PENGENALAN
Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, di atas keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun terhadap keperluan rakyat dan pembangunan negeri Pulau Pinang. Ini jelas digambarkan melalui ucapan dasar Tuan Yang Terutama Tun semasa perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-13 pada 19 Mei 2017 yang lalu.
Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada Tuan Yang Terutama Tun di atas pelantikan sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang buat kali yang ketujuh. Seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa diberi kesejahteraan, dipanjangkan umur dan mendapat keberkatan serta kerahmatan untuk terus memegang tampuk kepimpinan tertinggi Negeri Pulau Pinang.
Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah menunjukkan kesungguhan dengan mengambil bahagian dalam sesi perbahasan pada dewan kali ini, khususnya yang membabitkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa portfolio Jawatankuasa MMK yang saya pengerusikan. Terdapat banyak perkara yang telah ditimbulkan semasa perbahasan dan Kerajaan Negeri akan memberi perhatian sewajarnya terhadap semua teguran dan berusaha melaksanakan cadangan yang sesuai yang telah dikemukakan. Walau bagaimanapun, semua pihak harus memberikan kerjasama tanpa mengira apa-apa perbezaan pandangan demi memastikan negeri Pulau Pinang terus maju dan berdaya saing berlandaskan urus tadbir yang Cekap, Akauntabiliti dan Telus.
Sektor pembuatan melihatkan prospek yang menggalakkan apabila sektor elektronik global mencatatkan pertumbuhan 18.8% pada bulan Mac 2017 kepada USD30.9 bilion, iaitu pertumbuhan bulan Mac yang paling besar dalam sejarah elektronik. Adalah diharapkan prospek baik ini akan membawa kesan positif kepada sektor elektronik di Pulau Pinang. Tumpuan pelaburan kini disasarkan kepada sektor yang terlibat dalam industri 4.0 yang berkaitan dengan data, internet, cloud computing dan Internet of Things. Luxoft, syarikat Swiss yang merupakan kedua terbesar di dunia dalam software solution automobil melabur RM235 juta dan mewujudkan lebih 500 peluang pekerjaan bernilai tinggi dan sebuah syarikat elektronik besar global akan melabur untuk R&D di Pulau Pinang yang diharapkan dapat diumumkan pada akhir tahun ini.
Dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan dan kebajikan, Kerajaan Negeri memberi penekanan kepada sektor pembuatan dan perkhidmatan. Sektor perkhidmatan merangkumi pelancongan, termasuk pelancongan perubatan. Pulau Pinang memainkan peranan utama dengan menguasai 42.75% daripada nilai pulangan sebanyak RM390,694,625 daripada keseluruhan RM914,000,000 pada 2015 berbanding dengan RM368,973,381 daripada keseluruhan RM777,000,000 pada 2014 (47.49%). Pulau Pinang mencatatkan peningkatan hasil daripada sektor perubatan sebanyak 5.55% pada tahun 2015 berbanding tahun 2014. Sungguhpun Pulau Pinang masih nombor satu di Malaysia, ia jauh berbeza daripada kedudukan dua pertiga (2/3) daripada keseluruhan pelancongan perubatan 15 tahun dahulu.
Demi mengembalikan kegemilangan lama, maka adalah perlu Pulau Pinang menjadi Bandaraya Perubatan. Cadangan mendirikan hospital swasta yang paling besar di Malaysia sebanyak 1,000 buah katil dengan pelaburan RM2 bilion sangat sesuai dan sejajar dengan usaha dan cita-cita melayakkan Pulau Pinang sebagai Bandaraya Perubatan. –
ISU PENJUALAN TANAH KEPADA ISLAND HOSPITAL
Berkenaan isu penjualan 6.4 ekar tanah di Lebuh Peel kepada Island Hospital Group, Kerajaan Negeri telah menerima satu cadangan pelaburan dari pelabur dari luar negara yang berhasrat untuk mengembangkan industri perubatan dan kesihatan di Pulau Pinang pada tahun 2015.
Secara prinsip Kerajaan Negeri telah menyambut baik cadangan tersebut dan Kerajaan Negeri bersetuju untuk mempertimbangkan cadangan tersebut. Pihak Island Hospital Sdn. Bhd. telah mengemukakan permohonan pemberimilikan bagi tanah Lot 1449, Seksyen 4, Daerah Timur Laut (DTL), Pulau Pinang yang berkeluasan 6.443 ekar pada 11 Ogos 2015. Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Timur Laut telah memohon nilaian terkini tanah daripada Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH) melalui surat bertarikh 27 Ogos 2015.
JPPH telah memaklumkan melalui surat bertarikh 13 Oktober 2015 bahawa nilaian bagi tapak tersebut adalah berjumlah RM156 juta untuk tanah kekal dan RM148 juta untuk tanah pajakan selama 99 tahun. Tanah ini merupakan tapak depoh kenderaan dan terdapat 4 bangunan kuarters Kerajaan Negeri yang kosong. Permohonan pemberimilikan bagi tapak ini telah diluluskan pada 16 Disember 2015 kepada Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) untuk memudahcara transaksi tersebut. Kerajaan Negeri telah mengemukakan surat tawaran pada 12 Julai 2016 kepada Island Hospital Sdn. Bhd. yang memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri bersetuju secara prinsip. Perjanjian Penjualan dan Pembangunan tanah tersebut diantara CMI dan Island Hospital Sdn. Bhd. telah dimeterai pada 19 Disember 2016.
Selaras dengan persoalan YB Adun Telok Air Tawar, penjualan tanah ini kepada Island Hospital Sdn. Bhd. dengan nilai RM156 juta adalah merujuk kepada nilaian tanah yang telah dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan dan Penilaian Harta (JPPH) berdasarkan surat pada 13 Oktober 2015 yang masih sah dalam tempoh setahun semasa surat tawaran dikemukakan. Untuk makluman YB, kadar nilaian RM156 juta (tanah freehold) yang dikenakan kepada IHSB untuk tanah pajakan 99 tahun adalah melebihi kadar yang disyorkan oleh JPPH iaitu RM148 juta. Ini bermakna harga yang dikenakan adalah untuk tanah freehold manakala Island Hospital Sdn. Bhd membeli tanah tersebut dalam pegangan pajakan 99 tahun. Oleh itu, harga jualan bukan lebih rendah daripada harga pasaran tetapi melebihi harga pasaran yang dianggarkan oleh JPPH.
Pihak Island Hospital Sdn. Bhd. telah mengemukakan pelan / permohonan seperti berikut bagi tujuan pembangunan ‘Island Medical City’ :
(i) Permohonan Kebenaran Merancang Untuk Merobohkan Bangunan Sediada pada 14 Mac 2017;
(ii) Permohonan Perlingkungan Semula pada 24 Mac 2017;
(iii) Permohonan Peningkatan Densiti & Nisbah Plot pada 3 April 2017;
(iv) Permohonan untuk menjalankan kerja-kerja penanaman cerucuk cubaan pada 18 April 2017; dan
(v) Permohonan untuk menjalankan kerja-kerja penyiasatan tapak pada 18 April 2017.
Kerajaan Negeri dimaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia tidak akan mengeluarkan sebarang lesen bagi pembinaan hospital swasta yang baru. Walau bagaimanapun, pihak hospital boleh membuat penambahan bangunan kepada hospital sedia ada dengan syarat bangunan baru tersebut mempunyai penghubung secara fizikal dan pentadbiran dengan bangunan hospital sedia ada. Kini, Island Hospital masih menunggu kelulusan mutakhir pihak Kementerian.
Untuk makluman YB, cadangan pembangunan bagi projek ‘Island Medical City’ dengan anggaran kos pembangunan berjumlah RM2 bilion melibatkan 3 komponen seperti berikut :
(i) Bangunan Hospital
Pembangunan hospital akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 4.481 ekar (selepas ditolak penyerahan tanah untuk rezab jalan). Hospital dengan ketinggian 12 tingkat dan kapasiti sebanyak 300 unit katil akan dibangunkan (dalam Fasa 1 pembangunan) dalam tempoh masa 3 tahun. Manakala bagi Fasa 2 (perancangan pembangunan jangka masa panjang) dianggarkan dapat menyediakan tambahan katil sebayak 400 unit. Bangunan baru ini akan menyediakan kemudahan/fasiliti perubatan yang tercanggih dan terbesar di Negeri Pulau Pinang. Selain itu juga, akan turut menyediakan kemudahan teknologi perubatan yang terbaharu dalam bidang onkologi, ortopedik, neurosains dan juga geriatrik akan dapat memenuhi keperluan semua.
(ii) Bangunan Suite Perubatan
Pembinaan Bangunan Suite Perubatan akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 1.517 ekar (selepas ditolak penyerahan tanah untuk rezab jalan) dengan ketinggian 36 tingkat. Bangunan Suite Perubatan ini akan menyediakan 380 klinik bagi pakar-pakar perubatan dalam industri perubatan dan kesihatan dalam dan luar negara.
(iii) Bangunan Hotel untuk Pelancongan Perubatan
Pembangunan Bangunan Hotel untuk Pelancongan Perubatan akan dibangunkan di atas tanah berkeluasaan 0.966 ekar (selepas ditolak penyerahan tanah untuk rezab jalan) dengan ketinggian 33 tingkat. Hotel yang akan dibangunkan adalah bertaraf 4 bintang dan terdiri daripada 440 bilik.
Konsep pembangunan yang akan dilaksanakan oleh Island Hospital Sdn. Bhd. adalah pembangungan secara bersepadu yang mana ianya adalah yang pertama di Malaysia. Ia akan mewujudkan 2000 peluang pekerjaan bernilai tinggi dan menjana nilai ekonomi sebanyak RM7 bilion. Ia sedikit sebanyak dapat menggalakkan aliran kembali bakat-bakat terkenal ke Malaysia, khususnya pakar, doktor, jururawat dan pekerja perubatan supaya tidak perlu berhijrah ke negara asing.
Menjawab kepada kenyataan YB Telok Ayer Tawar bahawa tanah tersebut telah dipindahmilik kepada Island Hospital Sdn. Bhd. walaupun bayaran yang dijelaskan hanyalah RM31 juta iaitu 20% daripada harga tanah tersebut. Saya ingin membuat penjelasan bahawa tanah tersebut masih milikan CMI. Pindahmilik tanah tersebut hanya akan dilakukan selepas pihak Island Hospital Sdn. Bhd mendapat lesen / permit dan kelulusan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia bagi pembinaan bangunan baru tersebut. Manakala baki bayaran 80% kepada Kerajaan Negeri perlu dijelaskan dalam 2 bayaran iaitu 40% dalam tempoh masa 14 hari selepas kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dan baki 40% dalam tempoh 3 bulan dari tarikh kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia. Tanah tersebut hanya akan dipindahmilik setelah semua bayaran telah diselesaikan. Dan ianya harus dijelaskan dalam tempoh masa 24 bulan dari tarikh perjanjian atau yang mana lebih awal. Ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri mengamalkan amalan CAT iatu cekap dalam rundingan, akauntabiliti dan telus dalam kelulusan.
Menjawab kepada soalan yang dibangkitkan oleh YB Pulau Tikus, Pihak Island Hospital Sdn Bhd. Turut menyatakan persetujuan mengenai cadangan untuk membiayai kos perubatan bagi pesakit tempatan. Pembiayaian tersebut akan dilaksanakan seperti berikut :
(i) Program dan aktiviti kesihatan percuma;
(ii) Program dan aktiviti promosi gaya hidup sihat;
(iii) Diskaun bagi golongan kurang mampu; dan
(iv) Penganjuran aktiviti ceramah oleh pakar perubatan.
Cadangan dana khas akan dibincangkan lebih lanjut dengan pihak Island Hospital Sdn. Bhd kelak.
Pelaburan RM2 bilion ini berpotensi menjadi economic game-changer dengan membawa industri perubatan pelancongan kepada tahap yang lebih tinggi. Itulah sebabnya tender terbuka tidak dijalankan. Pelaburan RM2 bilion membina hospital swasta terbesar sebanyak 1000 buah katil dan menjana 2000 peluang pekerjaan serta menjana nilai ekonomi sebanyak RM7 bilion adalah penting. Ia telah menarik minat 2 buah hospital swasta baru lagi yang ingin melabur di Pulau Pinang. Dengan hospital swasta yang bertambah akan juga memperbanyakkan persaingan di kalangan mereka yang akan membawa manfaat kemudian dalam bentuk mutu rawatan yang lebih baik dan juga kos perubatan yang lebih rendah. Sama seperti IKEA yang akan menjadi economic game-changer untuk Pulau Pinang juga tidak ditawarkan secara tender terbuka. IKEA tidak akan datang ke Pulau Pinang sekiranya diminta untuk menyertai tender terbuka. Pulau Pinang bangga dengan kedudukannya sebagai negeri yang mengamalkan tender terbuka. Daripada projek-projek bernilai hampir RM38 bilion yang diberikan sejak tahun 2008, hampir 99% adalah secara tender terbuka. Mengapakah bila hanya 1% daripada nilai projek tidak diberikan secara tender terbuka tetapi untuk menarik pelaburan penting dan berjenama seperti IKEA dan Island Hospital dipersoalkan? Malah Pulau Pinang bangga menjadi satu-satunya negeri di Malaysia yang dipuji oleh Transparency International kerana mengamalkan tender terbuka.
Laporan Ketua Audit Negara Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Negeri Pulau Pinang Tahun 2015, menyatakan prestasi pencapaian perbelanjaan projek-projek di bawah rancangan pembangunan kerajaan negeri bagi tempoh 2011 hingga 2015 yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri secara keseluruhannya berjumlah RM 951.61 juta berbanding peruntukan yang dibajetkan sebanyak RM 1.72 bilion iaitu peratus perbelanjaan sebanyak 55.4 %. Laporan Ketua Audit Negara turut menyatakan prestasi pelaksanaan projek-projek di bawah rancangan pembangunan kerajaan negeri secara keseluruhannya adalah sangat baik kerana daripada 16,173 bilangan projek yang dirancang, sebanyak 16,126 projek atau 99.7% telah berjaya disiapkan.
Laporan ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Negeri berjaya melaksanakan projek-projek yang dirancang dengan jayanya walaupun dengan hanya membelanjakan 55.4% daripada peruntukan pembangunan yang dibajetkan. Penjimatan peruntukan ini adalah berikutan amalan perbelanjaan berhemat yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri dan pelaksanaan pengurusan nilai dalam pengurusan projek pembangunan, serta amalan tender terbuka dalam urusan perolehan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri. Ini membuktikan setiap perbelanjaan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri memberi ‘optimum value for money’.
PROJEK-PROJEK PEMBANGUNAN
Kerajaan Negeri juga berhasrat melaksanakan pembangunan seimbang di antara Pulau Pinang dan Seberang Perai. Sekiranya Pulau Pinang dahulunya dipinggirkan dan diabaikan, maka Kerajaan Negeri Pakatan cuba membetulkannya dengan memberikan tumpuan yang lebih. Sebanyak 77% daripada peruntukan yang sudah dibelanjakan adalah di Seberang Perai melibatkan Peruntukan Pembangunan Negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (PDC).
Peratusan perbelanjaan Pembangunan Negeri (JKR, JPS, MBPP dan MPSP), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang serta Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang bagi Pulau dan Seberang Perai untuk tempoh 2008 hingga 2016 adalah seperti berikut:
| No | Organisasi | Pulau | Seberang Perai | Keseluruhan |
| 1 | Pembangunan Negeri (JKR, JPS, MBPP & MPSP) | RM123,624,580.41 (40%) | RM182,045,529.59 (60%) | RM305,670,110.00 (100%) |
| 2 | Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang | RM173,000,000.00 (36%) | RM311,000,000.00 (64%) | RM484,000,000.00 (100%) |
| 3 | Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang | RM401,382,416.42 (18%) | RM1,886,100,423.97 (82%) | RM2,287,482,840.39 (100%) |
| Jumlah Keseluruhan | RM698,006,996.83 (23%) | RM2,379,145,953.56 (77%) | RM3,077,152,950.39 (100%) |
Yang paling menyerlah ialah KOMTAR yang hampir ditinggalkan apabila Kerajaan lama ini mahu berpindah ke Bayan Mutiara. Kerajaan Negeri telah membuat keputusan kekal dan berjaya menjalankan transformasi dengan mempelawa pelabur swasta OWG membelanjakan RM200 juta untuk mengubah KOMTAR baru yang kini tersergam indah.
Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga telah mentransformasikan projek gagal di bawah kerajaan lama dan kawasan-kawasan yang dahulunya “mati segan, hidup tak mau” seperti meremajakan semula PISA kepada projek RM750 juta SPICE iaitu pusat konvensyen bawah tanah (Subterranean) yang pertama terbesar di Asia dan juga pusat konvensyen pertama di dunia yang menggunakan tenaga solar. Projek ini melibatkan kos sebanyak RM350 juta (tidak termasuk pembinaan hotel). Merancakkan kembali Bandar George Town khususnya di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan pelbagai tarikan pelancong dan pembangunan semula Bukit Bendera dengan projek-projek baru seperti The Habitat yang kini bernilai hampir RM100 juta.
Selain daripada inisiatif pemuliharaan bangunan KOMTAR yang melibatkan pelaburan RM200 juta, prestasi Pulau Pinang yang memberangsangkan boleh juga dilihat melalui transformasi negeri yang dahulunya diiktirafkan sebagai negeri paling kotor di Malaysia kepada antara negeri paling hijau, selamat dan sihat. Kerajaan Negeri bukan sahaja telah membina jalan-jalan baru seperti Jalan Ahmad Nor di tengah bandar Pulau Pinang, Jalan Raja Uda di Butterworth dan Jalan Song Ban Keng di Bukit Mertajam. Malahan, Kerajaan Negeri juga berjaya mewujudkan projek-projek baru seperti IKEA dan Design Village di Batu Kawan, Dewan Serbaguna SP Arena di Seberang Perai, Pusat Sukan Renang di Relau, Dewan Orang Ramai di Ampang Jajar, projek pelancongan ESCAPE Theme Park dan Entopia yang akan dibina tidak lama lagi.
PELABURAN EMAS DAN BARANGAN KEMAS (GOLD AND JEWELLERY CLUSTER) DI TAMAN PERINDUSTRIAN BATU KAWAN (BKIP)
Kerajaan Negeri telah mengorak langkah ke satu tahap yang lebih tinggi apabila Pulau Pinang akan melaksanakan pelaburan emas dan barangan kemas tidak lama lagi. Pertumbuhan syarikat dalam industri emas dan barangan kemas akan memberi suatu lagi rangsangan kepada jenama ‘Powered in Penang’. 5 buah syarikat emas dan barangan kemas di bawah Penang Goldsmith Association (PGA) telah bersetuju untuk melabur sebanyak RM49.6 juta di tanah seluas 4.2 ekar di Taman Perindustrian Batu Kawan.
Sekurang-kurangnya 730 peluang pekerjaan dijangka dapat diwujudkan sebagai tambahan kepada 8,000 profesional dalam industri berkaitan buat masa ini. Kerja-kerja pembinaan akan dimulakan pada pertengahan tahun 2017 ataupun awal tahun 2018, bergantung kepada kelulusan daripada pihak berkuasa dan kemudahan dijangka siap dalam lingkungan 1 tahun. Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk melipatgandakan usaha dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan, sama ada industri tradisional atau perniagaan baru.
PENANG INTERNATIONAL TECHNOLOGY PARK (PITP)
Kerajaan Negeri sedang membangunkan satu projek usahasama di antara Temasek dan PDC di atas tanah seluas 213 ekar di Batu Kawan. Projek ini dijangka akan bernilai RM10 bilion apabila siap dan akan menampilkan dua taman teknologi canggih, unit kediaman dan komersil, pusat perubatan dan “green lung”.
Mengikut perancangan, projek PITP hanya akan dimulakan selepas projek BPO Prime di Bayan Lepas siap. Walau bagaimanapun, pada masa ini, projek BPO Prime yang bernilai RM1.3 bilion telah ditangguhkan atas faktor keadaan pasaran hartanah semasa yang kurang memuaskan. Tanah tersebut masih dimiliki oleh Kerajaan Negeri.
JETI TAMBAHAN NELAYAN CHANGKAT
Kerajaan Negeri ingin memperbetulkan stigma sesetengah pihak yang menyatakan bahawa golongan tertentu seperti para nelayan telah diabaikan oleh Kerajaan Negeri apabila pelbagai usaha telah dilakukan sejak 8 tahun yang lepas. Sebagai contoh dalam usaha untuk membantu para nelayan di negeri ini, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM379,846 untuk menurap jalan tar, menyediakan bekalan air bersih, menurap dataran letak kereta dan membina Jeti Tambahan Nelayan Changkat di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan (SPS).
Kerajaan Negeri berharap agar kemudahan-kemudahan ini dapat memberikan keselesaan kepada nelayan serta menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini. Kita jangkakan dalam masa beberapa tahun ini, jeti ini akan dikelilingi dengan rancangan pembangunan dan diharap dapat menjadi satu daya tarikan utama di negeri ini pada masa hadapan.
PERUNTUKAN PEMBANGUNAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM
Kerajaan Negeri bangga sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri ini, jumlah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam telah naik hampir 84% kepada RM457.05 juta untuk tempoh 2008-2016 berbanding RM249.09 juta pada tempoh yang sama iaitu tahun 1999-2007. Selain daripada itu, jumlah RM457 juta tidak mengambil kira sebidang tanah bernilai tinggi sebanyak RM80 juta di Jalan Scotland yang disediakan untuk pembinaan Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang. Kerajaan Negeri juga telah menaikkan peruntukan pembangunan sekolah-sekolah pendidikan Islam sebanyak RM57.64 juta sejak tahun 2008-2016 berbanding hanya RM20.11 juta oleh Kerajaan Negeri BN sebelum ini pada tahun 1999-2007.
Peningkatan bantuan ini sebenarnya telah menimbulkan kemarahan Pengerusi MCA Negeri Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng yang menuduh saya sebagai anti-Cina kerana kononnya meraih undi kaum Cina tetapi menaikkan peruntukan untuk membantu orang Melayu. Ingin saya tegaskan di sini, Kerajaan Negeri akan terus memberikan sumbangan tanpa mengambil peduli sikap cauvinis dan rasis daripada Barisan Nasional (BN) ini.
PENUTUP
Marilah rakyat Pulau Pinang yang budiman, kita berganding bahu untuk anak-anak kita, bersatu untuk masa depan mereka dan kita bertekad mengekalkan keamanan dan keharmonian agar mereka boleh hidup dengan bermaruah!
Sebelum saya mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua Ahli-AHli Yang Berhormat yang beragama Islam.
Sekian, Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya mohon menyokong.
Terima kasih.