Selamat pagi tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mulakan ucapan saya pada pagi ini dengan ucapan tahniah kepada Penang Green Council di atas penganjuran Penang Green Finance Conference 2022. Saya sangat gembira dan bangga dengan kerja keras yang dicurahkan dalam mengetengahkan sebuah isu yang penting terutamanya selepas dunia dilanda pendemik Covid 19.
Pembangunan ekonomi Pulau Pinang tidak sangat terkesan sejak musim pendemik, namun data awal menunjukkan kita sedang membaik pulih dengan baik. Pemulihan ekonomi dan pengenalan beberapa social safety nets semasa pandemik jelas menunjukkan bahawa kesejahteraan rakyat adalah tumpuan utama.
Tinjauan yang dijalankan tahun lepas untuk Indeks Kebahagiaan menunjukkan bahawa walaupun sedang diambang pandemik, orang awam pada umumnya berpuas hati dengan kualiti kehidupan semasa mereka. Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa cabaran mendatang bukan sahaja terhad dari segi ekonomi dan sosial malah persekitaran seperti perubahan iklim, kepupusan biodiversiti dan sebagainya. Kaji selidik Indeks Kebahagiaan juga menunjukkan keperluan terhadap penambahbaikan infrastruktur – termasuk capaian digital – dan taraf hidup.
Hadirin sekalian,
Seiring dengan visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah Negeri Hijau dan Pintar berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, kerajaan Negeri mengguna pakai pendekatan menyeluruh dalam memastikan Pulau Pinang dapat meneruskan pembangunan sosial dan ekonomi tanpa mengabaikan persekitarannya. Pada tahun 2021, Pulau Pinang melancarkan Agenda Hijau Pulau Pinang 2030 (PGA) untuk memberi fokus kepada penjagaan alam sekitar dan menggalakkan pembangunan mampan untuk membantu mencapai visi Penang2030 dan Matlamat Pembangunan Lestari (UNSDG). PGA menyediakan cadangan untuk menambah baik tadbir urus dan prestasi dalam 10 bidang tumpuan termasuk membina ekonomi hijau, menambah baik perancangan guna tanah dan meningkatkan keselamatan makanan dan air. PGA bertujuan untuk membentuk hala tuju pembangunan dan pelaburan strategik di Pulau Pinang bersama dengan Penang Climate Prosperity Plan sepanjang dekad akan datang.
Pulau Pinang berhasrat untuk mencapai ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta menyumbang kepada usaha global untuk menstabilkan perubahan iklim dan pemeliharaan biodiversiti. Pertama sekali, kita sedang mencipta rangka kerja karbon pertama Pulau Pinang yang akan membantu kita memahami dengan lebih lanjut tentang sumber pelepasan gas di negeri ini dan tindakan selanjutnya untuk mengurangkan jejak karbon dioksida. Bagi mencipta rangka kerja karbon yang teguh, kita perlu membuat pelaburan dalam pengumpulan dan analisis data ekonomi yang lebih cekap dan komprehensif. Dengan adanya rangka kerja ini, Pulau Pinang dapat mengadaptasi sasaran dan hala tuju terbaik untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida.
Pada tahun 2016, Pulau Pinang menerima pakai Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang atau PTMP. Ia merupakan strategi pengangkutan yang komprehensif, cekap dan berkait rapat untuk penetapan rangka kerja bagi sistem pengangkutan bersepadu dan moden. Setelah selesai, ia akan membaik pulih pengangkutan awam di Pulau Pinang, mengubah cara orang awam bergerak dari satu destinasi ke destinasi seterusnya dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau bagi sektor pengangkutan. Di samping itu, Pulau Pinang sedang dalam proses untuk menjadi negeri mesra-EV, dimana kita merancang untuk menambah bilangan stesen pengecas EV sedia ada di negeri ini.
Selain sektor pengangkutan, Pulau Pinang juga berhasrat untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui di Pulau Pinang. Pemasangan tenaga boleh diperbaharui, yang kebanyakannya adalah tenaga solar meningkat hampir tiga kali ganda sejak tahun 2020 berbanding tempoh antara 2012 dan 2019. Pulau Pinang terus menggalakkan pembinaan bangunan hijau dan perbandaran. Walaupun merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, Pulau Pinang mempunyai bilangan bangunan yang diperakui GBI ketiga tertinggi di negara ini. Justeru, kita mahu lebih banyak bangunan di negeri ini menjadi hijau dan yang lebih penting, bandar kita direka bentuk dengan mengutamakan kemampanan dan kedayatahanan yang tinggi.
Kedua-dua pihak berkuasa tempatan juga merupakan sebahagian daripada inisiatif Low Carbon Cities peringkat kebangsaan. Sebagai contoh, kedua-dua PBT telah menukar semua lampu jalan kepada lampu LED dan telah membina lebih 200 kilometer lorong basikal. MBSP merupakan PBT pertama di negara yang memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) dengan TNB dan semua bangunan MBPP akan datang akan diperakui sebagai bangunan hijau.
Tuan-tuan dan Puan-puan
Mungkin ada segelintir daripada kita di sini yang belum sedia maklum, Pulau Pinang juga merupakan negeri pertama yang memperkenalkan Penang Green Industry Programme di seluruh negeri yang turut diterajui oleh Penang Green Council. Ia bertujuan untuk mengubah sektor pembuatan negeri supaya mampu menampung cabaran abad ke-21.
Kita bekerjasama dengan syarikat multinasional dan tempatan yang besar untuk meningkatkan kesedaran dan kapasiti perusahaan kecil dan sederhana bagi
memulakan peralihan hijau. Jika kita terus mengambil pendekatan perniagaan sedia ada, risiko untuk ketinggalan dalam rantaian bekalan global akan meningkat. Dalam dekad yang akan datang, kita menjangkakan ratusan juta dolar akan dilaburkan dalam menaik taraf sektor perkilangan dan adalah penting untuk setiap syarikat pada masa itu mempunyai akses kepada pembiayaan hijau.
Selain itu, Covid 19 menyedarkan kita tentang kerapuhan rantaian bekalan makanan global dan akibat daripada terlalu bergantung pada hasil import. Hasilnya, Pulau Pinang sedang dalam usaha meningkatkan pengeluaran makanan seperti melalui pertanian bandar, membangunkan sektor akuakultur yang lebih berdaya tahan (termasuk penyelidikan sumber makanan baharu), menggalakkan pelancongan pertanian dan mengurangkan kesan alam sekitar daripada penternakan. Kita juga bakal menumpukan pada teknologi makanan dan pendigitalan sektor ini untuk meningkatkan kualiti kehidupan para petani.
Pulau Pinang sedang berusaha meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim, terutama sekali dalam isu tebatan banjir dan system amaran awal bencana. Pulau Pinang baru-baru ini menerima multi-year funding daripada Adaptation Fund untuk melabur dalam projek adaptasi berasaskan alam semula jadi di Pulau Pinang. Kita juga menubuhkan Resilient Infrastructure Taskforce untuk mengkaji kerentanan iklim infrastruktur dan mengenal pasti pelaburan strategik yang diperlukan untuk membina kedayatahanan.
Pulau Pinang juga mengiktiraf kepentingan ekonomi digital untuk mencapai pembangunan mampan. Pada 2021, kita melancarkan Pelan Transformasi Digital Pulau Pinang untuk mempercepatkan pendigitalan empat bidang utama iaitu tadbir urus, infrastruktur, ekonomi dan komuniti. Dalam beberapa tahun akan datang, Pulau Pinang akan meningkatkan pelaburan dalam infrastruktur digital dan kesediaan di kalangan rakyat dan perniagaan untuk menerima pakai penyelesaian digital.
Hadirin sekalian,
Kesimpulannya, Pulau Pinang telah meletakkan asas hala tuju yang mampan sepanjang sepuluh tahun yang lalu, dan kita sudah bersedia untuk bekerjasama dengan rakan kongsi, terutamanya rakan kongsi sektor kewangan untuk menjadikan Pulau Pinang yang mampan dan berdaya tahan iklim menjadi kenyataan.
Saya berharap melalui dialog dan penglibatan yang berkesan, Pulau Pinang dapat terus membangun sebagai destinasi menarik untuk pelaburan dan kewangan hijau. Selamat maju jaya dan semoga berjumpa lagi. Terima kasih.