Skip to content

Ucapan Perasmian oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang & ADUN Bukit Tambun Law Choo Kiang di Program Hari Alam Sekitar Pulau Aman

Selamat petang dan salam sejahtera,

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada para hadirin kerana sudi hadir pada hari ini untuk sama-sama menjayakan Program Hari Alam Sekitar anjuran Penang Green Council (PGC), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Hadirin yang dihormati sekalian,

Tema program ini adalah Pulau Aman Saya Bersih dan Hijau. Objektif utama program ini dilaksanakan adalah untuk memupuk sikap cintai alam sekitar dan mendidik masyarakat tentang pengurusan sisa terutamanya pengasingan sisa di punca dan pengkomposan. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk menggalakkan masyarakat megamalkan kitar semula dalam kehidupan seharian agar selari dengan visi Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi meningkatkan kecekapan proses kitar semula dan pembelian balik kitar semula.

Tuan- tuan dan Puan-puan sekalian,

Penang Green Council (PGC) merupakan sebuah agensi Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang menjalankan pelbagai aktiviti dan program yang melibatkan komuniti di Pulau Pinang baik dewasa mahupun kanak-kanak. Antara program yang telah dilaksanakan oleh PGC adalah Kempen Pendidikan Rumah ke Rumah, Kem Hijau, Kem Remaja, dan Karnival Hijau Pulau Pinang. Program yang dilaksanakan ini bertujuan untuk mendidik serta menggalakkan penduduk di Pulau Pinang mengetahui kepentingan menjaga alam sekitar serta impaknya kepada manusia sejagat.

Hadirin sekalian,

Kerajaan Persekutuan telah melaksanakan dasar pengasingan sisa di punca secara mandatori di enam buah negeri dan dua buah Wilayah Persekutuan bermula 1 September 2015, manakala Kerajaan Negeri Pulau Pinang pula akan melaksanakan dasar sedemikian bermula Jun 2016. Sehubungan itu, Penang Green Council telah melaksanakan kajian persepsi terhadap tingkah laku penduduk Pulau Pinang terhadap aktiviti kitar semula dan pengasingan sisa pepejal pada 29 Julai 2015 sehingga 29 September 2015. Sejumlah 1, 484 responden telah berjaya memberikan maklum balas. Hasil analisis mendapati responden memahami konsep 3R dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Ramai responden mengasingkan barangan kitar semula seperti kertas (80.20%) dan surat khabar (76.9%), namun, peratus untuk sisa elektronik ialah lebih rendah pada 35%. Majoriti responden (86.5%) menyokong penguatkuasaan undang-undang untuk menggalakkan dan membantu meningkatkan kadar kitar semula di Pulau Pinang. Bagi meningkatkan kesedaran dan pendedahan mengenai dasar baru ini, Kerajaan Negeri sedang berusaha menyebarkan maklumat untuk memastikan semua penduduk mengetahui serta mengamalkan dasar pengasingan sisa ini melalui program-program seperti yang telah diadakan di Pulau Aman hari ini.

Hadirin-hadirat,

Program hari ini bukan sahaja inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikan Pulau Aman sebuah pulau yang cantik tetapi juga untuk menaikkan taraf Pulau Aman sebagai sebuah pusat pelancongan di mata dunia yang mendapat tarikan pelancong tempatan dan luar. Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap agar penduduk Pulau Aman dapat menjadikan pulau ini seperti ‘rumah’ sendiri. Penduduk perlu mewujudkan rasa tanggungjawab dalam diri untuk menjaga kebersihan pulau ini kerana pulau ini adalah ‘rumah’ anda. Apabila rumah anda kotor, seharusnya andalah orang yang bertanggungjawab untuk membersihkannya, bukannya bergantung kepada orang lain untuk melakukannya. Justeru, Pertandingan Halaman Rumah Tercantik diperkenalkan dalam program ini untuk menggalakkan penduduk Pulau Aman menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran rumah. Pertandingan ini mengambil masa selama tiga bulan bermula dari 12 Disember 2015 sehingga 12 Mac 2016.

Akhir kata, tahniah diucapkan kepada penganjur program ini iaitu Penang Green Council, Majlis Perbandaran Seberang Perai, dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) kerana menganjurkan program yang amat berfaedah dan menarik kepada para penduduk di Pulau Aman. Tahniah dan setinggi-tinggi pujian diucapkan kepada semua! Terima kasih juga kepada semua penduduk Pulau Aman atas sumbangan anda dalam menjamin masa depan anak-anak kita untuk Pulau Pinang yang Bersih, Hijau, Selamat, dan Sihat.

Terima kasih.