Skip to content

Ucapan Perasmian oleh Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang merangkap Pengerusi Penang Green Council semasa Persidangan dan Pameran Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2019 (PGIGCE) di Gurney Paragon Mall, Pulau Pinang

Selamat tengah hari dan selamat datang ke Persidangan dan Pameran Hijau Antarabangsa Pulau Pinang 2019!

Bertemakan “Pulau Pinang Bandar Hijau dan Pintar”, acara ini adalah penggerak kepada pembentukan negeri yang mampan, makmur dan masa hadapan yang terjamin dengan mengintegrasikan sistem fizikal, digital dan manusia ke dalam persekitaran sedia ada.

Saya percaya setiap orang yang hadir hari ini mempunyai pendapat yang sama. Malahan, arah tuju Pulau Pinang kearah masa depan yang lebih hijau dan mampan bermula beberapa tahun yang lepas dengan penubuhan Penang Green Council (PGC) pada 2011 sebagai agensi kerajaan yang memupuk, memudah dan menyelaras projek-projek alam sekitar di Pulau Pinang. Kita tidak menggalakkan penggunaan beg plastik di pusat beli belah dan telah melancarkan Dasar Pengasingan Sisa di Punca pada Jun 2016. Pihak Kerajaan Negeri telah memberi satu tahun sebagai tempoh penyesuaian diri kepada penduduk Pulau Pinang sebelum kuatkuasa undang-undang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan.

Di bahagian Pulau, kita mempunyai satu stesen pengurusan sisa pepejal di Batu Maung yang melibatkan kos sebanyak RM75 juta dengan menggunakan teknologi vertical compression yang boleh beroperasi tanpa tenaga elektrik. Pada tahun lepas, kadar purata kitar semula Negeri Pulau Pinang yang direkodkan adalah 42.7% iaitu dua kali ganda lebih daripada kadar purata Malaysia iaitu 21%.

Selain itu, pemaju yang memiliki projek-projek yang menepati ciri-ciri pensijilan Green Building Index (GBI) adalah layak untuk menerima rebat yuran penilaian dan caj pembangunan bagi bilangan tahun yang telah ditetapkan. Ini adalah beberapa langkah yang telah kita ambil untuk mewujudkan kesedaran kepada warga Pulau Pinang bagi mengamalkan gaya hidup yang lebih hijau.

Kita sering berkata, demi mencapai satu misi bersama, semua pihak perlu mempunyai hala tuju yang sama. Namun begitu, hala tuju yang sama sahaja tidak mencukupi untuk mencapai misi jangka panjang Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau dan pintar. Kita perlu mempunyai satu titik utama yang sama dan setiap tindakan, cadangan dan keputusan yang diambil perlu berpandukan titik utama tersebut iaitu visi Pulau Pinang2030.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan visi Pulau Pinang2030 pada tahun lepas dan ia adalah satu pelan tindakan yang menfokuskan pada peningkatan daya hidup, penaiktarafan sektor ekonomi, peningkatan penyertaan sivik dan pembentukan persekitaran yang seimbang ke arah sebuah “Negeri Berorientasikan Keluarga, Hijau dan Pintar” yang menjadi inspirasi negara.

Sebagai langkah utama kearah visi Pulau Pinang2030, Penang Green Council telah merangka Agenda Hijau Pulau Pinang (PGA), satu projek perancangan dasar yang mengambil 3 tahun untuk merangka strategi dan membentuk masyarakat yang berdaya tahan di Pulau Pinang agar mereka dapat menyesuaikan diri dengan cabaran persekitaran masa depan menjelang Tahun 2030.

Penang Green Council dengan sokongan Penang Institute berjaya memperolehi data melalui perkongsian maklumat dan pendapat dari 10 buah kumpulan kerja yang terdiri daripada agensi persekutuan, pejabat kerajaan negeri, firma perniagaan, ahli akademik, golongan bukan kerajaan dan pakar dalam bidang-bidang tertentu. Pada bulan Oktober ini, kumpulan penasihat agenda akan bekerjasama dengan Unit Pulau Pinang2030 untuk merangka sebuah pelan tindakan dan bakal dilancarkan pada tahun hadapan. Beberapa siri penglibatan orang awam juga turut diadakan serentak untuk memastikan orang awam mengetahui kewujudan dan objektif PGA selepas pelancaran PGA.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Apa yang telah kita kecapi hari ini dari sudut pembangunan dan kemampanan di Pulau Pinang bukan hanya di atas kertas sahaja. Kita mempunyai rekod keputusan yang konkrit, bukan untuk tujuan membangga diri tetapi untuk menjadi pendorong dan pembakar semangat untuk kita bekerja dengan lebih keras di masa akan datang. Ia adalah satu peringatan bahawa masih banyak lagi yang boleh kita lakukan jika kita bersatu hati untuk mencapat matlamat jangka panjang ini. Antara pencapaian kita setakat ini adalah seperti berikut:-.

  • Pada awal bulan lepas, KOMTAR telah dianugerahi dengan Anugerah Pengurusan Tenaga dalam Bangunan (Besar) bagi kategori Tenaga Efisien di Majlis Penganugerahan Tenaga Negara (NEA) yang dianjurkan oleh MESTECC dan pada awal tahun ini, KOMTAR juga telah dikurniakan satu Diamond rating di bawah kategori Bangunan Rendah Karbon oleh Sustainable Development Authority Malaysia (SEDA Malaysia).
  • Pemasangan lampu jalan LED cekap tenaga untuk menggantikan lampu jalan yang sedia ada di seluruh Pulau Pinang akan mengurangkan lebih dari separuh tariff bil elektrik. Terkini, 7,135 buah lampu jalan yang diselenggara oleh MBPP telah digantikan kepada lampu LED dan 9,501 buah lampu selebihnya akan ditukar menjelang Mei 2020.
  • Kerajaan negeri Pulau Pinang sedang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di bawah Pelan Induk Laluan Basikal Pulau Pinang untuk menyiapkan laluan basikal sepanjang 200 kilometer dengan konsep jaringan hijau menjelang 2020.
  • Sebuah struktur Ecodeck sepanjang 6 kilometer dibina untuk menyediakan laluan yang selamat kepada penunggang basikal dan pejalan kaki. Projek ini akan menghubungkan kawasan pantai di hadapan Hotel Flamingo, Tanjung Bungah ke kawasan pantai di Resort Shangri-La Rasa Sayang, Batu Feringgi.
  • Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah membuat satu anjakan paradigma untuk mencapai visi bandar pintar dengan membentuk sebuah platfom teknologi untuk pengurusan dan kawalan maklumat yang lebih baik. Di bawah projek perintis SCope (Smart City of Penang), 64 buah kamera litar tertutup (CCTV) yang dipertingkatkan dengan ciri pengecaman wajah akan dipasang di beberapa buah kawasan.
  • Sebuah kawasan di Bukit Mertajam (12km by 18km) akan ditranformasikan menjadi bandar pintar pada Ogos tahun depan di bawah BM Digital Initiative. Inisiatif ini akan menggunakan aplikasi bandar pintar melalui platform PenangReach untuk memantau persekitaran, operasi dan perkhidmatan bandar.

Kita yakin apa yang kita usahakan hari ini akan menjana sebuah tempat yang hijau dan pintar yang boleh didiami dan memberi peluang untuk warga Pulau Pinang meningkatkan taraf hidup mereka.

Acara kita pada hari ini adalah anjuran bersama oleh Kerajaan Negeri, Penang Green Council (PGC), Malaysian Green Building Confederation (MGBC) cawangan utara dan Green Building Index (GBI). Kami ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan penganjur, penganjur dan rakan sokongan kerana tanpa sokongan yang padu dan berterusan dari mereka, acara ini tidak mungkin dapat dijayakan hari ini. Tidak dilupakan, jutaan terima kasih juga kepada Gurney Paragon Mall sebagai penaja lokasi acara ini.

Akhir kata, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang meluangkan masa untuk hadir bersama keluarga dan rakan-rakan untuk meneroka serta menikmati semua aktiviti yang disediakan hari ini.

Terima kasih.