Skip to content

Ucapan oleh YB Zairil Khir Johari, EXCO Infrastruktur dan Pengangkutan semasa Sidang Media Perasmian Stesen Pengecas Motosikal Elektrik pada 7 Jun 2022 di Medan Renong, Padang Kota Lama

Kerajaan Negeri bersama Penang Green Council sedang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk memasang stesen pengecasan percuma di 9 lokasi di sekitar kawasan Pulau.

Lokasi adalah seperti berikut:

  1. Astaka Persiaran Gurney
  2. Kompleks Makanan Medan Renong, Padang Kota Lama
  3. 1st Avenue Mall (Pakir motorsikal awam)
  4. Kompleks MBPP Lebuh Pantai (Pakir motorsikal awam)
  5. Kompleks Desiran Tanjung, Tanjong Tokong (Pakir motosikal awam)
  6. Astaka Batu Lanchang (Pakir motosikal awam)
  7. Kompleks Sri Selera Bayan Baru
  8. Bukit Jambul Kompleks (Pakir motorsikal awam)
  9. Kompleks Bukit Gedung (Pakir motorsikal awam)

Langkah ini diguna pakai oleh Kerajaan Negeri untuk mempromosikan motosikal berkuasa elektrik yang selaras dengan visi Penang2030 yang menekankan pelaburan dalam persekitaran binaan untuk meningkatkan daya tahan di samping membuka ruang buat Malaysia untuk mempromosikan zero-emission mobility.

Berdasarkan laporan Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), kira-kira 20% daripada semua kenderaan di jalan raya Asia Tenggara akan menggunakan kenderaan elektrik (EV), termasuk 59 juta kenderaan dua dan tiga roda serta 8.9 juta kenderaan empat roda. Oleh itu, sudah tentu terdapat peningkatan dalam penggunaan EV memandangkan rantau Asia Tenggara mempunyai penduduk sekitar 661 juta orang. Selain itu, kita juga boleh membawa masuk lebih banyak pengeluar dan pemain utama ke dalam pasaran Pulau Pinang. Bukan itu sahaja, Kerajaan Malaysia juga akan memperkenalkan dasar dan inisiatif sokongan seperti konsesi cukai untuk meningkatkan penggunaan EV di negara ini.

Pulau Pinang mempunyai potensi yang luas dalam penggunaan e-motosikal kerana ia lebih menjimatkan kos dan menggalakkan kepelbagaian produk ke dalam pasaran. Ini adalah realiti terutamanya bagi perkhidmatan e-peruncitan dan penghantaran makanan yang dijangka akan memacu pertumbuhan pasaran dalam masa terdekat.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan dan menggalakkan pengeluar e-motosikal tempatan dan syarikat penghantaran barangan atau makanan utama untuk menjalankan usahasama ini di Pulau Pinang. Ini bukan sahaja dapat membantu menggalakkan zero-emission mobility malah dapat meningkatkan kualiti kehidupan dan kebajikan kumpulan B40 yang bergiat aktif dalam sektor penghantaran di negeri ini.

Untuk langkah berikutnya, kita akan menambah lebih banyak kemudahan dan faedah yang boleh dinikmati oleh para penunggang e-motosikal sementara menunggu motosikal mereka dicas seperti kawasan untuk berehat dan menjamu selera.

Masa depan adalah milik e-mobiliti. Saya yakin dengan pengenalan stesen-stesen ini, kita dapat mewujudkan lebih banyak peluang bagi negeri ini untuk melakukan peralihan yang memanfaatkan alam sekitar dan penduduk Pulau Pinang.