Terima kasih Tuan Speaker diatas peluang untuk Batu Kawan membahas Laporan Hak Asasi Manusia oleh SUHAKAM di Dewan yang mulia ini.
Hari ini sejarah terukir, dibawah kerajaan Pakatan Harapan yang membentangkan dan membahaskan laporan ini bagi julung kalinya setelah berkali-kali diletakkan diatas meja Ahli Parlimen, 19 kali untuk 19 tahun sejak penubuhan SUHAKAM namun tidak pernah dibentangkan dan tidak dibahas sekali pun oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, bukti isu hak asasi manusia tidak diambil dengan serius.
Syabas kerajaan Pakatan Harapan dan Menteri Undang-undang dalam Jabatan Perdana Menteri yang membentangkan laporan ini untuk dibahas pada pagi yang mulia ini. Adalah penting Suruhanjaya Hak Asasi Manusia SUHAKAM dan Parlimen mempunyai perhubungan yang baik untuk memastikan prinsip-prinsip hak asasi manusia mengikut Universal Declaration of Human Rights dihormati, dipatuhi dan dilindungi.
Maka adalah penting cadangan-cadangan dari SUHAKAM diambil serius and kerajaan berusaha untuk bekerjasama dengan semua agensi dan kementerian untuk memastikan tiada yang tercicir atau “leave no one behind”.
Menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai rekod hak asasi yang dihormati dunia merupakan salah usaha terpenting SUHAKAM yang akan memberikan imej sebagai sebuah badan yang berwibawa dan dihormati. Laporan SUHAKAM perlu dijadikan agenda perbahasan di Parlimen agar cadangan-cadangannya ditimbang dengan sewajarnya. Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SUHAKAM yang dilantik melalui proses Jawatankuasa di Parlimen mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Pelan Hak Asasi Manusia Kebangsaan diperbaiki dan dilaksanakan sepenuhnya. Matlamat kerajaan ialah agar kedudukan Malaysia dalam Universal Periodic Review menjadi lebih baik dan peningkatan prestasi kita selaras dengan perkembangan dunia. Peruntukan untuk aktiviti-aktiviti hak asasi manusia oleh SUHAKAM dan badan-badan lain yang berkaitan perlu dipertingkatkan dan kapasiti pejabat Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) juga perlu dipertingkat agar kita boleh memainkan peranan utama di peringkat serantau. Konvensyen-konvensyen antarabangsa yang sesuai tetapi belum diratifikasi perlu diratifikasikan seberapa segera, termasuklah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Hak Politik dan Sivil.
Saya juga ingin mengingatkan semua diluar sana yang menganggap SUHAKAM sebagai “toothless tiger”. Suruhanjaya hak asasi manusia SUHAKAM bukanlah harimau tanpa taring. Mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka sebaik mungkin untuk menjunjung prinsip hak asasi manusia, keadilan, demokrasi, transparensi dan akauntabiliti. Suara mereka yang selama ini ditindas oleh kerajaan sebelum ini, semakin kuat bergema untuk melindungi golongan tertindas di Malaysia.
Oleh itu perbahasan saya akan berfokus kepada cadangan oleh SUHAKAM untuk memperkukuhkan hak asasi dan untuk memastikan tiada apa-apa pencabulan berlaku dibawah pentadbiran kerajaan ini dan isu-isu yang dihadapi oleh SUHAKAM sendiri yang saya pasti dapat diselesaikan secara “win-win” diantara pihak kerajaan dan SUHAKAM.
Laporan SUHAKAM menyentuh pelbagai isu yang berkaitan dengan wanita, kanak-kanak, orang asal, isu kewarganegaraan, pelarian dan pemohon suaka, mangsa penyeludupan manusia, golongan pekerja, warga OKU dan pelbagai isu lain yang boleh meninggalkan kesan yang mendalam bagi semua lapisan masyarakat.
Salah satu isu yang dibangkitkan oleh SUHAKAM adalah tanah adat melalui Laporan Inkuiri Nasional Mengenai Hak Tanah Adat Orang Asal / Asli sejak 2013 namun laporan ini tidak dipedulikan oleh kerajaan Barisan Nasional. Maka, adalah satu langkah positif dan progresif bagi kerajaan Pakatan Harapan dan pembentangan dan perbahasan laporan ini hari ini. Isu-isu kewarganegaraan bagi kanak-kanak, wanita atau lelaki yang berkahwin dengan warganegara Malaysia dan status kerakyatan mereka, isu perkahwinan kanak-kanak, isu jenayah seksual kanak-kanak dan keganasan terhadap wanita, pemansuhan hukuman gantung, kematian dalam penjara, diskriminasi terhadap golongan minoriti, decentralisation penggunaan dadah, tahanan juvenile, akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dan isu-isu yang lain.
Dengan gerakan untuk reformasi Parlimen dibawah Pakatan Harapan, Pesuruhjaya SUHAKAM kini lebih kelihatan di Parlimen untuk kunjungan kehormat kepada Tan Sri Speaker, Menteri-menteri dan juga Ahli Parlimen serta Senator untuk mengingati wakil kerajaan dan pembangkang akan peranan kami semua untuk memartabatkan prinsip hak asasi manusia dan pada masa yang sama menetapkan kriteria dan polisi yang perlu diangkat dalam Malaysia memenuhi keperluan Sustainable Development Goals menjelang tahun 2030.
Saya berharap pihak kementerian akan lebih memberikan fokus kepada cadangan-cadangan daripada SUHAKAM untuk memastikan keadilan, demokrasi dan integriti ditegakkan berlandaskan lunas undang-undang di Malaysia dan menjunjung prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan.
SUHAKAM bukanlah musuh kerajaan, atau musuh agensi-agensi kerajaan. SUHAKAM selaku satu badan pemerhati kebangsaan bertanggungjawab untuk mengkritik kerajaan sekiranya perincian hak asasi manusia dilanggari, memuji kerajaan apabila undang-undang digubal selaras dengan instrument antarabangsa dan sebagai sistem sokongan kepada Ahli Parlimen, NGO lain dan badan kerajaan.
Oleh itu, ingin saya mencadangkan kepada kerajaan agar skim penggajian dan benefit perlu dinaikkan mengikut spesifikasi JPA. Sebagai contoh, allowance Pesuruhjaya SUHAKAM hanyalah RM6000 berbanding dengan seorang pegawai Jusa C yang boleh claim sehingga RM16,000. Pada masa yang sama, ingin saya cadangkan juga agar kenderaan yang diperuntukkan untuk Pesuruhjaya ini dinaiktaraf kerana hari ini, mereka masih lagi memandu kereta yang berumur 13 hingga 15 tahun yang jelas akan memberikan masalah memandangkan jangka hayat penggunaannya.
SUHAKAM, sebagai satu badan yang ditubuhkan di Parlimen berfungsi untuk mewujudkan kesedaran mengenai hak asasi manusia, untuk menasihati pihak kerajaan dalam tatacara menggubal undang-undang dan semua proses yang terlibat, mencadangkan kepada kerajaan berhubung komitmen kerajaan dalam menandatangani dan meratifikasi treati atau konvensyen antarabangsa dalam arena hak asasi manusia dan untuk menyiasat mana-mana laporan pencabulan hak asasi manusia di Malaysia.
Maka tidak hairanlah SUHAKAM mengendalikan lebih 1200 laporan aduan dan kira-kira beratusan aktiviti dengan hanya RM12.45 juta untuk 95 staf. Ingin saya mohon pertimbangan kerajaan agar menambah peruntukan ini agar bukan sahaja Pesuruhjaya dapat menjalankan tugas mereka dengan baik tapi staf-staf sokongan juga.
Dalam nafas yang sama, walaupun penubuhan Suruhanjaya Kanak-kanak telah berjaya diwujudkan, namun tiada bajet khas telah diperuntukan untuk tugas-tugas khas suruhanjaya ini yang berfungsi sebagai pelindung dan untuk mempertahankan hak kanak-kanak. Saya ingin cadangkan agar kerajaan juga mempertimbangkan memberikan peruntukan khas untuk suruhanjaya kanak-kanak yang amat dekat dengan hati saya.
SUHAKAM merupakan salah satu stakeholders yang amat penting dalam kes-kes penculikan atau kehilangan Pastor Raymond Koh, Amri Che Mat, Joshua dan Ruth Hilmi dan telah menyusun satu siasatan atau inkuiri ke dalam kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan juga satu siasatan keatas kematian seorang banduan dalam lokap polis. Memandangan SUHAKAM mempunyai kuasa untuk menyiasat, maka saya ingin menegaskan dan memohon kepada pihak kerajaan agar mereka diberikan akses tanpa batasan untuk membuat lawatan ke mana-mana premis penjara, pusat tahanan imigresen, pusat tahanan pelarian, dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan agar satu siasatan boleh dibuat dan laporan dihantar ke pihak kerajaan bersama dengan syor-syor mengikut “best practices” antarabangsa.
Manifesto Pakatan Harapan mencadangkan agar Akta SUHAKAM dipinda untuk memperkukuhkan strukturnya untuk membolehkan SUHAKAM berfungsi dengan lebih efektif dan supaya akan sentiasa berada di grading A sebagai satu institusi hak asasi manusia yang top class mengikut Paris Principle.
Pembentangan dan perbahasan laporan hak asasi manusia oleh SUHAKAM ini amat signifikan dan membuka ruang untuk mewujudkan dialog atau platform untuk membincangkan status hak asasi manusia di Malaysia dan apa yang perlu dilakukan oleh pihak kerajaan untuk menambahbaik statusnya.
Saya mengalu-alukan langkah Kementerian Pelajaran untuk memulakan pilot study untuk mengajar konsep dan prinsip hak asasi manusia di 220 sekolah di Malaysia namun SUHAKAM memerlukan sokongan dan pengesahan dari MOE untuk mengembangkan usaha ini.
Walaupun Human Rights Best Practices Education (Atham) diperkenalkan di sekolah-sekolah 10 tahun yang lalu namun apakah keefisienan sukatan ini dan saya harap kerajaan dapat mengambil serius laporan SUHAKAM tahun hadapan akan keberkesanan sukatan hak asasi manusia ini.
Pembentangan dan perbahasan laporan hak asasi manusia SUHAKAM ini amatlah perlu dan kita sudah 19 tahun ke belakang dalam memantau status hak asasi manusia di Malaysia ini.
Maka, saya berharap semua saranan dan syor-syor SUHAKAM dapar diteliti dan diperhalusi untuk diimplementasi dengan kadar yang berpatutan bagi kebaikan semua.
Syor-syor SUHAKAM berlandaskan undang-undang dan menjunjung semangat dan prinsip Perlembagaan Persekutuan. Tiada apa-apa yang bercanggah dengan mana-mana lunas undang-undang.
Maka saya menyokong kandungan laporan hak asasi SUHAKAM dan berharap perhubungan dan kerjasama diantara Parlimen dan SUHAKAM dapat diperkukuhkan supaya hak asasi dapat dimartabatkan di Malaysia.
<<
Sekian, terima kasih.