Skip to content

Ucapan oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council semasa Majlis Perasmian ‘Fuyoh! Once Upon A Time’ di Hin Bus Depot pada 4 June 2022

Fuyoh! Sudah lama kita tidak dapat berkumpul di dalam satu majlis fizikal seperti ini sejak pandemik melanda negara. Hari ini adalah hari yang sangat bermakna kerana kita sedang meraikan Bumi yang kita sayangi.

Saban tahun pada tanggal 5 Jun, sambutan Hari Alam Sekitar sedunia akan diraikan dengan meriah. Sambutan ini telah pun wujud sejak tahun 1972 semasa United Nations Conference on the Human Environment yang mengumumkan bahawa pembangunan lestari (sustainable development) akan dijadikan sebagai agenda global ketika itu.

50 tahun telah berlalu, masanya telah tiba untuk kita bertindak memulihkan keseimbangan antara manusia dan alam semula jadi. Tema untuk Hari Alam Sekitar Sedunia 2022, Only One Earth adalah slogan yang sama digunakan semasa Persidangan Stockholm pada 1972. Ia menekankan bahawa Bumi hari ini masih lagi merupakan satu-satunya planet yang boleh didiami.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

‘Fuyoh!’ hari ini kita cipta seakan kapsul masa di mana para pengunjung berpeluang untuk mempelajari sesuatu daripada masa lalu, merenung masa kini dan membayangkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Dengan kemajuan masa dan teknologi, kehidupan kita sesungguhnya telah dimudahkan, jarak didekatkan dan perkhidmatan rumah ke rumah adalah norma baharu. Tanpa kita sedari, kita sedang menjalani kehidupan di hujung tanduk kerana Bumi sudah pun melebihi had kapasiti yang boleh ditanggungnya.

3.2 bilion manusia akan terjejas akibat kemerosotan ekosistem dengan anggaran 40% daripada populasi dunia akan musnah. Sementara itu, 87% tanah lembap di kawasan pedalaman seluruh dunia telah hilang sejak tahun 1700 dan lebih satu pertiga spesies ikan komersial dieksploitasi secara meluas. Sekiranya trend ini semakin berleluasa, sisa plastik tahunan yang memasuki ekosistem akuatik mampu melonjak ke angka yang lebih tinggi iaitu sekitar 23-37 juta tan menjelang 2040.

Kita menggunakan lebih kurang 1.6 Bumi untuk mengekalkan cara hidup kita hari ini. Sudah terbukti dengan jelas bahawa ekosistem tidak dapat bersaing dengan desakan keperluan kita seharian. Banjir kilat, kemarau yang berpanjangan, kenaikan paras air laut, kehilangan biodiversiti, pencemaran dan banyak lagi adalah code red yang ditunjukkan kepada kita dan keadaan ini semakin membimbangkan saban hari. Jalan keluar daripada dilema ini hanyalah satu, iaitu mengubah amalan dan tindakan kita daripada memudaratkan kepada memulihkan planet ini. Oleh itu, usaha kita untuk hari esok perlulah menitikberatkan pada perubahan ekonomi dan masyarakat yang lebih inklusif, adil dan berhubung kait dengan alam semula jadi.

Wahai penduduk Pulau Pinang,

Sebagai sebuah pulau, Pulau Pinang amat menyedari potensi ancaman perubahan iklim yang bakal berlaku di masa depan. Sebagai tindak balas kepada isu perubahan iklim dunia dan paradigma pembangunan mampan yang berkembang, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan beberapa inisiatif, termasuklah Penang Climate Action Week, Agenda Hijau Pulau Pinang, Penang Circular Economy, Dasar Pengasingan Sisa di Punca Pulau Pinang dengan kadar kitar semula semasa 51.18%, penanaman anak pokok di seluruh negeri dengan 191,756 pokok telah ditanam sejak 2018 dan banyak lagi. Semua inisiatif ini adalah selaras dengan visi Penang2030 untuk membina ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’.

Menerusi program Fuyoh! ini, anda berpeluang untuk meneroka dunia yang baru lengkap dengan transformasi yang menarik supaya lebih ramai rakyat negeri ini dapat membuat keputusan harian yang lebih baik. Perubahan iklim juga tidak berlaku dalam sekelip mata tetapi berabad lamanya tanpa kita sedari.

Sudah tentu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak mampu melaksanakan usaha ini secara bersendirian, kami memerlukan semua pihak termasuk anda yang berada di sini untuk bersatu – baik dari institusi kewangan, perniagaan, organisasi antarabangsa, NGO dan individu kerana kita mempunyai kuasa untuk melakar semula dasar-dasar yang ada bersama, merangka cita-cita dan membuka lembaran baru.

We have #OnlyOneEarth. Let’s take care of it.