Fuyoh! Selamat petang kepada semua hadirin ke Fuyoh 2.0: Nurturing the Earth, One Action at a Time’ anjuran Penang Green Council! Saya sangat gembira kerana berada di sini bagi menyambut hari yang bermakna ini bersama-sama.
Saban tahun, kita akan meraikan bukan sahaja Hari Bumi malah Hari Alam Sekitar Sedunia pada tanggal 5 Jun sebagai tanda memperingati dan menyeru semua pihak bersama-sama memikul tanggungjawab menjaga alam sekitar. Hari Alam Sekitar Sedunia telah disambut selama lima puluh tahun sejak 1973 dan pada tahun ini, tema Beat Plastic Pollution telah dipilih sekali lagi sebagai tema utama sambutan. Penggunaan tema yang sama seperti pada tahun 2018 membuktikan keperluan yang mendesak dalam usaha mengatasi pencemaran plastik. Kita memerlukan tindakan segera untuk menangani isu-isu global yang semakin membimbangkan seperti peningkatan suhu, kenaikkan paras air laut dan pencemaran plastik.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali guna sejak tahun 2009. Bermula dengan hanya kempen 1 hari, kita telah meluaskan lagi kepada setiap hari tanpa beg plastik di pasar raya dan pusat beli-belah. Ini merupakan satu pencapaian yang hebat dan membanggakan dari sudut memberi kesedaran kepada pengguna dan kita akan terus berusaha untuk tahun-tahun akan datang.
Saya merasa bangga dengan Penang Green Council kerana telah memainkan peranan penting dalam pendidikan alam sekitar dan koordinasi di kalangan agensi kerajaan, pihak berkepentingan, NGO, syarikat korporat, dan juga orang awam sepanjang penubuhan mereka. Kita hanya akan dapat mengenal pasti penyelesaian serta tindakan yang perlu diambil untuk mengatasi pencemaran plastik apabila kita mulakan langkah pertama.
Hadirin sekalian,
Adakah anda tahu bahawa kita mempunyai sebuah pulau plastik yang terletak bersebelahan dengan jambatan Pulau Pinang yang diberi nama Pulau Gazumbo. Pulau ini juga sinonim dengan Great Pacific Garbage Patch atau Lingkaran Sampah Pasifik yang sangat terkenal.
Pulau kecil ini dan hamparan rumput laut yang subur di sekitarnya tidak hanya berfungsi sebagai habitat bagi kehidupan marin, malah berperanan sebagai penapis semula jadi yang memerangkap botol plastik dan sampah dari seluruh dunia. Malangnya, pulau ini kini diliputi oleh banyak sampah seperti botol, pembungkusan plastik, dan sisa-sisa lain. Kerja-kerja pembersihan sepenuhnya sudah tentu akan mengambil masa yang lama untuk dan mengembalikan keindahan dan kepelbagaian biodiversiti di pulau tersebut.
Lebih daripada 400 juta tan plastik dihasilkan setiap tahun di seluruh dunia, separuh daripadanya dicipta untuk satu kali penggunaan sahaja. Daripada jumlah tersebut, kurang daripada 10 peratus boleh dikitar semula. Produk plastik adalah penyumbang pada pelepasan gas rumah hijau sepanjang kitaran hidupnya. Jika tiada tindakan diambil, pelepasan gas rumah hijau berpunca dari plastik bakal menyumbang sehingga 19% daripada jumlah pelepasan yang dibenarkan dalam Persetujuan Paris di mana pada tahun 2040 peningkatan suhu dihadkan kepada 1.5 darjah Celsius sahaja. Kita mempunyai terlalu banyak plastik di Bumi ini, dan kita perlu menutup laluannya sekarang.
Saya juga ingin mengingatkan semua pihak untuk menjimatkan penggunaan dan mengelakkan pembaziran air semasa musim panas kerana air adalah nyawa. Kita memerlukan air untuk hidup. Jadi, jangan tunggu sehingga sudah terlalu lewat untuk kita membuat perubahan. Ini adalah masanya untuk memberikan usaha yang sepenuhnya dalam melindungi Bumi dan alam sekitar kita.
Akhir sekali, saya ingin ucapkan tahniah kepada Penang Green Council atas kejayaan penganjuran program pada hari ini. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada anda yang meluangkan masa untuk berada di sini, semoga anda semua dapat menikmati masa hujung minggu dengan gembira bersama aktiviti yang telah tersedia hari ini.
Sekian, terima kasih.