Mukadimah
Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana mengizinkan saya untuk menyertai dalam perbahasan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong XV.
Persidangan Dewan kali ini adalah Persidang yang pertama selepas PRU14 pada 09.05.2018. Rakyat Malaysia telah mencatatkan satu sejarah yang mana suatu perubahan pentadbiran dan peralihan kuasa telah berlaku pada PRU14 tersebut. Ini sejurusnya telah mengelakkan Malaysia daripada terus digelar sebagai satu negara Kleptokrasi sedunia.
Saya ingin mengmabil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan yang setinggi-tinggi kepada Rakyat Malaysia yang telah membuat suatu keputusan yang begitu berani dan bijak, dan kepada pengundi-pengundi saya di Kawasan Ipoh Timor, yang telah memberikan mandate kepada saya untuk mewakili Ipoh Timor di Dewan yang mulia ini dalam 5 tahun yang akan datang.
Tanggungjawab Patriotik
Saya berasa syukur kerana dapat bersama-sama dengan rakan-rakan sejawat dan sepejuangan saya duduk dalam Dewan yang mulia ini untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita. Tanggungjawab kita dalam 5 tahun yang akan datang ini bukan sahaja sebagai penggubal undang-undang per se (legislator), tetapi kita juga memikul satu tanggungjawab patriotik kepada negara demi suatu Impian Malaysia Bersama.
Malaysia telah digelar sebagai satu negara Kleprokrasi Sedunia sejak 2 tahun yang lepas, bermula dengan tindakan oleh US Department of Justic (DOJ) untuk menyita harta bernilai US$1 billion di United States, United Kingdom dan Switzerland yang bersangkut paut dengan skandal 1MDB.
Sejak hari itulah, nama Malaysia bukan sahaja dicemar tetapi telah dirosakkan in toto, bukan kerana tindakan yang diambil oleh DOJ tetapi disebabkan penafian dan pemisuan yang berterusan daripada ahli-ahli wakil Kerajaan pada ketika itu, yang gagal untuk melaksanakan tanggungjawab patriotik mereka, sejurunya turut membenarkan skandal 1MDB berlanjutan melanda pentadbiran, ekonomi dan imej negara.
Walaupun kita sekarang terdengar suara-suara yang menyatakan ada kekesalan kerana tidak berterus-terang dengan pimpinan Kerajaan pada masa itu dan pengakuan punca kekalahan kerajaan sebelum ini adalah kerana sikap menidakkan pelbagai skandal terutamanya 1MDB, tetapi jelas kesemua ini sudah terlambat dan kerosakkan telah terjadi (damage is done) terhadap tanah tumpahan darah kita ini.
Kerajaan pada hari ini harus mengambil ikhtibar daripada perkara dan pengalaman sedemikian, dan tidak membenarkan diri untuk terperangkap dengan sikap penafian dan pemisuan yang sama, yang mana akan membawa kemudaratan kepada parti dan negara.
Selaku Ahli-Ahli Dewan, setiap kita akan memikul tanggungjawab yang besar, satu tanggungjawab patriotik bukan sahaja untuk membersihkan nama negara daripada situasi kleptokrasi sedunia, tetapi untuk membina semula negara yang bersatupadu, demokratik, adil dan merealisasikan Impian Malaysia sebagai satu negara kelas pertama untuk 50 tahun yang akan datang.
Pembaharuan Institusi: First World Parliament
Perubahan dan pengalihan kuasa yang dicapai pada 09.05.2018 tidak akan membawa makna yang besar sekiranya tidak didokong dan disusuli dengan pembaharuan institusi. Kita akan mengalami kegagalan sekiranya pembaharuan institusi tidak dilaksanakan dengan membina dan memenuhi harapan Rakyat demi membawa satu perubahan yang bermakna untuk kehidupan mereka.
Kita boleh mengambil langkah pertama pembaharuan, dengan memulihkan kemerdekaan, kecekapan dan professiobalisme institusi kerajaan yang dirosakkan dan dicemari oleh kesilapan terdahulu.
Sebagai contoh, digniti Parlimen, Dewan Rakyat, yang sepatutnya menjadi medan pertanyaan dan mencari kebenaran, telah dicemari apabila kesemua persoalan berkenaan dengan 1MDB ditolak dan perbahasan usul untuk isu-isu berkenaan dilarang. Sedangkan pada masa yang sama, House of Common di UK dan Parlimen Swiztland telah membenarkan perbahasan isu 1MDB. Segala pemisuan inilah pada masa itu adalah bertujuan semata-mata untuk melindungi Kerajaan pada masa tersebut, tetapi selanjutnya telah menjadi faktor kekalahan kerajaan tersebut.
Kita tidak boleh membenarkan perkara sebegini berulang.
Haruslah Parlimen ini membuktikan bahawa Malaysia mampu memiliki satu First World Parliament, yang menjalankan tugasnya dengan efficient, dan haruslah keputusan-keputusan Tuan Yang Dipertua yang tertakluk kepada pertikaian, diperiksa dan dipantau oleh satu Jawatankuasa Khas yang berperanan untuk menerima aduan-aduan daripada ahli-ahli Dewan. Hanya dengan wujudnya satu First World Parliament kita boleh mencapai satu First World Nation.
Skandal 1MDB juga menampakkan bahawa institusi-institusi penguatkuasaan telah dilumpuhkan. Dalam masa setahun yang singkat, Peguam Negara, Ketua Pesuruhjaya Pencegah Rasuah dan Gabenor Bank Negara dipersarakan untuk tujuan yang jelas. Demi memperbetulkan kesilapan yang lepas, Kerajaan kini telah melaksanakan tindakan yang penting dan betul yang mana sembilan (9) ajensi penting iaitu Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihanraya, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan yang lain-lain telah dikeluarkan dari JPM dan melapor secara terus ke Parliament.
Dalam konteks ini, Jawatankuasa-jawatankuasa Pilihan Parliament (Parliamentary Select Committee) hendaklah ditubuhkan dalam masa terdekat untuk memantau pentadbiran kesemua ajensi-ajensi ini. Ahli-Ahli Dewan perlu diberikan tanggungjawab yang lebih besar dalam memastikan ajensi-ajensi tersebut berfungsi dengan bebas dan eficient.
Saya mengambil kesempatan ini untuk berkongsi pepatah terkenal daripada Lord Acton “Power tends to corrupt, absolute power corrupts absolutely”. Mana-mana bentuk pemusatan kuasa kepada pemimpin atau institusi akan memudaratkan pentadbiran ini.
Akibat negatif pemusatan kuasa dalam tahun-tahun kebelakangan ini telah digambarkan oleh Indeks Persepsi Rasuah Transparency International (TI) 2017 yang mana Malaysia menjunam ke tangga yang paling rendah dalam 23 tahun, iaitu bertempat di kedudukan 62 dari 180 negara dengan skor CPI 47/100. Kita tidak mahu balik ke jalan lama lagi.
Pengumuman oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini untuk mengarahkan supaya Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Timbalannya serta Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan untuk mengistiharkan harta kepada YAB Perdana Menteri dan SPRM adalah satu langkah yang ke hadapan yang baik. Rakyat akan menjadi pemantau yang paling penting dalam memastikan bahawa anggota-anggota pentadbiran tidak mengkayakan diri mereka sendiri dengan jawatan yang ada.
Pada masa yang sama, skop pengistiharan harta ini juga boleh diperluaskan kepada kesemua Ahli-Ahli Dewan dari kedua-dua belah Dewan ini untuk memastikan satu pentadbiran yang telus dan bersih.
Tidak begitu penting samaada kita boleh duduk di sebelah kita selama-lamanya, tetapi adalah lebih mustahak untuk kita semua menunaikan tanggunjawab patriotik kita supaya satu sistem yang baik boleh ditubuhkan dan dilanjutkan dalam masa yang akan datang sebagai tunggak pentadbiran yang penting untuk negara dalam masa 50 tahun yang akan datang.
Integrasi Antara Kaum
Kebawah Duli Yang Maha Mulua Seri Paduka Yang Di-Pertuan Agong turut bertitah anggapan bahawa kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang wujud di negara in adalah percikan bunga api yang akan membakar hangus kedamaian dan kestabilan hidup telah meleset sama sekali.
Saya amat bersetuju dengan titah Tuanku tersebut. Pengalaman saya sendiri, saya mengikuti pelajaran sekolah rendah saya SRJK(C), kemudiannya di SMJK dan SMK, selanjutnya di University Islam Antarabangsa Malaysia. Latar belakang saya yang diperbesarkan di SRJK(c) tidak menghalang saya daripada berintegrasi dengan rakan-rakan lain saya yang berbilang kaum di SMK, dan identiti saya selaku seorang pelajar bukan Islam di UIAM turut tidak menghentikan rakan-rakan melayu dan muslim saya untuk menawarkan bantuan yang seikhlas-ikhlasnya kepada saya untuk membiasakan diri saya dengan kehidupan di kampus UIAM.
Saya percaya kepelbagaian kaum, agama dan budaya di negara yang tercinta kita sememangnya menjadi satu daya kepada negara kita untuk maju ke hadapan dan bukannya sesuatu rintangan kepada kita. Tidak ada satu negara yang lain di dunia mempunyai kelebihan seperti negara kita, dengan kepelbagaian bangsa, budaya dan cara hidup yang unik. This is our advantage.
Walau bagaimanapun, memang terdapat puak-puak yang tidak mahu merosakkan hubungan antara kaum demi kepentingan atau tujuan politik mereka, dengan kata-kata palsu dan bohong yang tidak berasas langsung. Contoh yang terbaru adalah dakwaan palsu beberapa hari lepas bahawa Kerajaan Pakatan Harapan hendak melaksanakan “agenda pengkristianan DAP”, yang mana jelas bahawa tiada agenda tersebut langsung dalam perjuangan DAP sekian lama ini.
Tohmahan sebegini hanya merupakan tohmahan ulangan, yang mana sebelum ini DAP juga telah didakwa dengan tohmahan palsu sebagai anti-Islam, anti-Melayu, ahli komunis dan sebagainya. Namun, DAP telah berjaya membuktikan bahawa kami adalah sebuah parti yang memperjuangkan nasib Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, latar belakang dan agama.
Kesemuanya tohmahan-tohmahan palsu ini adalah jelas, dengan satu tujuan sahaja, iaitu untuk memupuk politik perkauman, agama, kebencian dan ketakutan di kalangan pengundi-pengundi berbilang kaum. Mereka yang selalu mempermainkan sentiment dan isu perkauman ini haruslah sedar, bahawa apa yang kamu rosakkan bukan ke atas pihak lawan politik kamu, tetapi adalah ke atas dasar pembinaan negara yang telah diusahakan sejak merdeka lagi.
Mujur, jelas tohmahan tersebut tidak lagi terpakai dan diterima, dengan tindakan patriotik dan keputusan yang telah dibuat oleh Rakyat Malaysia pada 09.05.2018.
Masa sekarang adalah masa yang terbaik untuk membina semula negara dan mengukuhkan perpaduan rakyat pelbagai suku bangsa negara ini. Tabung HARAPAN yang dilancarkan oleh Kerajaan PH pada bulan Mei 2018 lanjutan daripada inisitiatif perseorangan aktivis Shazarina Bakti telah membara semangat patrioticism dan sikap bersatupadu Rakyat Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi. Semangat patriotism sekarang tidak lagi terhad kepada kibaran jalur gemilang atau nyanyian lagu patriotic tetapi juga ditunjukkan secara realiti-nya dengan mendokong agenda perubahan pada 09.05.2018 dan melakukan apa yang perlu dalam daya upaya sendiri demi menyelamatkan Malaysia.
Saya mengimbas kembali ayat kitab suci al-Quran yang saya belajar semasa zaman universiti saya. Al-Hujurat 49:13 “O you who believe! Indeed we have created you from a single male and female, and made you into tribes and nation, that you may know each other. Indeed, the most noble of you in the sight of God is the most righteous of you.”
Rakyat Malaysia sudah mengundi untuk suatu pembaharuan, dan tidak ada Rakyat Malaysia yang mahu kembali ke era politik lama dan gasak yang berlandaskan kaum, agama, kebencian dan ketakutan. Sudah sampailah masa semua Rakyat Malaysia berganding bahu, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang, untuk membina semula negara dan menjadikan Malaysia satu negara yang cemerlang dalam semua bidang. Satu negara yang bersatupadu haruslah bermula dari tahap pimpinan, dengan zero toleransi kepada politik perkauman dan kebencian, merupakan Impian Malaysian yang diingin-inginkan.
Brain Drain
Masa ini juga suatu masa yang mana Kerajaan yang sedia ada menangani masalah brain drain yang dialami sepanjang masa ini. Semangat patriotik untuk menyumbang kepada negara ini akan menjadi satu faktor yang penting untuk menarik balik golongan ini dan berkhidmat kepada negara.
Brain Drain adalah dianggarkan berada di satu tahap lebih daripada 330,000 pada tahun 2010, meningkat dari lebih kurang 200,000 pada tahun 2000. Pada masa yang sama, 2 daripada 10 warga Malaysia yang memegang sijil pendidikan tinggi telah memilih untuk pergi ke Singapora atau negara-negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD). World Bank Malaysia Report 2014 melaporkan bahawa lebih kurang 169,000 orang yang tinggal di negara-negara OECD memiliki sijil pendidikan tinggi atau yang lebih tinggi.
Malaysians in OECD Countries by Education Level in 1990, 2000 and 2010
Faktor-faktor utama Brain Drain, selain daripada tahap gaji, ekonomi dan kualiti kehidupan, adalah perasaan ketidakseimbangan sosial, yang mana Kerajaan sekarang perlu menggunakan gelombang patrotik yang ada, ditambah dengan harapan yang besar yang ditaruhkan oleh rakyat selepas PRU14, untuk membuktikan bahawa Kerajaan sekarang adalah mampu untuk menunaikan janji-janji dan membawa pembaharuan terhadap keseluruhan sistem, dan menjamin satu pentadbiran yang telus, adil, bersih dan peluang yang saksama kepada mereka yang layak, tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Saya berharap bahawa usaha-usaha harus dipertingkatkan oleh Kerajaan ini untuk mencapai matlamat membawa balik golongan ini.
Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan penghargaan kepada YB Tampin yang telah pada hari semalam menyatakan pendirian beliau menyokong pengiktirafan Sijil UEC. Sememangnya pengiktirafan UEC telah dijanjikan dalam Manifesto PH dan juga dikatakan telah dijanjikan dalam Manifesto BN walaupun dengan penggunaan perkataan yang mengelirukan. Perkara ini tidak seharusnya dijadikan isu radikal perkauman, dan saya ingin menarik perhatian YB Menteri Pendidikan dalam perkara ini untuk mengambil tindakan supaya menunaikan janji ini dalam masa yang terdekat seperti juga dengan janji-janji lain yang telahpun ditunaikan.
Kes Teoh Beng Hock & IPCMC
Kita juga ada pembaharuan yang long overdue.
Pada 13 tahun yang lepas, iaitu pada tahun 2005, Laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) (laporan utama 433 muka surat, jilid tambahan dan ringkasan eksekutif masing masing 25 dan 149 mukasurat) yang dikemukakan oleh Pengerusinya Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah telah mengemukakan 125 cadangan untuk tujuan tersebut. Antaranya, cadangan yang paling penting adalah penubuhan satu Independent Police Complaint and Misconduct Commission (IPCMC) untuk membantu memastikan kepatuhan dikuatkuasa dengan ketat dan ketidakpatuhan dikesan dengan segera.
Dalam saranan Laporan Suruhanjaya Diraja PDRM tersebut, telah dinyatakan:-
- IPCMC adalah perlu sebagai sebuah badan luar yang bebas bertujuan menerima aduan dan mencegah salah laku dalam PDRM;
- Bagi anggotanya pula, dicadangkan pelantikan tujuh pesuruhjaya bagi tempoh tiga tahun dengan pengerusinya dilantik di kalangan mereka yang mempunyai latar belakang perundangan atau kehakiman;
- Polis atau bekas polis tidak boleh dilantik menganggotai IPCMC.
Sememangnya, Badan bebas sebegini adalah tidak asing di negara-negara yang lain.
England & Wales: Independent Office for Police Conduct (IPOC) yang ditubuhkan pada Januari 2018, yang dahulunya dikenali sebagai Independent Police Complaints Commission (IPCC) sejak penubuhannya melalui Police Reform Act 2002.
IPOC memantau kesemua sistem aduan terhadap pegawai-pegawai polis di England dan Wales dan membuat keputusan bebas daripada pihak polis, kerajaan dan mana-mana golongan yang mempunyai interest.
Selain daripada itu, ia juga membuat siasatan ke atas aduan-aduan serious berkenaan:-
- National Crime Agency (NCA)
- Gangmasters and Labour Abuse Authority (GLAA)
- Home Office
- Her Majesty’s Revenue and Customs (HMRC)
- Mayor’s Office for Policing and Crime (MOPAC)
- Police and Crime Commissioners (PCCs)
Di Scotland, badan yang bersamaan telah ditubuhkan pada tahun 2013 dan dinamakan Police Investigations & Review Commissioner (PIRC) dengan salah satu matlamat untuk memelihara keyakinan orang awam terhadap perkhidmatan polis di Scotland.
Di New Zealand, Independent Police Conduct Authority (IPCA) (pada duhunya dikenali sebagai Police Complaints Authority dan ditubuhkan pada tahun 1989) juga membolehkan segala aduan dikendalikan secara bebas.
Begitu juga di Australia, New South Wales: Law Enforcement Conduct Commission (LECC) telah ditubuhkan pada 26.11.2015 dan ia merupakan satu badan yang berasingan dan bebas daripada kedua-dua NSW Police Force and NSW Crime Commission. Suruhanjaya ini bertanggungjawab kepada The Inspector of the LECC dan Parliamentary Joint Committee.
13 tahun sudah berlepas setelah Laporan Suruhanjaya Diraja dikemukakan, dan telahpun berlakunya kes-kes A. Kugan, Aminurasyhid Amzah yang melibatkan PDRM, kes Teoh Beng Hock, Ahmad Sarbani Mohamad yang melibatkan SPRM, dan juga kes-kes yang lain, penubuhan IPCMC seperti telah dilupakan oleh Kerajaan sebelum ini. Jelas ia adalah disebabkan kekurangan keazaman politik pihak pimpinan negara untuk merealisasikannya.
Kerajaan sekarang patut memberikan penekanan ke atas penubuhan IPCMC yang telah disyorkan sejak 13 tahun. Pembaharuan sistem pemantauan PDRM ini tidak bertujuan untuk menghukum anggota-anggota PDRM yang menjalankan tugas, tetapi ia adalah satu usaha yang penting untuk mengembalikan keyakinan Rakyat terhadap PDRM.
Harapan Anak Muda – PTPTN
Manifesto Pakatan Harapan telah menitikberat berkenaan dengan masalah dan kebajikan anak-anak muda. Dalam menunaikan janji dan manifesto Pakatan Harapan, YB Menteri Pendidikan telah mengumumkan pembayaran balik pinjaman PTPTN hanya akan bermula sekiranya peminjam memperolehi satu gaji lebih daripada RM4,000.00 sebulan. Tawaran ini merupakan salah satu tawaran induk oleh Pemuda Pakatan Harapan dalam Harapan Anak Muda kami demi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak muda, dan telah diberikan titik-berat oleh Pimpinan Pusat PH dan Kerajaan sekarang.
Ini merupakan satu langkah yang pantas yang mana kita boleh memastikan bahawa pelajar-pelajar yang tidak mampu untuk membayar balik hutang PTPTN akibat daripada gaji yang rendah tidak akan dihukum atas pinjaman pempelajaran mereka. YB Menteri Pendidikan turut menyatakan bahawa nama kesemua 433,000 penghutang PTPTN telah dikeluarkan dari senarai hitam immigresen.
Walau bagaimanapun, ini masih belum mencukupi untuk memaparkan semangat sebenar tawaran ini dalam manifesto. Telah dilaporkan bahawa nama-nama Penghutang PTPTN tetap akan disenaraikan dalam Central Credit Reference Information System (CCRIS) dan justeru itu ia akan menghalang penghutang-penghutang tersebut daripada memperolehi fasiliti bank.
Ini tidak sepatutnya diteruskan. Penyenaraian nama penghutang-penghutang di CCRIS, khasnya untuk mereka yang masih mengambil gaji pada tahap kurang daripada RM4,000.00, merupakan suatu jenis “hukuman” yang tidak wajar dan tidak patut. Kenapa golongan ini masih perlu disenaraikan dalam CCRIS, padahalnya mereka adalah dikecualikan untuk membayar balik PTPTN buat sementara waktu?
Where there is no duty to pay, there is no wrong committed and there should not be any penalty towards the same.
Harus juga kita memahami keluhan anak muda, betapa ramai anak muda yang tidak mampu untuk memiliki rumah mereka sendiri walaupun sudah bertahun-tahun bekerja. Untuk mereka yang sekurang-kurangnya mampu untuk mengeluarkan deposit pembelian rumah, sekiranya hasrat mereka untuk memilik rumahnya sendiri dibatas akibat daripada CCRIS yang melanda, perkara sebegini adalah tidak adil untuk mereka. Ini adalah tanggungjawab kita kepada anak muda.
Pendaftaran Pengundi Secara Otomatik
Baru-baru in YAB Perdana Menteri telah mencadangkan untuk menurunkan had umur pengundi seawal 18 tahun. Cadangan ini merupakan satu cadangan yang bernas dan selari dengan perkembangan politik dan demokrasi sedunia.
Selain daripada negara-negara seperti Thailand, Australia, Denmark, Italy, Jerman dan hampir 100 negara yang telah menetapkan had umur mengundi pada 18 tahun, Jepun dan Taiwan juga pada baru-baru ini menurunkan had umur mengundi untuk referendum ke umur 18 tahun.
Langkah ini merupakan satu langkah yang patut dan perlu yang mana kita akan menunjukkan keyakinan kita kepada golongan anak muda untuk membuat pemilihan dan keputusan yang terbaik untuk masa depan negara. Ia juga merupakan satu pengiktirafan Kerajaan kepada peranan golongan anak muda dalam membantu untuk perkembangan demokrasi negara ini, khasnya dalam 3 PRU yang lepas, iaitu PRU12,13 dan 14.
Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan adalah disarankan untuk mengambil suatu langkah lanjut dan progresif ke hadapan untuk melaksanakan sistem pendaftaran pengundi otomatik bagi semua pengundi-pengundi yang telah mencapai tahap umur mengundi.
Setakat September 2017, terdapat 3.6 million warganegara Malaysia yang layak mengundi tidak mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi. Antaranya, 2/3 atau lebih kurang 2.5 million antara mereka adalah terdiri daripada golongan anak muda yang berumur antara 21 hingga 30 tahun. Keadaan ini sebenarnya bertambah serius selepas tahun 2013 yang mana Kerajaan yang terdahulu, melalui Suruhanjaya Pilihanraya, telah menamatkan kesemua perkhidmatan Penolong Daftar Pengundi untuk parti-parti politik. Ini merupakan satu tindakan yang bertentangan dengan perkembangan demokrasi.
Sistem pendaftaran pengundi otomatik adalah tidak asing di negara-negara demokrasi maju. Negara Jerman, Perancis, Belgium dan Sweden merupakan antara negara-negara yang melaksanaan polisi ini. Amerika Syarikat juga telah mengambil langkah ke hadapan dalam perkara ini yang mana rang undang-undang Sistem Pendaftaran Pengundi Otomatik telah diperkenalkan dan diluluskan termasuk di Oregon, California, West Virginia dan negeri-negeri yang lain.
Selaku sebuah Kerajaan yang mengiktiraf kedudukan dan peranan anak muda, kami tidak mahu nampak hak mengundi anak-anak muda semasa pilihanraya dinafikan hanya kerana mereka tidak sempat mendaftarkan diri sebagai pengundi.
Biarlah Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan menunjukkan tekad dan azam politik dalam isu ini dengan mengambil suatu langkah yang lanjut dalam melaksanakan sistem pendaftaran pengundi otomatik demi suatu pendemokrasian sistem pentadbiran yang menyeluruh. Ini merupakan salah satu pembaharuan sistem pentadbiran yang dinanti-nantikan.