Skip to content

Ucapan Pembahasan mengenai RUU Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021

Kelulusan RUU Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang Yang Penuh Berbau Komersil Adalah Membimbangkan

Saya ingin merakamkan penghargaan ke atas kesungguhan dan keprihatinan pihak Kerajaan mengusahakan Perbadanan Taman Negeri Pahang bagi mewujudkan satu suasana pengurusan yang lebih efisien dan cekap untuk Taman Negeri.

Namun begitu, setelah meneliti RUU ini, saya ingin menyerukan pihak kerajaan bagi mengambil kira beberapa aspek supaya mengkaji semula RUU ini.

Pertamanya, Objektif dan Prinsip Asas bagi membentuk Enakmen ini tidak termaktub dalam RUU ini.

Kalau berbanding dengan Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor 1989, pendahuluan enakmen tersebut telah menyatakan:

“Suatu Enakmen bagi mengadakan peruntukan berkenaan dengan penubuhan dan sistem pengawalan Taman-taman Negara termasuklah pemeliharaan dan pengurusan sumber-sumber semulajadi dan hidupan liar dan berkenaan dengan perkara-perkara yang bersampingan dengannya.”

Fasal 4 Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor juga menyatakan: “tujuan menubuhkan taman-taman Negara ialah untuk memelihara dan melindungi hidupan liar, hidupan tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang mempunyai kepentingan dari segi kaji bumi, kaji purba, sejarah dan etnologi dan lain lain kepentingan dari segi sains dan pemandangan, dan melalui pemeliharaan dan penggunaannya untuk memajukan pendidikan, kesihatan, nilai estetik dan rekreasi orang ramai.”

Manakala pendahuluan RUU Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 adalah: “Suatu Enakmen untuk mengadakan peruntukan bagi menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021 dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan dengannya”

Oleh itu, matlamat, objektif dan prinsip asas untuk Enakmen Perbadanan Taman Negara Johor 1989 adalah lebih nyata dan jelas dari segi pemeliharaan dan pemuliharaan.

Bahagian 2 Fasal 4, iaitu keanggotaan perbadanan. Kami mendapati bahawa tiada perwakilan dari NGO yang berkaitan dengan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, kepakaran dari bidang berkaitan dan pemimpin komuniti tempatan. Mengenai 5 orang wakil yang akan dilantik oleh Menteri Besar, kriteria pelantikan seperti kepakaran dari bidang berkaitan haruslah diwajibkan dan dinyatakan dalam RUU ini.

Bahagian 4 Fasal 16, iaitu Kewajiban Perbadanan. Perkataan “Kewajiban” adalah kurang wajar sedangkan perkataan yang lebih tepat sepatutnya “fungsi”. Selain itu, beberapa sub-fasal 16 perlulah dikaji semula dengan lebih jelas dan terang:

(a) apakah tujuan “untuk mengenal pasti, memperkenalkan dan mempromosikan biodiversiti Taman Negeri”? Apakah matlamat yang harus dicapaikan?

(f) Kenapa perlu adanya pembangunan kediaman, perindustrian dan komersil untuk mempromosikan Taman Negeri Pahang? Khususnya perindustrian, apakah justifikasi memerlukan perindustrian untuk mempromosikan Taman Negeri?

Sub-fasal 16 (g) dan (i) juga bercanggah antara satu sama lain.

Sub-fasal (g) menyatakan perbadanan membantu, mengusaha, membangun dan menyelaras Taman Negeri manakala (i) menyatakan perbadanan mengurus, mentadbir dan mengawal Taman Negeri?

Maka, timbulnya kekeliruan atas fungsi sebenar Perbadanan ini.

Beberapa Sub-fasal 17, iaitu Kuasa Am Perbadanan juga timbulnya kekeliruan.

17(g) iaitu Perbadanan boleh “terlibat dalam sebarang aktiviti komersil bagi tujuan mempromosikan dan membangunkan Taman Negeri Pahang”.

Namun begitu, perkataan “sebarang aktiviti komersil” ini terlalu luas, dan membuka ruangan yang amat besar untuk perbadanan dalam menceburi sektor komersil.

17(h) iaitu Perbadanan boleh “memberi bantuan dalam apa jua bentuk kepada mana mana pihak untuk membangunkan Taman Negeri”, kuasa am ini terlalu luas dan perkataan “membangunkan” tidak diberikan suatu definisi.

17(k) iaitu Perbadanan boleh “melibatkan diri dalam mana-mana kontrak, perjanjian atau perkiraan dengan mana-mana pihak atau pihak berkumpulan dan melakukan apa sahaja tindakan atau perkara yang perlu atau bernas untuk dilaksanakan”

Kuasa am ini terlalu luas dan tidak jelas, tiada justifikasi dan parameter yang boleh mengehadkan kuasa untuk melibatkan perbadanan dalam komersil.

Kesimpulannya, RUU ini lebih berbau komersil berbanding pemeliharaan dan pemuliharaan yang lestari. Ini adalah kerana perkataan seperti “membangunkan”, “aktiviti komersil”, “mempromosikan” seringkali dinyatakan dalam RUU ini sekaligus mencetuskan kebimbangan bahawa pihak berkuasa negeri berkemungkinan menggunakan Perbadanan Taman Negeri untuk menjanakan pendapatan.

Di samping itu, RUU ini tidak pernah menjalankan apa-apa bentuk peninjauan pendapat dan perundingan umum dengan mana mana pihak NGO yang berkenaan khususnya NGO mesra alam sekitar sebelum pembentangan dalam Sidang Dewan Negeri.

Pembentukan RUU tersebut adalah kurang inklusif dan ketidakseimbangan khususnya banyak perkara mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan perlindungan tidak terjamin dalam RUU Enakmen Perbadanan Taman Negeri Pahang 2021.

Sesungguhnya Sidang Dewan Negeri Pahang meluluskan RUU tersebut dengan majoriti suaranya, saya menggesa Kerajaan Negeri Pahang seharusnya menangguhkan pelaksanaan Enakmen ini sebelum mendapat pandangan daripada masyarakat sivil.