Isu Tanah Pahang
Sejak awal tahun 2020, tercetusnya berbagai jenis isu tanah di seluruh Negeri Pahang, antaranya termasuk penstrukturan cukai hasil tanah bertaraf perniagaan dan perindustrian yang terlampau tinggi di seluruh Pahang seperti mana yang dibangkitkan oleh YB Pelangai pada Sidang Dewan sebelum ini.
Dan juga isu sewa tanah pertanian di Cameron Highlands, isu perkebunan Musang King di Raub, isu penanaman kunyit di Bukit Tinggi.
Ada pihak yang mendakwa bahawa parti pembangkang cuba mempolitikkan isu-isu tersebut. Saya ingin menegaskan di dalam dewan yang mulia ini, ini bukan isu politik tetapi soal hidup rakyat marhaen.
Sedangkan kami wakil rakyat pembangkang turut dimarahi oleh mereka yang terkesan di kawasan masing-masing kerana tidak mampu menyelesaikan masalah dan membantu mereka.
Pada pendapat saya, pihak Kerajaan telah melakukan 3 kesilapan dalam semua isu-isu tersebut.
Pertama, pihak Kerajaan sekolah-olah melupakan kepentingan pengusaha-pengusaha yang berskala kecil ataupun lebih dikenali industri kecil dan sederhana.
Salah satu dakwaan oleh pihak Kerajaan kepada pengusaha-pengusaha tersebut adalah mereka ini semua memperoleh keuntungan yang besar dan mampu membayar cukai yang telah ditetapkan.
Akan tetapi, dakwaan tersebut tidak sesuai kepada pengusaha yang berskala kecil. Sedangkan polisi perusahaan juga terbahagi kepada Industri berat, industri kecil dan sederhana. Pekebun-pekebun, petani-petani dan pengusaha yang berskala kecil cuma mencari rezeki sekadar makan, minum dan pakai untuk keluarga.
Tambahan pula, adanya pengusaha yang mengalami kerugian besar dalam tempoh seketika penularan wabak COVID-19 sedunia. Contohnya penanaman bunga di Cameron Highlands, eksport bunga berkurangan sebanyak 90% atas kekurangan permintaan. Kerugian tersebut masih berterusan kerana tiada sesiapa yang mampu menjamin keadaan ekonomi sedunia akan pulih pada masa yang terdekat.
Kedua, pihak Kerajaan tidak mendengar rungutan dan input yang disampaikan oleh pengusaha-pengusaha untuk memperbaiki polisi-polisi dan pelaksanaannya. Kononnya pihak Kerajaan telah mengadakan pelbagai perbincangan bersama stakeholder berkenaan, padahal semua “DIALOG” yang diadakan adalah “TAKLIMAT”, sekadar penjelasan, hanya ada output, tiada input, polisi tetap dijalankan tanpa sebarang penambaikan.
Ketiga, kaedah pihak Kerajaan mengutip hasil daripada sektor pertanian, perkebunan, perniagaan dan perindustrian adalah tidak betul.
Kesemua sektor pertanian, perkebunan, perniagaan dan perindustrian ini merupakan pelaburan, keuntungan dan kerugian adalah tidak terjamin. Tiada satunya yang mampu menjamin 100 peratus pulangan dan keuntungan.
Tambahan pula, sektor pertanian tidak dapat menjamin keuntungan yang stabil kerana dipengaruhi oleh beberapa faktor utama seperti cuaca, kesuburan tanah, penyakit yang menjangkiti sayuran dan sebagainya.
Para pekebun, terutamanya mereka yang merupakan pekebun kecil, seolah-olah perlu sentiasa “berjudi” dan bergantung pada nasib sendiri dalam usaha bercucuk tanam.
Adalah tidak wajar pihak kerajaan mengutip hasil cukai terus daripada hasil tanah. Kalau pihak kerajaan rasa pengusaha tersebut mendapat keuntungan besar, seharusnya pihak kerajaan mengutip hasil cukai daripada hasil keuntungan mereka itu, sedangkan pihak kerajaan boleh mencadangkan Kerajaan Persekutuan untuk kutip cukai tersebut dan memberikan pulangan kepada kerajaan Negeri, seperti cukai pelancongan yang dilaksanakan sebelum ini.
Oleh itu pihak Kerajaan perlu melihat masalah-masalah tersebut secara menyeluruh dan mengkaji semula pelaksanaannya sebelum rakyat terkesan khususnya apabila ekonomi kita amat terkesan akibat penularan wabak Covid-19 dan memerlukan masa yang panjang untuk pemulihan.
Audit Bantuan COVID-19 Pahang
Kerajaan Negeri Pahang telah mengumumkan dan menyalurkan beberapa bentuk bantuan kepada rakyat Negeri Pahang untuk membantu mereka mengharungi krisis wabak COVID-19. Ada beberapa kes dilaporkan tentang kepincangan dalam program bantuan ini yang menyebabkan rakyat tidak dapat manfaat penuh.
Kerajaan Negeri perlu memastikan penyaluran bantuan COVID-19 diterima manfaat sepenuhnya oleh rakyat Negeri Pahang. Sekiranya perlu dan pada hemat saya adalah perlu, Kerajaan Negeri perlu melakukan audit terhadap penyaluran bantuan COVID-19 terutamanya yang melibatkan penyaluran wang tunai.
Reformasi PBT Pahang
Banyak aduan dan masalah rakyat di kawasan DUN adalah melibatkan bidang kuasa PBT. Terdapat banyak ruang yang perlu dipertingkatkan untuk menambah keberkesanan dan perkhidmatan PBT untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Diharapkan Kerajaan Negeri dapat membuat perancangan khusus untuk memperbaiki dan memperkasa fungsi PBT khususnya fungsi Ahli Majlis lantikan PBT seperti yang telah berjaya dilakukan oleh Negeri Selangor dan Pulau Pinang.
Misalnya memberikan peruntukan kepada Ahli Majlis PBT untuk membuka pusat khidmat di zon masing-masing. Selain itu, sudah 2 tahun sejak PRU yang lepas, JKKK ataupun MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) Kampung Baru Cina di Negeri Pahang tidak boleh berfungsi disebabkan anggotanya tidak dilantik oleh Kerajaan Negeri. Hal sedemikian secara langsung memberi kesan negatif kepada penaiktarafan dan pembangunan kampung-kampung baru.