Selamat pagi hadirin sekalian!
Selamat datang ke sidang media Penang Green Market by PGC yang akan berlangsung buat julung kalinya pada November ini.
Pasar adalah budaya yang boleh memberi kesan kepada komuniti dengan menggerakkan aktiviti ekonomi, mencipta peluang pekerjaan, dan menyediakan sumber yang boleh digunakan untuk pembangunan komuniti dan sosial. Selain berunsurkan keuntungan, usahawan sosial dan perniagaan yang memberi perhatian kepada kebajikan komuniti lebih cenderung untuk mengutamakan kesejahteraan dan impak yang baik kepada komuniti.
Penang Green Council akan menganjurkan sebuah pasar yang memberi tumpuan kepada perniagaan dan inisiatif hijau untuk memupuk amalan sisa sifar di kalangan peniaga dan komuniti di Pulau Pinang. Sementara kita mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan sosial, kita tidak boleh mengabaikan kepentingan alam sekitar. Oleh itu, teras utama Penang Green Market by PGC adalah untuk membentuk semangat sisa sifar dan mesra alam yang bertujuan untuk menjadi pasar yang unggul di kalangan semua pasar sedia ada dalam matlamat Pulau Pinang ke arah negeri hijau.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kami percaya bahawa tabiat adalah perkara kecil yang akan mencipta impak besar dalam jangka panjang. Sementara kami menggalakkan setiap orang untuk
mempertimbangkan dan melakukan sesuatu untuk membantu alam sekitar, kami berharap Penang Green Market akan menjadi kunci yang membantu membudayakan
gaya hidup hijau di kalangan komuniti di samping membuktikan bahawa amalan gaya hidup hijau dalam kehidupan harian kita adalah mustahil dan juga praktikal! Sebenarnya, ini tidak sukar sama sekali!
Selaras dengan visi Penang2030 yang dilancarkan oleh Ketua Menteri, YAB Tuan Chow Kon Yeow pada tahun 2018, kita mempunyai visi untuk membina Pulau Pinang sebagai Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Melalui platfom ini, kita berharap dapat menyaksikan lebih ramai ibu bapa dan anak-anak meluangkan masa berkualiti bersama dengan menyertai aktiviti-aktiviti serta mempelajari amalan-amalan hijau secara interaktif dan menyeronokkan. Pasar hijau ini juga akan dapat menghubungkan dan menyatukan perniagaan dan komuniti hijau di Pulau Pinang sekaligus membolehkan mereka berkongsi idea dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang.
Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama yang melaksanakan Hari Tanpa Beg Plastik Percuma pada tahun 2009, diikuti oleh Hari Tanpa Beg Plastik pada tahun 2019. Kami ingin mengingatkan semua warga Pulau Pinang dan pelawat untuk membawa beg dan bekas yang boleh guna semula sendiri untuk menikmati makanan dan minuman di Penang Green Market by PGC. Kelestarian planet hanya dapat dicapai melalui gaya hidup seimbang di mana kita tidak merosakkan alam sekitar dengan gaya hidup kita sekarang. Melalui pasar ini juga, kita akan mempelajari cara mengatakan ‘TIDAK” kepada plastik sekali guna dengan bertukar kepada produk boleh guna semula dan menyokong produk tempatan untuk mengurangkan jejak karbon.
Adalah satu penghormatan buat saya untuk berada di sini mengajak anda semua mengambil bahagian dalam pasar hijau kali ini. Kami mengalu-alukan penaja, perniagaan tempatan, komuniti hijau, dan warga Pulau Pinang untuk menyumbang dan berkongsi idea dan sumber dalam Penang Green Market yang akan datang. Marilah bersama-sama kita bina sebuah komuniti hijau dan lestari melalui tindakan. Saya berharap dapat menemui anda di Penang Green Market yang pertama pada bulan November ini.
Terima kasih.