Skip to content

Ucapan oleh Sundarajoo Somu, EXCO Perumahan dan Alam Sekitar semasa Majlis Menandatangai Memorandum Persefahaman (MOU) antara PGC bersama The Institution of Engineers, Malaysia (IEM) dan Pertubuhan Arkitek Malaysia Northern Chapter (PAM) pada 1 Disember 2023 di Bilik Nilam, Komtar

Selamat pagi semua. Pada pagi ini, kita bakal menyaksikan satu lagi pencapaian penting ke arah visi Penang2030 dan saya berharap ini adalah permulaan bagi pelbagai kerjasama yang akan datang.

Perjanjian MOU antara Penang Green Council, Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM), dan The Insitution of Engineers, Malaysia (IEM) hari ini menunjukkan bahawa kepelbagaian profesion boleh menyatukan semua sekiranya kita mempunyai satu matlamat yang sama. Penang Green Council telah berusaha bersama-sama dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang selama 12 tahun untuk memupuk amalan hijau dan mampan kepada semua penduduk Pulau Pinang melalui perubahan tingkah laku dan pemikiran. Sementara itu, PAM dan IEM selaku badan profesional juga telah mengubah amalan mereka untuk meletakkan alam sekitar dalam proses decision making mereka. Walau bagaimanapun, di sebalik perbezaan ini, satu usaha bersama untuk alam sekitar telah membawa semua pihak untuk bersatu hari ini.

Hadirin sekalian,

Komitmen Malaysia untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 akan menjadi visi bersama di semua sektor di Malaysia. Di Pulau Pinang misalnya, kita dipandu oleh visi Penang2030. Sebagai sebahagian daripada visi tersebut, kami akan berusaha meningkatkan kesediaan industri pembuatan tempatan untuk zaman digital dan ekonomi hijau. Seperti yang kita sedia maklum, Pulau Pinang adalah penyumbang kedua tertinggi di antara semua negeri di Malaysia dengan catatan pelaburan dalam sektor pembuatan sebanyak 135 buah projek berjumlah sehingga RM13.7 bilion pada tahun 2022. Sebagai Silicon Valley utara, sektor E&E memainkan peranan penting dalam ekonomi negeri kita. Justeru, perkhidmatan perbandaran kita mestilah dilengkapi dengan teknologi pintar untuk menyediakan kemudahan dan sokongan kepada kemajuan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri, melalui Penang Green Council, telah melancarkan dua projek iaitu: Program Industri Hijau Pulau Pinang (PGIP), dan Program Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga (RE & EE). PGIP bertujuan untuk menggalakkan perniagaan tempatan untuk mengadaptasi aliran global ESG (Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus) di samping mempromosikan amalan mampan dan bertanggungjawab. ESG digunakan oleh sektor perniagaan untuk menilai dan membuat laporan kelestarian dan etika alam sekitar mereka.

Ia termasuklah impak alam sekitar, tanggungjawab sosial, dan tadbir urus korporat. Syarikat yang memberi keutamaan kepada ESG cenderung berprestasi lebih baik dalam jangka masa panjang malah mampu menarik pelabur, pelanggan, dan pekerja yang menghargai amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan beretika.

Sementara itu, bagi RE & EE pula, Pulau Pinang akan mempunyai sasaran peringkat negeri dan akan memperkenalkan dasar khas RE atau EE negeri secara tidak langsung melalui garis panduan bangunan hijau. Melalui langkah ini, Pulau Pinang akan membantu sasaran kerajaan persekutuan bagi tenaga boleh diperbaharui untuk mencapai 31% (13 gigawatt) keperluan tenaga negara menjelang 2025 dan 40% (18 gigawatt) menjelang 2035.

Akhir kata, hadirin sekalian,

Pencapaian luar biasa antara PGC, PAM dan IEM adalah sesuatu yang membanggakan dan adalah satu penghormatan buat saya untuk menjadi saksi acara ini. Saya berharap lebih banyak kerjasama seperti ini dapat dilihat pada masa akan datang.

Terima kasih dan Love Penang.