Skip to content

Ucapan perasmian oleh Phee Boon Poh, EXCO Alam Sekitar dan Kebajikan merangkap Pengarah Penang Green Council semasa Majlis Penyampaian Anugerah Sekolah Hijau 2022 dan Perasmian Anugerah Sekolah Hijau 2023 Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 21 Mac 2023 di Auditorium A, Komtar

Selamat pagi kepada semua hadirin yang saya kasihi. Pertama sekali, saya ucapkan terima kasih kepada urusetia yang menjemput saya pada pagi yang berbahagia ini untuk menyaksikan sekaligus merasmikan majlis penganugerahan yang kita nantikan selama ini.

Kanak-kanak dan golongan belia adalah agen utama dalam menangani krisis iklim dan alam sekitar. Hampir setiap kanak-kanak di muka Bumi ini terdedah kepada sekurang-kurangnya satu bentuk ancaman iklim dan tekanan alam sekitar yang menjejaskan potensi mereka untuk membesar dengan sebaiknya. Kemusnahan biodiversiti contohnya boleh menjejaskan masa depan yang mampan untuk anak-anak kita di peringkat global. Persekitaran yang selamat dan responsif adalah elemen penting dalam menyokong pembangunan kanak-kanak pra-sekolah, pelajar mahupun belia. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membuka ruang kepada mereka melibatkan diri dalam isu alam sekitar dan menyedari semua akibat yang ditanggung oleh Bumi hari
ini yang turut berpunca daripada manusia.

Sejurus itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melancarkan program Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang pada tahun 2010 melalui Penang Green Council dengan kerjasama kedua-dua pihak berkuasa tempatan (MBPP dan MBSP). Program audit tahunan ini terbuka kepada sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang untuk mendidik para pelajar mengenai pemuliharaan sisa, air dan tenaga. Selain itu, objektif utama program ini juga adalah untuk menyemai semangat cintakan alam sekitar dalam diri pelajar dan masyarakat umumnya.

Hadirin sekalian,

Matlamat utama kita berada di sini hari ini adalah untuk meraikan usaha yang dilakukan oleh semua sekolah dan tadika yang terlibat pada tahun 2022. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua pemenang yang akan menerima anugerah dan insentif sebentar sahaja lagi. Kita telah menerima penyertaan daripada 114 buah sekolah tahun lepas, 44 sekolah dari MBPP dan 70 sekolah dari MBSP.

Daripada jumlah ini, 6 sekolah daripada kedua-dua kawasan Pulau dan Seberang Perai dipilih sebagai pemenang untuk kategori-kategori yang dipertandingkan. Bagi Insentif Tadika Hijau Pulau Pinang 2022, 10 buah pra-sekolah berdaftar dengan markah tertinggi akan diberi ganjaran insentif bernilai RM 500 dan sijil penghargaan.

Sudah semestinya, kedua-dua program ini tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC). Saya mengambil kesempatan ini menzahirkan penghargaan kepada PDC kerana menaja hadiah wang tunai bagi Program Anugerah Sekolah Hijau Pulau Pinang 2022 dan Insentif Penang Tadika Hijau Pulau Pinang 2022. Selain itu, ucapan syabas dan tahniah saya ucapkan pada Penang Green Council, MBPP dan MBSP atas kerja keras dan usaha yang tidak terhenti dari awal kewujudan program-program ini sehingga sekarang.

Kesimpulannya, kita tidak mampu menidakkan kepentingan untuk mendedahkan dan mengajar anak-anak kita tentang kesedaran alam sekitar bagi memastikan kehidupan mereka terjamin. Kita mesti melengkapkan anak-anak kita dengan ilmu yang diperlukan supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik untuk alam sekitar yang terjamin. Tidak dapat dinafikan, generasi merekalah yang paling terkesan dengan tindakan kita sekarang. Oleh itu, saya akhiri ucapan saya pada pagi ini dengan menyeru semua pihak termasuk diri saya sendiri untuk bermuhasabah diri masing-masing dan bertindak mulai sekarang untuk masa hadapan yang lebih cerah untuk anak-anak kita.

Terima kasih. LovePenang