Selamat Petang dan Salam Sejahtera.
Terima kasih Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua kerana mengizinkan saya membuat penggulungan ke atas isu-isu yang dibangkitkan di bawah portfolio yang dipengerusikan oleh saya iaitu Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir. Saya percaya antara isu-isu yang dibangkitkan telah pun dijawab dalam sesi soal jawab ataupun oleh EXCO-EXCO yang telah membuat penggulungan atas isu-isu yang berkaitan dengan portfolio masing-masing jadi saya tidak mencadang untuk ulangi perkara-perkara yang sedemikian.
TEBATAN BANJIR
1. Projek Tebatan Banjir Sungai Pinang Fasa 3
Seperti mana yang telah dijanjikan, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan RM150 juta di bawah 2nd Rolling Plan, Rancangan Malaysia Ke-11. Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang dalam proses perlantikan kontraktor Design and Build. Proses ini dijangka akan siap pada bulan Ogos tahun ini. Kerajaan Negeri sememangnya mengambil berat tentang projek RTB ini. Untuk makluman Yang Berhormat – Yang Berhormat sekalian, Bengkel Value Assesment (VA) (Pengurusan nilai) sedang dijalankan sepanjang minggu ini bagi menyediakan cadangan skop-skop utama bagi Projek RTB ini. Skop-skop kerja RTB Sungai Pinang termasuk :-
i. Pelebaran dan pendalaman Sungai Pinang serta 6 cabang sungai;
ii. Meninggikan tebing Sungai Pinang;
iii. Pembinaan kolam takungan di Sungai Air Itam;
iv. Menaiktaraf 3 jambatan yang dikenalpasti rendah dan menghalang laluan air;
v. Membina river mouth barrage;
vi. Membina rumah pam;
vii. Menaiktaraf sistem saliran sediada; dan
viii. Memasang sistem scada info banjir.
RTB Sungai Pinang dijadualkan akan bermula pada suku pertama tahun 2018 dan Kerajaan Negeri berharap agar masalah banjir di kawasan Sungai Pinang dapat diatasi apabila projek siap sepenuhnya pada tahun 2020 kelak.
Pencemaran di Sungai Pinang
2. Sebagaimana Yang Berhormat Sungai Pinang sedia maklum, kebersihan Sungai adalah tanggungjawab semua, termasuk Kerajaan Negeri dan rakyat jelata. Walau bagaimanapun, pelbagai usaha telah dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi memulihara Sungai Pinang termasuk teknologi iQPR yang berjaya memulihkan kualiti air sungai Pinang berhampiri Kelas II. Selain daripada Sungai Pinang, sungai-sungai lain di Negeri Pulau Pinang juga diberi perhatian. Jawatankuasa Taskforce Pencemaran Sungai dan Laut Negeri Pulau Pinang telah menetapkan agar setiap daerah memilih satu sungai dijadikan sebagai sungai angkat untuk dipulihara. Sehubungan itu, Jawatankuasa Taskforce Pencemaran Sungai dan Laut Peringkat Daerah yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah, ahlinya terdiri daripada pelbagai agensi Kerajaan dan diurusetiakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah telah ditubuhkan. Antara usaha-usaha bagi menangani masalah pencemaran sungai adalah seperti berikut:-
i. Perlaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan kutipan sampah secara berkala;
ii. Pemasangan perangkap sampah di tempat-tempat yang kritikal oleh JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan;
iii. Tindakan penguatkuasaan dan penempatan semula pemilik struktur-struktur haram yang dibina di dalam rizab sungai;
iv. Pelaksanaan kempen kesedaran mengenai masalah pencemaran sungai kepada penduduk sekitar;
v. Penubuhan Jawatankuasa Taskforce Pencemaran Sungai dan Laut Negeri Pulau Pinang bagi mengenalpasti punca-punca pencemaran di sungai dan laut yang dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa MMK Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir; dan
vi. Penguatkuasaan melalui undang-undang Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 terhadap industri terutamanya kilang-kilang dan premis yang tertakluk di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar.
Berkenaan surat yang dihantar oleh YB ADUN Pulau Betong kepada PDTDBD tentang masalah air bertakung dan pembiakan jentik-jentik di Lot 103, Mukim E, Titi Teras, Balik Pulau.
3. Berdasarkan perbincangan Pejabat Daerah bersama MBPP, JPS dan JKR, penyelesaian terbaik bagi masalah ini adalah melalui pembinaan longkang konkrit. Walau bagaimanapun, pihak pemaju tidak bersetuju untuk membina longkang konkrit kerana syarat kelulusan Kebenaran Merancang adalah parit tanah. Untuk tujuan itu, PDT DBD telah memohon peruntukan daripada Jabatan Kewangan Negeri (JKN). Namun begitu, permohonan tidak dapat diluluskan kerana ianya melibatkan tanah persendirian. Lanjutan daripada itu, PDT telah memajukan perkara ini untuk pertimbangan semula syarat kebenaran Merancang yang dikeluarkan oleh MBPP.
Walau bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran sememangnya akan memberi pertimbangan sewajarnya permohonan menggunakan caruman perparitan yang dikemukakan oleh agensi-agensi pelaksana termasuk Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Barat Daya berdasarkan keutamaan bagi projek-projek tebatan banjir. Baikpun kerja-kerja naik taraf sistem perparitan atau kerja-kerja pengorekan / pendalaman sungai. Untuk makluman Yang Berhormat Pulau Betong, Kerajaan Negeri telah memperuntukan RM 42.8 juta untuk projek-projek tebatan banjir di Daerah Barat Daya pada tahun ini.
Banjir di Sungai Kechil
Yang Berhormat Sungai Acheh,
4. Kawasan Sungai Kechil merupakan kawasan kampung yang masih didominasi dengan aktiviti pertanian dan tidak banyak aktiviti pembangunan dijalankan seperti di kawasan perbandaran yang lain. Dengan ini, adalah tidak benar dakwaan bahawa masalah banjir yang berlaku di kawasan Sungai Kechil adalah berpunca daripada aktiviti pembangunan yang tidak terkawal.
Justeru itu, penyelesaian kepada masalah banjir kilat di Sg Kechil adalah dengan melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sg. Kechil. Untuk itu, Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengemukakan semula permohonan projek RTB Sungai Kechil melalui Bahagian Pengurusan Banjir JPS Malaysia dengan kos anggaran RM 12 juta sebagai projek baru di dalam Rolling Plan Ketiga Tahun 2018 setelah cadangan ini ditolak dalam Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-11. Permohonan ini sedang dalam semakan EPU (Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri).
Yang Berhormat Dato’ Yang Di-Pertua Dewan,
Projek ‘High Impacts’
5. Seperti mana yang telah dibentangkan dalam bajet 2017, Kerajaan Negeri telah mengenalpasti 9 Projek-projek Berimpak Tinggi (High Impact) dan memperuntukkan sejumlah RM 150 juta bagi tujuan tersebut. Daripada 9 projek tersebut, 5 projek akan tertumpu di beberapa kawasan “hotspot” banjir sekitar Daerah Seberang Perai Tengah, iaitu Alma, Bukit Tengah, Juru, Tanah Liat, Padang Lalang, Taman Mangga, Taman Impian dan Kebun Sireh. Manakala baki 4 projek pula tertumpu kepada Daerah Barat Daya dan Daerah Seberang Perai Utara dengan 1 projek di Mak Mandin, Daerah Seberang Perai Utara dan 3 projek lagi di Relau dan Bayan Lepas, Daerah Barat Daya.
Tender bagi Pra-Kelayakan projek ‘High Impacts’ yang melibatkan 6 tender akan diiklankan pada 25 Mei 2017 (Khamis) melalui akhbar-akhbar utama dan e-Perolehan Negeri dan akan ditutup pada 19 Jun 2017 (Isnin). Baki 2 tender akan dibuka secara berperingkat pada tahun hadapan.
Kerja-kerja fizikal bagi keenam-enam projek tersebut dijadualkan akan bermula pada bulan Oktober 2017 melibatkan anggaran peruntukan RM 132 juta.
Ahli-ahli Yang Berhormat,
Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bermula RMK-9 sehingga RMK-11
6. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke- 9 sehingga Rancangan Malaysia Ke-11. Namun, sekiranya ia diteliti, Negeri Pulau Pinang diluluskan peruntukan sejumlah RM305 juta, hanya 21.7% daripada jumlah peruntukan asal sebanyak RM1,407,209,672.00 (1.4 bilion). Perkara yang sama juga dapat diperhatikan semasa RMK-10 di mana daripada jumlah peruntukan asal RM 185,670,290.00, Kerajaan Negeri hanya menerima RM124,745,837.95, iaitu 67.2%.
Bagi Rancangan Tebatan Banjir Sungai Pinang, walaupun jumlah yang diluluskan adalah RM150juta, namun Negeri Pulau Pinang hanya menerima RM 1 juta sahaja pada tahun ini. Peruntukan yang selebihnya akan disalurkan secara berperingkat sehingga projek siap pada tahun 2020.
Yang Berhormat Dato’ Yang dipertua Dewan,
Yang Berhormat Paya Terubong, Yang Berhormat Bayan Lepas dan Yang Berhormat Pulau Betong telah membangkitkan isu banjir di kawasan masing-masing.
Kerajaan Negeri sesungguhnya prihatin dan memberi perhatian ke atas kawasan-kawasan yang disebut. Ini dapat dilihat daripada perlaksanaan projek high impact, di mana 3 projek adalah di Daerah Barat Daya, iaitu
- pembinaan rumah pam dan kerja menaiktaraf berkaitan di Sungai Relau, Bayan Baru;
- Projek Tebatan Banjir dan Kerja Menaiktaraf sistem Saliran Kawasan Sungai Tiram, Taman Iping; dan
- Kerja menaiktaraf Sistem Saliran Sungai Nipah di belakang Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.
Sejumlah RM38.2 juta telah diperuntukkan khas untuk ketiga-tiga projek ini.
Selain itu, JPS juga telah memohon peruntukan di bawah 3rd Rolling Plan, RMK-11 bagi Projek Tebatan banjir Sungai Teluk Kumbar dengan anggaran kos RM10 juta.
KESIMPULAN
Saya percaya, dengan kerjasama dan usaha dari semua pihak, masalah banjir di Negeri Pulau Pinang pasti dapat dikurangkan dan ditangani dengan pelaksanaan projek-projek tebatan banjir.
KERAJAAN TEMPATAN
YB ADUN KOMTAR
Adakah MBPP akan mengkaji kadar cukai pintu/taksiran yang lebih tinggi bagi rumah usang?
Untuk makluman Yang Berhormat, sebarang pelaksanaan cukai/taksiran ke atas bangunan (cukai pintu) atau tanah lapang adalah berlandaskan peruntukan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, Bahagian 1 Seksyen 2. Untuk makluman YB juga, kadar cukai pintu yang dikenakan ke atas bangunan adalah rendah berbanding cukai yang dikenakan ke atas tanah lapang.
Sebelum sesuatu cukai dikenakan ke atas rumah usang, MBPP akan menjalankan pemeriksaan dan penilaian ke atas struktur rumah tersebut. Sekiranya rumah tersebut tidak dapat diduduki (rosak sepenuhnya), maka cukai akan dikenakan ke atas tanah tersebut dan sebaliknya. Ini juga merupakan salah satu langkah yang diambil oleh pihak MBPP untuk menggalakkan pemilik-pemilik rumah usang membaikpulih bangunan tersebut.
Kes kelewatan naiktaraf jejantas octopus (Komtar). Kerajaan Negeri dicadangkan menubuhkan satu mekanisme memantau projek-projek CSR agar tiada masalah kelewatan pembinaan yang melibatkan projek-projek CSR samada ada daripada agensi kerajaan/swasta.
Mekanisma yang akan digunakan oleh Kerajaan Negeri bagi memantau projek CSR seperti Octopus adalah:
1. Mengadakan syarat-syarat tambahan dalam perjanjian di antara MBPP dan syarikat penaja projek CSR yang membolehkan tindakan-tindakan berikut diambil:
- Projek dibatalkan sekiranya kemajuan kerja di tapak adalah lembap dan tidak meyakinkan;
- Projek diambilalih oleh MBPP sekiranya berlaku kelewatan dan segala kos terlibat dituntut daripada syarikat penaja;
- Mengenakan denda sekiranya tempoh penyiapan projek tidak ditepati;
- Menyenaraihitamkan syarikat untuk projek-projek MBPP yang lain; dan
- Mengambil tindakan undang-undang.
2. Memastikan kerja-kerja pengesanan dan pengalihan utiliti dijalankan dengan segera oleh syarikat-syarikat utiliti.
3. Mengadakan jawatankuasa pemantau projek di mana pihak penaja dikehendaki memberi laporan berkala.
YB ADUN Pulau Betong
Adakah sebarang inisiatif Kerajaan Negeri untuk membeli atau JV bagi membaiki atau memelihara rumah-rumah usang?
Kerajaan Negeri tidak membeli mana-mana bangunan usang untuk dibaiki atau dipelihara. Walau bagaimanapun, terdapat bangunan usang milik Pihak Berkuasa Tempatan yang dibaikpulih dengan sendiri oleh MBPP dan MPSP atau dilaksanakan dengan kaedah usahasama bagi tujuan pajakan atau sewaan.
Selain itu, tindakan yang diambil oleh MBPP dan MPSP bagi menangani dan mengurangkan isu bangunan usang adalah:-
i. Mengeluarkan notis kacauganggu di bawah Sek 82, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan di bawah Sek 83, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kepada pemunya bangunan supaya berbuat sesuatu terhadap bangunan tersebut.
ii. Memagar bangunan yang usang dan berbahaya sebagai langkah lawalan ( jika tiada tindakan oleh pemunya).
iii. Mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik bangunan.
YB ADUN Pulau Tikus
Syor mewujudkan bengkel motosikal di setiap KADUN
Bagi kawasan MBPP, merujuk kepada Pelan Dasar Perancangan dan Kawalan Pemajuan Majlis, aktiviti bengkel membaiki motosikal hanya dibenarkan untuk beroperasi di dalam “Zon Industri” ataupun premis yang telah mendapat kelulusan kebenaran merancang untuk pemajuan industri.
Di bawah Draf Rancangan Tempatan Pulau Pinang (pulau) 2020, aktiviti motosikal telah dikenalpasti di bawah Kelas C5 (Bengkel Membaiki dan Servis Kenderaan). Untuk setiap KADUN, aktiviti ini dibenarkan untuk beroperasi di dalam 7 zon berikut:
i. Zon Perniagaan Tempatan;
ii. Zon Industri;
iii. Zon Pembangunan Bercampur Perniagaan dan Industri;
iv. Perkampungan Tradisional (dibenarkan bersyarat);
v. Perniagaan Sub Bandar (dibenarkan bersyarat);
vi. Perniagaan Utama (dibenarkan bersyarat);
vii. Perniagaan Kejiranan (dibenarkan bersyarat).
Manakala bagi kawasan MPSP, merujuk kepada manual Deraf Rancangan Tempatan aktiviti bengkel motosikal dan kederaan telah dikenalpasti supaya beroperasi di kawasan industri sahaja. Bagaimanapun, dengan mengambilkira faktor kebajikan masyarakat MPSP masih membenarkan aktiviti tersebut beroperasi di kawasan perniagaan dan dilesenkan secara tahunan. Tindakan ini adalah releven kerana pengguna perkhidmatan bengkel terutamanya motosikal boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut berdekatan dengan tempat tinggal mereka atau semasa kecemasan. Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat sebarang aduan kacau ganggu maka lesen aktiviti tersebut akan ditamatkan.
Apakah perancangan Kerajaan Negeri dalam pembangunan Pasar Awam Mount Erskirne?
Pada masa kini, Pasar Awam Mount Erskine masih dikekalkan sebagai Tapak Penjaja Sementara memandangkan tapak ini berada di atas tanah simpanan jalan untuk tujuan pelebaran jalan pada masa hadapan. Untuk makluman, terdapat satu pemajuan kediaman di kawasan berkenaan yang akan menyediakan petak penjaja bagi mengurangkan kesesakan di Tapak Penjaja Mount Erskine.
Satu kajian yang menyeluruh sedang diteliti bagi penyediaan kemudahan pasar bagi kegunaan penduduk di kawasan berkenaan memandangkan beberapa isu seperti isu tanah dan kajian trafik perlu diatasi dalam penyediaan kemudahan pasar.
YB ADUN Telok Ayer Tawar / YB ADUN Penanti
Jabatan Kerajaan melakukan pemantauan dan menggunakan teknologi seperti drone dalam pemantauan kawasan serta mengambil tindakan segera jika berlaku pencerobohan tanah/pengondolan bukit.
Bagaimanakah MBPP mengambil tindakan ke atas isu pencerobohan bukit. contohnya MBPP mengambil masa 2 tahun untuk menyiapkan kertas siasatan bagi sesuatu kes.
MBPP sebelum ini, menggunakan khidmat perunding/pembekal drone bagi memantau kawasan-kawasan tanah bukit yang sukar dipantau melalui darat dan melalui CCTV. Imej-imej gambar melalui drone yang dikesan yang disyaki terdapat penerokaan/penggondolan tanah bukit secara haram akan diambil tindakan awal secara pentadbiran sebelum notis-notis perundangan dikeluarkan.
MBPP sekarang telah memiliki peralatan drone sendiri dan sedang dalam tempoh memberi latihan teknikal kepada kakitangan yang terlibat dalam penggunaan drone.
Isu penerokaan/penggondolan bukit secara haram sentiasa diberi perhatian serius oleh MBPP dan penggunaan drone merupakan satu langkah membuktikan kesungguhan MBPP untuk mengawal, memantau dan memelihara tanah-tanah bukit yang merupakan aset penting kepada Pulau Pinang.
Disamping itu, MBPP juga sentiasa bekerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan dalam mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan penerokaan/penggondolan tanah bukit secara haram.
Manakala MPSP pula akan mempertimbangkan cadangan penggunaan teknologi seperti drone bagi tujuan pemantauan aktiviti pencerobohan tanah/penggodolan bukit.
Untuk makluman YB, antara faktor-faktor yang melambatkan tindakan pendakwaan adalah seperti berikut:
i) Laluan masuk ke lokasi kerja-kerja tanah yang diterokai tanpa kelulusan khususnya di kawasan bukit sukar dan berbahaya.
ii) Tindakan terhadap kerja-kerja penerokaan kawasan tanah bukit melibatkan tindakan bersama beberapa agensi kerajaan termasuk bagi mendapatkan status pemilikan tanah, nama dan alamat pemilik yang terkini dan pelan ukur sebagai dokumen wajib bagi dalam kertas siasatan.
iii) Kertas siasatan perlu teliti untuk memastikan semua dokumen sokongan lengkap untuk tidak menimbulkan keraguan.
Tindakan penguatkuasaan ke atas penerokaan secara haram adalah diberi perhatian dan keutamaan oleh MBPP. MBPP masa kini melantik Jurukur Tanah Berlesen sebagai salah satu langkah untuk mempercepatkan proses tindakan.
YB ADUN Penanti
Mengapakah PBT tidak memberikan secara percuma kos tukarguna bangunan kepada operator taska?
Untuk makluman YB, MBPP dalam garis panduan yang telah dikuatkuasakan pada 24 November 2016 telah memberikan kelulusan pengecualian kos tukarguna bangunan kepada pengusaha-pengusaha taksa yang dapat membuktikan bahawa aktiviti taska yang dijalankan adalah bukan bermotifkan keuntungan dan disahkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Walau bagaimanapun, MPSP pula masih dalam kajian untuk memberikan pengecualian kos tukarguna bangunan kepada pengusaha taska.
YB Permatang Berangan
Terdapat 13 premis judi di Tasek Gelugor yang berlindung di belakang di Pusat Hiburan Keluarga. Adakah MPSP membuat satu kajian terlebih dahulu sebelum keluarkan lesen Pusat Hiburan Keluarga? Dan apakah langkah-langkah KN dlm menagani isu ini.
Isu perjudian adalah dibawah bidang kuasa PDRM. Berhubung kajian sebelum pengeluaran lesen hiburan dikeluarkan, pihak Jabatan akan merujuk permohonan tersebut kepada pihak PDRM, Pejabat Daerah & Tanah, Pejabat Tenaga Kerja, Jabatan Kewangan Negeri dan BOMBA. Semua agensi ini akan memberikan maklum balas dan ulasan mengenai isu-isu berbangkit berkaitan permohonan tersebut sebelum sesuatu lesen diluluskan atau tidak.
Langkah-langkah Kerajaan Negeri dalam menangani isu ini adalah seperti berikut:
- Membenarkan pengeluaran dan pembaharuan lesen aktiviti mesin simulator di Pulau Pinang termasuk di luar kawasan pusat membeli belah, pasaraya dan hotel bagi tahun 2017. Mulai tahun 2018, aktiviti mesin simulator hanya dibenarkan di pusat beli belah, pasaraya dan hotel sahaja. Kerajaan Negeri akan mengkaji semula dasar ini pada akhir tahun 2018.
- Pembekuan ini melibatkan semua jenis mesin simulator kecuali claw toy atau hadiah mainan dan
- Kategori hotel yang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti mesin simulator diperincikan iaitu bagi hotel yang bertaraf sekurang-kurangnya 3 bintang. manakala bagi hotel 2 bintang dan ke bawah dan motel di premis rumah kedai tidak dibenarkan.
Tindakan kerakusan MPSP di Pasar Awam Tasek Gelugor. Adakah KN double std sebab tindakan selektif di kawasan tertentu? Pasar awam di Tasek Gelugor saiz 10×10 xpenuhi spec/lepas batuk ditangga.
Tiada tindakan pilih kasih diambil terhadap mana-mana penjaja di seluruh kawasan Seberang Perai. Petak dengan keluasan tersebut adalah mencukupi dan mematuhi syarat keluasan seperti dalam Garis Panduan Kemudahan Awam (Pasar Awam dan Pusat Penjaja). Saiz 10’ x 10’ adalah berdasarkan luas payung penjaja yang selalu digunakan.
Taman permainan di Taman Sepadu, tanah tidak rata dan mengakibatkan berlaku kolam air. Taman permainan ini perlu diselenggara bagi mengelak isu sosial lain seperti pusat pembiakan nyamuk.
Diantara tindakan yang akan diambil oleh MPSP bagi mengatasi masalah ini adalah dengan melaksanakan kerja-kerja menambun dan merata kawasan yang berlopak dan tidak rata. Perancangan bagi perlaksanaan kerja-kerja menimbun dan merata padang ini telah dirancang berdasarkan peruntukan di bawah Kontrak Perkhidmatan Penyelenggaraan Alat-Alat Permainan Dan Perabot Taman Untuk Tempoh 2 Tahun (4/2016 – 4/2018).
Perlaksanaan kerja ini dijangka dilaksanakan pada minggu ke-4 bulan Julai 2017. Lawatan tapak ke lokasi aduan dan semburan racun jentik-jentik akan dijalankan pada 24 Mei 2017.
Kenapa parkir di pasar Permatang Berangan dijadikan tempat petak peniaga?
Petak tambahan ini dibuat kerana memberikan peluang kepada peniaga kecil yang lain untuk berniaga di kawasan yang dibenarkan kerana tiada ruang lain yang lebih sesuai untuk dijadikan petak niaga kecuali petak parkir tersebut. Walaupun mereka ini diberi peluang berniaga dikawasan parkir ini, tiada barang niaga atau apa-apa struktur kekal dibenarkan dibina. Pada masa yang sama peniaga-peniaga ini juga boleh memohon bagi pengisian gerai atau kompleks makanan milik MPSP melalui temuduga yang dibuat pada setiap bulan.
PELAKSANAAN BANDAR PINTAR / DATA RAYA (BIG DATA) DI PULAU PINANG
Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 20 April 2016 dan disahkan pada 27 April 2016 telah bersetuju dengan Pelaksanaan Pulau Pinang menuju ke arah Bandar Pintar (Smart City) yang bersesuaian dengan situasi penyerapan teknologi setempat dan semasa. Terdapat tiga (3) asas pembentukan bagi merealisasikan Bandar Pintar iaitu infrastruktur, polisi dan data. Untuk makluman YB, Pulau Pinang telah menguatkuasakan penggunaan fiber secara berperingkat oleh semua syarikat telekomunikasi tanpa dimonopoli oleh mana-mana syarikat sepertimana keputusan MMK yang diluluskan pada 27 Mei 2015. Penyediaan inventori struktur telekomunikasi dan fiber secara digital (digital mapping) telah siap sepenuhnya dan kini sentiasa dikemaskini dari masa ke semasa. Kini, terdapat 300km jaringan fiber dan 930 struktur menara telekomunikasi yang sah di seluruh Negeri Pulau Pinang. Non Disclosure Agreement Fiber Forward Penang Initiative juga telah ditandatangani oleh semua Ahli Majlis Telekomunikasi Negeri (PCC) pada 2 Oktober 2015 bagi tujuan perkongsian inventori fiber di Pulau Pinang.
Sehubungan itu, Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif mewujudkan Pelan Pelaksanaan Data Raya Pentadbiran Negeri yang diluluskan di Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu eGood Governance (eGG) Bil 4/2017 pada 13 Disember 2016. Penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Data Negeri telah ditubuhkan pada 23 Januari 2017 yang dikendalikan oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Polisi Data Negeri Pulau Pinang mengenai Data Terbuka dan perkongsian data di peringkat negeri akan dilaksanakan pada suku tahun ketiga 2017. Terdapat dua (2) Projek Analitis Data Raya Fasa 1 bagi tempoh 2017/2018 diterajui oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang mengendalikan Projek Perintis Pengurusan Lalu Lintas manakala Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengendalikan Projek Perintis Pengurusan Sisa Pepejal.
Bagi memastikan kesinambungan pelaksanaan inisiatif bandar pintar, Kerajaan Negeri turut menubuhkan Unit Telekomunikasi Bandar Pintar di Bahagian Kerajaan Tempatan pada bulan Oktober 2016 bagi tujuan mengawalselia dan menyelaras segala pelaksanaan pengurusan dasar dan polisi Kerajaan Negeri berkaitan pengurusan telekomunikasi negeri termasuk Projek Pelaksanaan Pulau Pinang Menuju ke arah Bandar Pintar dikedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan penubuhan satu Unit Analitis Data Raya di BTMKN pada suku pertama tahun 2018 bagi memastikan pelaksanaan inisiatif data raya secara menyeluruh di agensi Kerajaan Negeri.
DASAR PENGASINGAN SISA DI PUNCA
Untuk makluman Yang Behormat semua, Pelaksanaan Dasar Pengasingan Sisa Di punca meliputi 3 fasa iaitu Fasa 1 adalah tempoh sebelum 1 Jun 2017, Fasa 2 dari 1 Jun 2017 – 1 Jun 2019 dan Fasa 3 adalah tempoh selepas 1 Jun 2019.
Fasa 1 dasar ini meliputi engagement dengan pelbagai stakeholders seperti Persatuan Penduduk, JKKK, Persatuan Hotel, Pasaraya, Federation of Malaysian Manufacturers, dalam penyediaan mekanisme kutipan untuk 8 punca yang dikenal pasti. Dasar Pengasingan Sisa Di Punca dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri diseluruh negeri mulai 1 Jun 2016. Pemilik/penghuni setiap premis diwajib mengasingkan sisa di premis masing-masing dengan kaedah yang paling mudah melalui minima 2 aliran; sisa baki dan sisa kitar semula. Bagi menyokong dasar ini satu Undang-undang Kecil Pengasingan Sampah dan Pelesenan Perkhidmatan Sampah Yang Boleh Di Kitar Semula (MBPP/MPSP) 2016 digubal dan diwartakan pada 1 Jun 2016. Undang-undang Kecil ini memperuntukan mahkamah mengenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau 1 tahun penjara atau kedua-duanya kepada sesiapa yang didapati bersalah di bawah Undang-undang Kecil ini. Walau bagaimanapun, kesalahan tersebut boleh diberikan kompaun oleh Pihak Berkuasa Tempatan.
Dalam Fasa 1 dasar ini, tumpuan adalah community engagement dan pendidikan melalui dialog bersama Persatuan Penduduk, Joint Management Body, JKKK dan semua stakeholders supaya dasar mencapai kejayaan dan diterima umum. Walaupun dasar ini diterajui oleh MBPP dan MPSP, kerjasama dan komitmen ADUN, Ahli Majlis, pemimpin komuniti dan NGO adalah penting untuk mencapai kejayaan. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui Penang Green Council pada tahun 2016 juga telah mengadakan kempen rumah ke rumah melibatkan 4 kawasan yang meliputi 4,376 premis, manakala pada tahun 2017, 3 kawasan yang meliputi 1,391 premis. PGC juga telah menganjurkan 26 roadshow dan taklimat awam dalam tempoh ini. MBPP telah memberi sejumlah 288 taklimat dan pameran dan membantu dalam pelancaran dasar ini di 8 KADUN. MPSP pula telah memberi 115 taklimat dan pameran dan membantu dalam pelancaran dasar ini di 29 KADUN. Penang Woman’s Development Corporation (PWDC) telah melaksanakan dasar ini dengan jayanya dalam 2 projek melibatkan penduduk Rancangan Rumah Kos Rendah Kerajaan di Jalan Sungai di Bahagian Pulau dan penduduk Rancangan Rumah Kos Rendah Kerajaan di Ampang Jajar, Seberang Perai.
Dasar ini juga diiklankan di semua akbar utama termasuk Buletin Mutiara dan papan iklan di tempat-tempat strategik seluruh negeri. Disamping itu, MBPP dan MPSP telah mengedarkan risalah mengenai dasar ini kepada semua premis kediaman dan sektor komersil, manakala semua institusi termasuk pejabat dan jentera kerajaan, institusi pendidikan dan bank juga dimaklumkan kewajiban mengamalkan dasar ini.
Undang-undang Kecil ini memerlukan semua pemungut barang kitar semula di negeri Pulau Pinang dilesenkan supaya industri barang kitar semula diuruskan dengan cekap dan berkesan dan data kutipan barang kitar semula diperolehi dengan lebih tepat untuk perancangan masa hadapan.
MBPP dan MPSP telah memberikan notis ketidak patuhan dasar kepada penghuni-penghuni premis yang didapati tidak mengasingkan sisa pada awal tahun ini di beberapa kawasan terpilih sebagai tindakan awalan sebelum penguatkuasaan pada tarikh yang dijadualkan.
Dalam Fasa 2, Pihak Berkuasa Tempatan bersedia dan akan menguatkuasakan Undang-undang Kecil ini mulai 1 Jun 2017. Sukacita dimaklumkan bahawa kadar kitar semula negeri Pulau Pinang telah meningkat semenjak dasar ini dilaksanakan. Pada tahun 2014 kadar kitar semula negeri adalah 32.63% manakala pada tahun 2015 adalah 37.75. Kadar kitar semula negeri adalah 38% pada tahun 2016. Ini berbanding dengan kadar kitar semula kebangsaan yang mencatat 20.9% pada tahun 2016. Kadar kita semula kita merupakan kadar kitar semula yang tertinggi diantara negeri-negeri dalam Malaysia. Angka ini dijangka akan meningkatkan lagi apabila dasar ini dibudayakan dan menjadi satu amalan hidup harian penduduk negeri Pulau Pinang.
Fasa 3 meliputi pemantapan dasar dengan pengasingan lebih daripada 2 aliran. Sisa organik dari establishmen makanan dan sisa kebun akan diasingkan dan diproses sebagai baja dan lapisan permukaan untuk tujuan tanaman. Tumpuan tempoh ini juga diberikan kepada pengasingan sisa di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung dengan pelaksanaan 5 barisan Material Recovery Facility.
PENGURUSAN LALU LINTAS
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
YB Pulau Tikus membangkitkan isu tempat letak motosikal yang kurang diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri.
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa mengambilkira keperluan penyediaan tempat letak motosikal dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian kawasan dan aspek keselamatan. Sehubungan itu, sebanyak 10% daripada jumlah keseluruhan petak letak kereta di sesuatu kawasan akan disediakan untuk petak letak motosikal. Penyediaan tempat letak motosikal juga turut disyaratkan kepada pemajuan baru.
PENGGUNAAN PENGANGKUTAN AWAM DI KAWASAN FTZ
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
YB Batu Uban telah mencadangkan agar pengusaha-pengusaha di kawasan FTZ untuk menggalakkan pekerja-pekerja menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.
Seperti YB Dato’ Speaker dan Ahli-ahli Yang Berhormat lain sedia maklum, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program Bridge Express Shuttle Transit (BEST) FTZ khusus bagi pekerja-pekerja di kawasan FTZ dari kawasan Seberang Perai ke tempat kerja. Kini, sebanyak 10 buah bas disediakan dengan tambahan empat (4) buah bas feeder. Kesemua bas ini dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Kerajaan Negeri. Penumpang hanya perlu membayar pass bulanan berjumlah RM60.00 sebulan dan mereka dapat menikmati perkhidmatan ini setiap hari bekerja. Dianggarkan jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan ini mencecah 900 orang bagi dua (2) hala.
Pengusaha-pengusaha kilang juga turut menyediakan kemudahan pengangkutan bas kilang bagi tujuan mengangkut pekerja ke kawasan FTZ. Walaubagaimanapun masih terdapat pekerja gred eksekutif yang bekerja secara fleksibel (flexible working hours) yang menggunakan kenderaan persendirian ke tempat kerja. Kerajaan Negeri yakin pengusaha-pengusaha di kawasan FTZ sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri dalam menggalakkan penggunaan pengangkutan awam bagi tujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.
LALUAN BASIKAL KHAS (DEDICATED BICYCLE LANE)
YB Tanjong Bungah telah menyeru agar Kerajaan Negeri menyediakan dedicated bicycle lane di kawasan Seberang Perai, di seluruh Bahagian Pulau dan di atas Bukit Bendera.
Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih dan sangat berbesar hati dengan seruan ini. Seperti Yang Berhormat-Yang Berhormat sedia maklum, satu rangkaian laluan khas basikal sedang disediakan di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Negeri.
Laluan khas basikal pada mulanya diadakan bagi tujuan rekreasi. Namun, setelah penelitian dilakukan melalui pelaksanaan laluan khas basikal , Kerajaan Negeri sedar laluan khas basikal ini boleh ditingkatkan bagi tujuan ‘first and last mile connectivity’.
Setakat ini, MBPP sedang berusaha menyiapkan 173.8km laluan basikal di Bahagian Pulau. Projek-projek pembinaan laluan basikal yang sedang dijalankan adalah:
(i) Jejantas basikal dan pejalan kaki merentangi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu serta Jambatan Basikal merentangi Sungai Ara dan Sungai Nibong
(ii) Laluan basikal dari Tanjong Tokong ke Padang Kota Lama
(iii) Laluan basikal dari Queensbay ke Bayan Baru
Manakala di MPSP, panjang laluan basikal yang sedang disiapkan adalah berjumlah 171km yang merangkumi seluruh kawasan Seberang Perai.
(MAKLUMAT TAMBAHAN)
MBPP – Kos yang telah dibelanjakan RM18.4 Juta dan projek yang sedang dijalankan adalah RM16.4 Juta.
Bagi cadangan laluan khas basikal di atas Bukit Bendera, cadangan ini disambut baik oleh Kerajaan Negeri. Namun, perkara ini perlu diteliti dan kajian lanjut perlu dilaksanakan bagi melihat kepada kebolehlaksanaan laluan khas basikal khas di atas Bukit Bendera.
STATUS PELAKSANAAN PELAN INDUK PENGANGKUTAN PULAU PINANG
Untuk makluman Yang Behormat sekalian, status terkini pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) ataupun PTMP – Penang Transport Master Plan adalah ;
Dua (2) kelulusan wajib yang diperlukan untuk melaksanakan Projek Bayan Lepas Light Rail Transit (LRT) adalah Laporan ‘Environmental Impact Assessment (EIA) dan Laporan Skim Rail. Penyediaan laporan EIA kini di peringkat akhir dan dijangka akan dikemukakan kepada Jabatan Alam Sekitar untuk pertimbangan pada penghujung bulan Mei 2017. Manakala laporan Skim Rail (Rail Scheme) telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 29 Mac 2016 dan masih dalam penelitian pihak SPAD. SPAD kini dalam proses penyediaan Pelan Induk Pengangkutan Wilayah Utara yang dijangka akan siap pertengahan tahun 2018. Justeru, kelulusan Skim Rail ini tertakluk kepada penyiapan Pelan Induk Pengangkutan Wilayah Utara ini.
STATUS PELAKSANAAN PENANG SOUTH RECLAMATION (PSR)
PSR merupakan Projek Transformasi Ekonomi Kerajaan Negeri jangka masa panjang bagi memperkembangkan hab perkhidmatan dan pembuatan antarabangsa yang lestari di Negeri Pulau Pinang. Dengan adanya tanah baru yang ditambak seluas 4500 ekar (merangkumi tiga (3) pulau dikawasan selatan bahagian pulau), Pelan induk komprehensif ini mampu menarik pelabur asing dan memacu kedinamikan ekonomi Pulau Pinang. Di samping itu, Kerajaan Negeri dapat menyediakan rumah mampu milik berkualiti di lokasi-lokasi strategik yang melibatkan jaringan pengangkutan awam dan mewujudkan sebuah bandar pintar yang mampan. Status terkini pelaksanaan PSR adalah Laporan DEIA telah dikemukakan pada 28 April 2017 dan kini dalam proses pertimbangan Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS). Untuk makluman Laporan EIA Jadual Kedua ini sedang dipamerkan kepada pihak awam di 12 lokasi iaitu :
1) Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur
2) Perpustakaan Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya
3) Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang
4) KOMTAR, Tingkat 3
5) Dewan Bandaran, MBPP
6) MPSP
7) Pejabat Daerah dan Tanah, SPS
8) Balai Polis Teluk Kumbar
9) PPSN Gertak Sanggul
10) PPSN Permatang Damar Laut
11) Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang
12) Jabatan Alam Sekitar cawangan Bayan Lepas
Pemberitahuan awam telah mula disiarkan melalui empat (4) akhbar iaitu; The Star, Berita Harian, Kwong Wah Yit Poh dan Malaysian Nanban mulai hari ini iaitu 24 Mei 2017 sehingga 26 Mei 2017. Orang awam boleh menyemak Laporan EIA tersebut mulai 24 Mei 2017 hingga 23 Jun 2017 pada waktu pejabat (8 pagi – 5 petang) di semua 12 lokasi dan boleh mengemukakan ulasan bertulis kepada Jabatan Alam Sekitar sebelum 7 Julai 2017. Orang awam juga boleh membeli satu set laporan EIA yang merangkumi tiga (3) Jilid daripada perunding iaitu Dr Nik Associates Sdn. Bhd. serta boleh melayari laman sesewang Jabatan Alam Sekitar, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan perunding. Sesalinan notis pemberitahuan akan diedarkan kepada Yang Berhormat sebentar lagi.
Merujuk kepada soalan YB Tanjung Bungah mengenai potensi adanya petroleum di kawasan tambakan PSR, berdasarkan kajian National Oil And Gas Industries Body yang diterbitkan oleh Malaysian Oil And Gas Services Council yang dikongsi bersama dalam 12th Asian Oil, Gas And Petrol Chemical Engineering Exhibition (OGA 2009) adalah didapati tiada sumber petroleum dan gas di perairan Pulau Pinang. Sesalinan lampiran peta Petroleum dan Gas akan diedarkan kepada Yang Berhormat selepas ini.
PENUTUP
Yang Berhormat Dato’ Speaker,
Pembangunan mampan sesebuah negeri bergantung kepada sesuatu pelan perancangan yang sistematik dan realistik tidak kira pelan pengangkutan mahupun pelan tebatan banjir. Ia memberi impak besar kepada kadar pertumbuhan ekonomi, liveability dan sustainability sesuatu bandar.
Oleh itu, saya ingin menegaskan bahawa sesuatu pelan perancangan tersebut bukan sahaja perlu lebih murah dan cepat, tetapi lebih penting agar pelan tersebut adalah reliable, sustainable dan feasible. Saya akhiri ucapan penggulungan saya dengan serangkap pantun:
Pulau Mutiara pulau dirahmati,
Terus menerus dilimpahi kurnia,
Perancangan cekap, telus dan akauntabiliti,
Agar Pulau Pinang kekal cemerlang di persada dunia.
Pulau Pinang Pulau Mutiara,
Semakin terkenal di persada dunia,
Frasa I LOVE PENANG semakin diperkata,
Semoga Pulau Pinang kekal aman sejahtera.
Sekian, terima kasih.