Dato’ YDP,
Terima kasih kerana mengizinkan saya untuk mengambil bahagian untuk membahaskan Bajet Negeri Perak tahun 2014.
Dato Seri YDP,
Mukadimah
Tahun ini merupakan tahun ke-6 yang mana saya diberikan mandate oleh pengundi-pengundi kawasan saya untuk menyertai persidangan bajet Negeri, dan kali ke-5 saya melibatkan dalam perbahasan bajet Negeri.
Hanya pada tahun 2009, iaitu pada 28/10/2009, apabila persidangan bajet hanya berlangsung untuk kurang daripada sejam, yang mana kesemua rakan-rakan di sini tidak dapat terlibat dalam perbahasan.
Dua hari yang lepas, rakan saya dari Kepayang telah mengemukakan dalam Dewan ini, berkenaan dengan cadangan-cadangan dan usaha-usaha yang boleh dan harus dilaksanakan oleh Dewan yang mulia ini.
Pilihanraya Umum telah berlalu, sudah sampailah masa keikhlasan daripada kesemua pihak diuji, samaada Kerajaan yang sedia ada bersedia untuk memperbaiki system yang kita ada sekarang.
Dato Seri YDP,
Soalan-Soalan Lisan / Bertulis yang tidak terjawab / ditolak
Isu berkenaan dengan soalan-soalan Ahli-Ahli Dewan Negeri yang ditolak oleh pihak Kerajaan, dengan menggunakan pelbagai alasan yang tidak munasabah, telah menjadi satu isu yang begitu biasa, sehinggalah seolah-olah sudah menjadi satu norm di bawah pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional.
Saya tidak ingin mengulangi soalan-soalan yang sebelum ini ditolak oleh Kerajaan sejak tahun 2009. Tetapi, apa yang saya ingin tegaskan di sini adalah, sebelum saya menjadi ahli dewan negeri di sini, saya sememangnya mempunyai satu harapan yang tinggi terhadap Dewan ini, yang mana saya tahu bahawa telah satu convention bahawa segala soalan yang dibangkitkan dalam dewan, bahkan di peringkat Parlimen, ataupun di peringkat Dewan Negeri, akan terjawab, khasnya soalan bertulis yang dikemukakan.
Apa yang berlaku selepas tahun 2009 adalah, soalan-soalan kita ditolak. Soalan berkenaan dengan elaun dan kemudahan penasihat MB ditolak, soalan berkenaan dengan perbelanjaan guaman semasa krisis Negeri Perak tahun 2009 ditolak, soalan berkenaan dengan kos lawatan MB dan EXCO ditolak, soalan berkenaan dengan balak ditolak, soalan berkenaan dengan tanah ditolak. Apa yang sudah terjadi dengan Dewan yang mulia ini?
Saya berasa sakit hati apabila setiap kali menerima notis daripada Dewan, terpaksa duduk dan membuat soalan, yang mana dengan penuh jangkaan bahawa soalan tersebut akan ditolak. Saya berasa amat sakit hati ke atas system demokrasi dan Dewan yang ada pada hari ini, yang mana merupakan satu tanda kemerosotan dalam tahun-tahun ini.
YDP telah menyatakan berkenaan dengan hasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada semua pihak untuk tujuan pembaikan system kita ini, dan ia tidak harus dijadikan sesuatu yang terhenti di bibir sahaja. Saya ingin mengingatkan bahawa, pada sebelum ini, atas desakan daripada pihak kami, mantan Speaker Dato Ganesan pernah mengarahkan bahawa soalan-soalan yang tidak dijawab diberikan jawapan bertulis. Mantan YB Manong, yang merupakan EXCO, juga telah menyahut cabaran untuk mengumumkan senarai penerima tanah sebanyak 68,503 ekar dalam tempoh yang ditetapkan. Kegagalan mereka untuk memenuhi janji hanya akan memusnahkan segala integrity yang masih tertinggal, dan membawa kemunduran bukan sahaj ke atas institusi eksekutif, tetapi juga untuk institusi speaker dan Dewan.
Maka, saya ingin YDP membuat satu ruling di sini, tidak perlu perbincangan dengan mana-mana pihak lagi sekiranya YDP adalah adil, supaya kesemua soalan yang dibangkitkan, haruslah diberikan jawapan, biarpun secara lisan ataupun secara bertulis.
Pada hari esok, kita akan mendengar ucapan pengulungan daripada pihak Kerajaan. Kita akan nampak samaada YAB MB akan sekali lagi, seperti dalam persidangan yang lepas, menggunakan retorik-retorik yang begitu menarik, membawa Ahli-Ahli melayari taman demi taman, tanpa memberikan balasan-balasan ke atas isu yang dibangkitkan.
Dato Seri YDP,
Pelantikan AHli-Ahli Dewan / Wakil ke Dalam Jawatankuasa Kerja JKR + JPS + PKT + JTD
Pada hari kelmarin, apabila satu soalan lisan dibangkitkan oleh rakan saya dari Jalong berkenaan dengan masalah jalan di kawasan beliau, 7 daripada kalangan kami di Pakatan Rakyat dan 1 dari barisan sebelah sana telah bangun serentak untuk meminta peluang untuk soalan tambahan. Dari sini kita boleh nampak, betapa seriousnya isu jalan yang dihadapi oleh rakyat setempat.
Walaupun ia memaparkan keprihatinan ahli-ahli YB berkenaan dengan isu rakyat ini, tetapi pada masa yang sama fenomena ini membawa satu hakikat yang pahit, yang mana isu-isu masalah kawasan sememangnya diselesaikan pada tahap PKT atau agensi-agensi kerajaan, dan bukannya dalam forum ini yang mana kita berbincang berkenaan dengan bajet.
Kebanyakan masa, kita terpaksa membawa isu ini ke dalam Dewan kerana usaha-usaha permintaan kepada PKT untuk menyelesaikan masalah tersebut untuk jangka masa panjang tidak berbaloi.
Sememangnya kita dalam dewan ini, berharap bahawa kita boleh memfokuskan tanggungjawab kita sebagai seorang legislator, tumpukan perbahasan ke atas dasar, malah masalah Rakyat perlu diselesaikan juga.
Untuk 2 tahun berturut-turut, JKR telah diberikan satu peruntukkan sebanyak RM65 juta, yang mana pada tahun RM36 juta digunakan untuk infrastruktur jalan dan jambatan, dan RM29 juta untuk projek-projek bangunan, berbanding dengan RM38 juta dan RM27 juta pada tahun 2013. Untuk JPS pula, peruntukkan telah ditambah ke suatu jumlah RM15 juta dan RM10 juta adalah untuk rancangan tebatan banjir.
Kita duduk dalam Dewan yang mulia ini yang meluluskan bajet ini, dan kita merupakan stakeholder kepada hak kepentingan Rakyat untuk jumlah RM65 juta kepada JKR dan RM15 juta untuk JPS. Tidak ada siapa-siapa yang lebih jelas daripada ahli-ahli Dewan berkenaan dengan keperluan rakyat setempat, dan kita semua memerlukan satu forum yang sesuai untuk mengutarakan kehendak-kehendak rakyat dan memastikan projek-projek yang diminta oleh Rakyat dilaksanakan.
Saya tidak mahu ulang lagi permintaan demi permintaan saya specifc yang pernah saya bangkit kepada PKT di luar Dewan, dan juga di dalam Dewan. Saya ingin membuat satu cadangan secara dasar dan polisi, demi perkembangan demokrasi jangkat masa panjang, saya ingin mencadangkan kepada Kerajaan Negeri, supaya membuat pelantikan Ahli-Ahli Dewan atau nominee masing-masing, ke dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa Kerja JKR, JPS dan juga Jawatankuasa Jalan di PKT, supaya segala tindakan JKR dan PKT dalam menangani masalah tempatan ini adalah selaras dengan kehendak Rakyat dan menyelesaikan masalah Rakyat dengan terus.
Begitu juga, apabila YAB Pangkor menyatakan bahawa peranan dan tanggungjawab Ahli Dewan Negeri tidak pernah dipandang ringan dan meluaskan bantuan bulanan Pusat Khidmat ADUN yang melibatkan peruntukan sebanyak RM2.12 juta, untuk pihak kami melaksanakan tugas kami dengan lebih effisien, maka pelantikan selanjutnya ke dalam Jawatankuasa Tindakan Daerah adalah patut dan tepat masanya. Perkhidmatan kepada Rakyat ini adalah tanpa batas.
Dato Seri YDP,
Bajet 2014: Peruntukkan Hal Ehwal Bukan Islam
Bajet 2014 yang dibentangkan menunjukkan suatu perbelanjaan sebanyak RM1,012.61 juta, iairu suatu peningkatan sebanyak RM64.14 juta atau 6.8%. Sekiarnya kita meneliti ucapan bajet YAB MB untuk tahun 2013 dan ucapan Bajet tahun 2014, apa yang kita boleh nampak adalah Bajet 2014 adaalh mirip Bajet 2013, selain daripada tokok tambah di sini dan di sana untuk item-item yang sama.
Apabila Kerajaan Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya PRU12, Pakatan Rakyat telah memulakan peruntukkan tetap kepada Hal Ehwal Bukan Islam, pemberian air percuma kepada golongan miskin, pemberian hakmilik kekal kepada Rancangan Rumah Tersusun dan Kg Baru, pemberian tanah kepada sekolah-sekolah Agama dan SUWA. Antara polisi-polisi tersebut ada yang disambung oleh Kerajaan BN, adalah yang dibunuh oleh Kerajaan BN.
Sekarang, apabila Kerajaan BN memerintah Negeri Perak semula, walaupun merupakan Kerajaan dengan undi popular minoriti, apakah polisi-polisi baru yang mampu diketengahkan? Saya dengan kesalnya menyatakan bahawa tidak nampak ada apa-apa polisi yang tertonjol dalam ucapan YAB MB. Untuk saya, ini menunjukkan bahawa Kerajaan yang sedia ada ini tidak cukup prihatin dan tidak mantap dalam menguruskan hal-ehwal Negeri. Kerajaan Negeri sememangnya boleh mengamalkan system tender terbuka untuk tanah-tanah komersial, tender terbuka untuk konsesi balak dsb yang boleh menjana lebih hasil kepada Kerajaan Negeri, kenapa Kerajaan tidak mampu untuk melaksanakan demikian?
Saya ingin bangkitkan satu perkara spesifik di sini yang mana peruntukkan untuk hal ehwal bukan islam telah “ditambah” menjadi RM4 juta pada tahun 2014. Sememangnya perkataan “ditambah” ini adalah manis didengar, tetapi saya masih ingat YB Chenderiang pada masa beliau menjadi EXCO dulu, telah mendakwa secara terbuka bahawa jumlah peruntukkan oleh Kerajaan Negeri untuk item hal ehwal bukan islam adalah sebanyak RM8 juta! Sekiranya apa yang dikatakan oleh YB Chenderiang tersebut adalah betul, samaada ini bermaksud peruntukkan telah dikurangkan dan bukannya ditambah? Atau YB Chenderiang yang memutarpelikkan angka sebenar demi untuk menonjolkan heroic beliau?
Negeri Perak terdiri daripada masyarakat majmuk, dan peruntukkan tersebut adalah tidak mencukupi. Adalah wajar untuk Kerajaan Negeri meningkatkan peruntukkan tetap untuk hal ehwal bukan islam kepada RM15 juta setahun, dan menubuhkan satu mekanisma untuk membolehkan gereja-gereja, kuil-kuil dan persatuan agama untuk membuat permohonan, dan bukannya diberikan kepada sesetngah pihak untuk menguasai pengagihannya.
Pada masa yang sama, saya juga ingin menyeru supaya, kawasan tanah perkuburan yang mencukupi untuk agama bukan islam disediakan untuk menampung keperluan yang semakin bertambah.
Dato Seri YDP,
Hutang Negeri dan Pemindahan Aset Air
Saya telah bangkitkan dalam perbahasan Titah Perintah Tuanku tahun 2013 berkenaan dengan isu pemindahan asset air dan bangkitkan isu-isu tetapi tidak dibalas atau dijawap dalam pengulungan YAB MB. Walau bagaimana, saya ingin bangkitkan keraguan yang selanjutnya dalam isu pemindahan asset air ke PAAB.
(1) Dalam jawapan bertulis yang diberikan oleh Kerajaan Negeri pada bulan Ogos 2013, Kerajaan menyatakan bahawa perjanjian pemindahan asset air adalah melibatkan asset-aset LAP sahaja dan tidak melibatkan apa-apa raw water infrastrutur projek.
Di Negeri Pulau Pinang, Kerajaan PP mampu untuk mendapatkan peruntukkan sebanyak RM1.2 billion daripada Kerajaan Pusat untuk projek Mengkuang Expansion Dam, dan juga projek-projek masa depan yang lain. Bagaimanakah dengan Perak?
(2) Aset Air akan dipajakkan semula kepada LAP dengan bayaran pajakan sebanyak RM22.20 juta, berbanding dengan PP hanya sebanyak RM14.56 juta setahun. Apakah jawapan Kerajaan Negeri, kenapa kita perlu bayar lebih?
(3) Pemindahan asset air di Negeri PP telah menghapuskan jumlah hutang penuh bekalan air PP kepada Kerajaan Pusat sebanyak RM655.2 juta. Di negeri Perak, selepas perjanjian ditandatangani, hanya RM702.4 juta hutang Negeri untuk bekalan air dihapuskan, dan masih tertinggal lahi RM267.5 juta setakat 31.12.2012. Apa yang terjadi?
Dato Seri YDP,
Masalah Setempat: Pasar Kg Simee
Saya telah bangkit dalam sidang yang lepas bahawa untuk satu peruntukkan sebanyak RM1 juta untuk tujuan projek penaik-tarafan Pasar Kg Simee secara berperingkat. Ini adalah cadangan alternative saya terhadap cadangan membina semula pasar oleh MBI yang melibatkan kos RM5 juta. Saya tidak menerima apa-apa balasan daripada MBI sejak isu ini dibangkitkan dan saya berharap dapat memperolehi satu balasan untuk kali ini, yang mana saya yakin bahawa cadangan saya untuk penaiktarafan ini boleh diterima dengan suara rakyat didengar dan dijadikan pertimbangan utama akan mendapat respond yang baik daripada rakyat.
Kesimpulan – Pemantapan tugas Ahli Dewan / Peruntukkan tanpa batasan
Dewan yang mulia ini merupakan sebuah institusi yang amat penting dalam membela perlembagaan dan memberi imbangan kepada cabang eksekutif, ini dapat dibuktikan dengan bajet 2014 yang disediakan oleh eksekutif perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu dari Dewan yang mulia ini sebelum ianya dilaksanakan.
Apabila kita bertukar-tukar fikiran di Dewan yang mulia ini, kesemua kita 59 rakan di sini adalah wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik dan oleh demikian, rakyat di kawasan mana-mana tidak harus didiskriminasikan. Saya dengan ini mencadangkan, suatu cadangan yang saya telah bangkit pada tahun 2012, bahawa semua ADUN diberikan peruntukkan yang sama tanpa mengira fahaman politk dan memang ia adalah tertakluk dalam manifesto PR tahun 2013.
Saya percaya bahawa cadangan ini adalah tepat dan sesuai demi kepentingan awam dan peningkatan imeh Dewan yang mulia ini.
Sekian, ucapan daripada saya. Salam Ketuanan Rakyat, salam “Ubah Malaysia”
Sekian, terima kasih.