elamat petang semua dan selamat datang ke majlis penutup Penang World Cleanup Day 2023.
Hari ini adalah hari yang luar biasa di mana kita menunjukkan komitmen yang teguh terhadap alam sekitar dan negeri tercinta kita, Pulau Pinang. Selaku Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Penang Green Council, saya berdiri di hadapan anda untuk menzahirkan penghargaan dan rasa kagum atas usaha luar biasa dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh setiap individu hari ini.
Hanya dalam beberapa jam pagi tadi, kita dapat menyaksikan satu gerakan perpaduan yang luar biasa. Para sukarelawan dari sektor industri dan korporat berkumpul di 5 buah lokasi di seluruh negeri kita. Berbekalkan tekad dan keinginan untuk melakukan perubahan, anda telah berjaya mengumpulkan sebanyak 374.30 kilogram sisa, dengan 78.16% dikategorikan sebagai sisa am dan 21.84% sebagai sisa yang boleh dikitar semula. Ini mencerminkan kekuatan tindakan bersama dan impak yang dapat kita capai apabila bekerja ke arah matlamat yang sama.
Kerjasama antara Penang Green Council dan Let’s Do It World, sebuah organisasi alam sekitar global pada Hari Pembersihan Sedunia ini menunjukkan bahawa usaha yang kolektif mampu memberikan capaian dan pengaruh yang besar di peringkat global. Kita adalah sebahagian daripada gerakan dunia yang bermula pada tahun 2018 dan telah berkembang untuk merangkumi 197 negara dan lebih daripada 71 juta sukarelawan. Hari ini, setiap daripada anda yang menyertai program ini juga turut menyumbang untuk meningkatkan kesedaran terhadap krisis sisa disalah urus secara global.
Walau bagaimanapun, kita masih belum menang. Malaysia telah menjadi tumpuan global dalam penghasilan dan penggunaan plastik sekali guna sejak tahun 2017, serta menjadi pengimport plastik terbesar di dunia. Kepesatan sektor pembuatan plastik di Malaysia sejak tahun 2000 telah menjadikan negara kita salah satu pengeluar plastik terbesar dengan lebih dari 1,300 pengeluar plastik. Secara purata, setiap warganerga Malaysia menjana 0.85kg ke 1.5kg sisa setiap hari, ia adalah satu angka yang membimbangkan dan perlu diberi perhatian segera.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berada di barisan hadapan dalam kempen untuk inisiatif hijau. Kita telah mengambil langkah proaktif dalam mempromosikan polisi dan amalan hijau. Antaranya seperti Agenda Hijau Pulau Pinang, Penang Renewable Energy & Energy Efficiency Taskforce (PREET), dan Dasar Pengasingan Sisa di Punca yang menjadi contoh sifat dedikasi kita untuk mencipta alam sekitar yang sejahtera.
Antara pencapaian yang dapat kita banggakan adalah menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan Hari Tanpa Beg Plastik Percuma pada 2009, diikuti dengan Hari Tanpa Beg Plastik pada 2019. Langkah ini telah membawa kepada kempen ‘Tanpa Beg Plastik Percuma’ di seluruh negara, justeru menunjukkan hasil yang baik apabila kita meneraju dan memberikan contoh.
Kejayaan ekonomi Pulau Pinang juga berkait rapat dengan komitmen kita terhadap pembangunan mampan. Pada tahun 2022, Pulau Pinang mencatat pertumbuhan KDNK yang luar biasa sebanyak 13.1%, melebihi angka purata negara. Kejayaan ini juga dapat dilihat dalam sektor perkilangan kita yang berkembang pesat, dengan penerimaan pelaburan sebanyak RM13.7 bilion dan 135 buah projek, menjadikan kita sebagai antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
ESG telah muncul sebagai rangka kerja transformatif, sebagai peluang perniagaan, pelaburan, dan komuniti menuju masa depan yang mampan dan lebih bertanggungjawab. Dengan lebih daripada 300 syarikat multinasional dan 3000 PKS, Pulau Pinang mempunyai sekumpulan sektor yang kuat dan ekosistem rantaian bekalan yang mampan untuk memacu inisiatif ESG.
Pada tahun 2022, kita memulakan inisiatif Industri Hijau Pulau Pinang (PGI) untuk mentransformasikan negeri kita sebagai pusat pengilangan mampan. Dengan memanfaatkan ekosistem rantaian bekalan yang mampan, PGI bertujuan untuk memupuk kerjasama dalam industri Elektrik dan Elektronik (E&E). Melalui inisiatif ini, kita berusaha untuk menyelaraskan negeri kita selari dengan visi Penang2030 – Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Dalam tempoh tiga tahun yang lalu, visi ini telah menunjukkan peningkatan positif dalam sektor pembuatan tempatan di bawah Tema B1 visi Penang2030. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua yang terlibat atas usaha dan sumbangan mereka.
Hadirin sekalian,
Kejayaan yang telah kita capai dalam pertumbuhan ekonomi dan inisiatif alam sekitar adalah bukti kepada apa yang boleh dicapai apabila kerajaan, industri, dan masyarakat bersatu untuk tujuan bersama. Namun, saya ingin menekankan bahawa usaha kita masih lagi jauh dari garisan penamat. Kita perlu terus mencipta pencapaian baharu dan berusaha untuk mewujudkan kemajuan yang lebih besar. Komitmen kita terhadap kelestarian alam sekitar bukanlah hanya melalui statistik dan pertumbuhan ekonomi; ia adalah tentang memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
Oleh itu, dalam kita bergerak melangkah ke hadapan, marilah kita bawa semangat acara hari ini ke dalam kehidupan seharian kita, membuat pilihan yang mampan, dan bekerja bersama untuk melindungi keindahan semulajadi Pulau Pinang. Bersama, kita boleh memastikan bahawa generasi akan datang mewarisi Pulau Pinang yang lebih bersih, hijau, dan sejahtera.
Sebagai penutup, saya ingin memberikan penghargaan kepada semua sukarelawan, pihak penganjur, dan semua penaja yang menjadikan Penang World Cleanup Day 2023 hari ini satu kejayaan. Kesetiaan dan usaha keras anda telah memberikan perbezaan yang nyata, dan saya amat bangga dengan apa yang kita telah capai bersama.
Dengan itu, terima kasih kepada semua, dan semoga kita terus bekerja bersama-sama untuk masa depan yang lebih cerah dan mampan.