Yang Berhormat Datuk Chong Chen Bin
Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan N.4 Tanjong Kapor
Yang Berusaha En. Severinus Tukah
Setiausaha Bahagian Kanan
Bahagian Kemajuan Industri Sawit dan Sago,
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
Yang Berusaha Dr. Hj. Norkaspi Khasim
Ketua Unit Pemerkasaan Pekebun Kecil
Bahagian Pengembangan Pekebun Kecil dan Pensijilan
Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
Yang Berusaha En. Benny Laurence
Pengurus Cawangan Agrobank Kudat
Dif-dif jemputan, Rakan-rakan Media, Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) atas penganjuran Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi daerah Kudat, Sabah pada hari ini.
- Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dan memberikan komitmen serta kesungguhan terutamanya daripada pekebun-pekebun kecil sawit yang hadir ke majlis pada hari ini. Peluang yang diberikan ini membolehkan saya bersemuka dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang menjadi tulang belakang serta peneraju kepada kemajuan industri sawit negara. Syabas saya ucapkan dan berikan satu tepukan gemuruh kepada tuan-tuan dan puan-puan.
Sidang hadirin yang saya hormati sekalian,
- Penganjuran program pada hari ini merupakan inisiatif turun padang Kerajaan untuk berinteraksi dengan pekebun kecil sawit khususnya di daerah Kudat, Sabah. Ia bertujuan untuk menyampaikan maklumat mengenai Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), yang menawarkan dana dalam bentuk geran (50%) dan pembiayaan (50%) melalui Agrobank.
- Dengan pelaksanaan Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0, pemohon hanya perlu membayar semula 50% daripada jumlah pembiayaan, termasuk kadar faedah 2% daripada jumlah keseluruhan dana yang disalurkan. Selain itu, skim ini menyediakan insentif geran dan pembiayaan mudah pada kadar keuntungan rendah (2% setahun) bagi membantu pekebun kecil menebang sawit tua (melebihi 25 tahun) atau tidak produktif, serta menanam semula dengan bahan tanaman yang lebih berkualiti. Inisiatif ini bukan sahaja meringankan beban kewangan pekebun kecil tetapi juga meningkatkan hasil buah tandan segar (BTS) serta pendapatan pekebun kecil dan negara.
- Sukacita saya ingin memaklumkan, Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM100 juta untuk pelaksanaan Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 bagi kerja-kerja penanaman semula sawit. Penyaluran dalam bentuk geran padanan (matching-grant) kepada pekebun kecil persendirian ini akan diurus sepenuhnya oleh pihak Agrobank.
- Skim ini dijangka akan memanfaatkan pekebun kecil sawit persendirian dengan sasaran penanaman semula pokok sawit tua. Maklumat permohonan TSPKS 2.0 boleh diperolehi di pejabat-pejabat TUNAS MPOB. Tuan-tuan dan puan-puan juga boleh terus mendapatkan borang permohonan skim tersebut secara dalam talian di laman sesawang MPOB atau cawangan-cawangan Agrobank di seluruh negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Kerajaan melalui MPOB turut melaksanakan bantuan bagi projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK). Keutamaan diberikan kepada jalan-jalan yang menghubungkan kawasan ladang yang sedang diusahakan atau dimajukan oleh pekebun kecil. Ini bagi memastikan rangkaian perhubungan yang lebih baik dapat diwujudkan untuk kemudahan penduduk sekitar, khususnya dalam mengangkut input pertanian dan mengeluarkan hasil tanaman ke pasaran. Bagi memastikan pelaksanaan projek yang lebih cepat dan efektif, keutamaan diberikan kepada projek JLPK yang bernilai kurang daripada RM500 ribu. Ini membolehkan pelaksanaan dilakukan secara sebut harga, sekaligus memastikan projek dapat dimulakan segera dan disiapkan sepenuhnya dalam tahun semasa.
- Sehingga 30 Jun 2025, dua Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) bernilai keseluruhan RM725,000.00 yang menjadi rangkaian perhubungan yang memberi manfaat kepada penduduk daerah Kudat telah dilaksanakan. Antara Projek JLPK yang terlibat ialah JLPK Kg. Rasak Darat Tigaman (RM225,000), dan JLPK Kg. Suang Pai (RM500,000) dengan jumlah keluasan panjang 2.3km.
Sidang Hadirin,
- Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan oleh Kerajaan melalui MPOB termasuk dalam memperkukuh peranan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) sebagai sebuah koperasi yang bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengumpulan dan jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok, tetapi juga sebagai penyedia perkhidmatan sokongan yang memberi manfaat jangka panjang kepada ahli-ahlinya yang terlibat dalam kalangan pekebun kecil bagi membantu meningkatkan kecekapan dan daya saing industri sawit. Oleh itu, saya menyeru pekebun-pekebun kecil di Sabah untuk mengambil peluang ini dan menyertai KPSM bagi menikmati pelbagai manfaat yang ditawarkan.
- Saya dimaklumkan bahawa MPOB telah menubuhkan Kelab 30 Tan sebagai pengiktirafan kepada pekebun kecil yang mencapai pengeluaran buah tandan segar (BTS) sebanyak 30 tan sehektar setahun dan ke atas. Inisiatif ini bagi menghargai kecemerlangan pekebun kecil dalam meningkatkan produktiviti.
- 11. Setakat ini, keahlian Kelab 30 Tan telah mencecah 2,805 orang di seluruh negara, dengan 495 atau 17.6 peratus daripadanya merupakan pekebun kecil di Sabah. Ini membuktikan bahawa pekebun kecil berupaya mencapai hasil yang tinggi dengan pelaksanaan amalan pertanian baik.
Hadirin dihormati sekalian,
- 12. Kerajaan terus mempergiat usaha meningkatkan penyertaan pekebun kecil dalam pematuhan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Sehubungan itu, saya menyeru pekebun kecil persendirian untuk segera mengemas kini maklumat peribadi dengan MPOB. Pengemaskinian data ini amat penting bagi memastikan kawal selia yang lebih berkesan serta penyampaian inisiatif Kerajaan dengan lebih pantas. Ia juga akan membantu Kementerian merangka program khusus yang memenuhi keperluan semasa pekebun kecil, sejajar dengan peranan pekebun kecil sebagai tunjang utama industri sawit negara.
- 13. Di samping itu, melalui Pensijilan MSPO di bawah Prinsip MSPO 4.3, peniaga buah sawit diwajibkan untuk mengamalkan prinsip kemampanan yang menekankan pengambilan buah sawit daripada ladang yang telah disijilkan serta memastikan ketelusan dalam setiap urusan transaksi. Bagi mematuhi keperluan ini, peniaga buah sawit perlu mendokumenkan secara teratur pengurusan pengedaran dan pembekalan buah sawit seperti yang ditetapkan di bawah Prinsip 4.3 dalam Sistem Pensijilan MSPO. Mulai 1 Julai 2025, Kerajaan telah menguatkuasakan kepada semua pemegang lesen peniaga buah sawit (DF) supaya mematuhi sepenuhnya kehendak dan keperluan Pensijilan MSPO ini.
- 14. Sukacitanya saya memaklumkan bahawa sebuah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) di Sabah yang telah berjaya memperoleh Sijil MSPO 4.3, iaitu KPSM Apin-apin Bingkor Berhad pada 6 Mei 2025. Pencapaian ini amat membanggakan kerana KPSM Apin-apin Bingkor Berhad merupakan pemegang lesen peniaga buah sawit (DF) pertama di Sabah yang dianugerahkan Sijil MSPO 4.3.
- 15. Sebagai sebahagian daripada keperluan pensijilan, pekebun kecil juga didedahkan kepada aspek Kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi atau High Conservation Value (HCV). Usaha ini penting untuk memastikan aktiviti penanaman sawit tidak menjejaskan kawasan sensitif alam sekitar serta habitat hidupan liar yang bernilai tinggi. Kursus dan latihan berkaitan HCV telah diperkenalkan untuk membantu pekebun kecil mengenal pasti, mengurus dan memelihara kawasan-kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti atau kepentingan sosial yang signifikan. Ini selaras dengan komitmen Malaysia dalam memastikan pembangunan sawit yang mampan dan berintegriti.
Hadirin yang dihormati,
- Saya menyeru tuan-tuan dan puan-puan untuk memanfaatkan sepenuhnya pelbagai bantuan dan insentif yang disediakan oleh Kerajaan. Tanaman sawit di daerah Kudat bukan sahaja menjadi sumber hasil komoditi, tetapi juga pemacu utama pertumbuhan ekonomi yang menyediakan peluang pekerjaan serta membuka lebih banyak ruang untuk kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat setempat. Dengan sokongan semua pihak, saya berharap pengeluaran hasil sawit pekebun kecil dapat terus meningkat, sekaligus menjana pendapatan yang lebih tinggi. Syabas dan tahniah kepada pekebun kecil di daerah Kudat atas usaha gigih dalam memajukan industri sawit.
- Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) di daerah Kudat, Sabah pada hari ini.
Sekian, terima kasih.