Skip to content

Ucapan oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council semasa Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2023 pada 7 Disember 2023 di Hotel St.Giles Wembley, Penang

Selamat petang semua!

Selamat datang ke Majlis Penyampaian Anugerah Green Pinang 2023 hari ini. Setelah sedekad penganjurannya mulai tahun 2014 oleh Penang Green Council, ia adalah satu penghormatan untuk sekali lagi menjadi tuan rumah bagi majlis yang gilang gemilang ini. Majlis penganugerahan pada malam ini akan meraikan individu dan organisasi yang bersungguh-sungguh dalam usaha untuk menjaga Bumi.

Hadirin yang dihormati,

Malam ini, kita memberi penghargaan kepada mereka yang telah berusaha ke arah visi Penang2030 untuk menjadi Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara. Dengan tema ‘Simfoni Kelestarian’ atau pun A Symphony of Sustainability, tema ini menekankan tugas kita untuk menjaga Bumi untuk kegunaan generasi masa depan.

Penyampaian anugerah bagi kategori Pensijilan Pejabat Hijau Pulau Pinang, Anugerah Kewartawanan Hijau Pulau Pinang dan Insentif Hijau Pulau Pinang adalah tanda kerajaan negeri mengiktiraf segala titik peluh yang dicurahkan untuk kesejahteraan planet ini. Para pemenang ini memperlihatkan komitmen yang kukuh dalam mengambil langkah proaktif untuk memastikan kesejahteraan alam sekitar terjamin. Kejayaan mereka harus diberikan tepukan yang gemuruh, dan kita seharusnya menjadikan mereka ini contoh teladan dan mercu kepada perubahan alam sekitar.

Pensijilan yang akan diberikan kepada 40 buah pejabat pada tahun ini merangkumi sektor awam dan swasta melalui amalan mesra alam sekitar yang terpuji termasuklah kitar semula dan penjimatan tenaga. Di samping itu, rakan-rakan media yang kita santuni juga akan diraikan malam ini. 7 orang pemenang yang memperjuangkan isu-isu alam sekitar melalui bidang kewartawanan dah fotografi akan diraikan di atas karya mereka yang sangat memberi impak kepada pembaca. Sekali lagi, tepukan gemuruh buat suara-suara lantang mewakili alam sekitar di atas usaha tanpa lelah dalam meningkatkan kesedaran dalam komuniti.

Seterusnya, kita juga akan memberikan penghargaan kepada penerima Insentif Penuaian Air Hujan Pulau Pinang dan Insentif Cabaran Sisa Makanan Pulau Pinang layak diberi penghargaan. Keselamatan bekalan air kekal menjadi cabaran besar di Pulau Pinang, terutamanya semasa musim kemarau. Bagi menangani masalah ini, amat penting untuk kita menyimpan dan mengumpul air hujan untuk kegunaan selain untuk diminum, seperti pengairan, pencucian, pengepam tandas, dan dobi. Di samping itu, pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga sedang melabur kira-kira RM1.185 bilion dalam projek-projek bekalan air utama dalam tempoh lima tahun akan datang untuk meningkatkan kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan bekalan air.

Saya juga ingin menarik perhatian anda tentang isu pembaziran makanan di Pulau Pinang. Terkenal dengan kepelbagaian juadah yang lazat, kerajaan negeri memikul tanggungjawab yang berat untuk mengatasi isu pembaziran ini berdasarkan laporan statistik yang meruncing. Isu sisa makanan di Pulau Pinang bukanlah sesuatu yang baru dan kini mencapai 51% daripada jumlah sisa harian kita. Menurut laporan daripada operator tapak pelupusan, SWCorp Malaysia, rakyat Malaysia menghasilkan sebanyak 17,007 tan sisa makanan setiap hari pada tahun 2021, 76% daripadanya adalah sisa yang tidak boleh dimakan seperti tulang dan kulit buah sementara 24% lagi masih boleh dimakan.

Ini bukan sahaja mewakili pembaziran sumber yang besar tetapi juga menyumbang kepada isu kelaparan global yang dijangka akan menjejaskan lebih daripada 600 juta orang di seluruh dunia menjelang tahun 2030. Untuk mencapai Matlamat SDG 2: Kelaparan Sifar, kita mesti memerangi pembaziran makanan dengan membeli daripada petani dan pasar tempatan, membuat pilihan makanan yang mampan, mempromosikan pemakanan yang baik untuk semua, dan mengurangkan pembaziran makanan dalam kehidupan harian kita. Ini adalah tanggungjawab bersama untuk memperkasa rakyat, kedai makan dan minum, syarikat korporat, dan hotel untuk mencegah pembaziran makanan dan mengurangkannya dalam rutin harian kita. Justeru, saya sangat gembira melihat semua anda di sini hari ini, berkongsi satu matlamat yang sama. Saya harap kita dapat menginspirasi lebih ramai orang untuk menyertai perjalanan kita ke arah bandar yang mampan. Seiring dengan visi Penang2030 — “Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara” — kerajaan negeri melalui Penang Green Council, sedang bergiat aktif dalam pelbagai projek melibatkan korporat dan PKS. Kita sedang berusaha menggerakkan program Industri Hijau Pulau Pinang sebagai sebahagian daripada strategi Agenda Hijau Pulau Pinang.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

Hari ini, pertimbangan prinsip ESG telah menjadi keperluan bagi semua organisasi dan perniagaan, memastikan kelestarian komuniti, negara, dan Bumi kita. Tindakan segera untuk melawan krisis dan isu global bersama-sama perlulah diterapkan dalam jiwa kita sebagai satu amanat daripada generasi akan datang.

Saya berharap sokongan kerajaan dalam pematuhan ESG dapat mendorong Pulau Pinang ke arah negeri yang lebih berdaya tahan dan mampan menjelang 2030. Melalui acara penganugerahan malam ini, saya yakin terdapat potensi besar untuk kita bekerjasama mencipta Pulau Pinang yang lebih baik. Saya menanti lebih banyak perkongsian antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sektor swasta, NGO, pihak berkepentingan, dan individu untuk kita memacu Malaysia ke arah negara yang lebih bersih dan lebih hijau.

Sebagai kesimpulan, saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan penerima anugerah atas pencapaian yang luar biasa. Teruskan usaha anda dan menginspirasi lebih ramai orang untuk menjadi pemimpin hijau. Masa depan terletakdi tangan kita, dan kewajipan kepada alam sekitar tidak boleh dipandang sambal lewa. Sumbanglah sedikit demi sedikit untuk sebuah planet yang lebih sihat.

Terima kasih.