Terima kasih Tuan Yang DiPertua diatas peluang untuk Batu Kawan mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2022.
Saya mulakan ucapan saya dengan satu petikan dari Kitab Injil
Proverbs 31:8-9 Speak up for those who cannot speak for themselves, for the right of all who are destitute. Speak up and judge fairly; defend the rights of the poor and needy.
Tuan Yang DiPertua,
Saya ingin memulakan ucapan dasar saya dengan menyentuh pengumuman Perdana Menteri Dato Sri Ismail Sabri bulan November akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia dimana PM menggariskan ianya sebagai satu platform untuk mengukuhkan hubungan kekeluargaan dan menjunjung semangat inklusif diantara anggota Keluarga Malaysia. Falsafah Konsep Keluarga Malaysia ini harus berlaku secara adil kepada semua rakyat Malaysia. Meskipun wujud usaha untuk mempamerkan gambar-gambar senyuman rakyat Malaysia yang muhibah dan majmuk namun realitinya adalah jauh berbeza. Jelas wujud ketidakseimbangan layanan dan diskriminasi terhadap wanita, etnik, kaum dan agama. Hujahan saya bukan berpusar isu gender, kaum dan agama semata-mata tetapi kepada rasuah, salahguna kuasa dan ketirisan yang ditutupi dengan polisi-polisi yang dibayangi dasar kaum, agama dan jantina.
Ini merupakan perbahasan Belanjawan saya yang ke-9 di Dewan yang mulia ini dan setiap tahun saya mendengar pengumuman gah oleh Menteri Kewangan peruntukan besar yang diberikan bagi Agenda Transformasi Bumiputera, bagi Sekolah Tamil dan Cina, peruntukan bagi kemajuan rakan-rakan Orang Asli dan Orang-Orang Asal Sabah dan Sarawak. Kita bertepuk meja, membuat kenyataan media, senyum lebar dan pada tahun akan datang, melihat dan mendengar peruntukan yang sama berjuta dan berbilion untuk agenda yang sama ini. Persoalannya mudah. Adakah peruntukan tersebut mencapai sasarannya? Berapa ramai Bumiputera yang telah diangkat dari kepompong kemiskinan? Berapa ramai dari kaum India dan Cina yang asnaf, fakir miskin yang telah berjaya dikeluarkan dari kitaran kemiskinan? Berapa ramai kanak-kanak yang gugur dari persekolahan disebabkan oleh kemiskinan? Berapa ramai anak-anak yang terbantut tumbesaran disebabkan kemiskinan? Berapa ramai anak muda kita diselamatkan dari cengkaman geng-geng atau triad? Berapa ramai Orang Asli dan Orang Asal yang telah dan sedang menikmati pembangunan yang sudah lama dijanjikan dan hak dan tanah mereka dilindungi dan dipertahankan?
Sudah tiba masa kita beralih kepada ‘needs based approach’ daripada hanya berfokuskan kepada ‘race based approach’. Dengan KPI yang ditetapkan, akan menjadi lebih mudah untuk memantau statistik penduduk yang benar-benar yang mendapat manfaat dari rancangan-rancangan ini.
Sebagai contoh, RM100 juta yang diperuntukan oleh MITRA untuk pembangunan sosioekonomi kaum India di Malaysia. populasi kaum India di Malaysia hanya 7% maka amat mendukacitakan untuk membaca perician wang berjuta-juta ringgit diberikan kepada NGO-NGO untuk program-program sosioekonomi yang lebih dibelenggu soalan dari jawapan. Peruntukan MITRA hari ini dilayan seperti satu mesin ATM – cucuk je dapat duit. Bagaimana, untuk apa, ke mana wang itu dibelanja tidak telus dan tiada dalam ruang pengetahuan kami Ahli Parlimen. Maka saya ingin cadangkan agar laporan tahunan MITRA dari 2018-kini diletakkan diatas semua Ahli Parlimen diatas tujuan ketelusan, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban oleh pihak kementerian dan kerajaan.
Negara Malaysia, walaupun kecil merupakan salah satu negara yang menentang prinsip apartheid habis-habisan di negara-negara dimana apartheid digunakan secara lazimnya. Allahyarham Tunku Abdul Rahman Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah memainkan peranan yang penting apabila membangkitkan isu tembakan Sharpeville di Persidangan Komanwel Perdana Menteri atau the Commonwealth Prime Ministers Conference pada tahun 60an. Malaysia telah menggesa untuk Tindakan pihak antarabangsa untuk memansuhkan system apartheid dan menjurus kepada prinsip demokrasi.
Selepas lebih 50 tahun, kita melihat roh apartheid mula dihidupkan semula dengan penyisihan dan diskriminasi diantara kami semua rakyat Malaysia.
Ahli Parlimen juga menjadi mangsa apartheid apabila peruntukan untuk pembangunan Kawasan disekat atau diberi satu amaun yang kecil. Budaya penyisihan ini bukan perkara yang baharu. Peruntukan pembangunan memang wujud walaupun bukan menerusi wakil rakyat yang diundi oleh rakyat. Sebagai contoh pada tahun 2017, saya sebagai Ahli Parlimen pembangkang mendapat sifar peruntukan untuk menggaji dan menguruskan pejabat mahupun untuk pembangunan, kebajikan dan peruntukan untuk program dikawasan saya. Walaupun saya tidak tahu akan agihan peruntukan Kawasan Parlimen Batu Kawan, RM4.17 juta telah dibelanjakan dikawasan saya. Siapa yang meluluskan peruntukan ini, siapakah kontraktor projek-projek ini, apakah proses pemberian kontrak ini? Semasa PH menjadi kerajaan peruntukan RM100juta diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang, memang tidak cukup. Tetapi selepas Langkah Sheraton, saya dan Ahli Parlimen pembangkang yang lain selepas merayu kepada Perdana Menteri pada masa itu YB Pagoh, RM100 ribu diluluskan apabila negara dilanda pandemik ini.
Hari ini disebabkan MOU, kami menerima peruntukan untuk pengurusan pejabat dan untuk kegunaan pembangunan, kebajikan dan program kemasyarakatan di kawasan masing-masing. Sekiranya tiada keperluan untuk satu MOU, adakah peruntukan ini akan diberikan atau tidak? Selepas 60 tahun merdeka, kerajaan tidak boleh menafikan hak Ahli Parlimen pembangkang dan bebas kepada hak mereka untuk menerima peruntukan yang sama dengan Ahli Parlimen kerajaan. Penafian peruntukan ini adalah penafian kepada warga marhaen, rakyat yang memerlukan peruntukan ini. Maka saya ingin cadangkan disini agar Parlimen sebagai satu institusi tunjang dan bebas, maka peruntukan yang saksama diberikan kepada semua Ahli Parlimen Kerajaan, pembangkang dan bebas agar kami sebagai ahli Keluraga Malaysia mendapat layanan yang sama agar penduduk kami juga tidak akan merana dan tidak akan ada alasan Ahli Parlimen yang melompat kerana tidak mendapat peruntukan Kawasan.
TYD
Anak-anak yang lahir di luar negara kepada ibu mereka yang bergelar warganegara Malaysia tidak mendapat kewarganegaraan secara automatic sepertimana jika sibapa yang berkahwin dengan wanita bukan warganegara. Saya tidak boleh terima jawapan sekali lagi bahawa pendirian kerajaan terhadap isu ini adalah diatas dasar keselamatan negara. Adakah anak-anak kecil, bayi, kanak-kanak, remaja kini ‘a threat to national security’? Dimanakah wujud keadilan bagi anak-anak dan ibu-ibu warganegara Malaysia yang tidak berdosa dalam Keluarga Malaysia ini? Dimanakah keadilan apabila pemain bola sepak yang bukan dilahirkan disini ditawarkan kewarganegaraan tetapi rayuan ibu-ibu warganegara seolah-seolah lambat diberi tindakbalas. Saya berharap apabila Perdana Menteri menghadap Majlis Raja-raja untuk mempersembahkan masalah ini, bahawa beliau diberikan hidayah supaya ucapan beliau akan memihak kepada suara ibu-ibu ini dan dugaan serta cabaran mereka.
TYD
Kandungan belanjawan ini bukanlah sekadar satu dokumen angka tetapi satu dokumen polisi dan dasar kerajaan juga. Matlamat, niat, tujuan dan objektif usaha-usaha kerajaan atau rolling plan kerajaan. Ianya harus memberikan gambaran dan visi dimana letaknya semua rakyat Malaysia nanti dalam tahun akan datang ini. Namun apa yang saya lihat adalah banyak peruntukan one off banyak diberikan kepada pelbagai golongan dan lapisan masyarakat. Peruntukan Belanjawan bukan sekadar untuk membantu rakyat yang jatuh ditimpa tangga dengan pandemic ini tetapi harus dilihat sebagai satu pelaburan masa hadapan yang mampan atau sustainable. Kerajaan harus mensasarkan cara dan kaedah bagaimana untuk menyelamatkan peniaga-peniaga yang kecil daripada terus lingkup. Membantu Wanita dan ibu tunggal, ibu tinggal dan Wanita yang bekerja di rumah seperti surirumah untuk berdikari menjana rezeki sendiri seperti yang Program Jana Rezeki oleh Perbadanan Pembangunan Wanita PP yang telah Berjaya mewujudkan ramai Wanita usahawan yang Berjaya untuk menjana rezeki sendiri. Berapakah sasaran Wanita bagi tahun 2022 yang akan menjadi usahawan yang berdikari? Saya ingin cadangkan disini agar kerajaan anjurkan program out-reach dalam pelbagai Bahasa untuk lebih ramai Wanita dari pelbagai latarbelakang termasuk bandar, luar bandar dan mengikut pecahan sosioekonomi termasuk Wanita orang asli dan orang asal. Saya agak kecewa apabila kerajaan berasa bangga dengan pengumuman kerajaan akan mewajibkan pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah Wanita bagi semua syarikat senaraian awam. Ini kerana piawaian antarabangsa untuk keterlibatan Wanita sebagai decision maker atau pembuat dasar adalah sekurang-kurangnya 30%. Kerajaan sepatutnya berfokuskan untuk memastikan 30% Wanita menjadi ahli Lembaga pengarah atau board of directors dan bukan sahaja seorang Wanita sebagai pengarah, yang sememangnya penting tapi tidak mencukupi. Tidak perlu untuk menunggu untuk menetapkan cadangan saya ini sehingga September tahun hadapan. Boleh mulakan tahun ini juga, ayuh sekurang-kurangnya 30% Wanita dalam Lembaga pengarah di syarikat-syarikat ini.
TYD
Saranan untuk Wanita Kembali ke alam pekerjaan tidak akan Berjaya sekiranya kerajaan tidak melabur dalam menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak yang mampu dibayar oleh golongan ibu ini. Bagaimanakah kerajaan akan meningkatkan bilangan pusat penjagaan kanak-kanak yang bertauliah untuk membantu Wanita ini Kembali bekerja.
TYD
Tahniah saya ucapkan kepada Malaysia diatas kejayaan menjadi sebahagian dari UN Human Rights Council. Saya berharap Kerusi Malaysia di UNHRC bukanlah sebagai hiasan atau untuk memenuhi kuota pencapaian negara dimata dunia. Great positions comes with great responsibility. Maka, negara Malaysia harus serius untuk memperbaiki semua perlanggaran dan pencabulan hak asasi manusia di Malaysia. Perkahwinan kanak-kanak masih berlaku di Malaysia. Apakah rancangan dan pelan kerajaan untuk menyifarkan perkahwinan kanak-kanak? Sehingga hari ini, masih wujud lagi kematian dalam tahanan? Saya terkilan dengan komen tidak sensitif dan bertanggungjawab Menteri Dalam Negeri bahawa kematian dalam tahanan tahun ini tidak begitu tinggi dan telah membuat perbandingan dengan kematian dalam tahanan dengan tahun-tahun sebelumnya. Ini bukan soal kurang atau banyak orang yang mati dalam tahanan. Satu kematian dalam tahanan adalah seorang ayah, anak, datuk, suami aabang atau adik yang mati dalam perlindungan, tahanan pihak polis. Hujah yang mati itu kan penjenayah menunjukkan kelopongan pemahaman warga marhaen mengenai criminal justice system atau system keadilan jenayah bahawa penjenayah atau bukan, kematian itu bukanlah didalam tangan sesiapapun, termasuk di tangan pihak polis. Maka saya sarankan kepada kerajaan untuk membentangkan IPCMC dan bukannya IPCC yang bidang kuasanya kurang dari Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan SIAP atau EAIC Enforcement Agency Integrity Commission. Belanjawan ini harus memastikan tiada lagi wujud kematian dalam tahanan selepas ini.
Kerajaan digesa dan disarankan untuk meratifikasi Konvensyen antarabangsa seperti International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR), International Covenant on Economic, Social, and Cultural Rights (ICESCR), UN Convention Against Torture, Rome Statute dan konvensyen lain yang memelihara hak kebebasan agama seperti apa yang terkandung dalam Universal Declaration of Human Rights yang juga disebut oleh Perdana Menteri kita sendiri. Saya berharap negara Malaysia akan masuk gear 5 dalam usaha untuk memansuhkan hukuman gantung mandatori bagi 11 jenayah dinegara kita. Dalam nafas yang sama, ingin saya bawa perhatian dewan yang mulia ini kepada kes seorang warganegara OKU, “mentally disabled” Nagaenthran dengan IQ 69 yang akan digantung pada hari Rabu 10 November di Singapura.
Berita terkini adalah mahkamah telah memutuskan ‘stay of execution’ untuk hukuman Nagaenthran buat sementara waktu. Rayuan saya dan ramai warga Malaysia adalah seorang OKU mental tidak boleh dihukum gantung, lebih-lebih lagi yang tidak mempunyai budi bicara seperti anda dan saya disini. Mendiang Presiden Filipina Begnino Aquino yang telah mencabar protocol dan telah berusaha sehingga saat terakhir melobi dengan Presiden Indonesia untuk menyelamatkan Mary Jane Veloso dari tali gantung pada tahun 2015 di Indonesia. Maka, ingin saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri diatas surat yang telah beliau utuskan kepada rakan sejawatan di Singapura Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk memohon ehsan dan pertimbangan agar Nagaenthran tidak dihukum gantung.
TYD
Saya berharap bahawa pihak Menteri atau Timbalan Menteri sedang mengikuti perbahasan kami ini walaupun dari Putrajaya atau Melaka agar jawapan bagi soalan dan cadangan kami ini akan dianggap serius dan diberikan jawapan kepada apa yang ditanya.
Sekian terima kasih.