Skip to content

Ucapan Penggulungan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Persidangan DUN Pulau Pinang

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, di atas keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun terhadap keperluan rakyat dan pembangunan negeri Pulau Pinang. Ini jelas digambarkan melalui ucapan dasar

Tuan Yang Terutama Tun di Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-13 pada 30 April 2015 yang lalu.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah juga dizahirkan atas pelantikan Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang buat kali yang keenam. Tahniah diucapkan kepada Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan Dato’ Seri Utama Hajah Majimor binti Shariff. Seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa diberi kesejahteraan, dipanjangkan umur dan mendapat keberkatan serta kerahmatan untuk terus memegang tampuk kepimpinan tertinggi Negeri Pulau Pinang.

Masih belum terlewat untuk saya menzahirkan di dewan yang mulia ini ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan atas pencapaian yang bersejarah iaitu pengisytiharan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang ke-13 di Malaysia berkuatkuasa 1 Januari 2015. Semestinya ucapan tahniah juga diucapkan kepada YBhg. Dato’ Hajah Patahiyah binti Ismail di atas pelantikan beliau sebagai Datuk Bandar Wanita Pertama di negeri ini. Dengan status terbaru ini, adalah diharapkan supaya perkhidmatan yang diberikan oleh MBPP akan lebih efisien dan mencerminkan sebuah Bandaraya yang maju serta bertaraf antarabangsa.

Bulan Mei juga menyaksikan kemenangan utuh buat Negeri Pulau Pinang, di mana Kerajaan Negeri yang didokong oleh Pakatan Rakyat (PR) telah berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam Pilihanraya Kecil pada 7 Mei 2015 yang lalu. Ini jelas menunjukkan sokongan kuat dan kepercayaan rakyat tanpa mengira kaum dan agama terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri pada penggal ini.

Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat kerana telah menunjukkan komitmen dan kesungguhan yang tinggi dalam sesi perbahasan pada dewan kali ini. Saya berasa gembira kerana banyak perkara telah dikemukakan semasa sesi perbahasan ini sama ada berbentuk soalan, cadangan, sokongan dan juga respon yang berbentuk teguran yang membina. Walau apa pun rupa dan ragam respon yang diberikan, Kerajaan Negeri akan sentiasa berlapang dada untuk menilai setiap isu dan memberi perhatian terhadap segala cadangan yang sesuai, demi memastikan pembangunan dan Agenda Ekonomi Saksama (AES) mencapai matlamatnya. Sesungguhnya hasil perbahasan di dewan ini merupakan keberkatan daripada kemuafakatan antara kita semua yang sanggup berkompromi tanpa mengira sebarang perbezaan, semata-mata menuntut sebuah negeri yang jauh lebih maju dan berdaya saing berlandaskan urus tadbir yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus.

Di kesempatan ini juga saya ingin menegaskan bahawa dakwaan yang Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikatakan bergantung semata-mata kepada penjualan tanah Kerajaan di Pulau Pinang untuk menjana pendapatan adalah tidak benar sama sekali. Isu ini telah dijelaskan berulang kali mulai dari sebelum Pilihan Raya Umum 2013, namun media massa yang dikuasai Barisan Nasional (BN) tidak pernah menerbitkan jawapan balas bagi perkara ini. Tindakan ini membolehkan pemimpin BN yang tidak bertanggungjawab untuk memuntahkan apa sahaja pembohongan mereka secara bersiri setiap tahun.

Mujurlah rakyat Pulau Pinang boleh membezakan antara kebenaran dan pembohongan dan menerima hakikat bahawa BN telah menjual sekurang-kurangnya 3,661 ekar tanah dengan nilai RM 1.0586 bilion berbanding PR menjual hanya 106.1 ekar untuk pulangan yang lebih tinggi iaitu dengan nilai RM 1.1102 bilion. (Perincian di Jadual 1 dan 2).

Sungguhpun BN menjual 3,661 ekar tanah iaitu 35 kali lebih banyak tanah daripada Kerajaan PR (106.1 ekar), PR mendapat lebih banyak pendapatan daripada jualan tersebut kerana jualan tanah PR telah dijalankan melalui tender terbuka yang kompetitif serta menguntungkan kerajaan. Hakikat PR menjalankan tender kompetitif terbuka adalah salah satu sebab mengapa PR telah kembali dengan mandat yang terbesar dalam sejarah Pulau Pinang dengan 68% undi popular pada Pilihan Raya Umum 2013.

Hasil jualan 106 ekar tanah melalui tender terbuka yang telah menjana RM1.102 bilion telah membolehkan Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang memperuntukkan RM500 juta untuk tabung Skim Perumahan Mampu Milik Awam (PAHS) bagi membina lebih 20,000 unit rumah mampu milik di 5 daerah di Pulau Pinang. RM500 juta Dana PAHS merupakan peruntukan yang terbesar yang diperuntukkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia, dan Kerajaan Negeri bersedia untuk menambah peruntukan jika terdapat keperluan tambahan.

Malahan, beberapa projek perumahan awam sedang direka oleh Housing Development Board Singapura yang mensasarkan kehidupan yang berkualiti untuk dinikmati oleh golongan miskin. Pulau Pinang juga merupakan perintis pertama dalam Skim Pemilikan Bersama (SOS) untuk membantu golongan miskin yang tidak layak mendapat 100% pinjaman bank untuk membeli rumah, di mana Kerajaan Negeri akan memberikan mereka 30% daripada harga pembelian sebagai pinjaman tanpa faedah. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah membeli flat untuk sewa beli di Seberang Perai Selatan. Sekali lagi, adalah tidak benar bahawa tuduhan PR tidak membina rumah untuk golongan miskin.

Jadual 1 : Perbandingan Jualan Tanah Di Pulau Pinang (BN vs PR)

Jualan Tanah Oleh Kerajaan BN Dari Awal 90-an Hingga 2008

Saiz Tanah Lokasi RM skp Jumlah Harga Jualan
980 ekar Tanjong Tokong RM1 skp RM42.7 juta
325 ekar Jelutong Expressway RM20 skp RM325 juta
750 ekar Batu Kawan (dijual kepada Abad Naluri) RM3.24 skp RM106 juta
1606 ekar Butterworth (dijual kepada Rayston Consortium Sdn Bhd) RM8.40 skp RM584.9 juta

3661 ekar (Jumlah keseluruhan) untuk RM1.0586 bilion

Jadual 2 : Jualan Tanah Oleh Kerajaan PR Selepas 2008

Saiz Tanah Lokasi RM skp Jumlah Harga Jualan
1.1 ekar Jalan Zainal Abidin (atau Taman Manggis) RM232 skp RM10.2 juta
105 ekar Bayan Mutiara RM240 skp RM1.1 bilion

106.1 ekar (Jumlah keseluruhan) untuk RM1.1102 bilion

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

Saya ingin menarik perhatian mengenai soalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat ADUN Pulau Betong iaitu adakah terdapat sebarang sekatan kepentingan dikenakan bagi tanah yang diperbaharui pajakan?

Untuk makluman Yang Berhormat, Pihak Berkuasa Negeri telah mengenakan sekatan kepentingan ke atas pajakan tanah kepada pengusaha yang mengusahakan tanah di Kampung Selamat. Sekatan – sekatan kepentingan tersebut adalah seperti berikut:

(i) Tanah yang diberimilik ini tidak boleh dipindah milik dalam masa 10 tahun dari tarikh pendaftaran hakmilik dan selepas tempoh ini, pindahmilik tidak dibenarkan tanpa mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu.

(ii) Tanah yang diberimilik ini tidak boleh dicagar, pajak, pajakan kecil atau sebarang bentuk urusniaga tanpa mendapat kebenaran Pihak Berkuasa Negeri.

Tujuan sekatan tersebut dimasukkan adalah bagi menjamin pemilikan tanah tersebut dikekalkan serta diusahakan oleh pemilik seperti yang dimohon.

Dalam pada itu, sememangnya pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan Kerajaan Negeri tidak tertumpu di George Town dan Seberang Jaya sahaja, malah adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri untuk memastikan tumpuan pembangunan serta penyediaan kemudahan yang lebih seimbang seperti Bertam, Kepala Batas, serta kawasan pembangunan baru Batu Kawan, Seberang Perai Selatan perlu diperkukuhkan selaras dengan dasar RSNPP 2020. Di samping itu juga, pembangunan yang seimbang juga harus menitikberatkan kepentingan untuk pengekalan dan pemeliharaan kawasan sensitif alam sekitar dan kawasan pertanian seperti kawasan Jelapang Padi dan kawasan tanah tinggi yang melebihi 76 meter.

Yang Berhormat ADUN Paya Terubong, Yang Berhormat ADUN Berapit, Yang Berhormat ADUN Telok Ayer Tawar, Yang Berhormat ADUN Sungai Acheh dan beberapa orang Yang Berhormat ADUN-ADUN lain telah membangkitkan cadangan pembinaan Dewan Undangan Negeri yang baru dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru.

Sebagai makluman semua Yang Berhormat yang berada di dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa kajian kesesuaian perlu dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri sebelum memutuskan cadangan ini. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri perlu meneliti beberapa aspek penting seperti kesesuaian lokasi, aksesibiliti yang lebih mudah, kelengkapan dan keperluan kemudahan, ruang, rekabentuk dan lain-lain keperluan perlu yang baik, luas dan selesa diambilkira dalam cadangan pembinaan bangunan Dewan Undangan Negeri dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru.

Namun begitu, Kerajaan Negeri berterimakasih di atas segala pandangan dan cadangan yang telah Yang Berhormat semua berikan. Begitu juga dengan pandangan daripada Yang Berhormat tentang cadangan kegunaan bangunan Dewan Undangan Negeri semasa bagi dijadikan muzium setelah Dewan Undangan Negeri baru disiapkan. Sememangnya bangunan Dewan Undangan Negeri ini amat sesuai dijadikan sebagai bangunan muzium kerana selain dari merupakan bangunan warisan, ianya juga terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia George Town.

Yang Berhormat ADUN Tanjung Bungah telah menyentuh berkenaan Laporan Ketua Audit Negara mengenai kelemahan prestasi 5 buah Pejabat Daerah dan Tanah serta Bahagian Strata Pejabat Tanah Galian Negeri Pulau Pinang.

Untuk makluman Yang Berhormat, teguran Laporan Ketua Audit Negara yang dibuat kepada Bahagian Strata Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang adalah berkenaan Pengurusan Hakmilik Strata, Pengurusan Bahan Batuan dan Pengurusan Pemberimilikan Tanah. Kesemua teguran yang dibangkitkan telah diambil tindakan sewajarnya di mana maklumbalas kepada Ketua Audit Negara telah dikemukakan termasuk usaha oleh Pejabat Tanah terlibat untuk menuntut semula kekurangan kutipan yang telah berlaku akibat perbezaan kaedah kiraan yang digunapakai. Begitu juga dengan teguran yang berkaitan dengan Pengurusan Hakmilik Strata telah diambil tindakan dan diselesaikan.

Arahan terbaru ini akan dapat mengelakkan isu tersebut daripada berulang. Di antara kandungan arahan tersebut ialah; semua pengusaha kuari perlu mengemukakan permohonan untuk memperbaharui permit mengeluar dan memindah bahan batuan kepada Pejabat Daerah dan Tanah berkenaan sebelum atau pada bulan Julai setiap tahun untuk membolehkan permit dikeluarkan pada awal tahun berikutnya.

Penjualan tanah-tanah di dalam kawasan perusahaan Perai kepada pelabur dibuat oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Di dalam kes ini harga jualan daripada PDC kepada Syarikat Southern Steel adalah atas kadar RM25 sekaki persegi. Ini bermakna syarikat berkenaan telah membeli tanah berkenaan mengikut harga pasaran pada masa itu. Harga premium yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri kepada PDC adalah atas kadar RM130 sekaki meter persegi bersamaan RM12.08 sekaki persegi. Harga ini lebih rendah daripada harga yang dibayar oleh Syarikat Southern Steel, kepada PDC. Sehubungan dengan perbezaan harga jualan tersebut, Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk PDC membayar perbezaan sebanyak RM12.02 sekaki persegi kepada Kerajaan Negeri untuk menjadikan harga bayaran PDC dan Southern Steel bersamaan dengam bayaran PDC kepada Kerajaan Negeri. Tidak ada sebarang kekurangan kutipan kerana keuntungan yang dinikmati oleh PDC kini dipindahkan kepada Kerajaan Negeri bila PDC membuat bayaran sepenuhnya RM25 sekaki persegi dan bukannya RM12.08 sekaki persegi.

Yang Berhormat ADUN Pengkalan Kota membangkitkan persoalan tentang status pembangunan di tanah berhampiran Gat Lebuh Macallum. Yang Berhormat ADUN Pengkalan Kota juga memohon supaya pihak PDC membuka tender untuk projek LMC (Low Medium Cost) dan memantau tanah-tanah PDC yang belum dibangunkan memandangkan berlaku pencerobohan ke atas tanah-tanah tersebut.

Untuk makluman Yang Berhormat, PDC sememangnya mempunyai perancangan untuk membangunkan tanah seluas 1.8 ekar yang terletak di Seksyen 11E, Daerah Timur Laut iaitu di Gat Lebuh Macallum. Projek yang dicadangkan melibatkan projek perumahan mampu milik dan juga ruang komersil. Projek tersebut masih belum dapat dilaksanakan kerana masih lagi di peringkat feasibility study dan projek ini dijangka hanya dapat bermula pada tahun 2017. Pelaksanaan projek ini akan dibuat secara tender terbuka bagi membolehkan harga kompetitif diperolehi. Pada masa ini PDC juga telah mengambil tindakan membersihkan tapak daripada sebarang semak samun dan tindakan pemantauan terhadap sebarang aktiviti pencerobohan ke atas tanah tersebut.

Kerajaan Negeri sentiasa prihatin untuk bekalan air yang lestari bagi rakyat Negeri Pulau Pinang. Bekalan air yang lestari atau mampan adalah perkara utama yang menimbulkan kebimbangan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Cabaran utama kita ialah kekurangan sumber air mentah kerana Pulau Pinang secara geografinya adalah sebuah negeri kecil dengan sumber air mentah yang agak terhad. Ketika ini, sumber air mentah utama Pulau Pinang ialah Sungai Muda di Seberang Prai. Sejak tahun 1973, Pulau Pinang mengekstrak air daripada Sungai Muda tanpa sebarang caj. Satu perkara status quo sejak lebih 40 tahun lalu.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan sentiasa berdiri teguh memastikan hak Pulau Pinang untuk mengekstrak air dari Sungai Muda tanpa sebarang caj kerana 3 sebab utama:

(i) Sungai Muda adalah ciri geografi semulajadi yang mentakrifkan sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang. Selaras dengan “hak riparian”, atau hak air, pemilik tanah berhampiran sumber air mentah semula jadi mempunyai hak ke atas aliran semulajadi, penggunaan yang munasabah dan kegunaan yang bermanfaat. Dengan itu, Pulau Pinang berhak untuk mengekstrak air dari Sungai Muda selaras dengan hak airnya. Kedah juga melakukan perkara yang sama. Oleh sebab itulah, tiada apa-apa caj selama 40 tahun. Demikian juga, tiada keperluan untuk apa-apa caj hari ini atau pada masa akan datang.

(ii) Pada tahun 1982, Kedah menandatangani memorandum persefahaman atau MOU, yang menjamin air mentah Pulau Pinang dari Sungai Muda sebagai pertukaran untuk tanah. Pulau Pinang menyerahkan 10,88 hektar tanah kepada Kedah dan bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada Kedah berhubung pengurusan Empangan Muda. Sebagai balasan, Kedah bersetuju untuk penjajaran semula sempadan negeri ke tengah Sungai Muda agar Pulau Pinang boleh mengekstrak air dari sungai di dalam sempadannya sendiri. Ini adalah dokumentasi “jaminan air” yang disediakan oleh Kedah. Ia adalah satu pra-syarat untuk pinjaman Bank Pembangunan Asia pada 1973 yang diatur oleh Kerajaan Persekutuan bagi Pulau Pinang melaksanakan projek-projek bekalan air.

(iii) Pulau Pinang memperolehi air mentah dari Sungai Muda tanpa sebarang kos kepada Kedah. Pulau Pinang menggunakan infrastruktur dan sumbernya sendiri. Perlu dinyatakan bahawa Kedah tidak mengepam air mentah ke Pulau Pinang setiap hari. Air mentah dari Sungai Muda mengalir secara semula jadi dengan graviti dari bukit-bukit ke laut. Oleh itu, jika tiada kos kepada Kedah, tiada alasan yang kukuh untuk mengenakan bayaran.

Yang nyata, ketika kemarau teruk yang berlaku pada masa lalu, Pulau Pinang membayar Kedah bagi air terawat. Walau bagaimanapun, kes-kes terpencil seperti itu hanya membabitkan jumlah air terawat yang agak kecil dan ia tidak dilakukan secara tetap. Namun, sejak beberapa tahun yang lalu, Pulau Pinang tidak lagi membeli air terawat daripada Kedah.

Jika Kedah perlukan bantuan kewangan untuk melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda yang membekalkan air untuk Sungai Muda, Kedah perlu mendapatkan dana Persekutuan untuk melaksanakan inisiatif ini. Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), Kerajaan Persekutuan telah menyatakan ia akan “mengambil inisiatif untuk menggalakkan negeri-negeri mewartakan hutan terutamanya kawasan tadahan air, sebagai kawasan perlindungan.”

Melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Pulau Pinang. Langkah ini turut memberi manfaat kepada 3.8 juta orang di Kedah, termasuk Pulau Langkawi, dan juga Pulau Pinang dan selatan Perlis. Ia juga akan memastikan air yang selamat bagi “Jelapang Padi Malaysia” dan memelihara kawasan warisan semula jadi penting di Wilayah Utara untuk semua rakyat Malaysia dan pelancong alam sekitar. Oleh itu, Pulau Pinang akan menyokong penuh permohonan Kedah untuk pembiayaan Persekutuan bagi melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda.

Dengan sumber sedia ada, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) boleh mengekalkan bekalan air yang baik di Pulau Pinang sehingga Tahun 2020. Setakat ini, tiada catuan di Pulau Pinang walaupun perubahan iklim telah menyebabkan musim kemarau yang lebih lama. Pada tahun 2014 dan 2015, negeri-negeri lain seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor, dan juga Taiping di Perak yang merupakan “bandar paling basah” di negara ini, terpaksa melaksanakan catuan air. Tiada sebarang catuan di Pulau Pinang, dan Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBAPP untuk mengelakkan catuan walau apa cara sekalipun. Pada tahun 2009, PBAPP menjalankan kajian bebas “Kajian Pelan Induk untuk Air Minum di Pulau Pinang sehingga 2050.” Laporan kajian mencadangkan pelaksanaan Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Ketika membuat perancangan bagi mengelakkan catuan di masa hadapan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah banyak kali menulis surat secara rasmi kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) iaitu sejak 2013, memohon pelaksanaan segera SPRWTS. SPRWTS akan menjadi sumber air mentah kedua utama Pulau Pinang untuk menangani cabaran perubahan iklim. Ia juga akan menjamin air mentah yang mencukupi bagi Pulau Pinang sehingga tahun 2050. Walau bagaimanapun, Menteri KeTTHA memaklumkan kepada Pulau Pinang bahawa SPRWTS adalah “terlalu awal” dan Pulau Pinang dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan per kapita domestik.

Pada 1 April 2015, PBAPP melaksanakan Kajian Semula Tarif Air Pulau Pinang 2015, atau PWTR 2015. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan penggunaan per kapita domestik di Pulau Pinang daripada 293 liter/kapita/hari (l/k/h) kepada 260 l/k/h. Inilah kenaikan tarif air untuk pengguna domestik yang pertama sejak 2008 dan bukannya kali keempat sebagaimana fitnah yang didakwa oleh pihak pembangkang. Lagipun Pulau Pinang harus mengurangkan penggunaan air kerana dari segi per kapita domestik adalah tertinggi di Malaysia berbanding dengan purata nasional 210 l/k/h. Penggunaan tinggi tidak dapat dikurangkan kerana tarif air domestik yang terlalu rendah. Malah, penggunaan air yang tinggi telahpun dirujuk oleh Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili dalam surat beliau kepada saya pada 18 September 2013. Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pun telah berkali-kali meminta Pulau Pinang menaikkan tarif air sebelum membuat pengumuman secara umum meminta semua negeri menaikkan tarif air untuk pengguna domestik dalam suratkhabar pada 25 April 2015. Ini bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai air yang mencukupi selepas Tahun 2020, bagi menampung kelewatan SPRWTS.

Untuk memastikan pengguna-pengguna domestik Pulau Pinang menjimatkan air, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengekalkan purata tarif terendah di Malaysia bagi penggunaan domestik sehingga 35,000 liter sebulan. Purata tarif ini hanya RM0.32 bagi setiap 1,000 liter. Ia adalah kurang daripada 50% berbanding purata kebangsaan iaitu RM0.66 bagi setiap 1,000 liter atau RM1.05 setiap 1,000 liter untuk Negeri Johor. Ia adalah tarif yang paling “mesra rakyat” bagi penggunaan domestik di Malaysia untuk pengguna domestik yang menggunakan air dengan bijak.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang sangat serius untuk mengekalkan bekalan air yang baik dan berterusan di Pulau Pinang, kini dan pada masa akan datang. Dalam soal bekalan air, Kerajaan Negeri Pulau Pinang benar-benar komited dalam memastikan bekalan air lestari atau mampan bagi rakyat Pulau Pinang.

Dalam pada itu, untuk makluman Yang Berhormat, pelaksanaan Kajian Semula Tarif Air Pulau Pinang 2015 (PWTR 2015) mulai 1 April 2015 ditetapkan setelah memperolehi kelulusan dan pewartaannya daripada Kerajaan Persekutuan mengikut undang-undang Persekutuan iaitu selaras dengan peruntukan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA 2006). Tarikh tersebut tidak ditentukan secara khusus oleh PBAPP atau Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebaliknya permohonan cadangan kajian semula tarif air telah dikemukakan secara rasmi oleh PBAPP untuk kelulusan pihak berkuasa Persekutuan pada 30 Julai 2014 dan Kelulusan serta pewartaan oleh Kerajaan Persekutuan telah diperoleh pada 15 Februari 2015. Disebabkan notis yang singkat, dan keperluan mematuhi protokol, prosedur dan persiapan yang sepatutnya, serta turut mengambilkira sambutan Perayaan Tahun Baru Cina pada bulan Februari, tarikh pelaksanaan peningkatan tarif air telah ditunda kepada 1 April 2015 dan diumumkan lebih awal kepada orang awam iaitu pada 19 Mac 2015.

Kerajaan Negeri mengalu-alukan langkah Kerajaan Negeri Terengganu mengikut langkah Pulau Pinang dan Johor mengecualikan bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax (GST) kepada perkhidmatan yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kepada rakyat. Tidak seperti Terengganu yang hanya menanggung beban rakyat bagi bayaran GST hanya untuk setahun, MBPP dan MPSP akan menanggung beban rakyat bagi bayaran GST bagi setiap tahun sebanyak RM15.631 juta dan RM5.83 juta.

MBPP dan MPSP juga perlu membayar terus sebanyak RM14.4 juta dan RM5 juta sebagai cukai output dalam melaksanakan kerja-kerja awam dan projek-projek pembangunan. Jumlah sebanyak RM19.4 juta cukai output ini akan dibayar terus kepada Jabatan Kastam. Seterusnya, MBPP dan MPSP perlu mengutip daripada rakyat sebanyak RM1.23 juta dan RM863,000 bagi menggunakan perkhidmatan Kerajaan sebagai cukai input, yang kemudiannya akan diberikan kepada Jabatan Kastam juga.

Kami merasakan caj GST bagi projek-projek Kerajaan yang dilaksanakan untuk kegunaan awam seperti jalan raya, longkang, dewan orang ramai, rumah mampu milik dan perumahan awam, taman rekreasi serta gelanggang futsal dan sukan adalah suatu ‘public good’ yang bukan laba (non-profit), adalah tidak wajar sama sekali memandangkan projek-projek ini bukanlah bertujuan untuk meraih keuntungan. Oleh itu, saya telah menulis surat rasmi kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada 4 Mac 2015 mendesak Kerajaan Persekutuan untuk mengecualikan caj GST yang dikenakan terhadap projek-projek Kerajaan Negeri yang dilaksanakan bagi manfaat dan kesejahteraan rakyat.

Kerajaan Negeri kesal bahawa tindakan Kerajaan Tempatan menyerap cukai GST telah diserang habis-habisan oleh parti lawan secara serangan peribadi atau sebagai langkah ”populis”. Mengapakah Kerajaan Negeri yang cuba membela rakyat sebagai ”perisai” daripada beban GST dipersalahkan sedangkan parti lawan yang mengenakan GST dianggap sebagai wira.

Yang Berhormat Telok Ayer Tawar membangkitkan mengenai kutipan levi ke atas hotel-hotel oleh Kerajaan Negeri adalah menyalahi undang-undang dan perlu dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan.

Untuk makluman Yang Berhormat, perkataan ‘levi’ sebagaimana yang didakwa Yang Berhormat tidak diguna pakai kerana Kerajaan Negeri sememangnya sedar bahawa penggenaan ‘levi’ adalah dibawah kuasa Kerajaan Persekutuan. Secara rasminya, penggunaan nama ‘Fi Majlis Tempatan Negeri Pulau Pinang’ diputuskan didalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan bertarikh 15 Januari 2014.

Melalui peruntukan di atas, Majlis boleh berbincang dengan wakil-wakil hotel di Pulau Pinang mengenai penggenaan caj fi hotel ke atas mereka bagi tujuan penambahbaikan prasarana infrastruktur pelancongan di kawasan pentadbiran PBT seperti berikut:

“A local authority in the granting of any licence or permit may prescribe the fees for such licence or permit and the charges for the inspection or supervision of any trade, occupation or premises in respect of which the licence is granted.”

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu Akaun Amanah Fi Majlis Tempatan Negeri Pulau Pinang di bawah Subseksyen 9(1) Akta Tatacara Kewangan 1957 {Akta 61}. Akaun ini ditubuhkan dengan tujuan untuk memperakaunkan Fi Majlis Tempatan yang dikenakan ke atas hotel-hotel di Pulau Pinang yang dikutip oleh PBT bagi pihak Kerajaan Negeri untuk digunakan bagi tujuan pembangunan pelancongan Negeri Pulau Pinang. Pengawalan dan pengurusan Akaun ini hendaklah sentiasa tertakluk kepada terma-terma Arahan Akauan Amanah ini, peruntukan-peruntukan Arahan Perbendaharaan serta peraturan-peraturan kewangan yang berkaitan dengannya. Pengurusan akaun ini juga melibatkan Penang Hotelier Association bagi menjamin pandangan, saranan dan cadangan pihak hotel juga diambilkira.

Bagi isu Middle Bank yang dibangkitkan, untuk makluman Yang Berhormat, kawasan Middle Bank ini telah dikenalpasti sebagai kawasan tebus guna melalui RSNPP 2007 lagi dan telah diluluskan oleh pentadbiran Kerajaan BN. Untuk pegetahuan Yang Berhormat juga, sebelum sesuatu projek pembangunan tebus guna diluluskan oleh Kerajaan Negeri, ianya perlu melalui beberapa prosedur penting bagi memastikan ianya mematuhi kesemua aspek perundangan termasuk penyelesaian kepada masalah sosial kawasan setempat. Bagi pembangunan di tanah tebus guna di kawasan Middle Bank, ianya juga dikehendaki mematuhi prosedur yang telah ditetapkan seperti mendapatkan kelulusan Detailed Environmental Impact Assessment (DEIA). Laporan DEIA yang dikemukakan turut mengambil kira impak kepada ekosistem hidupan laut di kawasan tersebut sebelum permohonan diluluskan. Untuk makluman Yang Berhormat juga, Kerajaan Negeri belum memuktamadkan jenis pembangunan yang akan dilaksanakan di Middle Bank secara terperinci. Ia masih dalam peringkat penilaian, malah pakar juruperunding jurutera yang membuat penilaian terperinci masih belum dilantik.

Yang Berhormat Pulau Betong membangkitkan isu berkenaan helikopter pad bagi tujuan kecemasan di tingkat atas bangunan KOMTAR dan isu menukarkan KOMTAR daripada Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri kepada sebuah hotel.

Untuk makluman Yang Berhormat, Aras 65, Menara KOMTAR merupakan salah satu daripada premis yang terlibat dengan projek pemulihan semula KOMTAR yang dilaksanakan oleh Only World Group (OWG). Di bawah projek ini, aras tersebut akan diubahsuai menjadi sebahagian dari ruang outdoor/ sky dining di puncak bangunan KOMTAR. Pihak PDC telah mengarahkan OWG untuk menyemak dengan pihak Jabatan Bomba berkaitan status helipad tersebut dan telah dimaklumkan bahawa aras tersebut tidak pernah diluluskan sebagai helipad oleh pihak Jabatan Bomba.

Buat masa ini pihak Kerajaan Negeri/ PDC tidak mempunyai sebarang rancangan untuk menukar fungsi kegunaan bangunan KOMTAR kepada sebuah hotel melainkan dikekalkan sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri. Kawasan perniagaan di persekitaran KOMTAR akan terjejas teruk sehingga memberi impak negatif kepada Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town sekiranya Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri berpindah keluar.

Yang Berhormat ADUN Air Itam membangkitkan mengenai perbezaan hukuman yang dijatuhkan kepada OKT kes pencerobohan masuk ke Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang berbanding dengan perbuatan yang sama di Perak di mana Mahkamah Majistret Pulau Pinang hanya mengenakan hukuman denda RM1,500 ke atas 16 penceroboh (RM1,500 untuk 15 OKT dan RM2,000 untuk seorang OKT) berbanding Perak yang mengenakan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000. Perbezaan hukuman ini menjadi persoalan sama ada hukuman yang selektif berikutan OKT terlibat di Pulau Pinang adalah Parti UMNO manakala di Perak OKT terlibat adalah dari parti Pakatan Rakyat. Yang Berhormat juga memohon supaya Kerajaan Negeri menyusuli perkara ini dengan pejabat Peguam Negara untuk merayu supaya hukuman setimpal dapat dijatuhkan.

Adalah bahaya untuk menyatakan bahawa terdapatnya pemakaian piawai yang berbeza dalam pentadbiran keadilan (administration of justice) negara ini. Rayuan Peguam Negara terhadap hukuman yang dijatuhkan dalam memastikan bahawa hukuman yang setimpal dikenakan berdasarkan keseriusan tuduhan terhadap individu-individu tersebut. Mereka ini bukan sahaja telah mencemarkan keluhuran Dewan Undangan Negeri yang mulia, malah pada masa yang sama telah menunjukkan bahawa mereka juga tidak menghormati kedaulatan undang-undang menghina demokrasi dan memalukan rakyat. Keringanan hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah dengan takzim hanya dapat ditafsir sebagai “sokongan” terhadap tindakan segelintir ahli masyarakat yang sewenang-wenangnya memperlekehkan prinsip-prinsip tersebut.

Yang Berhormat ADUN Kebun Bunga dan ahli pembangkang memohon PDC untuk memberi satu laporan berkaitan Pulau Jerjak. Kerajaan Negeri ingin menegaskan bahawa ianya tidak dijual satu inci pun tanah Pulau Jerjak, sebaliknya Kerajaan BN lama yang menggadaikan hak dan kepentingan rakyat Pulau Pinang dengan menjualkan 80 ekar tanah Pulau Jerjak pada 2001.

Jumlah keseluruhan besar kerugian yang dihadapi oleh PDC dan Kerajaan Negeri (menerusi PTG) berkaitan dengan skandal kelulusan tanah Pulau Jerejak kepada Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIR) adalah sebanyak RM30 juta. Butiran adalah seperti berikut:

(i) Isu Tanah RM10.6 Juta Untuk 80 Ekar Tanah di Pulau Jerejak

(a) Kelulusan oleh Kerajaan Negeri pada 15 Januari 2001 dengan tempoh pajakan selama 60 tahun sehingga 10 Oktober 2062. Pada 3 Januari 2001, Exco telah membuat keputusan bahawa TIR diberikan geran hak milik sebaik sahaja ansuran pertama sungguhpun tidak dijelaskan dengan sepenuhnya. Ini berlawanan dengan amalan biasa di bawah Seksyen 180 Kanun Tanah Negara bahawa Pentadbir Tanah hanya boleh keluarkan geran apabila bayaran premium dijelaskan dengan sepenuhnya.

(b) Jumlah premium tanah ialah RM12.95 juta (iaitu RM3.72 skp) bagi tanah berkeluasan 80 ekar. Kadar faedah yang dikenakan ialah 4% setahun dan tempoh pembayaran balik ialah dari tahun 2004 sehingga 2013 (selama 10 tahun). Baki yang masih belum dijelaskan adalah sebanyak RM10.6 juta (termasuk faedah sebanyak RM1.81 juta). TIR tidak mampu membayar ansuran mengikut jadual yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri disebabkan oleh prestasi kewangan syarikat yang tidak baik.

(c) Sebagai rumusan geran tanah tidak sepatutnya dikeluarkan sehingga premium tanah dibayar penuh supaya tidak berlaku hutang bayaran premium. Keputusan Exco meluluskan geran tanah dikeluarkan tanpa bayaran penuh dikutip menyebabkan tunggakan hutang RM10.6 juta daripada TIR sejak tahun 2004. Kerajaan negeri telah kehilangan tanah sungguhpun premium tanah belum dibayar penuh.

(d) Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan mahkamah terhadap TIR kerana gagal menjelaskan baki hutangnya sebanyak RM10.6 juta (termasuk faedah sebanyak RM1.81 juta). Bayaran akhir yang diterima Kerajaan Negeri daripada jumlah hutang premium tanah RM10.6 juta ini adalah RM2.5 juta pada
27 Mac 2015.

(ii) Kehilangan Kos Pelaburan PDC RM 15.435 Juta

Modal berbayar TIR adalah sebanyak RM31.5 juta. Kos pelaburan PDC berdasarkan ekuiti 49% adalah sebanyak RM15.435 juta.

(iii) Kehilangan Pinjaman Pemegang Saham oleh PDC
RM3.6 Juta

Pada 28 Disember 2007, PDC telah memberi pinjaman pemegang saham sebanyak RM3.41 juta kepada TIR untuk menampung kos operasi syarikat. Keseluruhan jumlah tersebut sebanyak RM3.6 juta (termasuk faedah sebanyak RM193,553 atas kadar faedah 3.5% setahun) masih belum dijelaskan. Ini bermakna masih ada RM19 juta masih perlu dibayar balik kepada PDC. Sekiranya ianya dibayar balik dan harga sebenar nilai tanah Pulau Jerjak dibayar, maka Kerajaan Negeri bersedia untuk menjualkan saham ekuiti 49% kepada UDA. UDA telahpun bersetuju dengan 2 syarat ini dan PDC sedang menunggu surat rasmi.

Yang Berhormat Batu Uban membangkitkan berkenaan 20 keluarga di Batu Kawan yang membela lembu telah diarahkan untuk keluar dari kawasan tersebut memandangkan terdapat rancangan pembangunan di Batu Kawan. Yang Berhormat ADUN Batu Uban mohon supaya Kerajaan Negeri melalui PDC membantu mereka untuk membolehkan mereka meneruskan aktiviti tersebut.

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri sentiasa prihatin terutama kepada mereka yang merupakan kumpulan minoriti dan terlibat akibat pembangunan oleh Kerajaan Negeri. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah meminta Pejabat Tanah Seberang Perai Selatan mengenalpasti tapak di Kampung Valdor (tanah Kerajaan) berhampiran dengan Sungai Jejawi sebagai tempat pemusatan penternakan lembu di kawasan Batu Kawan. Oleh itu, kesemua penternak perlu memohon LPS untuk tujuan tersebut dengan dikenakan bayaran yang paling minima bagi mereka meneruskan ternakan mereka.

Yang Berhormat Air Itam membangkitkan soalan berkaitan apakah hasil laporan laporan suruhanjaya siasatan mengenai kegagalan struktur-struktur sivil Menara UMNO di Pulau Pinang dan bilakah laporan tersebut dapat dimaklumkan kepada orang awam.

Untuk makluman Yang Berhormat, laporan mengenai 2 insiden yang berlaku pada 6 Jun 2013 dan 13 Jun 2013 telah disediakan oleh Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Yeo Yan Poh, selaku Pengerusi Jawatankuasa siasatan dengan ahlinya terdiri daripada Dato’ Ir. Gue See Sew dan Dato’ Prof. Ir. Roslan Ibrahim. Penubuhan Jawatankuasa Siasatan ini telah dipersetujui oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang selaras dengan Commission of Inquiry Act 1950 dan pelantikan Jawatakuasa ini telah diwartakan melalui Warta Kerajaan No. 504 bertarikh 15 Ogos 2013.

Siasatan tersebut mengambil masa selama 20 bulan dan Suruhanjaya tersebut telah menjalankan siasatan secara terbuka dan mendengar keterangan daripada 42 orang saksi bagi kejadian Bangunan UMNO. Laporan tersebut telah secara rasminya diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada 28 April 2015 di dalam versi Bahasa Inggeris. Oleh itu, Kerajaan Negeri kini sedang dalam proses melakukan penterjemahan terhadap keseluruhan laporan tersebut sebelum dikemukakan kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang selaras dengan terma pelantikan dan penubuhan Jawatakuasa siasatan ini.

Penterjemahan daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Malaysia dijangkakan memerlukan sedikit masa kerana terdapat banyak istilah teknikal kejuruteraan yang perlu diterjemahkan ke dalam Bahasa Malaysia. Untuk makluman, ketebalan laporan suruhanjaya itu adalah melibatkan 312 mukasurat.

PENUTUP

Dalam mengelak pengaliran keluar bakat tempatan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) yang merupakan program biasiswa. PFF ditawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang dan berkelayakan, dengan keutamaan diberikan kepada anak Negeri Pulau Pinang untuk belajar dalam jurusan terpilih dalam institusi pengajian tinggi di Malaysia, dengan syarat mesti bekerja di Pulau Pinang untuk satu tempoh masa selepas Ijazah.

Kerajaan Negeri senantiasa bersungguh-sungguh meneroka inisiatif serta mewujudkan peluang bagi membendung arus pengaliran keluar pakar yang kini melanda negara. Kita sedar bahawa Pulau Pinang tidak mempunyai sumber-sumber semula jadi. Kemakmuran ekonomi dan kejayaan material kita adalah bergantung pada keupayaan membina, mengekal, menarik dan menggunakan bakat manusia. Dalam kata lain, ini adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri bagi memupuk dan menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri hab bakat.

Pelaksanaan program PFF dimungkinkan hasil sumbangan derma sektor swasta dan individu termasuk Penang Turf Club. Sehingga kini, PFF memiliki dana bernilai RM20 juta menerusi sumbangan Penang Turf Club. Adalah diharapkan supaya lebih banyak pihak korporat akan tampil dan menyumbang kepada PFF yang mana semua sumbangan kewangan akan dikecualikan daripada cukai.

Kejayaan ekonomi dan sosio-politik Pulau Pinang adalah hasil daripada usaha kolektif semua rakyatnya. Sementara Pulau Pinang sedang menuju matlamat negeri maju dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020, semua kejayaan ini tidak bermakna sekiranya ia tidak dimiliki bersama. Kita semua harus mengimpikan impian yang sama – Impian Pulau Pinang. Impian Pulau Pinang adalah berjiwa rakyat dan berteraskan undang-undang, serta menumpukan kepada 3 golongan utama iaitu individu, masyarakat dan institusi. Impian Pulau Pinang komited untuk mencapai:

(i) Perpaduan kebangsaan berdasarkan prinsip-prinsip bersama iaitu keadilan, demokrasi, kebebasan, nilai moral sejagat, kepimpinan berintegriti dan martabat manusia.

(ii) Pertumbuhan ekonomi di mana sumber dikongsikan dengan rakyat dan tidak dimonopoli oleh segelintir kroni.

(iii) Keharmonian sosial yang meraikan kepelbagaian dan pertumbuhan inklusif sebagai tonggak masyarakat yang padu dengan penuh ehsan.

(iv) Pembangunan lestari untuk memastikan habitat yang bersih, hijau, selamat dan sihat.

(v) Usaha masyarakat dan individu yang memberi ganjaran kepada mereka yang cekal dan cemerlang serta menyediakan peluang saksama bagi memastikan semua orang boleh merealisasikan potensi mereka.

Mekanisma Impian Pulau Pinang hanya boleh diperkuat dan diperkukuhkan oleh institusi yang berteraskan undang-undang. Sebagai contoh, Perlembagaan Persekutuan dan Negeri, selain mendukung kedaulatan Parlimen, Institusi Raja-raja dan Islam sebagai agama Persekutuan, boleh juga mempertahankan lima (5) komitmen ini. Institusi seperti keluhuran undang-undang, hukuman berat untuk rasuah dan salah guna kuasa memberi harapan keesokan hari pasti lebih cerah untuk anak-anak kita. Dengan mengikrarkan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri dan Perlembagaan Negeri, Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan bekerja keras untuk merealisasikan Impian Pulau Pinang. Marilah kita menjadikan Pulau Pinang sebagai landasan di mana semua impian kita boleh direalisasikan dengan kebebasan mencapai potensi dan hak peluang yang sama rata untuk semua.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sempena hari-hari istimewa yang diraikan pada bulan Mei ini, masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Wesak, Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Jururawat, dan Selamat Hari Guru kepada semua yang menyambutnya pada bulan ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan kerana berjaya mengendalikan perjalanan dewan dengan sebaiknya.

Saya juga bersyukur kerana setelah hampir 2 penggal Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, telah banyak perancangan dan pembangunan yang telah dilaksanakan. Semoga kejayaan-kejayaan dalam memastikan agenda pembangunan negeri ini akan berterusan demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat akan terus terpelihara.

Sekian, terima kasih dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua yang beragama Islam yang akan menyambutnya pada 18 Jun 2015 akan datang. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan atas peluang yang telah diberikan kepada saya untuk membentangkan ucapan penggulungan saya pada hari ini.

Sekian, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya mohon menyokong.

Terima kasih.