Penasihat Wanita DAP, Saudari Chong Eng, Timbalan Ketua, Saudari Yeo Bee Yin, Jawatankuasa Eksekutif Kebangsaan Wanita DAP,
Rakan-rakan wanita yang hebat dan penuh semangat dalam program yang berprestij ini,
Selamat pagi saya ucapkan kepada semua dan selamat datang ke program HERLEAD anjuran Wanita DAP.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang telah meluangkan masa hujung minggu mereka untuk datang dan hadir bersama-sama kami dengan harapan hujung minggu ini dipenuhi dengan sesuatu yang bermanfaat dan produktif untuk anda semua.
Saya berharap anda akan membawa pulang kenangan manis serta maklumat berguna daripada program yang telah kami aturkan untuk anda.
Sewaktu peringkat awal perbincangan untuk menganjurkan program ini, saya dan pihak jawatankuasa penganjur melihat dan meneliti pelbagai cabaran yang dihadapi oleh wanita khususnya dalam politik. Bukan sahaja dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi sejak dahulu lagi, wanita perlu menghadapi pelbagai kesukaran dan rintangan dalam bidang ini, berbanding golongan lelaki.
Contohnya, diskriminasi jantina, gangguan seksual dalam talian, dominasi lelaki dan banyak lagi. Sehingga hari ini, wanita masih merupakan golongan minoriti dalam bidang politik di kebanyakan bahagian di dunia. Justeru itu, bagi Wanita DAP kami percaya bahawa penyelesaian untuk masalah ini adalah dengan meningkatkan penyertaan wanita dan memberikan peluang yang sama rata.
Baru-baru ini, World Economic Forum telah mengeluarkan Global Gender Gap Report bagi tahun 2024 dimana Malaysia berada di tangga ke-114 dari 146 negara. Bagaimanapun, dalam kalangan negara ASEAN dan Timor-Leste, Malaysia terletak di tangga kesembilan iaitu di kedudukan paling rendah. Myanmar dan Laos tidak disenaraikan dalam laporan tersebut. Walaupun statistik kelihatan kurang memberangsangkan, ini adalah peringatan untuk kita melakukan yang lebih baik. Dan itulah sebabnya platform seperti HERLEAD ini diwujudkan untuk mencapai ke arah perubahan yang lebih baik.
Jadi, dengan menyertai program hujung minggu ini, anda semua memainkan peranan dalam mencipta perubahan yang lebih besar.
Hari ini anda merupakan peserta dalam program HERLEAD. Esok mungkin anda akan menjadi Ketua Kampung, Ahli Majlis, pegawai untuk Ahli Parlimen atau Menteri dalam Kabinet. Kami mahu anda bercita-cita tinggi, memberi inspirasi kepada orang sekeliling, serta membuktikan bahawa wanita juga boleh memimpin dan kita boleh menjadi contoh buat orang ramai.
Saya berbesar hati ingin berkongsi bahawa kita berjaya memperolehi 66 permohonan dari pelbagai bangsa dan 32 orang telah dipilih.
Dalam kalangan peserta, kita juga ada dua peserta hari ini yang berumur 18 tahun, dan ini membuktikan yang DAP masih dan akan sentiasa relevan di kaca mata orang muda.
Saya ingin tekankan bahawa tiada istilah terlambat untuk memimpin. 15.63% daripada peserta di sini berumur 35 tahun ke atas manakala 84.38% peserta adalah di bawah umur 35 tahun. Saya kagum dengan semangat anda untuk menyertai dan belajar daripada program ini.
Akhir kata, saya yakin ini hanya langkah pertama ke arah masa depan yang cerah untuk anda dan Wanita DAP. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengatasi cabaran dengan semangat kekitaan, dan dengan perpaduan serta persahabatan ini, kita boleh mengharungi sebarang cabaran bersama.
Dengan itu, saya merasmikan PROGRAM WANITA DAP HERLEAD
Terima kasih.