Skip to content

Ucapan perbahasan Belanjawan 2020 oleh Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Setiausaha Antarabangsa Wanita DAP dan Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen bagi Hak Asasi dan kesaksamaan Gender Kasthuri Patto di Dewan Rakyat pada hari Isnin, 21 Oktober 2019

Salam semua,

Dilampirkan ucapan perbahasan saya bagi Belanjawan 2020. Isu-isu yang telah saya bangkitkan adalah:-

  1. Sokongan kepada usaha 90 hari cuti bersalin bagi kaum wanita.
  2. Pindaan kepada Akta Pekerja 1955 bagi peruntukan anti diskriminasi bagi job seekers.
  3. Bagaimana kerajaan akan memastikan golongan pengidap HIV atau AIDS tidak menjadi mangsa diskriminasi di tempat kerja.
  4. Isu kesukaran kemasukan paderi, sami dan granthi untuk berkhidmat di rumah-rumah ibadat tanpa sebab kukuh.
  5. Isu kesukaran pengambilan pekerja asing dalam sektor restoran, penggaya rambut (barber) dan penjahit (tailors) yang mengakibatkan banyak pengusaha kecil gulung tikar.
  6. Kebenaran Kerajaan untuk membenarkan pengusaha untuk mengambil pelarian UNHCR untuk bekerja untuk mengurang kebergantungan kepada tenaga pekerja asing.
  7. Kebaikan Pusat Rehabilitasi PERKESO dan cadangan untuk membina satu pusat di Pulau Pinang – Batu Kawan.
  8. Syabas kepada Kerajaan diatas usaha untuk memperkenalkan kamera badan (body camera) untuk anggota PDRM, Imigresen dan SPRM dan CCTV di semua lokap polis.
  9. Agar balai polis dilengkapi dngan kemudahan yang standard dan bertaraf tinggi – menggantikan kereta lama kepada kereta yang lebih lasak dan selamat untuk anggota polis kita.
  10. Penambahbaikan kuarters polis mengikut spesifikasi baru dan bukan ‘one bedroom flat’.
  11. Menyemak semula skim penggajian anggota polis dan anggota BOMBA termasuk pembayaran elaun kritikal kepada anggota BOMBA.
  12. Menggunakan Revolusi Industri 4.0 dalam pelaburan kedalam teknologi menangani jenayah seks dan pedofilia dalam ‘dark web’ selepas Malaysia menerima tip off daripada agensi polis Australia dan UK mengenai Richard Huckle yang bertapa di Malaysia.
  13. Apakah usaha kerajaan untuk menghadapi 20juta pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2020 yang mungkin ada penjenayah seks atau pedofil yang akan masuk juga untuk melindungi kanak-kanak di Malaysia.
  14. Peruntukan untuk Suruhanjaya Kanak-kanak dibawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.
  15. Pembayaran gaji guru-guru tadika sekolah Tamil Fasa 2 dan supaya kelewatan pembayaran tidak akan berlaku lagi.
  16. Pembinaan Hospital Kerajaan di Batu Kawan.
  17. Menaiktaraf jalan-jalan di Parlimen Batu Kawan.
  18. Pembinaan kolej universiti baharu pertama yang khas untuk wanita dalam sejarah Malaysia seperti di Coimbatore, Tamil Nadu.
  19. Jurang kemiskinan yang wajib perlu dirapatkan dengan menambahbaik sistem penyampaian maklumat.

Perlu Shared Responsibility untuk mencapai Shared Prosperity bagi Malaysia Baharu yang menitikberatkan nilai-nilai demokrasi, keadilan, amanah dan warisan Malaysia yang perslu dimartabatkan selalu “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Terima kasih Tan Sri Speaker diatas peluang untuk Batu Kawan membahas Belanjawan 2020.

Tan Sri, dalam banyak belanjawan yang diumumkan oleh Menteri Kewangan dalam beberapa tahun ini, Belanjawan 2020 adalah yang banyak memberikan penekanan sistem sokongan untuk membuka ruang untuk menambah baik standard sosio ekonomi golongan wanita dan anak muda.

Saya berharap satu hari nanti rakyat Malaysia, tidak kira kaum atau agama, jantina, tua atau muda, OKU atau bukan dapat berdiri diatas kaki mereka sendiri supaya mereka dapat menjana sumber pendapatan untuk kemampanan keluarga, komuniti, masyarakat dan negara untuk menjunjung prinsip keadilan sosial dan kebajikan.

Justeru itu, saya ingin mengucapkan syabas diatas usaha kerajaan untuk menetapkan cuti bersalin 90 hari khas bagi golongan ibu dan untuk kemaslahatan dan kesejahteraan keluarga. 90 hari ini adalah untuk ibu dan ayah menikmati ‘bonding’ time diantara bayi, adik beradik yang lain dan untuk tubuh ibu dapat menyesuaikan diri dengan bayi mereka dan juga untuk menyediakan mereka untuk berkhidmat kembali ke alam dunia pekerjaan.

Saranan kerajaan hanya akan tinggal saranan sahaja tanpa apa-apa penguatkuasaan jika tidak terikat dengan mana-mana undang-undang. Maka adalah perlu satu pindaan RUU kepada Akta Pekerjaan dan Ordinan Buruh Sabah dan Ordinan Buruh Sarawak tidak berlaku. Saya akur bahawa mantan Perdana Menteri YB Pekan juga pernah mengumumkannya namun disebabkan ketiadaan iltizam politik maka ianya bagai menanam tebu dibibir dan tinggal kata-kata kencang sahaja. Saya ingin mencadangkan agar Kerajaan Sumber Manusia serta kementerian yang berkaitan menyediakan platform untuk dialog diantara pihak majikan dan pihak kementerian serta MTUC agar satu kata sepakat dapat dicapai dan selepas setahun maka pindaan RUU boleh bermula. Menurut International Labour Organizations lebih 120 negara mengamalkan 90 hari cuti bersalin dan 31 negara menetapkan kurang dari 90 hari cuti bersalin. Jadi kepada YB yang selalu menggunakan alasan bahawa lebih 120 negara mengamalkan cukai GST mengapa Malaysia tidak perlu, saya berharap YB tersebut akan menyokong usaha murni ini untuk isteri, anak dan ahli keluarga kita semua supaya mereka juga akan menikmati cuti bersalin 90 hari di Malaysia. Ada negara yang mana majikan perlu membayar gaji ibu atau melalui social security. Perkara-perkara ini perlu diselaraskan sebelum pindaan tersebut. Juga, sebagai kerajaan kita perlu berlaku adil kepada kaum wanita dan pihak majikan. Syarikat yang tidak dapat hit target keuntungan mereka akan sukar membayar gaji pekerja mereka maka, batasan ini juga perlu diambil kira juga. Namun demikian, saya menyokong penuh dengan cadangan 90 hari cuti bersalin.

Dalam nada yang sama, saya ingin menyeru juga kepada Kementerian Sumber Manusia pihak kerajaan agar memasukkan semula peruntukan anti diskriminasi terhadap “job seekers” yang amat memerlukan perlindungan ini supaya tidak menjadi mangsa diskriminasi sebelum mendapat kerja pun. Beribu pemohon, wanita, anak muda dan golongan OKU yang cuba untuk mencari kerja akan berhadapan dengan situasi menjadi mangsa diskriminasi pada saat awal memohon kerja dan tidak akan dapat perlindungan dari segi undang-undang walaupun tiada apa-apa kekangan undang-undang atau legal restrictions untuk melakukannya. Bagaimana akan kita capai hastag #MalaysiaKerja yang meliputi #Watankerja #Wanitakerja dan #Graduankerja apabila impian mereka dicantas begitu sahaja jika tidak diberikan perlindungan pada peringkat awalnya. Contohnya, wanita yang mahu kembali kea lam pekerjaan kebiasannya akan menghadapi diskriminasi lebih-lebih lagi jika mereka seorang ibu. Walaupun kerajaan sedang meneliti pindaan kepada Akta Pekerja 1955 untuk memastikan tiada diskriminasi terhadap mana-mana golongan, contohnya wanita hamil, wanita yang bertudung, orang Asli atau orang Asal Sabah dan Sarawak dan pelbagai factor yang lain, selain daripada etnik, bahasa, warna kulit, agama dan ketetapan fizikal. Di Norway, kerajaan telah menubuhkan satu agensi yang khas untuk menangani laporan unsur diskriminasi dan kerajaan akan membantu dalam memberikan khidmat nasihat dan jika perlu dibawa ke muka pengadilan. Maka saya berharap dengan konsultasi kerajaan dengan MTUC, NGO Wanita seperti Womens Aid Organisation, JAG, ABIM, WCC dan PWDC dan stakeholders yang lain, terutama sekali MEF, satu keputusan untuk memasukkan peruntukan ini dapat ditetapkan tanpa apa-apa keraguan. Pada masa yang sama ingin saya bangkitkan juga isu diskriminasi terhadap golongan yang HIV positif atau pengidap AIDS. Apakah usaha kerajaan untuk memastikan golongan ini tidak terpinggir dan tidak didiskriminasi diatas sikap kurang mengambil tahu mengenai virus HIV dan bagaimana ianya didedahkan dari seorang kepada seorang.

Tan Sri,

Saya juga ingin bertanya kepada KDN akan isu kemasukan paderi-paderi, pastor-pastor bagi gereja atau konvensyen, sami dari kuil hindu dan granthi dari Gurdwara. Baru-baru ini pemimpin rumah-rumah ibadat ini menghadapi kesukaran untuk memasuki negara dan pelbagai alasan diberikan. Saya faham akan isu keselamatan dan tidak sama sekali mempertikaikannya tapi sebab yg diberikan bisanya sangat lemah dan flimsy. Saya berharap KDN akan mengambil maklum dan membenarkan mereka dengan semua dokumentasi yang lengkap masuk tanpa gangguan dari pihak berkaitan.

Tan Sri, saya juga ingin membangkitkan isu polisi-polisi baharu berkenaan pengambilan pekerja asing masuk ke negara kita dalam arena pembinaan, F&B (restoran-restoran), dalam perniagaan penggayaan rambut (barber shops), para penjahit baju (tailors) dan sebagainya. Baru-baru ini beberapa polisi telah ditetapkan oleh satu jawatankuasa yang dianggotai KDN, Kementerian Sumber Manusia dan KPDNHEP dalam usaha untuk mengurangkan kebergantungan industry kita ini diatas tenaga buruh pekerja asing yang adalah satu usaha murni namun masalahnya adalah banyak warganegara Malaysia tidak mahu bekerja disana diatas sebab-sebab yang lojik, munasabah dan rasional. Seorang warganegara kemungkinan besar atau kesemuanya yang perlu menjaga keluarga mereka – ayah, ibu, isteri dan anak-anak. Sewa rumah, utility, bil air dan elektrik, untuk rawatan kesihatan, minyak untuk motosikal atau kereta termasuk dalam tanggungan belanjawan mereka. Berbanding dengan pekerja asing yang berkongsi bilik dan rumah, kos makan minum mereka, potongan gaji mereka tidaklah sebesar warnegara. Levi, tanggungan jika pekerja sakit atau lari dari premis akan ditanggung oleh majikan. Ini perkiraan yang mudah dan masa yang sama, apabila bersembang dengan pengusaha, mereka menyatakan perkara yang sama, warga Malaysia kurang minat dengan kerja-kerja tersebut dan diantara sebab yang diberikan oleh pihak pengusaha adalah terpaksa mengambil cuti diatas pelbagai faktor seperti anak sakit, upacara keagamaan dan sebagainya. Ini adalah reality dan bukanlah sekadar menuding jari kepada warga Malaysia tetapi isunya adalah polisi baru 1 nisbah 3 , iaitu pengusaha restoran boleh memohon untuk tenaga pekerja asing 3 orang bagi seorang warga tempatan. Isunya adalah jika tidak dapat 7 orang warga tempatan untuk memohon untuk 21 warga asing, maka apakah penyelesaian bagi pengusaha perniagaan? Perkara ini bukan sahaja berlaku dikalangan pengusaha restoran India atau kedai gunting rambut India tetapi pengusaha restoran Melayu dan Cina juga mengalami masalah yang sama. Bagaimana kerajaan akan membantu pengusaha dan memastikan perniagaan gulung tikar? Adakah kerajaan akan membenarkan pelarian UNHCR bekerja untuk mereka berdikari supaya tidak perlu handout dari kerajaan? Saya berharap pihak kerajaan dapat mengambil perhatian akan isu ini dan mempertimbangkan agar membenarkan pelarian atau refugee untuk bekerja jika warga tempatan tidak mahu atau susah untuk memohon untuk pekerja asing atau selaraskan polisi ini untuk membantu pengusaha untuk terus berniaga agar ini akan menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi sejagat.

Tan Sri,

Susulan daripada pengumuman Menteri Kewangan berhubung dengan kelulusan penubuhan Pusat Rehabilitasi PERKESO di negeri Perak dengan kos RM500 juta, ingin saya bertanya, berapa ramaikah pekerja yang tercedera yang telah mendapat manfaat dari program ini dan telah kembali semula ke alam pekerjaan? Berapa ramaikah pesakit yang dapat dirawat dan adakah akan wujud peluang pekerjaan di pusat rehabilitasi tersebut? Adakah kementerian akan juga memperkenalkan satu pusat di Pulau Pinang, terutama di Batu Kawan? Jika tidak maka saya ingin sarankan untuk pihak kementerian menimbangnya.

Tan Sri,

Saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada kerajaan Pakatan Harapan diatas kesungguhan untuk melindungi integriti PDRM, Imigresen dan SPRM diatas pengumuman oleh Perdana Menteri, Menteri Undang-undang dalam JPM, Menteri KDN, Ketua Polis Negara, dan Pesuruhjaya SPRM diatas sambutan untuk menggunakan kamera badan atau body camera untuk melindungi integrity anggota-anggota penguatkuasa kita. Dalam satu lawatan saya ke Charing Cross Police Station di London saya mendapati bahawa anggota polis disana menggunakan body camera apabila menjalan tugas mereka. Kamera tersebut dalam standby mode apabila dipasang dan apabila dirakam, akan mula merakam 30saat sebelumnya. Peranti atau body camera tersebut akan dibawa balik ke balai polis dan akan dimuat turun pada masa sama, baterinya akan dicaj semula dan tiada apa-apa peluang langsung untuk tamper atau edit video tersebut. Rakaman akan disimpan dalam simpanan pihak polis selama 31 hari dan jika tidak diperlukan sebagai bahan bukti atau siasatan, maka ianya akan dipadamkan secara otomatik. Body camera ini akan melindungi anggota polis yang telus, beramanah dan professional, dan untuk digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah bagi anggota yang menyalahgunakan kuasa mereka dan juga dalam mana-mana jenayah yang berlaku dimana bahan bukti boleh digunakan dalam kes-kes keganasan rumahtangga seperti yang dilihat dalam rekod Charing Cross Police Station. Saya telah membangkitkan isu ini dari zaman pemerintahan Barisan Nasional sehinggalah kerajaan Pakatan Harapan yang memberikan komitmen untuk melaksanakannya. Selaras dengan pengumuman itu, Menteri Undang-undang dari JPM mengumumkan RM73 juta akan juga diperuntukkan untuk memasang CCTV dalam semua lokap diseluruh negara. Syabas YB Menteri JPM dan KDN diatas tindakan proaktif ini yang juga untuk melindungi integrity anggota polis yang berhemah, berdedikasi dan berani dan mendakwa anggota yang memburukkan nama PDRM. Namun ingin saya mohon disini juga agar balai-balai kita ini dilengkapi dengan kemudahan yang standard dan bertaraf tinggi untuk memudahkan anggota polis melaksanakan tanggungjawab mereka. Umpamanya kereta-kereta yang digunakan oleh anggota kita ini ada yang 20 tahun usianya dan banyak yang tidak Selamat untuk digunakan oleh anggota kita. Saya bercadang kepada Menteri KDN agar lebih peruntukan diberikan untuk menggantikan kereta-kereta lama ini dengan kereta yang lebih lasak dan laju untuk memberkas penjenayah secepat mungkin. Pada masa yang sama, ingin saya merayu agar bukan sahaja kemudahan peralatan diganti atau ditambah baik, tetapi kuarters anggota polis dinaiktaraf mengikut spesifikasi keadaan semasa dan bukanlah ‘one bedroom flat’ iaitu specs zaman dahulu. Saya merayu juga agar kebajikan serta skim penggajian anggota polis disemak semula dan ditambah baik dengan arus semasa supaya mereka juga dapat hidup dengan bermaruah dan selesa tanpa menjadi mangsa najis rasuah dan salah guna kuasa. Dalam nafas yang sama saya ingin juga membangkit isu elaun kritikal anggota BOMBA dengan KPKT supaya ianya dibayar tanpa lengah lagi. Dariapa zaman BN tak bayar-bayar, saya berharap kerajaan PH ini akan melakukan apa yang betul, to do the right thing dan pada masa yang sama, memberikan lebih peruntukan kemudahan bagi balai-balai bomba di seluruh negara dan untuk menyemak semula skim gaji anggota bomba supaya selaras dengan arus zaman. Saya tidak perlu mengingatkan kerajaan akan pengorbanan anggota bomba yang tidak pernah berkata tidak.. Never say no kepada semua jenis kecelakaan, termasuklah jika kucing terperangkap diatas pokok, biawak masuk rumah, anjing jatuh dalam parit, monyet masuk rumah, mangsa lemas, mangsa kemalangan dan tugas utama mereka iaitu untuk memadam api dan sebagai penyelamat.

Tan Sri,

Saya ingin menyentuh isu Industrial Revolusi 4.0, dan peruntukan belanjawan 5 billion untuk memacu sector ini. Dalam banyak industry yang disebut, saya ingin membawa perhatian Dewan Rakyat ini akan kejadian yang berlaku beberapa hari yang lalu di Penjara Full Sutton di London dimana pemangsa seks Richard Huckle dibunuh oleh seorang penjenayah lain dalam biliknya. Richard Huckle telah mencabuli lebih 200 kanak-kanak dari umur 6 bulan sehingga 12 tahun dalam tempoh 9 tahun di Malaysia. Mangsa semua daripada keluarga susah dan miskin dalam tempoh 2 tahun melalukan perbuatan kejam dan jijik tersebut. Polis Queensland Police Force Task Force Argos di Australia telah menjejaki tingkah laku Richard Huckle menerusi dark web yang sering dikinjungi pedifilia dan telah memberikan maklumat atau tip off kepada pihak berkuasa Malaysia dan UK National Crime Agency memandangkan Huckle seorang warganegara UK, namun wujud persoalan mengapa tiada tindakan diambil keatasnya oleh pihak berkuasa Malaysia. Huckle ditahan di Lapangan terbang Gatwick pada tahun 2014. Apakah teknologi yang digunakan oleh polis Australia untuk menjejaki Richard Huckle yang kita tidak ada atau tiada kepakaran untuk melakukannya. Saya pernah bertanya kepada mantan Timbalan KDN dari BN dahulu untuk melabur dalam teknologi untuk menyekat dan untuk menjejaki pedifil yang melanggani laman web dalam dark web tapi sungguh mengecewakan, jawapan yang diberikan bahawa Kerajaan BN pada masa itu tiada peruntukan untuk melabur dalam teknologi tersebut. Maka syabas saya ucapkan kepada kerajaan Pakatan Harapan diatas komitmen untuk mengembangkan IR4.0 ini. Oleh itu saya ingin bertanya dan mencadangkan supaya KDN dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melabur dalam teknologi sedemikian, bersama latihan kepakaran daripada pihak berkuasa Australia atau UK atau negara lain untuk menangkap pedifil pedofil ini.

Tan Sri, tahun hadapan adalah Tahun Melawat Malaysia 2020 dan negara Malaysia akan menganggarkan kemasukan lebih 20 juta pelancong yang ingin melihat keindahan negara. Tiada jaminan daripada 20 juta pelancong itu, berapakah peratus yang masuk adalah penjenayah seksual atau pedofil? Pada bulan Ogos tahun ini, dalam Persidangan ASEAN Parliamentarians for Human Rights, kesemua 10 negara ASEAN telah bersetuju dengan resolusi “Eliminating all Forms of Violence Against Children” untuk menggembleng tenaga dan berganding bahu untuk berkongsi maklumat, untuk meningkatkan kepekaan terhadap penjenayah seks atau pedofil selaras usaha dalam memberikan perlindungan bagi semua kanak-kanak dalam ASEAN, dari Brunei sehingga Vietnam. Negara Perancis dalam usaha menangani jenayah seksual kanak-kanak menayangkan filem pendek kesungguhan kerajaan memerangi gejala ini. Negara Australia memulakan kempen “Don’t Turn Away, Turn Them In” dalam usaha untuk melindungi kanak-kanak dari dieksploitasi. Negara Thai, dalam departure lounge lapangan kapal terbang menayangkan filem pendek mengenai platform kerajaan yang boleh digunakan untuk memmbuat laporan mengenai peneksplotasian kanak-kanak, di UK billboard besar menunjukkan kanak-kanak digunakan untuk buruh – budak perempuan sebagai penjahit atau tailor dan budak lelaki sebagai pencuci kereta. Selain daripada itu, beberapa negara lain menggunakan lapangan terbang sebagai avenue untuk berkongsi mesej kerajaan, dan juga melalui luggage tag, boarding pass, button badge atau wrist band bagi semua pelancong yang memasuki negara mereka. Selain daripada itu, hotel-hotel juga mengambil bahagian dalam usaha melindungi kanak-kanak di negara merela. Persoalan saya adalah, apakah usaha-usaha KDN, KPWKM, Kementerian Pelancongan dan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Kementerian Sumber Manusia untuk menangani segala jenis jenayah terhadap kanak-kanak melalui usaha praktikal yang boleh digunakan sebelum kita berhadapan dengan lebih 20 juta pelancong akan masuk negara kita. Kita perlukan langkah-langkah proaktif dan bukan sahaja diatas bahu kerajaan untuk ditanggung. Saya ingin menambah daripada wawasan Shared Prosperity, dibaca bersama dengan Shared Responsibilty dalam agenda perlindungan kanak-kanak sejagat di Malaysia.

Tan Sri,

Saya ingin juga membawa perhatian Dewan yang mulia ini diatas kelewatan dalam pembayaran gaji guru dari Malaysian Pre School Organisation dan tadika sekolah Tamil. Fasa satu pembayaran gaji telah mula berjalan namun tiada apa-apa berita mengenai pembayaran gaji Fasa kedua yang sudah tertunggak dari peruntukan MITRA. Saya ingin bertanya disini, apakah status subsidi yang diberikan, mengapakah wujud satu kelewatan dalam pembayaran gaji guru-guru tersebut dan apakah usaha pihak kerajaan terutama sekali dari Menteri Perpaduan supaya perkara ini tidak berulang dan gaji guru-guru yang berkhidmat mengajar kanak-kanak golongan B40 akan dibayar dengan lancar tanpa apa-apa kelewatan?

Tan Sri,

Sudah 6 tahun saya memohon untuk sebuah hospital kerajaan di Parlimen Batu Kawan di daerah SPS. Tahun hadapan unjuran penduduk di SPS akan melebihi 200,000 dan buat masa ini Hospital Daerah Sungai Bakaplah yang akan menampung pesakit daripada Nibong Tebal dan Batu Kawan. Walaupun tidak diumumkan akan pembinaan sebuah hospital baru di Batu Kawan, saya benar-benar berharap wujud isi tersirat akan pembinaan hospital kerajaan di Batu Kawan.

Dalam nada yang sama, ingin saya mendapat ketetapan rancangan untuk menaiktaraf jalan-jalan di Parlimen Batu Kawan contohnya Jalan Bukit Tambun, Jalan Bukit Minyak, Jalan Batu Kawan, Jalan Perindustrian Prai, Jalan Permatang Tinggi, Jalan Paboi, Jalan Bukit Tengah. Saya juga ingin bertanya bilakah kerja-kerja menaiktaraf Jalan Persekutuan Fasa 6A dari SJKT Ladang Valdor ke arah flyover Valdor akan dimulakan dan adakah 6A bokeh dimulakan Sebelum Fasa 5 siap sepenuhnya?

Tan Sri,

Saya ingin mengucapkan syabas diatas usaha kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan. Namun saya ingin tahu apakah usaha Jabatan Perdana Menteri untuk menyelaraskan undang-undang dan akta-akta yang sedia ada bagi nasib banduan akhir yang telah lama melalui hukuman mereka.

Tan Sri, di negeri Coimbatore India, wujud Sri Ramakrishna College of Arts and Science for Women satu institusi pengajian tinggi bagi kaum wanita sahaja dengan pengalaman 28 tahun. Dengan kewujudan Jabatan-jabatan seperti Jabatan Perdagangan, Jabatan Sains Komputer, Jabatan Biokimia, Jabatan Pentadbiran Perniagaan, Jabatan Mikrobiology, Jabatan Bahasa Inggeris, Jabatan Matematik, Jabatan Bahasa Tamil dan Jabatan Bahasa Hindi. Saya ingin mencadangkan agar Kementerian Pelajaran membuat satu lawatan sambil belajar ke Coimbatore iaitu negeri berpendidikan dan keusahawanan atau Education State and Entrepreneurial State untuk merancang untuk menubuhkan kolej university wanita pertama dalam sejarah negara Malaysia.

Akhir kata,

Saya ingin merujuk kepada kenyataan Serina Abdul Rahman dari ISEAS-Yusof Ishak Institute di Singapura, berhubung kadar kemiskinan di negara. Isu-isu yang telah dibangkitkan adalah jurang sistem penyampaian maklumat dari agensi kerajaan dan penerimaan feedback daripada masyarakat setempat semakin dalam dan semakin besar, maka maklumat, atau bantuan termasuk program-program untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan tidak dapat diberikan atau ditangani dengan sempurna. Maka, ingin saya ingatkan mana-mana pihak yang menyatakan rakyat Malaysia malas, atau anak muda malas atau wanita malas – persepsi ini haruslah ditepis dengan usaha dan kerjasama oleh semua pihak untuk memastikan keadilan social dicapai. Pada masa yang sama, budaya berbisa ketinggalan rejim kerajaan sebelum ini haruslah dirobohkan sama sekali untuk memberi laluan bagi membina semula negara sebagai sebuah negara baru, sebagai sebuah Malaysia Baharu yang menitikberatkan nilai-nilai demokrasi, keadilan, amanah dan warisan Malaysia yang perlu dimartabatkan selalu “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”.

Dengan ini, Batu Kawan menyokong Belanjawan 2020.