijau yang lebih kukuh, menyediakan usahawan hijau dan perniagaan ruang untuk bertukar ilmu dan mewujudkan interaksi dengan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran terhadap perlindungan alam sekitar. Usia planet kita sudah hampir ke penghujungnya, dan terserah kepada kita untuk memberikan sedikit kasih sayang dengan mengimbangkan gaya hidup dengan amalan yang mampan. Melalui pasar ini, kita dapat menggambarkan peralihan dari plastik sekali guna kepada alternatif lain yang boleh digunakan semula dan menyokong perniagaan tempatan untuk mengurangkan sisa jejak karbon.
Pulau Pinang mempunyai keistimewaan menjadi negeri pertama di Malaysia yang memperkenalkan Hari Tanpa Beg Plastik Percuma pada tahun 2009, diikuti dengan Hari Tanpa Beg Plastik pada tahun 2019. Dalam usaha kita untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan PBB, khususnya Matlamat 11- Bandar dan Komuniti Mampan dan Matlamat 12 – Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab, Penang Green Market memainkan peranan penting dalam mengingatkan dan memberi inspirasi kepada penduduk Pulau Pinang untuk mengawal penggunaan seharian masing-masing. Pengurangan sisa adalah sebahagian asas dari misi kami, dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada setiap satu daripada anda yang telah mengambil inisiatif untuk membawa beg dan bekas sendiri untuk menikmati makanan dan minuman di pasar hari ini. Matlamat ke-17 SDGs menekankan kepentingan Kerjasama untuk Matlamat, yang menekankan perlunya kerjasamal dan mencipta masyarakat hijau dan mampan. Oleh itu, marilah kita berusaha untuk mencapai objektif ini bersama-sama.
Dalam kesempatan ini, saya ingin memberikan penghargaan yang tulus kepada pasukan Penang Green Council yang bersungguh-sungguh menubuhkan pasar hijau ini sebagai ruang komuniti, dan membawa bersama pihak berkepentingan dan perniagaan tempatan. Inisiatif ini memberi peluang kepada kita untuk terlibat dalam perbincangan mengenai Bumi kita. Dalam kita lantang bersuara tentang kepincangan alam sekitar, tindakan yang bersepadu perlu diambil dengan segera untuk mencipta perubahan yang kita ingini.
Sebagai penutup, saya ucapkan syabas dan selamat maju jaya kepada Penang Green Market by PGC. Kepada para penaja yang budiman, penjual-penjual yang dedikasi, dan para pelawat yang dihargai, kami mengucapkan terima kasih atas sumbangan anda kepada tujuan mulia ini, semoga setiap usaha yang kita lakukan berfungsi sebagai cahaya inspirasi, menyalakan semangat dalam hati rakyat Pulau Pinang.