Skip to content

Ucapan oleh Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Seputeh dalam Perbahasan Bajet 2022 pada 11 November 2021

APAKAH PELAN PELAKSANAAN KENDERAAN ELETRIK (EV) DI MALAYSIA?

Datuk yang diPertua, ramai pemimpin dunia tengah berada di Glasgow menghadiri Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2021, juga dikenali sebagai COP26. Kerajaan juga mengumumkan komitmen pelepasan karbon sifar bersih atau “net-zero emissions” seawal-awalnya tahun 2050 menjelang COP 26. Sasaran “net-zero emissions” ini juga termasuk penggunaan kenderaan eletrik 100% menjelang tahun 2050.

Perubahan Iklim memang isu yang amat penting dalam politik antarabangsa kerana ia berkaitkan dengan kewujudan manusia di bumi ini pada masa yang akan datang.

Dalam bajet 2022, Menteri Kewangan telah mengumumkan beberapa insentif termasuk pengecualian duti import, duti eksais, cukai jualan dan cukai jalan sehingga 100% kepada kenderaan eletrik (EV), di samping pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM 2,500 diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Saya mengalu-alukan cadangan ini, tetapi saya memang ingin menyoal tentang pelaksanaan penggunaan kenderaan eletrik, kerana kerajaan tidak mengumumkan rancangan dan kos pembinaan infrastruktur untuk penggunaan kenderaan eletrik secara besar-besaran di seluruh negara.

Saya difahamkan pada akhir tahun 2008, memang terdapat pengusaha kenderaan perdagangan bas ekspres, seperti Konsortium Transnasional Berhad (KTB) menggunakan bas ekspres yang menggunakan teknologi Compressed Natural Gas (CNG) yang mesra alam melalui Jenama Club Class, tetapi sekarang tiada lagi perkhidmatan tersebut. Selain itu, pihak Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (KBES) juga pernah menggunakan mod NGV namun tiada kesinambungan pada masa kini.

Selain itu, pada tahun 2015, Kerajaan pernah mengumumkan bas elektrik beroperasi sepenuhnya di Putrajaya menjelang 2021 melalui syarikat Nadi Putra tetapi perkhidmatannya terhenti pada tahun 2018. Apa yang berlaku pada bas eletrik Nadi Putra ini?

Kegagalan penggunaan bas eletrik ini haruslah dikaji secara teliti oleh kerajaan pusat sebelum mengumumkan penggunaan 100% kenderaan eletrik menjelang tahun 2050 demi mencapai “net-zero emissions”. Kerajaan harus bersama-sama pihak swasta haruslah mengkaji permasalahan utama operasi kenderaan eletrik ini. Sekiranya kerajaan serius dalam projek ini, ia haruslah memperuntukkan bajet untuk menyediakan fasiliti lengkap seperti tempat pengecasan kenderaan EV di kawasan-kawasan strategik di seluruh negara untuk kegunaan awam. Kerajaan juga haruslah menubuhkan satu pasukan khas yang merangkumi beberapa kementerian dan agensi kerajaan untuk menyempurnakan penubuhan pusat pengecasan kenderaan eletrik. Pihak Berkuasa Tempatan di bawah kerajaan negeri juga harus mewajibkan pengwujudan tapak pengecasan dalam projek perumahan dan projek komersial melalui Kebenaran Merancang (Development Order).

Datuk yang diPertua, sekiranya kerajaan memang serius ingin mempromosi kenderaan eletrik dan kenderaan pelepasan karbon yang rendah, maka kenderaan-kenderaan rasmi kerajaan termasuk vellfire yang digunakan oleh anggota Jemaah menteri haruslah ditukar kepada kenderaan eletrik atau yang berteknologi hijau yang lain seperti penggunaan NGV, CNG, bahan-api bio (bio-fuel). Ini baru menunjukkan “kepemimpinan melalui teladan”.

KERAJAAN HARUS MENGATURKAN STRATEGI UNTUK MENANGANI SERANGAN TERHADAP LAPORAN ALAM-SEKITAR DAN INDUSTRI SAWIT MALAYSIA OLEH NEGARA BARAT

Datuk yang diPertua, isu berkenaan alam sekitar telah menjadi tumpuan dalam perdagangan antarabangsa. Banyak negara Barat yang mengimport produk komoditi kita, khususnya minyak sawit semakin memberi tumpuan terhadap keadaan perlindungan alam sekitar dan liputan hutan di Malaysia di samping kualiti dan kesihatan minyak sawit kita.

Baru-baru ini, Washington Post yang bertarikh 7 November 2021 menyiarkan artikel yang bertajuk “Countries’ climate pledges built on flawed data, Post investigation finds” di muka pertamanya. Artikel ini berkata Malaysia memberi data palsu berkenaan pelepasan gas CO2, keluasan tanah penanaman sawit dan liputan hutan.

Selain itu, pada 21 Oktober tahun ini, Hong Kong Consumer Council mengeluarkan kenyataan bahawa kajiannya terhadap 60 jenis biskut di pasaran Hong Kong, khususnya biskut yang dibuat dengan minyak sawit mengandungi elemen carcinogens yang menyebabkan penyakit kanser.

Dan semalam, suratkhabar The Guardian bertarikh 10 November 2021 menyiarkan artikel yang bertajuk “Fatty acid found in palm oil linked to spread of cancer”, artikel ini memetik kenyataan daripada seorang professor di Institute for Research in Biomedicine Barcelona bahawa “study on mice found palmitic acid promoted metastasis in mouth and skin cancers”.

Datuk yang diPertua, walaupun Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menjawab tuduhan daripada Washington Post, dan Kementerian Kesihatan juga telah menafikan dakwaan bahawa biskut yang dikeluarkan di Malaysia yang menggunakan minyak sawit akan mengakibatkan penyakit kanser, tetapi adalah jelas bahawa kenyataan daripada kedua-dua kementerian ini memanglah tidak cukup, kerana kesemua serangan ini nampaknya bersepakat terhadap perlindungan alam sekitar, dan juga terhadap kualiti dan kesihatan minyak sawit.

Ini adalah satu serangan bersepakat daripada pihak NGO, media dan malah institut akademik di negara asing terhadap minyak sawit kita dan isu perlindungan alam sekitar Malaysia.

Produk sawit merupakan produk yang membawa pendapatan eksport yang berbilion-bilion ringgit ke Malaysia setiap tahun. Kerajaan haruslah mewujudkan semula “war room” yang merangkumi beberapa kementerian dan merangka strategi untuk melawan kempen anti-sawit antarabangsa. Kita haruslah bekerjasama dengan Indonesia melalui CPOC untuk merangka strategi untuk menangani kempen anti produk sawit masyarakat antarabangsa.

Selain itu, saya menyeru kerajaan memberi peruntukan cukup untuk menggalakkan kajian bersama terhadap kesihatan minyak sawit oleh pakar saintis Malaysia dan pakar saintis di negara asing. Selain itu, kerajaan haruslah mengambil pendekatan yang telus atas data tentang keluasan penanaman sawit dan liputan hutan kita yang sebenar.

Semasa saya pegang jawatan Menteri Industri Utama, saya pernah mengarahkan kajian yang teliti tentang keluasan penanaman sawit di Malaysia dan dibuka untuk rujukan awam. Tetapi sehingga sekarang, saya masih belum dengar MPIC membuat pengumuman tentang data keluasan penanaman sawit dan jumlah keluasan tanah sawit yang mendapat pensijilan MSPO dan RSPO oleh kementerian. Saya ingin minta YB Menteri MPIC membuat pengumuman di dewan yang mulia ini.

ISU PELARANGAN PENJUALAN ARAK DI KEDAI SERBENEKA DAN KEDAI UBAT TRADISI CINA DI KUALA LUMPUR, DAN ISU KERAJAAN MENGHENDAKI WHISKY TIMAH BERTUKAR NAMA

Datuk yang diPertua, saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen bukan Islam di Kuala Lumpur merasa amat kesal dengan garispanduan halangan penjualan minuman keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina oleh DBKL yang telah berkuatkuasa pada 1 November 2021 atas sokongan Menteri Wilayah Persekutuan. Garis panduan ini amat tidak adil, menekan peniaga serta membebankan masyarakat bukan Islam.

Larangan ini menyekat hak peniaga untuk berniaga serta menjual barang-barang yang sah di segi undang-undang di samping menyusahkan pembeli di kalangan masyarakat bukan Islam di Kuala Lumpur.

Kami ahli-ahli Parlimen bukan Islam di Kuala Lumpur ini menghormati agama Islam. Kami tahu arak adalah haram untuk umat Islam. Tetapi apa yang haram kepada orang Islam tidak boleh dipaksakan terhadap orang bukan Islam, terutamanya dalam hal makan minum. Hak ini merupakan hak setiap rakyat yang telah dipersetujui bersama oleh tokoh-tokoh kemerdekaan kita yang telah menjadi tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan.

Malah, larangan tambahan DBKL itu akan menjejaskan imej dan impian untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai Bandaraya Kelas Dunia (World Class City) yang bakal meraikan jutaan warga dunia daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup.

Kami bersama beberapa persatuan perniagaan minuman keras telah mengadakan beberapa perjumpaan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, YB Arau berkenaan isu ini. Namun, nampaknya beliau tidak mengambil serius pendirian serta cadangan persatuan perniagaan tersebut.

Selama ini kedai-kedai runcit dan serbaneka di bawah The Associated Liquor Merchants Association of Malaysia (ALMA) sememangnya mematuhi peraturan garis panduan DBKL berhubung penjualan minuman keras selama ini, iaitu:

  1. Minuman keras hanya dijual kepada orang bukan Islam yang berumur 21 tahun ke atas;
  2. Kedai yang menjual minuman keras tidak berada di lingkungan jarak 100 meter di hadapan rumah ibadat, sekolah, hospital/klinik dan juga dalam lingkungan 10 kedai dari kedai yang menjual minuman keras yang lain;
  3. Tidak menjual minuman keras selepas pukul 9 malam;
  4. Hanya jual minuman keras yang berdaftar dengan Jabatan Kastam DiRaja.

Pematuhan garis panduan di atas sebenarnya telah cukup untuk mencegah orang Islam atau mana-mana remaja daripada membeli minuman arak.

Selain itu, kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina yang menjual minuman beralkohol merupakan perniagaan kecil yang dimiliki dan diuruskan oleh orang bukan Islam. Hasil penjualan minuman merupakan salah satu sumber pendapatan yang penting bagi kedai-kedai serbaneka ini.

Apa yang tidak masuk akal dalam garispanduan DBKL ini adalah, minuman keras boleh dijual di hotel, di pub dan pasaraya, tetapi ia tidak boleh dijual di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina. Kenapakah halangan ini hanya dituju kepada golongan kedai kecil dan menengah ataupun SME di Kuala Lumpur sahaja?

Datuk yang diPertua, saya difahamkan YB Arau, Menteri Wilayah Persekutuan pernah berjumpa dengan pihak ALMA dan wakil industri penjualan arak pada beberapa hari yang lepas. Menteri mencadangkan wakil kedai serbaneka dan kedai ubat Cina ini memohon kepada SSM untuk tukar status kedai mereka daripada “kedai runcit” kepada “pasaraya” kerana pasaraya dibenarkan untuk menjual minuman keras dalam garis panduan DBKL tersebut?

Cadangan ini langsung tidak masuk akal. Ini bermaksud pada masa yang akan datang, banyak kedai runcit di seluruh Kuala Lumpur akan naik pangkat menjadi “pasaraya”! Kalau garispanduan larangan penjualan arak DBKL ini tidak sesuai, batalkan garispanduan ini, dan bukan minta kedai-kedai runcit tukar status kepada “pasaraya”.

YB Menteri dari Arau juga kata halangan penjualan minuman keras ini dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Arak dan bukan beliau. Saya ingin cadang Menteri pecat semua anggota Lembaga ini kerana mereka telah membuat keputusan yang amat tidak masuk akal, mereka gagal memahami industri penjualan minuman keras dan membuat keputusan yang begitu kontroversial, merosakkan nama baik Menteri dari Arau dan merosakkan slogan “Keluarga Malaysia” yang dipelopori oleh Kerajaan.

Datuk yang diPertua, saya juga merasa kesal atas cara kerajaan menyusahkan whiskey Timah buatan Malaysia yang yang pernah menang “Silver Award” di San Francisco World Spirit Competition (SFWSC) 2020. Saya difahamkan selepas isu Timah whiskey ini menjadi kontroversial oleh pihak-pihak tertentu, kerajaan mendesak pengeluar whiskey ini untuk tukar nama kepada “Bijih Timah”. Masalahnya, “Timah” adalah nama ataupun “brand” ataupun “trade name” produk ini. Nama ini menyebabkan whiskey ini menang hadiah antarabangsa. Nama sesuatu produk memang tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya.

Saya difahamkan lesen pembuatan Timah whiskey yang telah tamat pada akhir Oktober tidak diperbaharui sehingga hari ini. Apakah ini adil? Kita tahu “Timah” bukan nama orang Islam dan ia sebenarnya merujuk kepada sejenis logam dalam Bahasa Malaysia. Kenapakah ia dijadikan isu sehingga kerajaan nak mendesak syarikat itu tukar nama produknya?

Kita tahu terdapat sekurang-kurangnya 20 nama minuman arak yang mempunyai nama yang mirip dengan nama Muslim di pasaran minuman keras, apakah semua produk yang dikeluarkan di luar negara ini akan dilarang import masuk ke Malaysia?? Bukankah kesemua tindakan ini bercanggah dengan jiwa dan prinsip slogan “Keluarga Malaysia” yang dipelopori oleh kerajaan sekarang?

Sekira kerajaan terus degil untuk menekan dan tidak membaharui lesen pengeluaran whiskey Timah, tindakan yang tidak adil ini pasti akan merosakkan hubungan di antara kerajaan dan pihak swasta.

Tindakan yang tidak mesra dengan bisnes ini bukan sahaja menjejaskan imej Malaysia, ia juga akan menjejaskan segala usaha kerajaan untuk menarik kemasukan pelaburan asing. Pelabur asing tidak pasti bilakah kerajaan akan Tarik balik lesen perniagaan ataupun lesen pembuatan mereka dan minta mereka tukar nama produk atas alasan yang tidak masuk agal.

Saya menyeru kerajaan mengkaji semula keputusan mereka yang tidak mesra bisnes dan tidak adil terhadap syarikat Malaysia ini.

Sekian, terima kasih.