Dato’ Speaker,
Terima kasih atas peluang bagi saya ambil bahagian dalam perbahasan ini. Lima isu saya inign bawa dalam 10 minit yang saya ada.
Isu pertama, “government leads” dalam usaha mengatasi perubahan iklim. Malaysia ialah sebuah negara tropika. Cuaca panas sepanjang tahun kecuali musim tengkujuh. Ya, cuaca kita panas, jadi kita mahu suhu lebih rendah dalam bilik pejabat, tapi takkan kita laraskan suhu penghawa dingin terlampau sejuk macam tengah salji seperti di luar negara?
Contohnya, ahli-ahli yang berhormat dan pegawai yang hadir sidang parlimen perlu pakai blazer, pegawai lelaki diminta bertali leher lagi. Ini kod pakaian asal negara yang mempunyai musim sejuk. Untuk mengikut kod pakaian negara musim sejuk, kita perlu menggunakan lebih banyak tenaga elektrik untuk menurunkan suhu dalam bilik, kalau tidak, semua orang akan mengadu panas. Apabila keluar saja dari bangunan dewan, semua orang buka tali leher, buka blazer, kerana tak ada penghawa dingin kat luar.
Kenapa kita tak ubahsuai kod pakaian kita kepada semua supaya pejabat kerajaan kita lebih mencerminkan budaya kita, dan lebih penting lagi, lebih mesra alam sekitar, khususnya untuk menangani perubahan iklim?
Dato’ speaker,
Kerajaan Jepun dan Korea Selatan mewajibkan semua pejabat kerajaan tidak boleh melaraskan suhu dalam bilik lebih rendah daripada 28 darjah celcius semasa musim panas. Kerajaan Taiwan pula tetapkan suhu penghawa dingin pada 26 darjah celcius pada musim panas, dan arahan ini dikuatkuasa bagi sektor swasta seperti pusat membeli-belah juga.
Kajian mereka mendapati bahawa, kerajaan mampu jimat penggunaan elektrik sehingga 6% dengan peningkatan suhu penghawa dingin setiap satu darjah celcius. Saya berharap, “government leads” dalam usaha menangani isu perubahan iklim.
Justeru, saya minta Dato speaker untuk pertimbang lagi, tak perlu mewajibkan tali leher sebagai kod pakaian bagi semua pegawai lelaki dan pelawat yang berkunjung ke Parlimen. Lebih baik lagi jika semua ahli parlimen dan pegawai boleh memilih pakaian batik setiap hari dan bukan sahaja pada hari Khamis. Bahkan batik adalah produk unik nusantara, lebih baik kita jadikan pakaian batik pakaian rasmi yang juga sesuai dengan iklim kita.
Isu kedua, bagaimana kita boleh mewujudkan satu lonjakan produktiviti dalam bidang pertanian memandangkan isu keselamatan makanan semakin serius dalam konteks sekarang.
Tiga faktor utama dalam sektor pertanian ialah tanah, air dan sinar matahari, tenaga buruh.
Dari segi tanah, kita masih ada tanah pertanian yang luas berbanding dengan negara seperti Jepun, Singapura dan Taiwan.
Air dan sinar matahari, Malaysia sebuah negara yang terletak dalam zon tropika di mana ada sinar matahari dan hujan yang mencukupi sepanjang tahun.
Faktor terahir, tenaga buruh. Inilah satu-satu faktor yang kita perlu akui bahawa kita tidak mempunyai kelebihan berbanding negara serantau lain seperti Indonesia dan Vietnam. Populasi kita tak ramai seperti negara-negara tersebut, tetapi tahap pendidikan penduduk negara kita lebih tinggi, justeru tidak cenderung untuk bekerja dalam sektor intensif buruh.
Walaupun Malaysia ialah negara yang mempunyai faktor semulajadi yang baik, kita tetap mengimport lebih 50% makanan yang kita perlukan setiap tahun. Adakah ini kerana kita tidak mampu lagi meningkatkan pengeluaran hasil makanan untuk keperluan domestik?
Semenjak 2005, kita sudah mewujudkan Projek Pertanian Moden di Johor. Malangnya, sebahagian besar tanah tidak diusahakan dengan kaedah pertanian moden. Adakah kita tidak mempunyai teknologi tinggi yang boleh meningkat pengeluaran hasil makanan, atau sebenarnya, kita telah gagal dalam pelaksanaan dasar pertanian moden?
Petani kita tidak akan membuat pelaburan besar untuk mengguna teknologi tinggi sekiranya hanya diberi geran tanah berjangka pendek untuk setahun dua. Pelaburan teknologi tinggi dalam sektor pertanian juga ambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk menerima pemulangan modal. Justeru, dasar Kerajaan dalam aspek ini perlu lebih praktikal dan proaktif supaya lebih ramai petani khususnya anak muda menceburi bidang pertanian moden.
Malaysia seharusnya menjadi sebuah negara pertanian moden yang mampu menghasil sebahagian besar makanan yang diperlukan rakyat negara kita setiap
hari. We must make agriculture sexy again.
Dato’ speaker,
Isu ketiga, model pengangkutan awam alternatif bagi bandar sekunder seperti Kluang.
Dalam dua dekad ini, kita sudah menyaksikan rangkaian pengangutan awam berasaskan rel dibangunkan di Lembah Klang. Penduduk bandar sekunder lain hanya boleh melihat kejayaan pembangunan ini dari jauh, melalui video, berita atau perkongsian kawan-kawan. Mereka tak dapat menikmati kemudahan ini dalam kehidupan harian mereka.
Selain beberapa bandar besar, bandar-bandar sekunder di Malaysia tidak mempunyai sebarang sistem pengangkutan awam melainkan bas percuma. Masalahnya adalah, pembangunan dan rekabentuk bandar kita cenderung kepada penggunaan kenderaan peribadi. Model pengangkutan awam lama berasas bas henti-henti dengan rangkaian tetap tak mampu menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada mereka yang duduk jauh dari pusat bandar, apatah lagi di kawasan berkepadatan rendah.
Kita perlu satu model sesuai untuk menggalakkan lebih ramai penduduk bandar sekunder menggunakan pengangkutan awam. Salah satu model adalah bas atas
permintaan, dengan izin, on-demand bus service. Perkhidmatan bas tanpa rangkaian tetap, malah mengikuti permintaan penumpang, dengan tambang lebih
rendah daripada teksi dan e-hailing. Sekiranya boleh, saya offer supaya kawasan saya, bandar Kluang, untuk dijadikan lokasi bagi projek perintis untuk model sebegini.
Dato’ speaker,
Rekabentuk bandar kita lebih cenderung kepada pengguna kenderaan peribadi, malah mindset pembangunan kita juga berat sebelah kepada membuat projek mega seperti jambatan bertingkat yang mahal daripada mencari jalan alternatif sedia ada. Sebelum PRU ke-15, ada pihak yang mencadangkan untuk berbelanja RM60 juta bagi membina satu jambatan bertingkat di Kluang sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan lalulintas di Jalan Mengkibol pada waktu puncak. Padahal ADUN Mengkibol telahpun mencadang satu penyelesaian yang berkos sekadar RM4 juta sahaja untuk membina satu jalan alternatif menyambung Jalan Mengkibol-Renggam ke Jalan Kota Tinggi melalui Vehicle Box Culvert di landasan keretapi.
Malangnya, pihak berkuasa tempatan tiada bajet, kerajaan negeri sendiri meminta wakil rakyat untuk pohon dengan kerajaan persekutuan. Justeru, saya minta kementerian kewangan meneliti permohonan ini supaya projek berimpak tinggi yang hanya akan membelanjakan RM4 juta ini dapat disegerakan.
Dato’ speaker,
Isu kelima, isu aplikasi kerajaan dan keselamatan maklumat peribadi. Baru-baru ini, Kementerian Pengangkutan melancarkan app myJPJ dan memansuhkan keperluan memaparkan “roadtax” pada cermin hadapan kenderaan. Ini adalah satu inisiatif pendigitalan yang baik. Namun, kita perlu sedar bahawa, sebelum ini telahpun ada sebanyak 200 app kerajaan yang disediakan oleh 93 agensi.
Setiap satu ada pangkalan data pengguna tersendiri dan tidak semesti diselaraskan dengan pangkalan data lain, khususnya jika app dimiliki oleh kementerian lain. Soalan saya ialah, bolehkah kita gabungkan semua app ini di bawah satu super-app kerajaan?
Sama ada pengguna mahu mencari info SSM atau parlimen, buat laporan kecemasan polis, atau buat janji temu di klinik kesihatan kerajaan, semua perkara ini boleh dilakukan dalam hanya satu app. Ini juga akan memudahkan usaha kerajaan dalam menjamin keselamatan maklumat peribadi rakyat kita.
Saya minta Menteri memberi pencerahan sama ada data peribadi rakyat kita adalah selamat. Laporan media tentang kebocoran data peribadi sebelum ini amat membimbangkan dan saya berharap kerajaan perpaduan kita mengambil satu pendekatan yang lebih proaktif supaya isu yang sama tidak berulang lagi.
Akhir sekali, saya pohon menyokong.
Sekian terima kasih.