STRUKTUR MENARA KOMTAR SELAMAT, LANTAI TINGKAT 21 RETAK KERANA KEBERATAN BILIK KEBAL (STRONG ROOM) YANG MENYIMPAN FAIL GERAN TANAH SELAMA 50 TAHUN INI.
1. Mengenai keselamatan Bangunan Komtar yang dibawa oleh YB ADUN Pulau Betong, Kerajaan Negeri ingin menegaskan di sini bahawa kekukuhan bangunan dan integriti struktur adalah terjamin. Sememangnya Kerajaan Negeri tidak akan membenarkan tragedi yang berlaku di Menara UMNO yang mengorbankan dua orang mangsa berulang melandai Menara Komtar yang telah berdiri teguh tanpa masalah selama leibh 30 tahun ini.
Maklumat yang diperolehi oleh PDC – pemilik Menara Komtar adalah seperti berikut:-
i) Kerja-kerja tender bagi penaiktarafan di KOMTAR adalah tidak meliputi projek di bawah ‘RFP for Revitalisation of KOMTAR Building’ kerana senarai itu adalah khusus untuk kerja-kerja kontrak sahaja. Penyertaan bagi projek RFP ini adalah dijemput secara bidaan terbuka. Melalui kaedah tersebut Kumpulan Only World Group (OWG) telah dipilih untuk projek ini yang mana ianya dilaksanakan oleh World Equipment Sdn Bhd (WESB) yang merupakan sebuah syarikat di dalam Kumpulan OWG.
ii. Dengan nilai pelaburan besar yang berjumlah RM40 juta tentunya OWG mengambilkira segala faktor bagi memastikan projek yang dilaksanakan oleh mereka tersebut tidak menjejaskan integriti dan kekukuhan bangunan KOMTAR. Bagi tujuan itu, OWG telah melantik jurutera berpengalaman iaitu Juruperunding Arup sebagai konsultan ‘Civil & Structural’ untuk projek ini. Arup juga merupakan perunding asal yang merekabentuk bangunan KOMTAR sebelum ini. Di dalam penyediaan rekabentuk oleh OWG bagi projek ini, OWG akan memastikan Arup menganalisa ketahanan struktur sediada di kawasan yang terlibat dengan pembangunan projek bagi menampung bebanan dari cadangan pembangunan yang akan dilaksanakan nanti termasuk sekiranya terdapat pertambahan ruang lantai. Ini juga turut merangkumi kajian aspek kestabilan bangunan.
iii. Untuk fasa pertama pelaksanaan projek yang melibatkan pembangunan dewan bankuet, analisa dari segi ketahanan struktur sememangnya dilaksanakan oleh konsultan tersebut dan perunding berkenaan telah memaklumkan bahawa tiada isu dari segi integriti struktur sediada. Manakala untuk fasa kedua yang turut melibatkan pembinaan ‘observation lifts’ di permukaan luar Blok Menara dan juga ‘outdoor dining’ di Aras 64 & 65, kajian oleh Arup juga akan turut mengambilkira faktor angin yang amat penting untuk pembangunan yang melibatkan struktur bangunan tinggi seperti KOMTAR.
iv. Selain itu, pelaksanaan kesemua komponen dalam projek ini semestinya akan melalui proses kelulusan jabatan/pihak berkuasa yang berkaitan. Dalam pada itu, PDC juga telah melantik Kumpulan Ikram (KI) untuk melaksanakan audit integriti struktur bagi keseluruhan bangunan KOMTAR. Kajian kini sedang berjalan dan dijangka siap pada bulan Februari 2014. Akan tetapi KI telah diminta untuk memberikan keutamaan kepada kawasan yang terlibat dengan projek OWG terlebih dahulu.
v. Berdasarkan penemuan audit tersebut, maka KI akan mencadangkan kepada PDC akan ujian dan kaedah penyelesaian serta pembaikan struktur untuk diambil tindakan selanjutnya oleh PDC.
vi. Dengan yang demikian, ingin ditekankan di sini pelaksanaan projek oleh OWG ini adalah melalui pemeriksaan oleh perunding-perunding professional yang berpengalaman dan mempunyai reputasi yang baik. Dengan itu, kesemua input oleh perunding Arup dan penemuan oleh KI semestinya dimasukkan ke dalam pertimbangan bagi projek OWG ini dalam memastikan pelaksanaannya telah mengambilkira segala isu berkaitan kestabilan dan kekukuhan bangunan KOMTAR.
vii. Berkenaan dengan isu keretakan lantai di Aras 21, Pejabat Tanah & Galian (PTG), PDC juga sememangnya menyedari masalah ini. Ianya juga merupakan sebahagian daripada kajian audit 3ntegrity struktur yang sedang dijalankan oleh KI. Di dalam hal ini, KI juga telah mengenalpasti masalah ‘overloading’ dokumen-dokumen milik pejabat PTG sebagai punca keretakan. Keretakan tersebut adalah bersifat ‘localised’ dan tidak melibatkan 3ntegrity utama ‘super structure’. Bagi mengurangkan masalah ‘overloading’ berkenaan, PTG telah mula memindahkan sebahagian daripada dokumen-dokumen daripada Aras yang mengalami isu keretakan lantai tersebut ke bawah yang turut menempatkan ruang pejabat PTG.
Keberkesanan Pentadbiran Kewangan Berteraskan Belanjawan(Budget-Based) Dan Peralihan Kepada Pentadbiran Berteraskan Hasil(Outcome-Based) Urustadbir Cekap, Akauntabel Dan Telus(CAT).
2. Umum mengetahui bahawa kedudukan kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bertambah kukuh sejak lima (5) tahun yang lalu hasil daripada kawalan dalaman perbelanjaan, pengekalan perbelanjaan berhemah dan usaha berterusan dalam menambah hasil negeri. Keberkesanan pentadbiran kewangan berteraskan belanjawan (budget-based) dan peralihan kepada pentadbiran berteraskan hasil (outcome-based) urustadbir Cekap, Akauntabel Dan Telus (CAT) adalah tertera dalam Laporan Ketua Audit Negara. Budget-based administration yang memerangi rasuah dengan tender terbuka secara kompetitif dan pengisytiharaan aset secara terbuka telah mencatatkan lebihan Bajet setiap tahun, tambahan pendapatan, tambahan nilai aset dan pengurangan hutang. Pulau Pinang telah dipuji berikutan pengurusan pentadbiran kewangan negeri ini adalah di antara yang terbaik dalam negara.
Peralihan kepada outcome-based administration boleh dilihat melalui hasil sekiranya kita membuat perbandingan di antara prestasi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berdasarkan keberkesanan produktiviti perbelanjaan mengurus.
Perbandingan Perbelanjaan Pengurusan Kerajaan Negeri
Bagi Tahun 2013
| Prestasi Perbelanjaan Mengurus | MPPP | DBKL |
| Jumlah Perbelanjaan Mengurus | RM 194 juta | RM1.4 bilion |
| Penduduk | 0.66 juta | 1.55 juta |
| Per Kapita | RM 294 | RM 907 |
| Per Isi Rumah | RM 1,177 | RM 3,348 |
| Per km² | RM258,977 | RM5.8 juta |
Bagi tahun semasa 2013, perbelanjaan mengurus mengikut bilangan penduduk adalah RM294 untuk seorang penduduk di MPPP, berbanding DBKL sebanyak RM907 setiap penduduknya. Oleh yang demikian,perbelanjaan dari segi per capita basis bagi MPPP adalah tiga(3) kali jauh lebih rendah berbanding dengan perbelanjaan DBKL.
Dari segi prestasi perbelanjaan mengikut keluasan kawasan pula untuk setiap km persegi, MPPP membelanjakan RM258,977 manakala DBKL membelanjakan RM5.8 juta, iaitu 22 kali lebih besar perbelanjaan daripada MPPP. Perbandingan ini jelas menunjukkan bahawa Negeri Pulau Pinang telah berupaya untuk memenuhi dan mendokong prinsip value for money dan spend less for more.
3. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan yang diutarakan oleh YB ADUN Penanti untuk menambahkan peruntukan Program Titian Saksama Rakyat (PTSR) yang sememangnya telah dipersetujui pembiayaan tambahan sebanyak RM1.0 juta masing-masing daripada Kerajaan Negeri dan PDC untuk tabung PTSR pada tahun 2014 nanti. Berkaitan dengan cadangan memperbanyakkan tapak perniagaan boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat tapak yang bersesuian.
4. Berkenaan dakwaan pembangkang bahawa Pulau Jerejak telah ditukar nama kepada Mazu Island. Suka saya jelaskan di sini bahawa dakwaan ini adalah fitnah sama sekali. Sehingga sekarang pihak pembangkang masih tidak dapat menunjukkan bukti bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah meluluskan penukaran nama Pulau Jerejak kepada Pulau Mazhu (satu dewa Buddha) dan juga untuk membina Tokong Mazhu di sana. Saya kesal perkara sensitif yang tidak benar dan palsu ini telah dimuatkan secara meluas dalam blog pro-UMNO untuk mencemarkan lagi imej Kerajaan Negeri dan saya sebagai Ketua Menteri di kalangan orang Melayu dan Islam.
Dakwaan ini adalah sangat merbahaya kerana bersifat rasis dengan cubaan untuk menimbulkan isu agama dan perkauman. Sebagai seorang peguam, YB Teluk Air Tawar perlu tahu bahawa sebarang penukaran nama pulau mestilah melalui proses perundangan dan diwartakan. Sebenarnya, bukan sahaja tidak ada sebarang penwartaan, malah tidak ada sebarang kelulusan oleh Kerajaan Negeri untuk penukaran nama tokong Mazhu seperti yang didakwa. Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pihak yang berkenaan berhubung perkara ini pada masa yang sesuai.
5. Satu lagi dakwaan rasis berhubung mengapa hanya mengeluarkan kompaun saman dan tidak mengambil sebarang tindakan perobohan ke atas gerai tidak berlesen Cina di Pantai Bersih, Butterworth seakan-akan tindakan penguatkuasaan perobohan hanya ke atas gerai Melayu tidak berlesen sahaja.
Dakwaan ini adalah tidak bertanggungjawab kerana laporan awal daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menunjukkan bahawa ada 1 penjaja Cina dan 6 penjaja Melayu yang tidak berlesen di sekitar Pantai Bersih. Sebenarnya, MPSP tidak mengambil tindakan perobohan bukan sahaja ke atas satu gerai tidak berlesen Cina tetapi gagal juga bertindak ke atas 6 gerai tidak berlesen Melayu.
Sekiranya ditanya mengapa tidak ada tindakan diambil ke atas ketujuh-tujuh gerai haram di Pantai Bersih ini, ia adalah soalan munasabah. Tetapi ia bersifat rasis apabila cuba mensasarkan hanya sebuah gerai tidak berlesen Cina dan bukan 6 lagi penjaja berlesan Melayu.
Oleh kerana tanah Pantai Bersih adalah milikan Kerajaan Negeri maka Kerajaan Negeri bercadang menggunakan pendekatan yang lembut sebelum bertindak keras menjalankan penguatkuasaan untuk mengeluarkan mereka.
6. Saya mengucapkan terima kasih kepada YB ADUN Machang Bubuk dan ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bercadang untuk menambahkan bilangan “free wifi” hotspot sebanyak sekali ganda daripada 1,550 kepada 3,100 free wifi hotspot dengan kelajuan yang tinggi dari sebelumnya. Program tambahan ini akan dijalankan pada tahun depan dan dijangka siap pada 2017. Ini sekaligus akan memperkasakan kepintaran digital Pulau Pinang dan juga budaya kebebasan yang lebih mudah dicapai dengan kemudahan free wifi ini. Masalah kelajuan Penang Free Wifi akan ditinjau demi memastikan ia dapat diperbaiki di dalam kawasan tersebut. Adalah dimaklumkan bahawa sambutan penggunaan Penang Free Wifi ini adalah diluar jangkaan terutamanya di hotspot-hotspot tertentu termasuklah di kawasan Machang Bubuk. Apabila bilangan pengguna meningkat di hotspot-hotspot tertentu secara tidak langsung akan menjejaskan prestasi kelajuan Free Wifi tersebut. Kesemua kawasan hotspot tersebut mempunyai pengagihan kelajuan Wifi yang sama untuk semua pengguna Penang Free Wifi kerana syarikat yang dilantik mengamalkan polisi penggunaan sama rata (fair usage policy). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan berbincang semula dengan syarikat yang dilantik bagi memastikan prestasi kelajuan Penang Free Wifi ini akan menjadi bertambah baik.
7. Berkaitan kes paksa pindah 52 keluarga di Kampung Permatang Tok Suboh yang menduduki tanah persendirian di Lot 1258 Mukim 14, Seberang Perai Tengah yang dimiliki oleh Distinct Class Sdn. Bhd. Pihak tuan tanah telah menawarkan pampasan yang kurang memuaskan berjumlah antara RM7,000.00 hingga RM35,000.00 kepada 52 keluarga berdasarkan nilaian oleh pihak pemilik tanah. Daripada jumlah tersebut sebanyak 23 buah keluarga telah bersetuju menerima tawaran oleh pihak tuan tanah dan telah menandatangani surat perjanjian pampasan.
Pihak Kerajaan Negeri hanya bertindak sebagai perantara tetapi bagi pihak penduduk. Borang-borang permohonan Projek Perumahan Rakyat (PPR) diedarkan untuk penempatan penduduk yang berminat untuk berpindah ke Perumahan Desa Wawasan. Selain itu, perbincangan juga turut diadakan sebanyak empat (4) kali di Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Tengah iaitu pada 12 Julai 2013, 8 September 2013, 18 Oktober 2013 dan 4 Disember 2013.
Walaupun isu ini telah dibawa ke mahkamah oleh tuan tanah dan masih dalam proses sebutan, Kerajaan Negeri masih cuba mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah. Wakil rakyat PR telahpun melantik seorang peguam untuk mewakili penduduk dalam kes mahkamah bagi berdepan dengan peguam pemilik tanah yang memiliki latar belakang BN yang tebal.
8. YB ADUN Batu Uban juga turut mencadangkan supaya PDC mempelbagaikan fungsi ekonominya dalam bidang seperti hospitaliti, fast food dan sebagainya dengan mencontohi perbadanan-perbadanan di negeri lain. Ini kerana PDC dikatakan telah mengabaikan peranan asalnya dengan hanya memberi fokus terhadap sektor hartanah sahaja.
Suka saya jelaskan di sini bahawa PDC merupakan agensi Kerajaan Negeri untuk merancakkan ekonomi Negeri Pulau Pinang dan juga bertindak sebagai pemangkin ekonomi negeri. Tumpuan utama PDC adalah dalam membangunkan tapak-tapak pembangunan baru untuk industri, perumahan mampu milik dan institusi. Dalam hal ini peranan dan polisi PDC adalah untuk tidak menceburi dalam bidang perniagaan.
9. Berkaitan peraturan-peraturan baru untuk perumahan, khususnya untuk pemilik rumah awam dan mampu milik yang dibawa oleh YB ADUN Air Itam, Pulau Tikus, Bagan Dalam dan Sungai Pinang.
Peraturan Perumahan Baru Pulau Pinang Berkuatkuasa Pada 1 Februari 2014
Peraturan Perumahan Baru Pulau Pinang bermula 1 Februari 2014 dirancang untuk melindungi Pulau Pinang daripada terjejas akibat gelembung hartanah dan memastikan perumahan awam dan perumahan mampu milik yang dibeli oleh pembeli tulen kali pertama yang layak daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.
Peraturan perumahan baru yang diumumkan dalam Pembentangan Bajet 2014 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri dan cadangan berkuatkuasa bermula 1 Februari 2014 dirancang untuk melindungi Pulau Pinang daripada terjejas akibat gelembung hartanah dan memastikan perumahan awam dan perumahan mampu milik yang dibeli oleh pembeli tulen kali pertama yang layak daripada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana.
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan dan kekal membangun, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam mana-mana gelembung hartanah yang kelak akan menjejaskan dan merosakkan ekonomi. Jepun adalah satu contoh terbaik mengenai bahayanya gelembung hartanah. Peraturan-peraturan perumahan ini telah dibincangkan bersama-sama dengan pemegang-pemegang amanah terutamanya dari industri hartanah yang membantah cadangan ini.
Kerajaan Negeri telah menubuhkan Dana Perumahan Awam dan Mampu Milik berjumlah RM500 juta untuk membina 20,000 unit perumahan awam dan perumahan mampu milik meliputi kesemua 5 daerah di Pulau Pinang. Ini adalah peruntukan terbesar yang ditubuhkan oleh mana-mana Kerajaan Negeri dalam sejarah Malaysia untuk membina perumahan awam yang mampu milik. Secara dasarnya, peraturan baru ini dilihat perlu memandangkan Kerajaan Negeri amat prihatin sekiranya pembelian rumah pertama tidak diberi peluang untuk membeli rumah dan bagi mengurangkan eksploitasi meraut keuntungan.
Lanjutan daripada itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Skim Perkongsian Hakmilik atau “Shared Ownership Scheme” (SOS) yang julung kali dilaksanakan di Malaysia – inisiatif bersejarah pembelian bersama antara Kerajaan Negeri dan Pembeli Kurang Berkemampuan yang telah terlepas daripada mendapatkan 90% atau 100% pinjaman bank dengan menawarkan 30% pinjaman tanpa faedah daripada Kerajaan Negeri manakala baki pinjaman 70% adalah daripada pihak bank berbanding 90% atau 100% pinjaman bank. Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan Skim Sewa dan Beli atau “Rent-Buy Scheme” untuk golongan yang tidak berkemampuan yang tidak layak untuk memperolehi mana-mana pinjaman bank atau bank yang enggan memberi sebarang pinjaman kepada mereka.
Sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mahu mencapai demokrasi perumahan yang membenarkan setiap keluarga yang bekerja memiliki rumah sendiri. Keutamaan adalah bagi memastikan perumahan awam (kos rendah dan kos sederhana rendah) dimiliki oleh mereka yang tidak berkemampuan dan pembeli tulen kali pertama. Kerajaan Negeri komited untuk membantu pembeli kali pertama agar berpeluang untuk membeli rumah mampu milik dan bersedia untuk menerima sebarang kritikan atau berdepan cabaran undang-undang daripada mereka yang menentang komitmen ini.
EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada mesyuarat semalam telah memperhalusi peraturan perumahan baru ini demi jelas dan pasti seperti di bawah :
A. Perumahan Awam – Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah
Semua rumah kos rendah (sehingga RM42,000) dan rumah kos sederhana rendah (sehingga RM72,500) yang dibeli tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun dari tarikh Perjanjian Jual dan Beli. Mereka yang ingin menjualnya dalam tempoh 10 tahun pertama perlu membuat rayuan kepada Kerajaan Negeri dan hanya boleh dijual kepada pembeli tersenarai atau “listed buyers”. Harga niaga tidak akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri tetapi akan diberikan kepada pembeli berkemampuan, kesediaan pembeli atau “willing buyer, willing seller” oleh kedua-dua pembeli tersenarai dan penjual. Pembeli yang disenaraikan adalah mereka yang telah berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri dan disahkan sebagai golongan berpendapatan rendah yang layak untuk membeli rumah kos rendah dan rumah kos sederhana rendah. Peraturan 10 tahun ini akan meliputi semua belian yang lepas dan akan datang. Cabutan rumah akan tertakluk kepada pegawasan oleh sebuah firma audit – pertama kali dilaksanakan oleh mana-mana Kerajaan Negeri di Malaysia.
B. Perumahan Mampu Milik
Perumahan Mampu Milik diklasifikasikan sebagai rumah yang pada mulanya dibeli dengan harga di bawah RM400,000 di dalam Pulau dan RM250,000 di Seberang Perai. Perumahan mampu milik yang dibeli tidak boleh dijual dalam tempoh 5 tahun dari tarikh Perjanjian Jual dan Beli. Mereka yang ingin menjual dalam tempoh 5 tahun pertama perlu membuat rayuan kepada Kerajaan Negeri dan hanya akan dijual kepada “pembeli tersenarai”. Harga rumah tidak akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri tetapi akan diberikan kepada “willing buyer, willing seller” oleh kedua-dua pembeli tersenerai dan penjual. Pembeli yang tersenarai adalah mereka yang telah berdaftar dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri dan disahkan sebagai kumpulan berpendapatan pertengahan yang berkelayakan untuk membeli perumahan mampu milik. Peraturan 5 tahun ini meliputi rumah yang diniagakan pada atau selepas 1 Februari 2014. Dengan erti kata lain, ia tidak akan dibelakangkirakan(retrospektif) tetapi akan hanya ke atas Perjanjian Jual dan Beli yang ditandatangani pada atau selepas 1 Februari 2014.
C. Pembelian oleh Bukan Warganegara
Bukan warganegara hanya boleh membeli hartanah di Pulau Pinang yang melebihi RM1juta dan bagi tanah dan bangunan di Pulau mesti melebihi RM2 juta. Semua pembelian hartanah oleh bukan pemastautin akan dikenakan fi kebenaran 3% atas harga transaksi untuk Perjanjian Jual dan Beli yang telah ditandatangai pada atau selepas 1 Februari 2014. Pengecualian diberikan kepada pembelian bagi tujuan industri atau tujuan untuk menggalakkan peluang pekerjaan, pendidikan, bakat manusia atau mempromosikan Pulau Pinang sebagai bandaraya bertaraf antarabangsa dan pintar.
D. Fi kebenaran 2% untuk Hartanah yang dibeli selepas 1.2.2014 dijual dalam tempoh 3 tahun pertama
Fi kebenaran 2% akan dikenakan ke atas penjual untuk semua hartanah yang dijual dalam tempoh 3 tahun dari tarikh Perjanjian Jual dan Beli (SPA) yang ditandatangani pada 1 Februari 2014. Dalam erti kata lain, ini tidak retrospektif. Hartanah yang dibeli di mana SPA ditandatagani sebelum 1 Februari 2014 tidak akan dikenakan fi kebenaran ini. Hanya hartanah yang dibeli dengan SPA pada atau selepas 1 Februari 2014 akan dikenakan fi kebenaran 2% jika dijual dalam tempoh 3 tahun. Fi kebenaran 2% ini tidak terpakai untuk perumahan mampu milik.
Dengan dasar baru yang diperkenalkan maka warganegara asing dikehendaki membayar suatu fi kebenaran atas kadar 3% daripada harga pembelian dan syarat ini akan dikenakan di peringkat kelulusan. Harga pembelian adalah sebagaimana harga yang disebutkan di dalam perjanjian jual beli yang telah distemkan. Suatu mekanisma senarai semak akan diwujudkan di peringkat pendaftaran hak milik tanah di mana perserahan yang telah menjelaskan semua bayaran yang dikenakan dibenarkan untuk didaftarkan.
REHDA Penang Tidak Menyalahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang Sebagai Faktor Harga Rumah Dan Tanah Naik Melambung Tinggi Di Pulau Pinang Sebaliknya Mengenalpasti Kos Pembinaan Adalah Unsur Paling Utama Kenaikan Harga Rumah.
REHDA Penang telahpun menyangkal laporan palsu sesetengah surat khabar bahawa ia telah menyalahkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai faktor utama harga rumah dan tanah naik melambung tinggi di Pulau Pinang. Sebaliknya REHDA Penang telah mengenalpasti bahawa kos pembinaan adalah unsur paling utama kenaikan harga rumah.
Harga tanah adalah di luar kawalan mana-mana kerajaan dan bergantung semata-mata kepada keyakinan awam dan kuasa permintaan dan perbekalan. Faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan harga rumah yang dibangkitkan oleh REHDA adalah :
- Pengenaan 6% Cukai GST menjelang April 2015.
- harga tanah yang terlalu tinggi, meningkat 100-300% di lokasi-lokasi utama di Pulau.
- peningkatan yang mendadak dalam kos bahan binaan seperti simen, pasir, kayu, jentera dan lain- lain
- kenaikan bahan api dan tenaga
- kekurangan tenaga kerja di mana 90% daripada pekerja binaan sekarang adalah terdiri daripada warga asing
- peningkatan kos pematuhan seperti 3% daripada anggaran kos sebagai deposit untuk KPKT bagi mendapatkan lesen pemaju, kos-kos lain seperti sumbangan kos rendah, sumbangan tempat letak kereta, caj pembangunan juga telah meningkat sejak 3 hingga 5 tahun lepas
REHDA Penang telah menjelaskan kos pecahan pembinaan rumah adalah seperti di bawah :
Jumlah kos keseluruhan (100%)
- Pembinaan/ bahan 55-60%
- Kos tanah 20-25%
- Kos Pematuhan 12-15%
- Lain-lain (overhead, pemasaran dan lain- lain) 8-10%
10. Saya ingin menjawab fitnah jahat pihak pembangkang bahawa tambahan pendapatan Kerajaan Negeri untuk 2012 adalah datangnya daripada penjualan tanah dengan mengguna pakai prosedur perakaunan untuk mencantikkan lembaran kewangan. Ini adalah suatu fitnah jahat kerana Dato Pegawai Kewangan Negeri dan Jabatan Kewangan Negeri (JKN) tidak pernah terlibat dalam perakaunan kreatif yang mencantikkan akaun. Malah akaun diaudit dan disahkan oleh Ketua Audit Negara. Lagipun JKN dianugerahkan 4 bintang berikutan prestasi terbaik yang telah ditonjolkan.
Daripada tambahan RM206 juta, hanya RM110 juta adalah hasil penjualan tanah Bayan Mutiara sedangkan bakinya adalah hasil daripada lanjutan pajakan tanah kepada 99 tahun. RM110 juta adalah 10% daripada bayaran RM1.1 bilion untuk 105 ekar di Bayan Mutiara, yang akan dibayar sepenuhnya dalam masa 5 tahun. Tanah dijual dengan tender terbuka secara kompetitif bukan seperti BN yang menjual tanah dengan harga yang murah kerana menggunakan pendekatan rundingan terus.
Itulah sebabnya BN telah menjual 3,661 ekar tanah tetapi hanya memperolehi RM1,059 juta berbanding dengan PR yang menjual hanya 106 ekar tanah tetapi Berjaya memperolehi RM1,110 juta. PR mendapat pulangan yang lebih meskipun menjual tanah 35 kali ganda lebih kecil!
Perbandingan Keluasan Dan Pulangan Hasil Penjualan Tanah Oleh Kerajaan BN Dan PR Di Pulau Pinang
Penjualan Tanah Oleh Kerajaan BN
| Land size | Location | RM psf | Total selling price |
| 980 acres | Tanjong Tokong | RM 1 psf | RM 42.7 million |
| 325 acres | Jelutong Expressway | RM 20 psf | RM 325 million |
| 750 acres | Batu Kawan ( sold to Abad Naluri) | RM3.24 psf | RM 106 million |
| 1606 acres | Butterworth (sold to Rayston Consortium Sdn Bhd) | RM 8.40 psf | RM584.9 million |
3661acres(Total) RM 1.0586 billion
Penjualan Tanah Oleh Kerajaan PR
| Land size | Location | RM psf | Total selling price |
| 1.1 acres | Jalan Zainal Abidin ( or Taman Manggis) | RM 232 psf | RM 10.2 million |
| 105 acres | Bayan Mutiara | RM 240 psf | RM 1.1 billion |
106.1acres(Total) RM 1.1102 billion
11. Berkaitan dengan pelancongan, Kerajaan Negeri sememangnya menyokong syor YB ADUN Jawi untuk melaksanakan lukisan mural di kawasan Seberang Perai kerana setiap kawasan mempunyai identiti yang tersendiri dan pelaksanaan lukisan mural hendaklah bersesuaian dengan identiti dan budaya masyarakat setempat. Bagi kawasan Seberang Perai pelaksanaan lukisan mural adalah tertakluk kepada keputusan pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
Kerajaan Negeri tetap akan membangunkan industri pembangunan di Seberang Perai dan akan menjadikannya sebagai salah satu tumpuan dalam cadangan menganjurkan Tahun Melawat Pulau Pinang pada 2015-2017 demi menyusuli usaha Tahun Melawat Malaysia 2014. Selain daripada projek infrastruktur yang giat dijalankan, kemudahan asas seperti Dewan Bankuet yang bertaraf dunia juga sedang dibina oleh PDC di Seberang Jaya serta mempelawa pengusaha membina satu taman bertema di Batu Kawan. Satu pengumuman penting akan dibuat pada bulan depan yang akan menjadi pemangkin pembangunan di Seberang Perai.
Ini memerlukan perancangan teratur dan pelaburan besar dalam infrastruktur asas untuk mewujudkan produk baru, acara baru dan pengalaman yang kekal abadi dalam minda pelancong. Selepas berbincang dengan sektor perhotelan, maka dicadangkan mengenakan fi kebenaran sebanyak RM2.00 bagi setiap malam di bilik penginapan di hotel yang bertaraf satu (1) hingga tiga (3) bintang, manakala fi kebenaran RM3.00 akan dikenakan bagi bilik penginapan di hotel yang bertaraf empat (4) bintang dan ke atas.
Kutipan fi kebenaran ini dikuatkuasakan mulai 1 Jun 2014, dan akan digunakan sebagai tabung dana dalam mempromosikan lagi aktiviti kebudayaan dan pelancongan Negeri Pulau Pinang. Satu jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan terdiri daripada sektor hotel dan penginapan bersama dengan Kerajaan Negeri akan menentukan jenis perbelanjaan ke atas kutipan fi kebenaran ini.
Kini, negeri Pulau Pinang berada dalam kedudukan ketiga tertinggi menerima jumlah kedatangan pelancong selepas Kuala Lumpur dan Pahang pada tahun ini. Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga mencatatkan peningkatan yang menggalakkan di antara yang tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 14% sehingga akhir bulan Oktober 2013 menjadikan jumlahnya adalah seramai 4.4 juta dan dijangka akan terus mencecah 5.5 juta pengguna pada keseluruhan tahun 2013.
Terminal Swettenham Pier Pulau Pinang merupakan salah satu pintu masuk ke negeri ini dengan jumlah kemasukan pelancong mencatatkan 102,249 orang pada tahun 2010 – meningkat sebanyak 18.8% pada tahun 2011 iaitu sebanyak 121,504 orang dan mengalami peningkatan yang agak tinggi pada tahun 2012 iaitu sebanyak 74.1% menjadikan jumlah pelancong yang masuk adalah seramai 211,554 orang. Menurut rekod yang diperolehi daripada Kementerian Pelancongan Malaysia, jumlah kapal yang tiba di Terminal Swettenham Pier Pulau Pinang juga turut meningkat iaitu sebanyak 78 buah pada tahun 2010, 132 buah pada tahun 2011 dan 139 buah pada tahun 2012. Kapal-kapal pelayaran mewah seperti Royal Carribean dan Carnival Australia telah merancang untuk melabuhkan kapal mereka di Terminal Swettenham Pier Pulau Pinang pada tahun 2014.
Oleh itu, Kerajaan Negeri berharap YB Menteri Dalam Negeri dapat meluluskan pemberian Visa semasa Ketibaan atau Visa On Arrival(VOA) untuk semua pelancong dari negara China dan India yang tiba di Pulau Pinang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang ataupun Terminal Swettenham Pier Pulau Pinang, yang diberikan kepada pintu masuk utama di negeri-negeri lain. Penubuhan Pejabat Konsulat-General Negara China dan Pemberian VOA ini kepada pelancong dari China dan India yang masuk ke negeri Pulau Pinang dapat membantu Pulau Pinang merancakkan sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Pulau Pinang pada 2015-2017.
12. Berkaitan dengan isu warisan, saya merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan YB Adun Air Itam di atas minat yang ditunjukkan untuk memelihara warisan di Negeri Pulau Pinang. Untuk makluman YB, Kerajaan Negeri melalui George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) telah menganjurkan program Festival George Town yang diraikan selama sebulan sempena penyenaraian George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada tahun 2008. Sejak daripada itu, pelbagai program menarik telah diatur dan dijalankan di bawah arahan Joe Sidek sejak tahun 2010.
Festival ini mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana pelbagai acara diadakan merangkumi seni – dari segi persembahan bertaraf antarabangsa merentasi kreativiti kebudayaan, tradisional dan kontempori serta pelbagai lagi. Festival ini menjadi platform terbaik untuk mempersembahkan seni dan kebudayaan Asia Tenggara – dengan tumpuan diberikan kepada perspektif George Town yang unik.
Festival ini menjadi acara terbesar di negeri ini dengan memberikan platform bagi penggiat seni, muzik, opera, teater, filem, fesyen dan kebudayaan sama ada tempatan mahupun luar negara untuk mempersembahkan keunikan landskap kebudayaan dan warisan dunia. Yang penting sekali, ia berjaya mempromosikan Pulau Pinang di pentas dunia sebagai hub budaya dan seni Malaysia sehingga terkenal di dunia dengan mural dinding oleh pelukis Lithuania Ernest Zacheveric.
Jumlah program yang dijalankan telah meningkat bagi setiap tahun. Pada tahun pertama iaitu tahun 2010, hanya 54 program sahaja telah dijalankan melibatkan 400 penyertaan. Manakala bagi tahun 2011, jumlah program yang dijalankan adalah sebanyak 85, diikuti tahun 2012 sebanyak 93 program melibatkan penyertaan 3013 dan yang terkini tahun 2013 adalah sebanyak 145 program melibatkan 3527 penyertaan.
Menurut ringkasan kewangan yang diperolehi daripada George Town Festival (GTF), rekod menunjukkan jumlah kos keseluruhan perbelanjaan sepanjang festival ini dijalankan selama sebulan bagi tahun 2008 adalah RM100,000, 2009 adalah RM200,000, 2010 adalah RM400,000, 2011 adalah sebanyak RM2.5 juta(kerajaan negeri RM2.25 juta), tahun 2012 adalah sebanyak RM2.8 juta(kerajaan negeri RM2.5 juta) dan tahun 2013 adalah sebanyak RM4.1juta (kerajaan negeri RM 3 juta).
Dari segi keuntungan yang diperolehi – pada tahun 2011, GTF mencatatkan keuntungan sebanyak RM42,582 manakala berlakunya defisit pada tahun 2012 iaitu sebanyak RM275,748 disebabkan oleh kekurangan penaja dan lebihan program yang telah dijalankan. Walau bagaimanapun, tahun seterusnya iaitu tahun 2013, GTF berjaya memperolehi keuntungan iaitu sebanyak RM318,814.
Kajian secara menyeluruh akan terus dijalankan bagi memastikan George Town Festival dapat dijalankan dengan jayanya setiap tahun. Walaupun mengalami defisit pada tahun 2012, jumlah pengunjung terus meningkat saban tahun. Pada tahun 2011 seramai 23,618 orang direkodkan mengunjungi festival ini, diikuti tahun 2012 seramai 55,110 orang dan tahun 2013 adalah seramai 87,840 orang.
Info berkaitan GTF melalui laman sesawang rasmi GTF http://www.georgetownfestival.com telah berjaya menarik pengunjung untuk melawatinya saban tahun . Pada tahun 2011, terdapat 1.37 juta pelawat, tahun 2012 sebanyak 5.13juta dan tahun 2013 sebanyak 5.23juta. Penganjuran festival ini bukan sahaja memberi impak positif terhadap sektor pelancongan, malah pihak perhotelan turut memperolehi pulangan sebanyak RM3.7 juta pada tahun ini.
George Town Festival 2014 akan kembali menemui orang ramai pada bulan Ogos tahun hadapan. Dan Kerajaan Negeri pasti dan yakin dengan kemampuan Joe Sidek sebagai Pengarah Festival ini, pelbagai strategi dan program akan terus direncanakan bagi menarik lebih ramai penyertaan dalam usaha mempersembahkan seni dan kebudayaan yang bertaraf antarabangsa.
13. Berkenaan cadangan oleh YB ADUN Permatang Pasir supaya projek arkeologi Guar Kepah perlu diteruskan untuk menjana ekonomi penduduk setempat, Kerajaan Negeri memang bersetuju untuk membangunkan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah yang diharapkan dapat menjadi satu produk “niche market” yang dapat menarik pelancong tempatan dan pelancong luar Negara.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah mengemukakan surat kepada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia pada 9 Mei 2012 dan diikuti surat kepada Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia pada 7 Oktober 2013 untuk mendapatkan peruntukan berjumlah RM3.9 juta bagi tujuan pembangunan Galeri Warisan Arkeologi Guar Kepah dan juga proses perundangan kerana kini penwartaan adalah di bawah Kerajaan Persekutuan. Walau bagaimanapun, tiada jawapan yang diterima sehingga kini dari pihak Kerajaan Persekutuan. Lanjutan itu, Kerajaan Negeri berharap pihak Kementerian akan mempertimbangkan permohonan Kerajaan Negeri atas dasar untuk kepentingan memulihara khazanah Negara.
Buat sementara waktu, Kerajaan negeri bercadang memagarkan keseluruhan kawasan berkeluasan 2.39 ekar. TOL yang diberikan oleh kerajaan lama untuk tujuan pertanian telahpun ditamatkan. Bagi memastikan kawasan yang dipagar kelak tidak mengakibatkan kerosakan kepada artifak yang terdapat di tapak berkenaan, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pakar dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM.
PENUTUP
Potensi yang ada pada Negeri Pulau Pinang ini bagaikan tepian yang tidak bersempadan. Kisah perjalanan Negeri Pulau Pinang merupakan satu kisah yang boleh dikatakan ajaib untuk difikirkan. Ini kerana Negeri Pulau Pinang mengalami transformasi yang sangat berbeza daripada Kerajaan Negeri yang terdahulu di mana kini Negeri Pulau Pinang berjaya mencapai letak duduknya sebagai watan perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. Namun, kita pasti akan jauh ketinggalan dan kalah dalam persaingan sekiranya kita sering terbelenggu oleh segala macam permasalahan serta perbalahan yang tiada penghujungnya. Ingatlah dunia pada hari ini tidak akan menunggu atau memperlahankan tempo perjalanannya yang kian pantas.
Sesungguhnya muafakat pembangunan dan pengagihan ini menuntut kerjasama yang jitu oleh semua Ahli Yang Berhormat dan semua golongan masyarakat demi kesejahteraan negeri yang kita cintai ini. Saya percaya segala perancangan dan hala tuju yang telah dibentangkan dan ditambah pula dengan sesi rundingan perbahasan yang telah berlangsung secara konstruktif memungkinkan Negeri Pulau Pinang mencapai matlamat menjadi negeri maju bertaraf antarabangsa dan pintar menjelang tahun 2020. Maka kita harus berwas-was ada mana-mana kelompok yang cuba memusnahkan segala perancangan dan pencapaian menerusi dasar jahat “pecah dan perintah” dengan memainkan sentimen perkauman dan ekstrimis.
Saya yakin usaha anasir-anasir jahat untuk memecahbelahkan rakyat Pulau Pinang tidak akan berjaya kerana tradisi, sejarah dan semangat harmoni serta keMalaysiaan memang jitu di kalangan rakyat majmuk Pulau Pinang yang terdedah ddengan dunia antarabangsa dan mesra dengan sifat diversity atau kepelbagaian selama 227 tahun ini. Semalam kerajaan negeri telah memberikan sumbangan RM300,000 kepada 10 anggota keselamatan daripada PDRM dan ATM yang terkorban mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu. Kehadiran YB Menteri Dalam Negeri dan komitmen beliau untuk bekerjasama dengan pihak kerajaan negeri membenteras jenayah dan mengekalkan keselamatan negara diharapkan boleh menjadi petunjuk pentingnya kita sama-sama membangunkan negara dan negeri demi kepentingan rakyat.
Marilah kita menuju ke Pulau Pinang yang bertaraf antarabangsa dan pintar yang membolehkan rakyat kita hidup dengan bersih, hijau, selamat dan sihat! Sekian, YB Tuan Speaker, saya mohon menyokong.
Terima kasih.