Skip to content

Ucapan Penggulungan Jagdeep Singh Deo, EXCO Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan

1. JUMLAH PERMOHONAN UNTUK PERUMAHAN KOS RENDAH, KOS SEDERHANA RENDAH DAN MAMPU-MILIK

YB Ketua Pembangkang dari Teluk Air Tawar dan YB Pulau Betong telah memohon untuk dimaklumkan tentang jumlah permohonan perumahan unit kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik di Negeri Pulau Pinang dan peratusannya menurut kaum.

Sehingga Jun 2014, ada 24,399 permohonan untuk unit kos rendah berharga RM42,000.00; 23,582 permohonan untuk unit kos sederhana rendah berharga RM72,500.00; 1,745 permohonan untuk unit mampu-milik RM200,000.00 ke bawah; 569 permohonan unit mampu-milik RM300,000.00 ke bawah; dan 423 permohonan untuk unit mampu-milik RM400.000.00 ke bawah di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang.

Daripada pemohon-pemohon ini, 18,827 adalah kaum Bumiputera (37%), 28,176 adalah kaum Cina dan lain-lain ( 56%) dan 3,715 adalah kaum India (7%).

2. ASRAMA PEKERJA ASING

YB Pengkalan Kota telah membangkitkan isu tentang permasalahan warga asing membanjiri perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah.

Ini adalah satu permasalahan yang sedang ditangani oleh Kerajaan Negeri. Untuk perumahan swasta, Kerajaan Negeri di dalam proses berbincang dan menangani aspek perundangan dan bagaimana kita dapat mengeluarkan warga asing daripada projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah ini yang sebenarnya tidak dibenarkan untuk disewa mahupun warga asing atau rakyat tempatan di mana unit-unit ini seharusnya didiami oleh pembeli sahaja.

Isu selanjutnya ialah persoalan di manakah warga asing ini seharusnya ditempatkan dan Kerajaan Negeri sememangnya sedang mempertimbangkan untuk mewujudkan asrama khusus untuk pekerja warga asing ini sepertI mana dibuat di negara lain.

3. MASALAH PEMAJU YANG MENYEMBUNYIKAN KUOTA PERUMAHAN BUMIPUTERA

Berkenaan ini, Kerajaan Negeri memandang serius kenyataan yang dibuat oleh YB Permatang Berangan bahawa ada pemaju yang menyembunyikan kuota Bumiputera supaya dapat dijual setelah luput tempoh masa.

Untuk makluman Dewan, saya mempengerusikan Jawatankuasa Pelepasan Kuota Bumiputera yang dianggotai juga oleh YB Batu Maung (YB Dato’ Abdul Malik Abul Kassim) dan YB Sungai Puyu (YB Tuan Phee Boon Poh). Jawatankuasa ini memastikan bahawa semua syarat dipatuhi sebelum kuota Bumiputera dilepaskan, termasuk bahawa status pemajuan projek tidak kurang 80% siap dan iklan dibuat di dalam 4 akhbar (Bahasa Malaysia dan Inggeris) di dalam tempoh tidak kurang 6 bulan daripada tarikh permohonan.

Jawatankuasa ini sememangnya telah menerima beberapa aduan tentang isu pemaju yang cuba lari daripada mematuhi penjualan kuota Bumiputera dan kita telah tanganinya dengan memanggil pengadu dan pemaju bersama-sama hadir di mesyuarat Jawatankuasa Pelepasan Kuota Bumiputera dan sekiranya didapati aduan yang dibuat adalah benar, maka pemaju akan dikehendaki untuk menjual unit kuota Bumiputera kepada pengadu yang tersebut.

Saya sememangnya mengalu-alukan maklumat daripada rakan-rakan saya sekiranya ada aduan berkenaan isu ini supaya jawatankuasa saya dapat menyiasat dan mengatasi masalah tersebut.

4. CADANGAN KERAJAAN NEGERI MENGAMBIL ALIH KERJA PENYELENGGARAAN PROJEK-PROJEK PERUMAHAN

YB Pengkalan Kota juga telah bertanya samada pihak Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk mengambil-alih penyelenggaraan dan pengurusan projek-projek perumahan memandangkan ada banyak projek perumahan yang mana seakibat kutipan fi pengurusan dan penyelenggaraan yang kurang memuaskan, mereka akhirnya datang ke wakil rakyat mereka untuk bantuan kewangan untuk menyelenggarakan bangunan mereka, maka pada akhirnya, hakikatnya ialah pihak Kerajaan Negerilah yang menyumbang terhadap penyelenggaraan bangunan mereka tersebut.

Kerajaan Negeri sememangnya akur akan hakikat ini, iaitu ada satu jumlah besar badan pengurusan bersama bangunan-bangunan projek perumahan yang mana kutipannya adalah begitu kurang memuaskan.

Maka, ada kajian sekarang terhadap cadangan agar Kerajaan Negeri mengambil alih kerja penyelenggaraan dan pengurusan projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik baru yang dirancangkan oleh PDC di mana pelbagai aspek perundangan perlu diambi-kira kerana ini merupakan satu perubahan dasar yang besar dan ada implikasi perundangan.

5. PENINGKATAN HARGA PERUMAHAN

YB Permatang Berangan dan YB Teluk Bahang juga telah sentuh berkenaan isu harga perumahan yang kian meningkat. Ini adalah satu fenomena bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi di kawasan bandar utama di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan juga Johor.

Dalam pada ini, Kerajaan Negeri telahpun melalui bajet tahun dahulu memperkenalkan beberapa langkah penyejukan pasaran hartanah di Negeri Pulau Pinang, iaitu seperti berikut:-

(I) perlanjutan moratorium penjualan unit kos rendah dan kos sederhana rendah kepada 10 tahun (berbanding 5 tahun) dari tarikh pembelian pertama;

(II) pewujudan moratorium penjualan unit rumah mampu milik kepada 5 tahun dari tarikh pembelian prinsipal;

(III) pengenaan fi kelulusan 3% ke atas harga belian transaksi pembelian oleh warga asing; dan

(IV) pengenaan fi kelulusan 2% ke atas penjual hartanah yang dibeli tidak melebihi 3 tahun dari tarikh pembelian prinsipal.

Selain daripada ini, satu mekanisma mengawal kenaikan harga rumah ialah penetapan siling harga untuk perumahan mampu-milik. Di bahagian pulau kawalan harga ialah tidak lebih daripada RM200,000.00 untuk unit dengan kawalan saiz 750 kaki persegi; tidak lebih daripada RM300,000.00 untuk unit dengan kawalan saiz 850 kaki persegi dan tidak lebih daripada RM400,000.00 untuk unit dengan kawalan saiz 900 kaki persegi.

Manakala untuk bahagian Seberang Perai, kawalan harga ialah tidak lebih RM150,000.00 untuk unit dengan kawalan saiz 750 kaki persegi; tidak lebih daripada RM200,000.00 untuk unit dengan kawalan saiz 850 kaki persegi dan tidak lebih daripada RM250,000.00 untuk unit dengan kawalan saiz 900 kaki persegi.

Ini berlainan sama sekali dengan agensi persekutuan seperti JKP Sdn. Bhd. dan PERDA yang membina unit-unit perumahan dengan harga yang mencecah RM1.85 juta di kawasan pulau dan RM575,000.00 di kawasan Seberang Perai yang dikatakan adalah perumahan mampu-milik!

Maka, langkah-langkah penyejukan dan polisi perumahan mampu-milik dan kawalan harga tersebut adalah diharapkan dapat menyejukkan pasaran hartanah dan menstabilkan kenaikan harga rumah di Negeri Pulau Pinang.

6. MASALAH PEMEROLEHAN PINJAMAN OLEH GOLONGAN BERPENDAPATAN RENDAH

YB Permatang Berangan dan YB Batu Uban telah membangkitkan isu berkenaan golongan berpendapatan rendah yang tidak dapat memperolehi pinjaman bank untuk membeli unit kos rendah mahupun kos sederhana rendah.

Ingin saya nyatakan bahawa Kerajaan Negeri peka dan prihatin terhadap isu ini di mana didapati bahawa kadar penolakan permohonan pinjaman bank oleh golongan berpendapatan rendah iaitu had pendapatan RM2,500.00 dan RM3,500.00 untuk unit kos rendah dan kos sederhana rendah, adalah begitu tinggi di mana ada laporan yang menyebut kadar tersebut adalah setinggi 70%!

Maka, untuk membantu golongan ini, projek perumahan rakyat (PPR) dan rumah sewa Kerajaan Negeri di mana unit perumahan disewa pada kadar RM100.00 sebulan dan RM20.00 fi penyelenggaraan dikenakan di mana di Negeri Pulau Pinang ada 4 projek PPR dan 3 projek rumah sewa dengan bekalan unit 2,941, iaitu seperti berikut:-

No. Nama Projek PPR Daerah Jumlah Unit
1 Taman Manggis DTL 320
2 Desa Wawasan SPT 912
3 Taman Bagan Jaya SPU 382
4 Ampang Jajar SPU 760
Jumlah 2,374
No. Nama Projek Rumah Sewa Daerah Jumlah Unit
1 Blok E Padang Tembak DTL 184
2 Blok J Padang Tembak DTL 333
Jumlah 517

Selain daripada itu, Kerajaan Negeri telahpun mengimplementasikan skim ‘shared ownership scheme’ ataupun Skim Milikan Bersama di projek perintis di Taman Sungai Duri di mana Kerajaan Negeri memberi pinjaman sehingga 30% jumlah pembelian atau RM11,400.00 dan pembeli hanya memperolehi baki harga jualan daripada bank untuk unit rumah yang berharga RM38,000.00 tersebut, iaitu baki sejumlah maksimum RM26,600.00. Pinjaman yang diberi oleh Kerajaan Negeri adalah tanpa faedah.

Kerajaan Negeri juga telah perkenalkan semula skim sewa dan beli di mana projek di Taman Seruling Emas dilaksanakan sebagai projek perintisnya di mana harga jualan ialah RM25,000.00 dan bayaran dibuat sebanyak RM100.00 sewa bulanan dan RM20.00 fi penyelenggaraan untuk 15 tahun.

Kerajaan Negeri akan pertimbangkan untuk memperluaskan skim-skim baru ini ke kawasan lain di masa hadapan.

Menyentuh atas isu ini, saya juga menyokong panggilan YAB Ketua Menteri di dalam ucapan bajetnya agar DIBS diperkenalkan semula untuk pembeli rumah yang pertama.

Malahan, saya juga berpendapat bahawa Bank Negara boleh mengkehendaki bank-bank komersil mengenakan caj faedah yang kurang dan syarat-syarat kelayakan dilonggarkan kepada golongan pembeli perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik agar mereka dapat layak untuk memperolehi pinjaman bank untuk memperolehi rumah pertama mereka.

Untuk makluman Dewan, saya telahpun membangkitkan isu ini di Majlis Negara untuk Kerajaan Tempatan pada 18 September, 2014 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya telah mendapati bahawa kebanyakan negeri bersetuju dengan cadangan saya kerana mengalami masalah penolakan pinjaman yang begitu tinggi. Walaupun selepas majlis tersebut, Menteri Perumahan Datuk Rahman Dahlan telah membuat cadangan supaya satu Bank Perumahan diwujudkan namun cadangan ini langsung tidak dilayan oleh Perdana Menteri dalam Bajet Persekutuan 2015 yang langsung tidak menyentuh isu kesukaran pemerolehan pinjaman oleh golongan berpendapatan rendah.

Satu lagi isu berkenaan kesukaran pinjaman ialah betapa duka cita saya rasa terhadap kegagalan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) dibawah pihak Perbadanan Kementerian Kewangan. Sekiranya Kerajaan Pusat ikhlas hendak membantu golongan berpendapatan rendah maka skim ini yang akan menjamin pinjaman yang dibuat oleh golongan ini seharusnya dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Maka saya harap rakan-rakan saya di sebelah pembangkang dapat menyakinkan Kerajaan Pusat mengambil langkah-langkah yang perlu seperti mana saya cadang agar golongan berpendapatan rendah lebih mudah mendapat pinjaman perumahan.

7. PENYELENGGARAAN PROJEK-PROJEK PERUMAHAN DI BAWAH TABUNG 80% / 20% OLEH KERAJAAN NEGERI DAN PDC

YB Pengkalan Kota, YB Batu Uban dan YB Bayan Lepas juga telah membangkitkan tentang isu penyelenggaraan projek-projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah di bawah tabung 80% / 20% yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dan PDC, di mana Kerajaan Negeri dan PDC akan membiayai 80% kos penyelenggaraan manakala 20% akan dibiayai oleh penduduk-penduduk untuk kerja-kerja penyelenggaraan.

Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, di bawah tabung 80% / 20% Kerajaan Negeri, berikut adalah projek-projek yang telah dilaksanakan dan jumlah yang telah disalurkan dibawah tabung tersebut sejak tahun 2013 sehingga sekarang:-

No. Nama Projek Skop Kerja Kos
1 Blok F, Flat Padang Tembak Pengecatan RM94,737.78
2 Blok A, Flat Kampung Melayu Pengecatan RM109,482.25
3 Vista Kondo, Relau Lif RM156,000.00
4 Pangsapuri Cantik, Air Itam Lif RM28,536.00
5 Taman Jelutong Jaya Tangki Air RM54,681.60
6 Taman Lembah Sungai Lif RM224,000.00
7 Rumah Pangsa Tanjung Jaya, Butterworth Tangki Air RM15,400.00
8 Kompleks Pulau Mutiara, Lebuh Macallum Lif, pemodenan lif RM250,000.00
9 Taman Bestari Tangki Air RM8,700.00
10 Blok 330, Taman Gambir Lif RM145,000.00
11 Blok 23 (L6), Taman Seri Damai Lif RM153,330.00
12 Blok G & H, Rumah Pangsa Padang Tembak Pengecatan RM406,000.00
13 Taman Pinang Bumbung RM155,000.00
14 Vista Condominium Tangki Air RM20,000.00
15 Taman Tun Sardon Pengecatan RM800,000.00
16 Taman Permata, Berapit Tangki Air RM18,720.00
Jumlah RM2,639,587.64

Manakala di bawah tabung sama tersebut di bawah PDC, berikut adalah projek-projek yang telah dilaksanakan dan jumlah yang telah disalurkan di bawah tabung tersebut:-

No. Nama Projek Skop Kerja Kos
1 3 Blok 11 tingkat, Pangsapuri Mahsuri, Bandar Bayan Baru Pengecatan RM335,555.00
2 1 Blok Kompleks Rumah Pangsa Jalan Kedah, George Town Pengecatan RM328,050.00
3 2 Blok 11 tingkat, Pangsapuri Mayang, Bandar Bayan Baru Pengecatan RM247,000.00
4 2 Blok 11 tingkat, Pangsapuri Golfview, Bandar Bayan Baru Pengecatan RM209,990.00
5 1 Blok 11 tingkat, Pangsapuri Fairwayview, Bukit Jambul Pengecatan RM112,600.00
6 1 Blok 5 tingkat (Blok 7), Jalan Tengah Pengecatan RM46,950.00
7 1, Blok 11 tingkat (Blok 9), Jalan Tengah Pengecatan, pemasangan kalis air (water proofing) dan pembaikan bumbung RM165,099.50
8 3 point block (A1, A2 & A3), Bandar Seberang Jaya Pengecatan, pemasangan kalis air (water proofing) dan pembaikan bumbung RM287,132.90
Jumlah RM1,732,377.40

Berkenaan isu bahawa kononnya bangunan dicat mengikut warna parti politik ini dinafikan dengan sekeras-kerasnya. Warna dipilih oleh pihak wakil rakyat setelah berunding dengan persatuan penduduk kawasan berkenaan.

Berkenaan isu kelewatan di dalam melaksanakan projek di flat di Gat Lebuh Macallum, saya dimaklumkan bahawa PDC telahpun menerima permohonan untuk penukaran lif bagi Blok 346, 348, 352, 354, 358, 360 dan 362 Gat Lebuh Macallum dan kini sedang menunggu maklumat terperinci dan spesifikasi lif-lif tersebut daripada pengeluar asal iaitu Fuji Tec bagi membolehkan tender untuk penukaran lif tersebut dikeluarkan.

Cadangan YB Pengkalan Kota agar diwujudkan satu garis-masa di dalam perlaksanaan projek-projek di bawah tabung 80% / 20% ini sememangnya bernas dan akan dipertimbangkan di mana prinsip asasnya adalah projek-projek ini perlu dipercepatkan memandangkan ia melibatkan projek kritikal. Namun demikian, di peringkat ini Kerajaan Negeri dan PDC sememangnya bertindak dengan secepatnya di dalam perlaksanaan projek sebegini di mana purata masa yang diambil dari tarikh permohonan sehingga perlaksanaan projek adalah 30 hari daripada penerimaan sumbangan 20% daripada pihak penduduk dan semua permohonan sememangnya akan diluluskan tertakluk kepada syarat-syarat dipatuhi.

Ini adalah berbeza dengan permohonan yang dibuat oleh projek-projek perumahan kos rendah dan kos sederhana rendah di bawah Tabung Penyelenggaraan 1 Malaysia (TP1M) di mana sejak tahun 2013 sehingga sekarang daripada 119 permohonan yang dibuat, hanya 14 sahaja, iaitu 12% sahaja yang diluluskan sehingga kini! Lebih-lebih lagi, didapati bahawa ada aduan-aduan yang dibuat berkenaan ketidakpatuhan spesifikasi dan kerja-kerja yang kurang berkualiti oleh kontraktor-kontraktor yang dilantik oleh Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dibawah TP1M. Berkenaan ini, Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa sekiranya ada aduan sebegitu, maka badan pengurusan bersama bangunan yang berkenaan sepatutnya membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandangkan wang yang digunakan adalah wang awam.

Dalam pada ini juga, saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana prihatin terhadap kerja-kerja penyelenggaraan bangunan di semua rancangan perumahan kerajaan yang sedia ada iaitu perlaksanaan kerja-kerja menaiktaraf sistem pendawaian elektrik, sistem perpaipan dan tangki air, lif serta perparitan di mana untuk tahun 2014, peruntukkan sejumlah RM11.3 juta telah disediakan untuk semua 49 rancangan perumahan Kerajaan Negeri yang melibatkan 15,431 unit rumah dan untuk tahun 2015, peruntukkan sejumlah RM15.11 juta telah disediakan untuk tujuan yang sama. Saya akan pastikan bahawa semua permasalahan rancangan perumahan kerajaan dapat ditangani dan diselenggarakan melalui peruntukkan ini.

8. PEMILIHAN PEMOHON YANG MEMOHON UNTUK PERUMAHAN JENIS KOS RENDAH, KOS SEDERHANA RENDAH DAN MAMPU-MILIK

YB Penanti telah merujuk kepada 2 projek perumahan kos rendah iaitu Taman Guar Perahu dan Sri Akasia di kawasan beliau dan memohon agar Kerajaan Negeri mempertimbangkan supaya menawarkan unit-unit kepada mangsa banjir di Mengkuang Titi yang adalah di kawasan berdekatan dengan projek Sri Akasia.

Untuk makluman Dewan Yang Mulia ini, satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Proses Pemilihan Perumahan (JPPPPP) ataupun Selection Process Enhancement Committee (SPEC) telah ditubuhkan pada bulan Ogos, 2013, di mana selain daripada membincangkan cara untuk mempertingkatkan sistem proses pemilihan pemohon untuk unit-unit perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik, jawatankuasa tersebut juga menjalankan proses pemilihan pemohon dari senarai nama di bahagian perumahan, Kerajaan Negeri.

Jawatankuasa ini terdiri daripada 8 wakil rakyat iaitu YB Sungai Puyu (YB Tuan Phee Boon Poh), YB Batu Maung (YB Dato’ Abdul Malik Abul Kassim), YB Seberang Jaya (YB Dr. Afif Bahardin), YB Bukit Tengah (YB Tuan Ong Chin Wen), YB Ahli Parlimen Jelutong (YB Tuan Jeff Ooi), YB Ahli Parlimen Tanjong (YB Tuan Ng Wei Aik) dan YB Ahli Parlimen Bayan Baru (YB Tuan Sim Tze Tzin) dan dipengerusikan oleh saya.

Pada tahun 2013, sebanyak 1,788 pemilihan telah dibuat, manakala sejumlah 5,503 pemilihan telah dibuat setakat bulan September pada tahun ini. Daripada ini 3,347 adalah kaum Bumiputera, 2,850 adalah kaum Cina dan lain-lain dan 1,094 ialah kaum India.

Maka adalah amat tidak tepat sama sekali apabila YB Teluk Air Tawar membuat insinuasi bahawasanya Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menyediakan perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik kepada kaum Bumiputera.

Jawatankuasa ini akan mengikut senarai nama mengikut tahun pendaftaran dan memberi penekanan kepada daerah geografi iaitu pemilih ditawarkan projek di daerah yang sama.

Keutamaan juga diberikan oleh jawatankuasa ini kepada faktor-faktor khas umpamanya sekiranya pemohon adalah seorang dari golongan kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, mengalami masalah kesihatan, mangsa banjir ataupun mangsa perpindahan yang disebabkan oleh pemajuan. Malahan untuk kategori ini, sejumlah 327 pemilihan telahpun dibuat sehingga kini.

Maka, sememangnya sekiranya masih ada unit-unit di projek-projek yang disebut oleh YB Penanti tersebut, maka jawatankuasa ini akan memberi keutamaan untuk ditawarkan unit-unit kepada mangsa-mangsa banjir di Mengkuang Titi tersebut.

9. PROJEK PERUMAHAN OLEH AGENSI KERAJAAN PUSAT JKP SDN. BHD. DAN PERDA

Dato’ Speaker,

YB Pulau Betong telah membangkitkan isu tentang tohmahan kononnya Kerajaan Negeri lewat di dalam meluluskan projek perumahan oleh agensi persekutuan JKP Sdn. Bhd. dan PERDA dan mencadangkan agar diwujudkan satu garis-masa untuk kelulusan pelan merancang sesuatu agensi tersebut.

Isu garis-masa sebenarnya tidak timbul kerana sekiranya sesuatu agensi bukan sahaja agensi persekutuan tetapi agensi negeri mahupun swasta, perlu mematuhi semua keperluan jabatan-jabatan yang berkenaan dan menepati polisi Kerajaan Negeri termasuk polisi sosio-ekonomi.

Berkenaan kes permohonan kelulusan merancang oleh agensi persekutuan JKP Sdn. Bhd. dan PERDA, beberapa isu telah timbul.

Yang pertama ialah kenyataan agensi yang tidak tepat berkenaan bahawa kesemua 9,444 unit yang dirancangkan tersebut adalah unit-unit mampu-milik. Setelah mendapat maklumat dari agensi tersebut, adalah didapati bahawa hanya 2,447 unit adalah unit kos rendah manakala 6,546 unit adalah unit harga biasa manakala 451 adalah unit komersil.

Didapati juga bahawa ada unit komponen di dalam projek-projek tersebut yang mencecah harga RM1,850,000.00 di bahagian pulau dan RM575,000.00 di bahagian Seberang Perai. Ini adalah bercanggah dengan polisi Kerajaan Negeri bahawa siling harga mampu-milik di bahagian pulau adalah RM400,000.00 dan RM250,000.00 di bahagian Seberang Perai.

Seterusnya, didapati bahawa tanah-tanah yang dimilik untuk projek-projek PERDA, 3 adalah melalui pembelian dan baki adalah melalui pengambilan tanah untuk tujuan awam, manakala untuk projek JKP Sdn. Bhd., tanah yang dimiliki merupakan 1 projek melalui pembelian dan 7 lagi melalui pengambilan-tanah bagi tujuan awam.

Pendirian Kerajaan Negeri adalah bahawa sekiranya tanah itu dimilik melalui pengambilan-tanah untuk tujuan awam, maka sekiranya projek yang dilaksanakan adalah untuk perumahan maka seharusnya ia adalah untuk perumahan kos rendah, kos sederhana rendah ataupun mampu-milik sahaja yang akan memanfaatkan rakyat, dan bukannya untuk projek mewah yang akan membawa keuntungan di mana di kes ini, diakui bahawa keuntungan yang akan dipaut oleh JKP Sdn. Bhd. dan PERDA adalah di dalam lingkungan RM150 juta!

Malahan, memandangkan pengakuan secara langsung oleh pihak penyelaras Majlis Tindakan Persekutuan Datuk Zainal Abidin bahawasanya tanah-tanah yang dimiliki oleh JKP Sdn. Bhd. dan PERDA untuk 15 projek yang disenaraikan kebanyakannya dimiliki melalui pengambilan tanah dan keuntungan yang akan dipaut melalui projek-projek tersebut adalah RM150 juta, saya menyarankan Kerajaan Negeri untuk menyemak semua projek agensi persekutuan bukan sahaja JKP Sdn. Bhd. dan PERDA sebelum ini yang telah dibina di atas tanah yang dimiliki melalui pengambilan tanah dan berapakah keuntungan yang telah dipaut oleh mereka yang jelas bukan berkepentingan awam. Pengakuan yang dibuat oleh Datuk Zainal Abidin ini mungkin ‘the tip of the iceberg’ sahaja.

Malahan, berkenaan ini undang-undang adalah jelas iaitu di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak membenarkan pengambilan tanah secara melulu dan tanpa tujuan. Secara am, pengambilan tanah adalah untuk tujuan am yang menjustifikasi pengambilan tanah dari perseorangan yang mempunyai hak beperlembagaan untuk memiliki tanah di bawah Artikel 13(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan ‘No person shall be deprived of property save in accordance with law’.

Seterusnya, Artikel 13(2) menyatakan ‘No law shall provide for the compulsory acquisition or use of property without adequate compensation’. Malahan, Mahkamah Persekutuan telahpun memutuskan di dalam kes S Kulaisingam & Anor v Commissioner of Lands, Federal Territory & Others (1982) 1 MLJ 204, seperti berikut:-

‘A justification for the inroads and rationale in the clause (2) is to be found in the doctrine salus populi suprema lex – the interest of the public are paramount, and that private interests may in some circumstances be subordinated to the higher interests of the public, when the state thinks it proper to do so’.

Mahkamah Persekutuan di dalam kes tersebut juga telah menterjemahkan maksud ‘public purpose’ dengan menggunakan ujuan ‘common sense’ yang mudah iaitu untuk melihat samada tujuan tersebut ‘serves the general interests of the community’.

Maka, sudah tentu sekiranya kesemua unit perumahan agensi Kerajaan Persekutuan tersebut adalah kos rendah, kos sederhana rendah atau mampu-milik, tanpa mengira keuntungan, barulah boleh dikatakan ia adalah bagi kepentingan rakyat.

Oleh yang demikian, pihak JKP Sdn. Bhd. dan PERDA seharusnya meminda permohonan kelulusan projek-projeknya agar kesemuanya adalah untuk unit-unit perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik sahaja.

Di dalam apa keadaan jua, saya bersedia berjumpa dengan penyelaras Majlis Tindakan Persekutuan, Datuk Zainal Abidin Osman yang membangkitkan isu kelewatan meluluskan projek-projek agensi persekutuan tersebut dan setelah ditangguhkan sebelum ini, satu mesyuarat akan diadakan pada 27 November, 2014 ini antara beliau dengan saya untuk membincangkan isu-isu yang dibangkitkan sepertimana dihuraikan tadi.

10. PEMBEKALAN PERUMAHAN KOS RENDAH, SEDERHANA RENDAH DAN MAMPU-MILIK DI NEGERI PULAU PINANG

Ketua Pembangkang, YB Teluk Air Tawar, YB Batu Uban, YB Pulau Betong, YB Permatang Berangan dan YB Bayan Lepas telah bertanya berapa unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik yang telah dibina di Negeri Pulau Pinang sejak 2008 dan juga jangka-masa untuk pembinaan projek yang telah dirancangkan.

Saya telahpun sebelum ini di dalam beberapa kenyataan akhbar bertulis yang dimuat-naik ke laman web menyatakan secara terperinci butir-butiran unit-unit kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik yang telah dan akan terus dibina di Negeri Pulau Pinang.

Untuk mereka yang masih mengalami sindrom penafian ataupun denial syndrome, maka saya dengan ini memperincikan sekali lagi butiran hakikat bahawa sememangnya perumahan jenis kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik telahpun dan akan terus dibina di Negeri Pulau Pinang.

Berkenaan ini, 435 unit perumahan kos rendah di Taman Cempedak (Daerah Seberang Perai Utara) yang berharga RM40,000.00, dan 204 unit rumah kos rendah di Halaman Kenanga (Daerah Timur Laut) yang berharga RM42,000.00, telah dibina di Pulau Pinang sejak 2008.

Seterusnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (Penang Development Corporation) di peringkat ini mempunyai 12 projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang yang akan melihat 22,545 unit perumahan kos rendah pada harga RM42,000.00, kos sederhana rendah pada harga RM72,500.00 dan mampu-milik pada harga antara RM200,000.00 hingga RM400,000.00 di bahagian pulau manakala pada harga antara RM150,000.00 hingga RM250,000.00 di bahagian Seberang Perai, dibina kelak.

12 lokasi projek perumahan mampu-milik ini adalah di SP Chelliah (DTL), Teluk Kumbar (DBD), Jelutong (DTL), Pintasan Cecil (DTL) dan Sandilands di bahagian pulau, dan di Bandar Cassia (SPS), Kampung Jawa (SPU), Ampang Jajar (SPU), Bukit Mertajam (SPT), Juru (SPT), Mak Mandin (SPU) dan Ujung Batu (SPU), di bahagian Seberang Perai.

Kerja-kerja telahpun dimulakan pada akhir tahun lalu untuk Fasa 1 projek Bandar Cassia, Batu Kawan yang merangkumi 149 unit rumah kos sederhana rendah dan 371 unit mampu-milik (sejumlah 520 unit). Malahan untuk makluman Dewan, senarai nama telahpun dikemukakan oleh Pejabat Perumahan kepada PDC untuk projek Fasa 1, Bandar Cassia ini. Kerja-kerja juga telah dimulakan di Teluk Kumbar pada Julai, 2014, yang akan merangkumi 346 unit rumah kos sederhana rendah dan 348 unit rumah mampu-milik (sejumlah 694 unit).

Manakala permulaan pembinaan projek-projek di SP Chelliah, Fasa 4 Bandar Cassia dan Kampung Jawa, yang akan merangkumi 1,278 unit kos sederhana rendah dan 2,033 rumah mampu-milik (sejumlah 3,311 unit) adalah dijangka pada akhir tahun ini ataupun awal tahun depan.

Permulaan pembinaan projek-projek di Jelutong, Pintasan Cecil, Sandilands, Fasa 7 Bandar Cassia, Ampang Jajar, Mak Mandin dan Bukit Mertajam yang akan merangkumi 220 unit kos rendah, 2,382 unit kos sederhana rendah dan 1,861 unit mampu-milik (sejumlah 4,439) adalah dijangka pada tahun hadapan.

Manakala permulaan pembinaan projek di Juru, Ujung Batu dan baki fasa-fasa di Bandar Cassia yang akan merangkumi 600 unit kos rendah, 3,725 unit kos sederhana rendah dan 9,223 unit mampu-milik (sejumlah 13,528 unit) adalah dijangka pada tahun 2016.

Kesemua projek yang dimulakan dijangka siap dibina sekurang-kurangnya 36 bulan dari tarikh permulaan pembinaan.

Selain daripada Kerajaan Negeri, dukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Pusat telah gagal sama sekali membekalkan perumahan mampu-milik ke Negeri Pulau Pinang walaupun banyak janji telah dibuat bahawa perumahan mampu-milik di bawah program Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) akan dibina di Negeri Pulau Pinang, dan walaupun hakikatnya ialah rakyat Negeri Pulau Pinang membayar cukai yang ketiga paling tinggi di Malaysia dan berhak kepada pembekalan perumahan mampu-milik dari Kerajaan Pusat. Sepertimana saya telah nyatakan, sekiranya benar-benar ikhlas, Kerajaan Pusat seharusnya mengesahkan secara rasmi dan bertulis kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bahawa ia akan membina perumahan mampu-milik di bawah PR1MA yang menyatakan di mana ia akan dibina, berapa unit yang akan dibina dan jangka masa perlaksanaan projek tersebut.

Sumber ketiga pembekalan perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik adalah dari sektor swasta di mana Kerajaan Negeri Pulau Pinang mensyaratkan agar kuota sebanyak 30% unit kos rendah dan kos sederhana rendah dibina di dalam mana-mana projeknya.

Berkenaan ini, dari 2008 hingga Mei, 2014, sektor swasta telah membina 12,471 unit kos rendah dan sejumlah 7,608 unit kos sederhana rendah di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang. Selanjutnya sejumlah 3,796 unit kos rendah dan 5,246 unit kos sederhana rendah telah diluluskan pelan untuk dibina di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang.

Malahan, garis-panduan pembinaan perumahan mampu-milik 100% untuk sektor swasta telahpun dimuktamadkan dan dapat dilihat bahawa sektor swasta memang berminat untuk membina perumahan mampu-milik di Negeri Pulau Pinang di mana adalah dijangkakan bahawa jumlah unit mampu-milik yang akan dibekalkan oleh sektor swasta akan menyamai jumlah yang dibekalkan oleh Kerajaan Negeri.

Maka, adalah amat jelas bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang telahpun dan akan terus membina rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik untuk rakyat Negeri Pulau Pinang.

Malahan, untuk meyakinkan lagi mereka yang mengidap sindrom penafian, saya mempelawa mereka untuk menyertai road show ‘Mission Home-Possible’, yang telah diadakan untuk memupuk kesedaran di kalangan orang-ramai dan mengemas-kini permohonan perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu-milik. Saya juga sedia menjemput mereka ke Sales Gallery Fasa 1, Bandar Cassia di Batu Kawan, di mana saya dimaklumkan minat terhadap projek tersebut amat memberangsangkan.

Maka ingin saya simpulkan isu ini dengan menekankan bahawa rakan-rakan saya di sebelah sana seharusnya tidak dibelenggu oleh sindrom penafian memandangkan kebenaran dan hakikatnya ialah Kerajaan Negeri sememangnya telah dan akan terus membina rumah kos rendah, sederhana rendah dan mampu-milik manakala perumahan mampu-milik dibawah PR1MA telah gagal langsung dibina di Pulau Pinang dan agensi-agensi persekutuan seperti JKP Sdn. Bhd. dan PERDA hanya berniat untuk mengaut keuntungan besar-besaran melalui projek perumahan mewah di atas tanah yang dimilikinya melalui pengambilan tanah.

Dengan kata-kata tersebut, saya mohon menyokong.